Menggunakan Kawasan Masjid Sebagai Tempat Mengadakan Jualan Amal Atau Bazar
Soalan: Ahli Jawatankuasa Muslimah Masjid Mohamed Bolkiah Kampung Serusop bercadang untuk mengadakan gerai/bazar di luar bangunan masjid (kawasan letak kereta) masjid berkenaan.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan penjelasan atau apa-apa fatwa mengenainya.
Jawapan: Masjid merupakan tempat khusus bagi umat Islam mengerjakan ibadat sembahyang lima waktu serta ibadat-ibadat yang lain seperti i‘tikâf, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Masjid sebagai rumah Allah adalah wajib dipelihara kemuliaan dan kehormatannya. Oleh itu, dilarang melakukan apa jua perkara yang boleh mencemari kemuliaan dan kehormatannya seperti riuh-rendah yang boleh mengganggu ketenangan dan kekhusyû‘an orang-orang yang sedang beribadat di dalamnya.
Antara perkara yang dilarang oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukannya di dalam masjid ialah berjual beli. Perkara ini dijelaskan sepertimana dalam hadits Baginda daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jika kamu melihat sesiapa yang menjual atau membeli di dalam masjid, maka kamu katakanlah (kepadanya): “Allah tidak akan memberi untung (ke atas) perniagaanmu”, dan jika kamu melihat sesiapa yang melaungkan suara di dalamnya (masjid) mencari barang yang hilang, maka kamu katakan kepadanya: “Allah tidak akan mengembalikannya (barang yang hilang itu) kepadamu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang berjual beli di dalam masjid. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh hukum berjual beli di dalam masjid adalah makruh dan inilah pendapat ash-shahîh al-masyhûr.
Tempat yang dilarang melakukan aktiviti jual beli tersebut ialah tempat yang dinamakan atau dikira sebagai masjid sama ada ia sebuah binaan atau semata-mata tanah lapang yang telah ditetapkan atau diwaqafkan oleh pemiliknya sebagai masjid sekalipun bangunan masjid belum dibina. Walau bagaimanapun, tempat yang bukan dinamakan sebagai masjid seperti ribâth (rumah tumpangan, asrama, tempat tinggal yang diwaqafkan untuk fakir miskin dan lain-lain) sekalipun didirikan sembahyang fardhu lima waktu di dalamnya termasuk surau dan balai ibadat adalah tidak termasuk dalam larangan tersebut kerana hukum-hakam berkaitan masjid tidak berjalan ke atasnya.
Hukum Jual Beli di Kawasan Masjid
Menurut Kamus Dewan, kawasan ialah tempat terbuka atau lapangan, baik kecil ataupun sangat luas. Jika pengertian ini dikaitkan dengan masjid ia boleh dikatakan sebagai harîm masjid.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, harîm ialah kawasan atau tempat yang diperlukan bagi kesempurnaan penggunaan sesuatu tempat.
Khusus mengenai harîm masjid, menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah, ia adalah kawasan atau tempat yang bersambung dengan masjid. Ia disediakan bagi kegunaan mashlahat masjid seperti tempat membuang sampah, pengaliran air, tempat meletakkan kasut dan lain-lain kegunaan yang berkaitan dengan mashlahat masjid. Bahkan, jika diperhatikan kepada struktur kedudukan masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam, pada umumnya ia rata-rata mempunyai halaman atau lapangan yang luas dan pada lazimnya kawasan masjid ini dipagar. Oleh kerana, halaman atau lapangan masjid ini dikhususkan bagi kesempurnaan penggunaan masjid seperti tempat letak kereta para jemaah masjid, tempat pejalan kaki, tandas dan sebagainya, maka ia dihukumkan sebagai harîm masjid.
Menurut para ulama, harîm masjid tidak dihukumkan sebagai masjid dan segala hukum-hakam yang berkaitan dengan masjid tidak berjalan ke atasnya. Ini jelas dinyatakan oleh Imam al-Juwaini Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Mathlab fî Dirâyah al-Madzhab:
Ertinya:... Maka sesungguhnya harîm masjid tidak tsabit baginya hukum masjid yang mengharuskan beri‘tikâf di dalamnya, mengharamkan berhenti diam (di dalamnya) ke atas orang yang berjunub dan (mengharamkan) melintas (di dalamnya) ke atas perempuan yang haidh.
Adapun menggunakan harîm masjid dan mengambil faedah serta manfaat daripadanya untuk keperluan tertentu adalah harus sepertimana diharuskan menggunakan jalan atau sesuatu yang manfaatnya dapat dikongsi bersama oleh orang ramai sama ada untuk duduk berehat, melintas mahupun untuk berjual beli, sekalipun tujuan asalnya ialah untuk laluan orang ramai.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh ada menyebut hal sedemikian dalam kitab Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Fasal dalam menerangkan hukum manfaat jalan dan lain-lainnya (yang terdiri) daripada manfaat-manfaat yang dikongsi sama (penggunaannya). Asal manfaat jalan (ialah untuk kegunaan) laluan padanya kerana ia dibuat untuknya (untuk laluan), dan harus duduk dan berhenti padanya sekalipun bagi orang dzimmi untuk (tujuan) berehat, bermuamalat dan yang seumpamanya seperti menunggu (sesuatu atau seseorang) jika (semua itu) tidak menyusahkan ke atas orang yang lalu.
Menurut beliau lagi:
Ertinya: Dan (sama) seperti (hukum penggunaan) jalan itu ialah (hukum penggunaan) harîm masjid yang (dipersyaratkan) penggunaannya tidak memudharatkan kepada ahlinya (masjid), berbeza dengan (penggunaan) rahbahnya (serambi masjid) kerana ia (rahbah) adalah (bahagian) daripadanya (masjid).
Berdasarkan penjelasan para ulama mengenai keharusan memanfaatkan jalan dengan selain daripada tujuan asal jalan selama mana ia tidak mendatangkan kesusahan kepada orang yang menggunakannya, maka begitulah juga kedudukan penggunaan harîm masjid. Penggunaannya adalah diharuskan selama mana penggunaan itu tidak mendatangkan kesusahan kepada orang-orang yang menggunakan masjid.
Walau bagaimanapun, perlu juga diingat bahawa sekalipun penggunaan harîm masjid tidak akan mendatangkan kesusahan kepada orang-orang yang menggunakan masjid, penggunaan tersebut hendaklah juga mengambil kira dengan kedudukan masjid sebagai rumah Allah yang mempunyai kehormatan dan kesuciannya yang tersendiri.
Sekalipun mengadakan aktiviti seperti jualan amal di harîm masjid itu adalah harus perlu juga diingat bahawa aktiviti tersebut pada kebiasaannya akan mengundang perkara-perkara yang tidak sesuai berlaku di kawasan masjid seperti bunyi bising, riuh-rendah, bau dan asap masakan, pengunjung yang berpakaian tidak sopan dan mendedahkan aurat, sampah berselerak dan seumpamanya.
Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak sesuai berlaku seperti yang disebutkan di atas, maka adalah tidak wajar untuk mengadakan bazar jualan di harîm masjid lebih-lebih lagi bagi masjid-masjid yang tidak mempunyai harîm yang luas. Ketidakwajaran ini juga mengambil kira dengan adanya hadits yang menyatakan bahawa bazar atau pasar itu merupakan tempat yang dibenci oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sepertimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Negeri (tempat) yang paling disukai Allah adalah masjid-masjidnya, dan negeri (tempat) yang paling dibenci Allah adalah pasar-pasarnya (tempat berjual beli). (Hadits riwayat Muslim)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12917
