Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Penjagaan Ibu Tua Oleh Lelaki Bukan Mahram

Soalan: Jabatan Buruh sering menerima permohonan daripada orang ramai untuk mendapatkan lesen pengambilan pekerja asing untuk pekerja domestik. Salah satu permohonan yang diterima adalah daripada seorang perempuan yang mengadu bahawa seorang lelaki yang tiada hubungan mahram telah ditugaskan untuk menjaga ibu beliau yang sudah tua dan terlantar sakit di rumah kakak beliau.

Lelaki yang ditugaskan menjaga ibu beliau tersebut berjawatan sebagai Pemandu Persendirian di bawah jaminan Allahyarham ayah mereka dan dipohonkan pertukaran kontrak ke dalam lesen/jaminan kakak beliau dengan jawatan yang sama, di samping seorang pembantu rumah tangga (amah).

Sehubungan itu, dipohonkan pandangan dan ulasan Pehin Mufti sebelum sebarang pertimbangan selanjutnya daripada jabatan ini.

Jawapan: Syariat Islam telah meletakkan batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram antara kedua-duanya. Batas-batas pergaulan yang digariskan oleh syara‘ itu wajib dipatuhi dan mengingkarinya pula akan mengundang maksiat dan dosa. Antara perkara-perkara yang menjadi batasan tersebut ialah berdua-duaan, melihat aurat dan bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Berdua-duaan Antara Lelaki dan Perempuan yang Tiada Hubungan Mahram

Hukum berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram. Hukum haram ini adalah berdasarkan larangan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang disebut dalam hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jangan sekali-kali seorang lelaki mengasingkan diri (bersama) dengan seorang perempuan melainkan ada bersamanya (perempuan tersebut) orang yang ada hubungan mahram. (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi ketika menjelaskan hadits di atas berkata:

Ertinya: Dan adapun apabila seorang lelaki ajnabi mengasingkan diri dengan seorang perempuan ajnabiyyah tanpa ada orang ketiga bersama-sama mereka berdua, maka ia (perbuatan mengasingkan diri itu) adalah haram dengan kesepakatan para ulama.

Dalam hadits yang lain diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka jangan sekali-kali dia mengasingkan diri dengan seorang perempuan yang tidak ada bersamanya orang yang mempunyai (hubungan) mahram (dengannya), kerana sesungguhnya yang ketiga (selain) kedua-duanya adalah syaitan. (Hadits riwayat Ahmad)

Melihat Aurat Lelaki atau Perempuan yang Tiada Hubungan Mahram

Syariat Islam mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna sama ada lelaki atau pun perempuan. Begitu juga, Islam melarang melihat aurat. Antara dalil tentang kewajiban menutup aurat itu ialah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Bahawa Asma’ binti Abu Bakr telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh (umur bâligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini (sambil) Baginda mengisyaratkan ke muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Adapun perkara pengharaman melihat aurat bagi orang yang tiada hubungan mahram adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Yang demikian itu lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu perbuat. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan kedua-dua telapak tangan). (Surah an-Nûr:30-31)

Selain haram melihat aurat, berdasarkan ayat di atas juga, as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menyatakan bahawa adalah haram ke atas seorang lelaki dengan sengaja melihat sesuatu daripada tubuh badan seorang perempuan ajnabiyyah (bukan mahram). Begitu juga sebaliknya iaitu adalah haram ke atas seorang perempuan dengan sengaja melihat sesuatu daripada tubuh badan lelaki yang ajnabi sebagaimana katanya dalam kitab I‘ânah ath- Thâlibîn:

Ertinya: Haram ke atas lelaki sekalipun orang yang sangat tua sengaja melihat sesuatu daripada badan seorang perempuan ajnabiyyah yang merdeka atau hamba yang telah sampai had membangkitkan syahwat pada melihatnya sekalipun hodoh rupanya atau tua dan sebaliknya (haram bagi perempuan melihat lelaki dalam keadaan yang seumpamanya).

Larangan melihat tubuh di atas merangkumi sama ada orang yang melihat atau orang yang dilihat sudah tua sekalipun melihat itu tanpa syahwat dan tidak dikhuatiri mendatangkan fitnah.

Persentuhan Lelaki dan Perempuan yang Tiada Hubungan Mahram

Hukum bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram, tiada beza di antara yang muda ataupun yang sudah tua. Demikian juga dalam perkara membatalkan wudhu’ apabila berlaku persentuhan antara kedua-duanya. Kedudukan hukum batal wudhu’ apabila bersentuhan dengan perempuan muda adalah sama dengan perempuan yang sudah tua.

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa lelaki atau perempuan yang tiada hubungan mahram, haram melihat dengan sengaja tubuh badan antara kedua-duanya. Maka apabila perbuatan melihat itu dilarang, perbuatan menyentuh juga adalah lebih-lebih lagi dilarang, kerana sentuhan itu lebih merangsang syahwat berbanding dengan melihat. Hukum haram menyentuh perempuan ajnabiyyah dan juga sebaliknya adalah berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Dan tidak pernah tangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki (melalui pernikahan atau hamba). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn berkata:

Ertinya: Dan bilamana haram melihat haram (juga) menyentuh.

Menyentuh dan Melihat Aurat Kerana Rawatan

Pada asalnya hukum melihat dan menyentuh aurat atau sesuatu daripada badan antara lelaki ajnabi dan perempuan ajnabiyyah adalah haram sekalipun sudah tua. Walau bagaimanapun, jika terdapat keperluan lelaki ajnabi atau perempuan ajnabiyyah melihat aurat atau menyentuhnya seperti untuk memberi rawatan, maka dalam perkara sedemikian itu melihat atau menyentuhnya adalah diharuskan. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyatakan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Adapun ketika (ada) keperluan, maka pandangan dan sentuhan (terhadap aurat) adalah diharuskan untuk (melakukan) al-fashd (mengeluarkan darah yang tidak baik melalui urat), berbekam dan mengubat (pesakit) sekalipun (melihat dan menyentuh) pada kemaluan kerana keperluan yang mendesak untuk (berbuat) demikian, kerana dalam pengharaman (melihat dan menyentuh) pada ketika itu (menimbulkan) kesukaran. Maka (harus) bagi lelaki (ajnabi) merawat perempuan (ajnabiyyah) dan (begitu juga) sebaliknya (perempuan ajnabiyyah merawat lelaki ajnabi) dan hendaklah yang demikian itu (dilakukan) dengan kehadiran mahram, suami atau perempuan tsiqah (yang dipercayai), jika kita mengharuskan seorang lelaki ajnabi mengasingkan diri bersama dua orang perempuan (ajnabiyyah).

Berdasarkan nash ulama di atas adalah jelas bahawa keperluan yang dikategorikan sebagai al-hâjah boleh menyebabkan suatu perkara yang pada asalnya dilarang oleh syara‘ seperti melihat dan menyentuh aurat orang yang tiada hubungan mahram menjadi harus. Dalam hal ini, al-hâjah dalam perkara melihat dan menyentuh aurat untuk rawatan seperti di atas adalah menempati kedudukan adh-dharûrah sebagaimana disebut dalam kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Al-hâjah itu (adakalanya) menempati kedudukan adh-dharûrah.

Sekalipun melihat dan menyentuh aurat itu diharuskan kerana al-hâjah, namun ia hendaklah dilakukan menurut kadar yang diperlukan sahaja dan tidak melampaui batas yang diperlukan. Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Maka tidak harus melampui (batas) pada apa yang (dia) memerlukan kepadanya, kerana apa yang halal (harus) kerana adh-dharûrah adalah dibataskan mengikut kadarnya.

Berkaitan dengan pertanyaan mengenai seorang lelaki yang ditugaskan untuk menjaga ibu tua yang terlantar sakit yang mereka tiada hubungan mahram, tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana ia boleh membawa kepada perlanggaran batas-batas syara‘ sebagaimana dijelaskan di atas.

Sebagaimana juga dinyatakan dalam soalan, pemohon mempunyai pembantu rumah perempuan, maka adalah wajar pembantu rumah tersebut sahaja yang diberi tugas untuk menjaga ibu tua berkenaan bagi mengelak pelanggaran batas-batas di atas.

Sekiranya tidak ada jalan atau pilihan melainkan terpaksa juga menggunakan khidmat lelaki ajnabi untuk menjaga ibu tersebut, maka dalam hal ini, hukum keharusan menggunakan khidmat penjaga lelaki itu adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut, antaranya:

1. Hendaklah sentiasa ada mahram atau perempuan tsiqah yang bersama ibu tua berkenaan ketika melakukan tugasnya.

2. Hendaklah aurat ibu tua tersebut sentiasa dijaga tidak terbuka semasa keberadaan penjaga lelaki bersamanya.

3. Hendaklah jika terpaksa ketika melaksanakan tugas yang memerlukan melihat atau menyentuh aurat ibu tua hanya pada kadar yang perlu sahaja.

4. Hendaklah bagi penjaga lelaki itu mengelak daripada menyentuh kulit ibu tua tersebut tanpa lapik.

Sehubungan dengan itu, dalam memberi kebenaran pengambilan pekerja lelaki untuk menjaga perempuan yang sakit seperti kes berkaitan di atas, selain memenuhi kehendak undang-undang dan peraturan biasa yang berkuatkuasa adalah juga menjadi tanggungjawab pihak Jabatan Buruh untuk mengambil perhatian tentang perkara-perkara yang dijelaskan di atas, di mana berkenaan. Sebagai contoh jabatan tidak akan membenarkan pengambilan pekerja lelaki bagi tujuan menjaga pesakit perempuan sekiranya tidak memenuhi garis panduan syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12930