Mencampur Makanan Laut Dan Makanan Darat
Soalan: Bolehkah bercampur makanan laut dan makanan darat?
Jawapan: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan kita supaya memakan makanan yang halal lagi baik. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai manusia! Makanlah (makanan) daripada apa ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. (Surah al-Baqarah: 168)
Berkaitan dengan ayat ini, Imam Ibnu Katsir Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm ada menyebutkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharuskan manusia makan daripada apa ada di bumi yang dihalalkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi baik iaitu sesuatu yang baik pada zatnya serta tidak membahayakan tubuh badan dan akal.
Menurut Imam Ibnu Jarir ath-Thabari Rahimahullâh pula dalam kitab tafsirnya Jâmi‘ al- Bayân ‘an Ta’wîl Âyi al-Qur’ân, perkataan “طَيّلبًا” dalam ayat di atas bermaksud makanan yang suci bukan najis dan tidak diharamkan.
Perintah supaya makan dan minum sesuatu yang halal lagi baik itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam sebagaimana yang disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci daripada segala kekurangan), (Allah) tidak menerima kecuali yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para rasul. (Maka sabda Baginda, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) berfirman: (tafsirnya) “Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada yang baik-baik (lagi halal) dan kerjakanlah amalan shalih, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”(Surah al-Mu’minûn:51) Dan (Allah) berfirman: (tafsirnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik-baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu.” (Surah al- Baqarah:172) (Hadits riwayat Muslim)
Setiap orang Islam dilarang sekeras-kerasnya daripada mengambil makanan dan minuman yang memudharatkan lebih-lebih lagi makanan dan minuman yang boleh membawa kepada kebinasaan kerana kita dilarang menjerumuskan diri kepada kebinasaan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Berbalik kepada soalan di atas, adakah terdapat larangan syara‘ mengenai mencampur makanan laut dengan makanan darat?
Pada dasarnya, makanan daripada hidupan laut adalah halal dimakan selama mana ia tidak memudharatkan. Begitu juga dengan binatang darat yang disembelih menurut hukum syara‘ melainkan binatang-binatang yang jelas diharamkan seperti binatang yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa seumpama singa, harimau, serigala dan lain-lain sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Setiap yang mempunyai taring daripada binatang buas, maka (hukum) memakannya adalah haram. (Hadits riwayat Muslim)
Begitu juga, haram dimakan binatang-binatang yang diharuskan membunuhnya, binatang yang dilarang membunuhnya, binatang yang hidup dua alam dan binatang yang menjijikkan seperti ular, burung gagak, tikus, semut, buaya, kura-kura, cengkerik dan lain-lain.
Adapun mengenai dengan larangan mencampur makanan laut dan makanan darat, setakat ini kita belum menjumpai dalil syara‘ terhadap larangan tersebut baik daripada al-Qur’an atau hadits-hadits mahupun nash-nash ulama secara jelas.
Setakat yang kita jumpai dalam perkara mencampur makanan ini, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullâh dalam kitabnya ath-Thibb an-Nabawi ada menaqal perkataan Ibnu Masawaih Rahimahullâh katanya:
Ertinya: Siapa yang mencampurkan ke dalam perutnya susu dan ikan, lalu dia terkena penyakit kusta, sopak atau gout, maka janganlah dia menyalahkan (sesiapa) melainkan dirinya sendiri.
Berdasarkan keterangan di atas, pencampuran susu dengan ikan boleh mengakibatkan kemudharatan seperti penyakit kusta, sopak atau gout. Namun keterangan tersebut tidak mempunyai sandaran yang jelas mengenainya, khususnya daripada al-Qur’an dan hadits.
Maka tidaklah jelas adanya larangan menurut syara‘ mencampur makanan laut dengan makanan darat melainkan sesuatu yang telah dikenal pasti ada kemudharatan pada mencampurnya sama ada mudharat itu telah dibuktikan secara saintifik atau lainnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12910
