Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Membahagikan Bacaan Al-Qur’an Untuk Mengkhatamkannya Secara Berkumpulan

Soalan: Dalam situasi kuarantin musim COVID-19 sekarang tular dalam masyarakat kita untuk membahagikan bacaan al-Qur’an mengikut juz. Kebiasaannya akan dibuat satu group Whatsapp, Zoom, Go-Meeting atau lain-lain untuk membahagikan bacaan al-Qur’an mengikut juz masing-masing. Situasi ini juga sering berlaku pada bulan-bulan biasa dan bulan Ramadhan. Kemudiannya setelah masing-masing selesai membaca, mereka akan mengadakan majlis khatam al-Qur’an.

Apakah hukum membahagi-bahagi bacaan juz al-Qur’an seperti di atas? Adakah ia telah dikira sebagai khatam al-Qur’an dan mendapat fadhilat khatam al-Qur’an?

Jawapan: Al-Qur’an al-Karim adalah Kitâbullâh yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk disampaikan kepada sekalian umat manusia sebagai panduan hidup. Membaca al- Qur’an adalah ibadat yang sangat dituntut ke atas umat Islam untuk melakukannya dan dijanjikan dengan kelebihan serta ganjaran yang besar oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Kelebihan membaca al-Qur‘an banyak disebut dalam ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang menyebut perumpamaan membaca al-Qur’an itu sebagai perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa (melazimkan) membaca Kitab Allah (al-Qur’an) dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka sama ada secara bersembunyi-sembunyi atau secara berterang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang sekali-kali tidak akan rugi. (Surah Fâthir: 29)

Orang beriman yang membaca al-Qur’an juga diumpamakan seperti utrujjah iaitu buah daripada jenis limau yang harum baunya dan enak rasanya sebagaimana dalam hadits daripada Abu Musa Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perumpamaan orang mu’min yang membaca al-Qur’an ialah seperti utrujjah (citron) rasanya sedap dan baunya harum. Dan orang (mu’min) yang tidak membaca al- Qur’an ialah seperti kurma, rasanya sedap dan tidak mempunyai bau. Dan perumpamaan orang berbuat dosa (maksiat) yang membaca al-Qur’an ialah seperti raihanah (sejenis tumbuhan) baunya harum dan rasanya pahit. Dan perumpamaan orang berbuat dosa (maksiat) yang tidak membaca al-Qur’an adalah seperti hanzhalah (citrullus colocynthis), rasanya pahit dan tidak mempunyai bau. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam hadits lain, al-Qur’an disebut sebagai pemberi syafaat bagi orang yang membacanya di Hari Kiamat kelak. Daripada Abu Umamah al-Bahiliy Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kamu bacalah al-Qur’an, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuan-tuannya (pembaca-pembacanya).” (Hadits riwayat Muslim)

Dengan kelebihan yang diperolehi daripadanya, maka tidak menghairankan masyarakat Islam termasuk di negara ini giat mengadakan aktiviti membaca al-Qur’an sekaligus bertujuan untuk mengkhatamkannya. Di antara aktiviti pembacaan ini ada yang diadakan secara berkumpulan. Bahkan akhir-akhir ini, disebabkan penularan wabak COVID-19 ramai kumpulan pembaca al-Qur’an mengadakan akitiviti bacaan al-Qur’an melalui aplikasi sosial atau telekomunikasi seperti WhatsApp, Zoom dan Go Meeting. Kebiasaannya pembahagian bacaan al-Qur’an dibahagikan mengikut juz-juz tertentu kepada setiap ahli kumpulan menerusi aplikasi tersebut. Setelah semua pembacaan diselesaikan oleh setiap pembaca dalam kumpulan, majlis khatam akan diadakan.

Namun perkara yang menimbulkan persoalan ialah adakah perbuatan membahagikan bacaan al-Qur’an mengikut juz-juz tertentu kepada setiap ahli kumpulan itu diharuskan syara‘ dan boleh dianggap sebagai mengkhatam al-Qur’an? Untuk menjelaskan persoalan ini perlu difahami tentang anjuran membaca al-Qur’an dan mengkhatamkannya serta maksud atau pengertian bagi khatam al-Qur’an itu.

Membaca Al-Qur’an Secara Berjemaah Amalan membaca al-Qur’an secara berjemaah atau berkumpulan adalah termasuk amalan yang dituntut dalam Islam. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab at-Tibyân fî Adab Hamalah al-Qur’ân menyatakan bahawa membaca al-Qur’an secara berjemaah adalah mustahabb (sunat) berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan amalan yang biasa dilakukan oleh para salaf dan khalaf daripada kalangan para sahabat dan tâbi‘în. Antaranya daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tiada berkumpul satu kaum di suatu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) membaca al-Qur’an dan bertadârus di antara mereka melainkan ketenangan turun ke atas mereka, rahmat menyelubungi mereka, para malaikat rahmat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka (dengan pujian dan ganjaran pahala) pada siapa yang berada di sisiNya (para nabi dan malaikat). (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tiada duduk satu kaum di dalam masjid membaca al-Qur’an dan bertadârus di antara mereka melainkan ketenangan turun ke atas mereka, rahmat menyelubungi mereka dan para malaikat rahmat mengelilingi mereka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ juga menyebut perkara ini:

Ertinya: Tiada larangan (makruh) pada membaca (al-Qur’an) secara berjemaah berhimpun (beramai-ramai) bahkan ia adalah mustahabbah (sunat).

Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh juga mengatakan bahawa tidak menjadi kesalahan berkumpulnya satu jemaah untuk membaca al- Qur’an.

Ertinya: Dan tidak mengapa dengan mengulang-ulang ayat al-Qur’an untuk mentadabbur (maksud ayat itu) dan tidak (mengapa) juga dengan berkumpul satu jemaah untuk membaca al-Qur’an.

Mengenai ungkapan حوَيـَتَدَارَسُوحنـَهُمحنَه ُ بـَيـ atau َّ َ التُ دارس dalam hadits di atas adalah daripada perkataan دَرَس yang membawa maksud belajar. Imam al-Mubarakfuri Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jâmi‘ at-Tirmidzi menyebut bahawa para ulama telah membawakan beberapa maksud bagi perkataan at-tadârus:

1) Menurut Ibnu al-Malak Rahimahullâh, at-tadârus bermaksud sebahagian pembaca al- Qur’an itu membaca dan memperdengarkan bacaan mereka kepada sebahagian yang lain dengan tujuan untuk memperbetulkan lafaz ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca atau untuk mengetahui makna bagi ayat-ayat tersebut.

2) Menurut pendapat al-Jazari Rahimahullâh, tadârus al-Qur’an ialah membaca al-Qur’an dan menjaganya agar tidak lupa.

3) Menurut al-Qari Rahimahullâh pula, at-tadârus boleh membawa maksud al-mudârasah yang sudah biasa diketahui iaitu sebahagian pembaca al-Qur’an misalnya membaca sepuluh ayat dan kemudian sebahagian yang lain membaca sepuluh ayat yang lain dan seterusnya. Maka cara ini menjadikan maksud at-tadârus lebih khusus daripada bacaan biasa atau yang berlawanan dengannya. Tetapi yang lebih jelas (al-azhhar) at-tadârus itu merangkumi setiap aspek yang berkaitan dengan al-Qur’an dari segi pengajaran dan pembelajarannya.

Manakala menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh seseorang yang memperdengarkan bacaannya kepada orang lain dan orang lain itu pula memperdengarkan bacaan ayat yang sama kepadanya, cara ini diistilahkan oleh beliau sebagai al-mudârasah.

Adapun perhimpunan satu jemaah yang sebahagian daripada mereka membaca sepuluh ayat atau satu juz atau seumpamanya, kemudian berhenti dan diam setelah selesai bacaan mereka, seterusnya bacaan disambung pula oleh pembaca lain dengan memulai bacaan dari tempat berhenti bacaan pembaca yang pertama, sebanyak sepuluh ayat atau satu juz atau seumpamanya dan seterusnya disambung lagi oleh pembaca yang lain, ini diistilahkan sebagai al-idârah menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya at-Tibyân fî Adab Hamalah al-Qur’ân dan al-Majmû‘. Hal ini juga disebut oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini dan Imam Zakariyya al-Anshari Rahimahumallâh dalam kitab-kitab mereka.

Berdasarkan kepada huraian hadits dan penerangan para ulama di atas jelas menunjukkan bahawa membaca al-Qur’an secara berjemaah beramai-ramai adalah amalan yang digalakkan. Secara praktikalnya aktiviti membaca al-Qur’an dengan cara sebegini biasanya dilakukan sekurang-kurang oleh dua orang pembaca atau dalam jemaah yang lebih ramai. Setiap orang akan membaca dan memperdengarkan bacaannya dengan bersungguh-sungguh menjaga lafaz atau sebutan ayat-ayat al-Qur’an sementara yang lain pula mendengar dan menyemak bacaan tersebut. Sekiranya terdapat kesilapan atau kesalahan dalam bacaan, maka orang yang menyemak akan segera memperbetulkannya. Sama ada pembacaan yang dibuat itu menggunakan kaedah al-mudârasah ataupun al-idârah, kedua-dua cara bacaan tersebut tetap beroleh manfaat dari segi pembaikan bacaan dan juga ganjaran dari membaca atau mendengarkan bacaan al-Qur’an.

Khatam al-Qur’an

Dalam kitab Faidh al-Qadîr Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr dan at-Tanwîr Syarh al-Jâmi‘ ash- Shaghîr, khatam al-Qur’an bermaksud menyelesaikan bacaan al-Qur’an atau menyempurnakan bacaan al-Qur’an sehingga akhirnya.

Khatam al-Qur’an juga merupakan amalan yang sangat digalakkan berdasarkan hadits dan juga pandangan para ulama mengenainya. Dalam hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:

Maksudnya: Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah amal yang paling disukai Allah?” Baginda menjawab: “Al-hâll al-murtahil”. Lelaki itu berkata: “Apa itu al-hâll al-murtahil?” Baginda berkata: “Iaitu orang yang melakukan (bacaan) dari awal al-Qur’an hingga ke akhirnya, setiap kali dia selesai (khatam) dia memulakan (lagi).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr juga ada menyebut riwayat yang serupa dan mengatakan bahawa apabila telah selesai daripada khatam al-Qur’an, disunatkan untuk memulakan bacaan baru yang bersambung dengan khatam tersebut dan disebut sebagai sebaik-baik amal. Hadits ini juga ada disebut oleh Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Burhân fî ‘Ulûm al-Qur’ân.

Dalam kitab at-Tibyân fî Adab Hamalah al-Qur’ân ketika menjelaskan tentang memelihara bacaan al-Qur’an serta memperbanyakkannya, Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah menyebut bahawa para salaf Radhiallâhu ‘anhum masing-masing mempunyai kebiasaan yang berbeza-beza dari segi tempoh atau jangka masa untuk mengkhatam al-Qur’an. Daripada penerangan tersebut difahami bahawa orang yang membaca al-Qur’an hendaklah memelihara serta memperbanyakkan bacaan al-Qur’an sebagaimana yang dilakukan oleh para salaf iaitu dengan sentiasa membacanya sehingga khatam dan setelah itu mengulanginya semula. Umat Islam sewajarnya mencontohi amalan para salaf ini seupaya yang boleh, lebih-lebih lagi membaca dan mengkhatam al-Qur’an itu mempunyai kelebihan dan ganjaran yang besar.

Dari penerangan ini juga difahami bahawa khatam al-Qur’an itu ialah menyelesaikan atau menyempurnakan bacaan al-Qur’an tiga puluh juz dari awal hingga akhir. Individu yang menyempurnakan bacaan al-Qur’an tiga puluh juz dari awal hingga akhir dikira telah khatam al-Qur’an sebagaimana yang disebut dalam hadits dan para ulama. Sekiranya individu tersebut hanya membaca sebahagian daripada al-Qur’an misalnya satu juz atau dua juz atau beberapa juz al-Qur’an maka dia tidak dianggap khatam al-Qur’an.

Tadârus al-Qur’an dan Mengkhatamkannya Berjemaah

Amalan membaca al-Qur’an secara jemaah atau kumpulan atau yang lebih dikenali sebagai bertadârus adalah amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di negara ini, terutama sekali apabila masuk bulan Ramadhan. Pembacaan al-Qur’an akan dimulai dari awal al-Qur’an dan dibaca secara bergilir dan bersambung oleh satu jemaah itu sehingga selesai pada surah al- Qur’an terakhir. Setiap pembaca akan saling memperdengarkan bacaannya sambil didengar dan diperbetulkan bacaannya jika ada sebarang kesalahan oleh ahli-ahli lain. Namun perkara yang menjadi persoalan adakah apabila jemaah tersebut telah menyempurnakan bacaan al- Qur’an tiga puluh juz ini dikira sebagai khatam al-Qur’an?

Jika orang-orang yang membaca al-Qur’an secara berkumpulan itu menggunakan kaedah al-mudârasah, iaitu saling memperdengarkan bacaan masing-masing tiga puluh juz, maka mereka semuanya telah khatam al-Qur’an kerana setiap ahli dalam jemaah tersebut telah membaca dengan memperdengarkan bacaan al-Qur’an mereka dari awal hingga akhir al- Qur’an.

Manakala orang-orang yang membaca al-Qur’an secara berkumpulan dengan menggunakan kaedah al-idârah, iaitu sebahagian daripada mereka membaca misalnya sepuluh ayat, satu juz atau seumpamanya, kemudian berhenti dan diam setelah selesai bacaannya, seterusnya bacaan disambung pula oleh pembaca lain dengan memulai bacaan dari tempat berhenti bacaan pembaca yang pertama dan seterusnya disambung lagi oleh pembaca yang lain sehingga selesai tiga puluh juz, maka setiap ahli yang telah membaca dan mendengar bacaan orang lain keseluruhan tiga puluh juz adalah dikira khatam al-Qur’an. Adapun orang yang membaca bahagiannya atau juz tertentu sahaja tanpa membaca atau mendengar juz-juz yang lain maka dia tidak dikira khatam al-Qur’an.

Fadhilat Majlis Khatam al-Qur’an

Majlis khatam al-Qur’an adalah majlis berkebajikan dan ibadat yang terdapat padanya fadhilat dan kelebihan. Perkara ini ada disebut dalam beberapa riwayat, antaranya daripada al-Hakam Radhiallâhu ‘anhu dia berkata:

Maksudnya: Mujahid telah mengutus kepadaku (utusan) yang berkata: “Sesungguhnya kami menjemputmu kerana kami hendak mengkhatamkan al-Qur’an. Sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa do‘a diperkenankan ketika khatam al-Qur’an.” Dia (Mujahid) berkata: “Maka mereka pun berdo‘a (pada majlis khatam) dengan do‘a-do‘a.” (Riwayat ad-Darimi)

Dalam kitab al-Adzkâr juga ada disebut mengenai beberapa riwayat dengan isnâd shahîh, yang mengatakan bahawa do‘a itu sangat mustajâb ketika khatam al-Qur’an.

Manakala daripada Humaid al-A‘raj Radhiallâhu ‘anhu pula telah berkata:

Maksudnya: Sesiapa membaca (khatam) al-Qur’an kemudian dia berdo‘a nescaya do‘anya akan diaminkan oleh empat ribu malaikat. (Riwayat ad-Darimi)

Menghadiri majlis khatam al-Qur’an juga merupakan perkara yang disunatkan ke atas umat Islam. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh adalah disunatkan bagi orang yang membaca al-Qur’an dan yang kurang baik bacaannya menghadiri khatam al-Qur’an.

Anjuran ini juga dapat dilihat berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang memerintahkan kaum perempuan, termasuk perempuan yang haidh untuk menghadiri majlis yang berkebajikan seperti majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis yang terkandung di dalamnya do‘a dan zikir sebagaimana yang terdapat dalam majlis khatam al-Qur’an. Daripada Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah memerintahkan kami untuk membawa mereka (kaum perempuan) keluar (rumah) pada Hari Raya Fithri dan Adhha, (iaitu) gadis yang sudah bâligh atau hampir bâligh, yang haidh dan gadis remaja. Adapun perempuan yang haidh mereka meninggalkan sembahyang (namun) mereka (boleh) menyaksikan (menghadiri majlis) kebajikan dan (mendapat manfaat) do‘a kaum Muslimin. Ummu ‘Athiyyah berkata: “Wahai Rasulullah! Salah seorang daripada kami tidak ada jilbab.” Baginda bersabda: “Pakaikan dia jilbab kepunyaan saudaranya.” (Hadits riwayat Muslim)

Para sahabat sendiri juga sangat gemar menghadiri majlis khatam al-Qur’an berdasarkan beberapa atsar, antaranya daripada Qatadah Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Ada seorang lelaki yang sedang membaca al-Qur’an di Masjid Madinah dan Ibnu ‘Abbas telah menugaskan seorang pemerhati ke atasnya (untuk mengetahui bila khatamnya), maka apabila tiba hari khatamnya, dia (Ibnu ‘Abbas) pergi menuju kepadanya. (Riwayat ad-Darimi)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Adzkâr juga ada menceritakan tentang riwayat ini dan mengatakan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ akan menugaskan seorang laki-laki untuk melihat-lihat orang membaca al-Qur’an. Apabila pembaca tersebut hendak mengkhatam al-Qur’an maka perkara itu akan dikhabarkan kepada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ dan beliau akan datang menghadiri khatam al-Qur’an tersebut.

Bahkan dalam mengadakan majlis khatam al-Qur’an adalah wajar dihimpunkan ahli keluarga, sanak saudara serta kaum Muslimin dan berdo‘a untuk mereka sebagaimana disebut dalam atsar dengan isnâd yang shahîh daripada Tsabit Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Anas Radhiallâhu ‘anhu jika dia mengkhatam al-Qur’an, dia mengumpulkan anak dan ahli keluarganya lalu beliau pun berdo‘a untuk mereka (dalam majlis itu). (Riwayat ad-Darimi)

Ketika menghuraikan tentang adab-adab khatam al-Qur’an, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr juga menyebut tentang khatam al-Qur’an yang dibuat secara berkumpulan atau beramai-ramai serta waktu yang afdhal melakukannya:

Ertinya: Sesungguhnya khatam bagi orang yang membaca al-Qur’an secara bersendirian adalah sunat dilakukan dalam sembahyang. Manakala sesiapa yang mengkhatam di luar sembahyang seperti sekumpulan orang yang khatam secara beramai-ramai maka sunat khatam mereka itu dilakukan pada awal malam atau pada awal siang.

Dari penerangan di atas adalah jelas bahawa majlis khatam al-Qur’an itu bukan setakat majlis semata-mata, tetapi ia merupakan satu ibadat. Padanya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menurunkan rahmatNya dan do‘a juga sangat mustajâb ketika khatam al-Qur’an.

Membahagikan Ayat-ayat Al-Qur’an untuk Tujuan Mengkhatamkannya

Membaca al-Qur’an dengan membahagikan bacaan ayat-ayat al-Qur’an di kalangan kumpulan pembaca al-Qur’an tertentu tidak menjadi suatu kesalahan, bahkan ia merupakan perkara yang baik untuk dilaksanakan bagi memperoleh kelebihan dan ganjaran pahala membaca al-Qur’an yang telah dijanjikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Selain itu cara sedemikian adalah salah satu usaha untuk menggalakkan orang ramai lebih giat membaca atau memperbanyak bacaan al-Qur’an sama ada para pembaca tersebut membaca berasingan di tempat masing-masing, berkumpul bersama pada tempat tertentu atau hanya bersama menerusi aplikasi video telekomunikasi sebagaimana yang ditanyakan di atas.

Pembacaan al-Qur’an hanya akan dikira khatam apabila:

1) Bacaan al-Qur’an sempurna tiga puluh juz secara bersendirian.

2) Bacaan al-Qur’an itu dilakukan secara berjemaah dengan menyempurnakan bacaan al- Qur’an tiga puluh juz secara al-mudârasah atau al-idârah.

Mengenai dengan soalan di atas iaitu aktiviti tadârus al-Qur’an berkumpulan dengan cara membahagikan bacaan al-Qur’an mengikut juz masing-masing tanpa membaca atau mendengar juz yang selainnya adalah tidak dikira sebagai khatam al-Qur’an kerana tidak ada sesiapapun daripada mereka yang menepati cara sebenar pembacaan al-Qur’an sehingga khatam sebagaimana yang telah dijelaskan.

Maka dalam keadaan tersebut adalah tidak sesuai untuk mengadakan majlis khatam mengenainya. Walau bagaimanapun majlis khatam masih sahaja boleh diadakan dengan cara sekurang-kurangnya ada seorang daripada ahli kumpulan yang menyempurnakan bacaan tiga puluh juz itu dan bersama-sama mengkhatamkan bacaannya di majlis tersebut bagi memperolehi fadhilat khusus majlis khatam al-Qur’an.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12906