Nikah Perempuan Hamil Daripada Zina
Soalan: Apakah status penzina yang mengandung dan berkahwin dengan orang yang melakukan zina dengannya? Setelah penzina tersebut melahirkan anak, adakah mereka harus nikah semula? Jika sekiranya mereka tidak bernikah semula kemudian penzina itu mengandung lagi kali kedua, adakah anak yang kedua itu dikirakan anak zina?
Jawapan: Nikah mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘. Apabila segala rukun dan syarat tersebut dipenuhi, maka pernikahan yang dilaksanakan adalah sah dan tsabit hukum-hakam yang berkaitan dengannya seperti kewajiban memberi nafkah, halal jimâ‘, tsabit nasab dan sebagainya.
Antara syarat-syarat sah sebuah pernikahan itu ialah perempuan yang hendak dinikahi itu bukan di dalam ikatan perkahwinan dan bukan yang sedang menjalani tempoh ‘iddah kerana perceraian dengan bekas suaminya disebabkan thalaq, fasakh atau kematian suami.
Melihat kepada kedua-dua syarat tersebut, perempuan yang belum bersuami dan sedang mengandung atau hamil disebabkan perbuatan zina adalah harus dinikahi kerana perempuan tersebut tiada ikatan perkahwinan dan tidak menjalani tempoh ‘iddah daripada suaminya. Kehamilan disebabkan perzinaan tidak menghalang keharusan hukum menikahinya kerana ia tidak ada kehormatan dalam syariat Islam sebagaimana yang disebut oleh Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh di dalam kitabnya Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh ath- Thâlib:
Ertinya: Adalah harus (hukumnya) nikah perempuan yang hamil daripada zina dan begitu juga menjimâ‘nya seperti perempuan yang tidak hamil, kerana tidak ada kehormatan baginya (kehamilan daripada zina itu).
Selain itu, kehamilan disebabkan zina menurut syara‘ adalah seperti tiada kehamilan, kerana kehamilan itu tidak dihubungkan nasabnya dengan seseorang sebagaimana yang disebut oleh Imam asy-Syirazi Rahimahullâh di dalam kitab al-Muhadzdzab:
Ertinya: Adalah harus (hukumnya) nikah perempuan yang hamil daripada zina kerana kehamilannya itu tidak ada hubungan dengan seseorang pun, maka kewujudannya (kehamilan) itu seperti ketiadaannya (kehamilan).
Di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn, al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdurrahman Ba ‘Alawi Rahimahullâh menyatakan fatwa al-Imam Ibnu Yahya dan al-Imam al-Asykhar Rahimahumallâh mengenai perkara ini:
Ertinya: Adalah harus (hukumnya) nikah perempuan yang hamil daripada zina sama ada (dengan) laki-laki yang berzina (dengannya) dan selainnya dan (harus) menyetubuhinya pada ketika itu (namun hukumnya) adalah makruh.
Maka berdasarkan penjelasan ulama di atas, hukum bernikah dengan perempuan yang sedang hamil anak di luar nikah adalah sah nikah mereka sekalipun lelaki yang menikahinya itu bukan pasangan zinanya kerana tidak ada kehormatan hukum bagi kehamilan daripada zina.
Oleh itu, tidak timbul persoalan perlu bernikah semula selepas melahirkan anak yang dikandungnya. Manakala anak kedua yang lahir daripada pasangan tersebut adalah tsabit nasabnya atau bersambung nasab keturunannya dengan suaminya kerana kehamilan itu berlaku setelah berlangsungnya ‘aqad pernikahan yang sah menurut syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12925
