Merawat Pesakit Berlainan Jantina
Soalan: Apakah hukum perawat menyentuh kulit pesakit yang bukan mahramnya dengan tujuan perubatan seperti mengurut dan sebagainya?
Jawapan: Dalam perkara berubat atau mendapatkan rawatan, lebih-lebih lagi menggunakan kaedah rawatan dengan cara urutan, perawat tidak terlepas daripada melihat aurat dan menyentuh anggota badan pesakit.
Hukum Melihat Aurat
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn berkata:
Ertinya: Dan haram (hukumnya) seorang lelaki yang bâligh memandang aurat perempuan merdeka yang sudah besar (boleh membangkitkan syahwat memandangnya), yang ajnabiyyah (bukan mahram), begitu juga (haram memandang) wajahnya dan kedua-dua telapak tangannya ketika takut timbul fitnah dan begitu juga ketika aman (daripada fitnah) menurut pendapat yang shahîh.
Perkara pengharaman melihat aurat berlainan jantina yang tiada hubungan mahram ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Yang demikian itu lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu perbuat. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan kedua-dua telapak tangan). (Surah an-Nûr: 30-31)
Dalam sebuah hadits daripada ‘Abdurrahman bin Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak (harus) lelaki melihat aurat lelaki, dan tidak (harus) perempuan melihat aurat perempuan, dan tidak (harus) lelaki berbaring dengan lelaki (tanpa berpakaian) dalam satu kain (selimut) dan tidak (harus) perempuan berbaring dengan perempuan (tanpa berpakaian) dalam satu kain (selimut). (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi bahawa tidak ada khilâf di kalangan ulama tentang haram hukumnya melihat aurat sesama jantina. Begitu juga adalah haram hukumnya melihat aurat berlainan jantina dengan ijmâ‘ ulama. Dalam hadits ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyebut larangan lelaki melihat aurat lelaki dan tidak menyebut larangan lelaki melihat aurat perempuan kerana melihat aurat berlainan jantina itu adalah lebih utama pengharamannya.
Menyentuh Aurat Berlainan Jantina
Menurut ulama, hukum lelaki menyentuh aurat perempuan ajnabiyyah (bukan mahram) adalah haram sebagaimana juga haram melihat aurat berlainan jantina. Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyebut hal ini dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan bilamana haram melihat haram (juga) menyentuh.
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyebut bahawa pandangan mata adalah punca timbulnya fitnah dan bangkitnya syahwat. Apabila perbuatan melihat dilarang, apatah lagi perbuatan menyentuh, sudah setentunya lebih dilarang, kerana sentuhan itu lebih merangsang syahwat berbanding melihat.
Oleh yang demikian, hukum bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram, tiada beza di antara orang yang muda ataupun tua. Pengharaman bersentuhan lelaki dengan perempuan ajnabiyyah atau sebaliknya adalah berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Dan tidak pernah tangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda milikinya (melalui pernikahan atau hamba). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Melihat dan Menyentuh Aurat untuk Rawatan
Di zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam perawat perempuan pernah merawat pejuang lelaki yang tercedera ketika dalam peperangan sebagaimana yang diceritakan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ar-Rubaiyyi‘ binti Mu‘awwidz Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Kami pernah bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (ketika dalam peperangan), kami memberi air (minuman) dan merawat (pejuang) yang cedera dan menghantar balik (pejuang) yang terbunuh ke Madinah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri, berdasarkan hadits di atas memberi keharusan bagi perawat perempuan merawat pesakit lelaki asing (bukan mahramnya) kerana adanya dharurat.
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh pula berkata dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Adapun ketika (ada) keperluan, maka pandangan dan sentuhan (terhadap aurat) adalah diharuskan untuk (melakukan) al-fashd (mengeluarkan darah yang tidak baik melalui urat), berbekam dan mengubat (pesakit) sekalipun (melihat dan menyentuh) pada kemaluan kerana keperluan yang mendesak untuk (berbuat) demikian, kerana dalam pengharaman (melihat dan menyentuh) pada ketika itu (menimbulkan) kesukaran. Maka (harus) bagi lelaki (ajnabi) merawat perempuan (ajnabiyyah) dan (begitu juga) sebaliknya (perempuan ajnabiyyah merawat lelaki ajnabi) dan hendaklah yang demikian itu (dilakukan) dengan kehadiran mahram, suami atau perempuan tsiqah (yang dipercayai), jika kita mengharuskan seorang lelaki ajnabi mengasingkan diri bersama dua orang perempuan (ajnabiyyah).
Berdasarkan nash ulama di atas adalah jelas bahawa keperluan yang dikategorikan sebagai al-hâjah boleh menyebabkan suatu perkara yang pada asalnya dilarang oleh syara‘ seperti melihat dan menyentuh aurat orang yang tiada hubungan mahram menjadi harus. Dalam hal ini, al-hâjah dalam perkara melihat dan menyentuh aurat untuk rawatan seperti di atas adalah menempati kedudukan adh-dharûrah sebagaimana disebut dalam kaedah fiqhiyyah:
Ertinya: Al-hâjah itu (adakalanya) menempati kedudukan adh-dharûrah.
Sekalipun melihat dan menyentuh aurat itu diharuskan kerana al-hâjah, namun ia hendaklah dilakukan menurut kadar yang diperlukan sahaja dan tidak melampaui batas yang diperlukan. Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Maka tidak harus melampui (batas) pada apa yang (dia) memerlukan kepadanya, kerana apa yang halal (harus) kerana adh-dharûrah adalah dibataskan mengikut kadarnya.
Sebahagian para ulama mazhab asy-Syafi‘i seperti asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini, asy- Syaikh asy-Syibramallisi, asy-Syaikh al-Bujairimi dan as-Sayyid al-Jurdani Rahimahumullâh menjelaskan syarat-syarat keharusan melihat kerana memberi rawatan kepada pesakit secara terperinci, iaitu:
1. Hendaklah perawat itu hanya melihat pada tempat yang diperlukan sahaja.
2. Hendaklah perawat dan pesakit sama jantina kecuali tidak ada perawat sama jantina yang berkelayakan merawat sakitnya. Dalam keadaan rawatan tidak sama jantina pesakit hendaklah dirawat dengan kehadiran mahram atau perempuan yang tsiqah (yang boleh dipercayai).
3. Hendaklah pesakit Muslim dirawat oleh perawat Muslim kecuali jika tidak ada perawat Muslim yang bekelayakan merawat sakitnya.
4. Hendaklah perawat itu seorang yang amanah.
5. Hendaklah perawat merasa aman atau selamat daripada sebarang fitnah dalam merawat pesakit.
6. Hendaklah ada al-hâjah (keperluan) untuk melihat anggota yang dirawat.
7. Hendaklah tidak mendedahkan aurat pesakit melainkan sekadar hajat yang perlu sahaja.
Persyaratan mengenai rawatan berlainan jantina ini ada diketengahkan dan dibincangkan dalam persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)
dalam sidangnya yang ke-8 di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada tahun 1993, dan dalam resolusi bilangan 81 (12/8) bertajuk ‘Rawatan Doktor Lelaki Terhadap Pesakit Perempuan’. Akademi tersebut telah menetapkan beberapa perkara antara lain:
“Pada asalnya, jika ada seorang doktor perempuan yang pakar, maka wajib ke atasnya untuk memeriksa pesakit perempuan. Jika tidak ada sedemikian itu, maka doktor perempuan bukan Islam yang tsiqah (yang boleh dipercayai) boleh melakukannya (rawatan). Jika tidak ada sedemikian itu, maka doktor lelaki Islam boleh melakukannya (rawatan). Jika tidak ada doktor lelaki Islam, (maka) doktor lelaki bukan Islam boleh menggantinya, (dengan syarat) dia (doktor lelaki Islam atau doktor lelaki bukan Islam) melihat daripada badan (pesakit) perempuan itu menurut kadar al-hâjah (keperluan) dalam mendiagnosis penyakit dan perawatannya, tidak melampaui batas, menundukkan pandangan semampunya (semasa menjalankan rawatan) dan hendaklah rawatan doktor lelaki kepada (pesakit) perempuan itu dengan kehadiran mahram atau suami pesakit atau perempuan tsiqah (yang boleh dipercayai) untuk mengelak (berlakunya) khalwat.”
Berdasarkan kepada hadits-hadits, nash-nash ulama serta resolusi Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di atas adalah jelas bahawa merawat pesakit yang berlainan jantina adalah diharuskan apabila ada al-hâjah (keperluan) untuk mendapatkan rawatan. Akan tetapi, keharusan tersebut adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah disebutkan di atas.
Mengenai dengan persoalan adakah dibolehkan lelaki mengurut perempuan untuk tujuan perubatan, pada asalnya adalah haram di dalam Islam seorang lelaki mengurut seorang perempuan sekalipun untuk tujuan berubat dan mendapat keizinan kedua-dua orang tua melainkan tidak ada pengurut perempuan. Jika tidak ada pilihan melainkan terpaksa juga menggunakan khidmat pengurut lelaki maka syarat-syarat yang telah disebutkan di atas hendaklah dipatuhi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12921
