Perdagangan Pertukaran Mata Wang Asing Secara Lani (Individual Spot Forex)
Soalan: Apakah hukum seseorang menjalankan perdagangan forex secara online menggunakan khidmat broker dalam atau luar negara?
Jawapan: Forex ialah pertukaran (mata wang) asing, iaitu singkatan kepada perkataan Inggeris foreign exchange. Dictionary of Banking and Finance mendefinisikan forex atau foreign exchange itu sebagai satu perniagaan yang melibatkan pertukaran atau jual beli mata wang sesebuah negara dengan mata wang negara lain.
Secara amnya, pengertian foreign exchange (forex) di atas sering digambarkan sebagai aktiviti atau khidmat syarikat-syarikat money changer atau pengurup wang tempatan, bank-bank dan seumpamanya. Inilah maksud foreign exchange yang difahami oleh kebanyakan orang.
Namun apa yang dapat difahami daripada soalan di atas, maksud forex yang ditanyakan oleh penyoal adalah khusus mengenai perdagangan pertukaran mata wang asing oleh individu yang disebut sebagai individual spot forex melalui platform elektronik.
Pada kebiasaannya, tujuan utama seseorang melibatkan diri dalam individual spot forex ini adalah untuk mengaut keuntungan dengan cara mengambil kesempatan daripada turun naik harga yang berlaku dalam pasaran. Pedagang-pedagang tidak akan menjual atau membeli mata wang melainkan pada harga yang dirasakan boleh memberikan keuntungan. Berbeza dengan urusniaga pertukaran mata wang biasa. Seseorang itu akan menjual atau membeli mata wang kerana keperluan semata-mata tanpa dipengaruhi oleh harga pasaran sama ada naik atau turun. Aktiviti forex trading juga berbeza dengan pertukaran mata wang asing biasa dari segi cara pelaksanaan dan peraturan-peraturannya.
Dalam Islam, urusniaga pertukaran atau jual beli mata wang dikenali sebagai jual beli sharf ( ُ عحَّ بـَيالصحرلف ). Menurut istilah mazhab asy-Syafi‘i, ash-sharf bererti jual beli an-naqd (emas atau perak) dengan sejenisnya atau dengan jenis yang lain.
Ash-sharf adalah satu muamalat yang diharuskan menurut syara‘ berdasarkan dalil umum keharusan jual beli sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
Dalil khusus tentang jual beli ash-sharf pula, antaranya ialah hadits daripada ‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiallâhu ‘anhu yang meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: (Jual beli atau pertukaran) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam (hendaklah dengan) kadar yang sama (timbangan atau sukatan) dan penyerahan secara serentak (dari kedua-dua belah pihak). Sekiranya benda-benda (ribawi tersebut) berlainan jenis (tetapi dalam kategori yang sama seumpama emas dengan perak atau gandum dengan barli), maka berjualbelilah kamu sebagaimana yang kamu mahu (asalkan penyerahan itu) secara serentak (dari kedua-dua belah pihak). (Hadits riwayat Muslim)
Majoriti para ulama berpendapat bahawa mata wang kertas yang ada pada hari ini adalah sama kedudukan hukumnya dengan emas dan perak dari sudut hukum yang berkaitan dengan riba, zakat, jual beli salam dan lain-lain. Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan
3 yang diadakan di Amman, Jordan pada 8-13 Safar, 1407H bersamaan 11-16 Oktober, 1986 menetapkan dalam resolusinya:
Ertinya: Khusus mengenai hukum-hakam mata wang kertas, bahawasanya ia adalah mata wang (nuqûd) secara i‘tibâriy, yang mempunyai sifat harga/nilai yang sempurna, dan baginya hukum-hakam syara‘ yang telah ditetapkan pada emas dan perak, dari sudut hukum riba, zakat, jual beli salam dan segala hukum-hakam (yang berkaitan dengan) kedua-duanya.
Pada dasarnya, syarat-syarat ‘aqad jual beli ash-sharf adalah sama dengan syarat-syarat ‘aqad jual beli biasa (عحبـَي). Namun disebabkan item yang dijual beli dalam ‘aqad ash-sharf melibatkan benda-benda yang disifatkan sebagai ribawi menurut hukum syara‘, maka terdapat syarat-syarat tambahan padanya, iaitu:
i. Hendaklah berlaku taqâbudh (serah terima) terhadap item yang di‘aqadkan ( َ الحمحُ عقحُ وَدَ علحيله ) sebelum kedua-dua pihak yang ber‘aqad berpisah dari majlis ‘aqad, sama ada mata wang yang dijual beli itu adalah mata wang yang sama atau mata wang yang berbeza;
ii. Hendaklah jual beli ash-sharf itu berlaku secara lani iaitu tanpa sebarang penangguhan
iii. Kadar kedua-dua item yang ditukar milik hendaklah sama (التَّمَاثُل) jika kedua-dua item daripada jenis yang sama.
iv. ‘Aqad jual beli hendaklah bebas daripada khiyâr asy-syarth (syarat yang mengandungi pilihan sama ada untuk meneruskan ‘aqad atau memfasakhkannya).
Berdasarkan penelitian terhadap tatacara perdagangan individual spot forex dan mengambil kira pandangan para pengkaji, ahli-ahli dalam industri perdagangan mata wang serta pendapat-pendapat institusi-institusi dan ilmuan Islam, terdapat beberapa isu yang bertentangan dengan syarat-syarat jual beli sharf dan prinsip muamalat kewangan yang ditetapkan oleh syara‘. Antara isu-isu tersebut ialah:
i. Ketiadaan Qabdh (Penerimaan) Terhadap Item yang Di‘aqadkan.
Dalam praktik individual spot forex, pedagang dikehendaki membuka posisi (open position) kemudian diikuti dengan menutup posisi (close position) bagi setiap urusniaga. Open position bermaksud pedagang memulakan perniagaan dengan membeli pasangan mata wang yang dipilih, manakala close position ialah menjual semula mata wang yang dibeli.
Ketika dalam keadaan open position, mata wang yang dibeli oleh pedagang tidak diserahkan kepada pedagang sama ada secara hakiki atau hukmi (umpamanya dimasukkan ke dalam akaun bank pedagang). Ini bermakna syarat taqâbudh yang disepakati oleh para ulama dalam jual beli ash-sharf berdasarkan hadits yang disebutkan di atas adalah tidak dipenuhi. Jual beli ash-sharf yang tidak berlaku serah terima dalam majlis ‘aqad adalah urusniaga yang fâsid sebagaimana kata Ibnu Mundzir:
Ertinya: Mereka (para ulama) telah sepakat bahawa dua orang yang melakukan jual beli ash-sharf apabila kedua-duanya berpisah sebelum mereka berdua serah terima (mata wang yang diniagakan) bahawasanya (jual beli) ash-sharaf itu adalah fâsid.
ii. Penjualan Sesuatu yang Tidak Ada Dalam Pegangan.
Isu ini berlaku dalam dua keadaan berikut:
a. Menjual sesuatu yang tidak ada dalam pegangan ketika menutup posisi long.
Dalam aktiviti forex trading, pedagang mendapat keuntungan daripada kemeruapan kadar tukaran (price fluctuation). Satu cara untuk mendapatkan keuntungan tersebut adalah dengan membeli pasangan mata wang, kemudian menjualnya semula pada kadar yang lebih tinggi. Proses ini dikenali dengan istilah long. Satu cara lagi ialah dengan menjual pasangan mata wang, kemudian membelinya semula pada kadar yang lebih rendah. Proses ini pula dinamakan short.
Sebagaimana dinyatakan, qabdh sama ada secara hakiki atau hukmi tidak berlaku ketika open position. Maka melakukan jualan ketika close position bermakna pedagang menjual sesuatu yang tidak ada dalam pegangannya.
Menjual sesuatu yang tidak ada dalam pegangan adalah ‘aqad yang tidak sah menurut syara‘. Dalam hadits hasan riwayat Imam al-Baihaqi, Hakim bin Hizam Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku hendak menjual barang-barang jualan ini. Maka (terangkanlah padaku) apa yang halal daripadanya dan apa yang haram ke atasku. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Wahai anak saudaraku! Janganlah sekali-kali engkau menjual sesuatu sehingga engkau menerimanya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyatakan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Tidak sah menjual barang jualan sebelum penerimaannya.
b. Menjual sesuatu yang tidak ada dalam pegangan ketika membuka posisi short.
Sebagaimana dimaklumi, pedagang perlu mempunyai deposit mata wang sebelum memulakan forex trading yang sebenar. Deposit berkenaan akan tertera dalam akaun pedagang dalam jumlah yang tertentu dan dalam unit mata wang tertentu (kebiasaannya USD).
Dalam transaksi short yang melibatkan pasangan EUR/USD, ketika melakukan open position, pedagang akan menjual mata wang EUR kepada mata wang USD.
Isu yang berbangkit dalam urusniaga tersebut ialah kedudukan mata wang EUR yang dijual pedagang ketika melakukan open position. Bagaimanakah pedagang memperolehinya sedangkan sebagaimana dimaklumi mata wang yang dimiliki pedagang dalam akaunnya hanyalah mata wang USD sahaja. Maka dalam hal ini pedagang dianggap melakukan penjualan sesuatu yang tidak dimilikinya.
Hukum menjual sesuatu yang tidak dimiliki adalah tidak sah, kerana antara syarat sah jual beli itu ialah barang yang dijual hendaklah merupakan sesuatu yang dimiliki oleh pihak yang menjalankan ‘aqad. ‘Amr bin Syu‘aib Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan daripada bapanya daripada datuknya bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada talak kecuali ke atas (perempuan) yang engkau miliki, tidak ada pemerdekaan hamba kecuali ke atas (hamba) yang engkau miliki dan tidak (sah) jualan kecuali pada (barang) yang engkau miliki. (Hadits riwayat Abu Daud)
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh telah menyatakan:
Ertinya: Antara syarat barang jualan itu ialah pemilikan terhadap barang jualan tersebut bagi sesiapa yang melakukan ‘aqad.
iii. Isu Leverage dan Margin.
Dalam forex trading, pergerakan nilai mata wang asing pada kebiasaannya adalah sangat kecil. Perubahan harga sesuatu mata wang hanyalah pada kadar peratusan sen sahaja. Sebagai contoh, jika kadar tukaran pasangan EUR/USD berubah dari 1.2561 kepada 1.2571, ia melibatkan perbezaan harga hanya sebanyak USD$0.0010.
Maka dalam aktiviti forex trading terdapat satu fasiliti yang dikenali sebagai leverage iaitu gandaan wang yang diberikan oleh broker supaya individu dapat berdagang dalam jumlah yang besar. Kadar leverage dalam forex trading pada kebiasaannya adalah berdasarkan margin yang ditentukan oleh pihak broker. Margin adalah satu jumlah yang perlu dibayar oleh pedagang sebelum memulakan urusniaga perdagangan yang jumlahnya jauh lebih besar daripada jumlah margin yang telah dibayar. Margin itu juga menjadi collateral (cagaran) atau security deposit (jaminan) bagi melindungi broker daripada kerugian yang mungkin dialami oleh pedagang daripada urusniaga yang dijalankan oleh pedagang.
Dari sudut takyîf fiqhi berkenaan leverage dan margin ini, ia merupakan satu bentuk pinjaman wang (qardh) oleh broker kepada peserta, sebagaimana keputusan al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami, Rabithah al-‘Alam al-Islami yang menyatakan:
Ertinya: (Perdagangan berasaskan margin) yang bermaksud: Pembeli (pelanggan) membayar sebahagian kecil harga sesuatu yang ingin dibelinya iaitu dinamakan (margin) dan perantara/broker (bank atau sebagainya) bertindak membayar bakinya atas asas pinjaman. Dalam masa yang sama, kontrak pembelian dikawal oleh pihak perantara/broker sebagai gadaian terhadap jumlah yang dipinjam.
Berdasarkan takyîf ini, broker bertindak sebagai pihak yang memberikan pinjaman (muqridh), pedagang adalah individu yang meminjam (muqtaridh), manakala leverage pula adalah kadar yang dipinjamkan (al-mâl al-muqradh).
Perlu diingat bahawa dalam forex trading pedagang adalah dimestikan untuk berurusniaga melalui platform yang disediakan oleh broker. Dalam masa yang sama, broker juga berperanan sebagai pihak yang memberikan pinjaman.
Dari sudut lain, pedagang sebagai pihak yang meminjam tidak boleh menjalankan urusan (tasharruf) ke atas wang yang dipinjam mengikut kemahuannya secara muthlaq kerana wang yang dipinjam itu mestilah digunakan untuk urusniaga dagangan mata wang sahaja. Itupun menerusi platform atau khidmat yang ditawarkan oleh pihak yang memberikan pinjaman.
Broker juga mendapat keuntungan daripada spread iaitu perbezaan harga jualan dan belian di samping turut mendapat komisyen daripada pelanggannya atas khidmat yang diberikan.
Maka dalam hubungan ini, oleh kerana leverage ditakyîfkan sebagai qardh, terdapat beberapa persoalan hukum mengenai penggunaan fasiliti leverage dalam forex trading seperti berikut:
a. ‘Aqad pinjaman disatukan dengan jual beli.
Apabila broker memberikan leverage atau pinjaman kepada pedagang dan dalam masa yang sama menghendaki pedagang untuk menjalankan aktiviti perdagangannya menerusi platform yang ditentukan oleh pihak broker sendiri, hal ini bererti broker berkenaan telah meletakkan syarat-syarat tertentu ke atas pedagang sebagai balasan terhadap pinjaman yang diberikannya.
Sebagaimana diterangkan di atas, sekiranya pedagang tidak melakukan open position menerusi platform yang disediakan oleh pihak broker, pedagang tidak akan mendapat sebarang pinjaman daripada broker tersebut. Dalam hal ini, broker bukan sahaja mensyaratkan pedagang untuk melakukan trading dengan pinjaman yang diberikannya, malah ‘aqad pinjaman dan ‘aqad jual beli mata wang berlaku secara sekaligus dengan semata-mata menekan satu butang (buy atau sell) sahaja. Kedua-dua ‘aqad berkenaan adalah disatukan dan tidak dilakukan secara berasingan kerana pemberian leverage hanya akan terpapar dalam platform apabila seseorang pedagang membuka satu-satu posisi.
Menurut syara‘, ‘aqad pinjaman disatukan dengan jual beli adalah termasuk dalam jenis-jenis muamalat yang dilarang. Perkara ini dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh sebagai permasalahan bai‘ wa salaf iaitu jual beli disertai dengan pinjaman.
‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak halal salaf (pinjaman) dan jual beli (disatukan dalam satu ‘aqad), tidak (halal meletakkan) dua syarat dalam jualan, tidak (halal mengambil) keuntungan sesuatu yang tiada ditanggung risikonya (barang jualan) dan tidak halal menjual sesuatu yang tidak ada padamu. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)
Al-Imam al-Qarafi Rahimahullâh menyatakan bahawa pengharaman dalam perkara tersebut adalah disepakati secara ijmâ‘ para ulama.
Maksudnya: Dan (berdasarkan) ijmâ‘ umat Islam tentang keharusan jual beli dan pinjaman secara berasingan, dan pengharaman kedua-duanya (apabila) disatukan, kerana ia adalah laluan (kepada) riba.
Asy-Syaikh ‘Umairah Rahimahullâh daripada kalangan ulama mazhab asy-Syafi‘i juga ada menyatakan dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah:
Maksudnya: Telah tsabit dalam hadits yang shahîh bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang ‘aqad jual beli dan pinjaman (disatukan), iaitu (‘aqad) jual beli dengan syarat pinjaman atau (‘aqad) pinjaman dengan syarat jual beli.
b. Pinjaman yang memberi manfaat kepada pemberi pinjam.
Apabila broker memberikan pinjaman kepada pedagang dan pedagang yang memperolehi pinjaman tersebut perlu melakukan aktiviti perdagangannya melalui khidmat broker tersebut, hal ini bererti pinjaman yang diberikan itu membawa manfaat kepada broker sebagai pihak yang memberikan pinjaman. Selain manfaat dalam bentuk yang disebutkan ini, broker turut mendapat keuntungan melalui spread iaitu perbezaan di antara harga bid dan harga ask menerusi urusniaga yang dijalankan oleh pelanggannya. Bahkan sebahagian besar broker juga mengenakan komisyen daripada urusniaga jualan dan belian.
Menurut hukum syara‘, setiap pinjaman yang membawa manfaat kepada pihak yang memberikan pinjaman adalah termasuk dalam riba yang diharamkan sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadits mauqûf bahawa sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bernama Fadhalah bin ‘Abid Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Setiap pinjaman yang membawa manfaat (kepada orang yang memberikan pinjaman) maka hal sedemikian itu adalah salah satu bentuk daripada bentuk-bentuk riba. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
iv. Caj Rollover.
Sebagaimana dijelaskan terdahulu, urusniaga yang dilakukan dalam forex trading memerlukan peniaga melakukan open position dan kemudiannya melakukan close position.
Sekiranya open position dibiarkan (sama ada long atau short) sehingga melebihi tempoh 24 jam, maka caj rollover kebiasaannya akan dikenakan ke atas pedagang. Caj rollover dikenakan secara automatik setiap hari (Isnin hingga Jumaat), kebiasaannya di antara pukul 4.58 dan 5.06 petang Eastern Standard Time (EST).
Pedagang akan menerima atau membayar faedah rollover bergantung kepada arah posisi yang diambil (menjual atau membeli) dan tertakluk kepada perbezaan kadar faedah kedua-dua mata wang yang terlibat sekiranya pedagang membuka posisi melebihi tempoh semalaman. Faedah ini berlaku kerana wang yang didagangkan adalah hutang yang dipinjamkan oleh broker kepada pedagang melalui konsep leverage.
Adalah jelas bahawa caj rollover merupakan riba yang diharamkan oleh syara‘ sama ada sebagai penerima atau pun sebagai pembayar iaitu bergantung kepada arah posisi yang diambil.
Caj rollover atau dikenali juga sebagai swap dan dalam bahasa Arab sebagai rusûm at-tabyît telah diputuskan oleh al-Majma‘ al-Fiqh al-Islami, Rabithah al-‘Alam al-Islami sebagai riba. Resolusi al-Majma‘ menyebut:
Ertinya: Majlis berpendapat bahawa muamalat ini (perniagaan berdasarkan margin) tidak dibenarkan menurut syara‘ berasaskan sebab-sebab berikut:
Pertama: Apa yang terkandung di dalamnya (muamalat perniagaan berdasarkan margin) daripada riba yang nyata, yang berupa tambahan ke atas jumlah hutang, yang dinamakan (rusûm at-tabyît). Maka ia adalah daripada riba yang diharamkan…
Terdapat sebahagian broker yang menawarkan akaun forex trading yang diistilahkannya sebagai Islamik kerana tidak mengenakan caj rollover. Namun, apa yang berlaku syarikat berkenaan mengenakan fee atau komisyen tambahan ke atas pedagang yang membiarkan open position melebihi tempoh 24 jam. Adakalanya mereka juga mengenakan kadar spread yang lebih tinggi bagi menggantikan caj rollover.
Apabila diteliti, pengenaan fee yang berasingan dan kenaikan kadar spread yang lebih tinggi itu hanyalah helah broker bagi menggantikan caj rollover yang biasa dikenakan ke atas pedagang kerana pada akhirnya pedagang terpaksa juga membayar lebih terhadap jumlah dagangannya yang sebenar.
Ini bererti, sekalipun syarikat yang menawarkan akaun yang dikatakan Islamik kerana tidak mengenakan caj rollover, namun fungsi fee tambahan dan kenaikan kadar spread yang lebih tinggi disebabkan pertambahan masa adalah menyerupai caj rollover iaitu tambahan kepada jumlah hutang yang dikenakan ke atas pedagang. Muamalat ini adalah termasuk dalam kategori riba yang diharamkan walaupun dibuat melalui kaedah yang lain.
v. Spekulasi.
Secara umumnya, mekanisme perdagangan individual spot forex adalah sama seperti mekanisme pelaburan (investing) dan perdagangan (trading) di dalam bursa seperti pelaburan-pelaburan atau perdagangan-perdagangan melibatkan saham, bon dan lain-lain sekuriti. Namun, tujuan utama perdagangan individual spot forex ialah untuk mendapatkan keuntungan daripada spread atau perbezaan nilai daripada turun naik harga. Aktiviti sebegini tidaklah didasari oleh matlamat pelaburan sebenar, sebaliknya ia berkait dengan satu aktiviti yang dikenali dalam istilah masa kini sebagai spekulasi (speculation).
Menurut Dictionary of Business Terms, spekulasi itu disebut sebagai:
“Purchase of any property or security with the expectation of obtaining a quick profit as a result of price change, possibly without adequate research. Compare with gambling, which is based on random chance; contrast with investment.”
Ertinya: Pembelian mana-mana harta benda atau sekuriti dengan harapan untuk memperoleh keuntungan yang cepat akibat perubahan harga, mungkin tanpa kajian yang lengkap. Sebanding dengan judi yang berdasarkan peluang yang rawak; berlawanan dengan pelaburan.
Kamus Bahasa Melayu Nusantara pula menta‘rîfkan spekulasi itu sebagai perihal (perbuatan) membeli dan menjual sesuatu (saham dan sebagainya) dengan harapan untuk mendapat keuntungan besar, tetapi memikul risiko besar pula. Spekulasi juga diertikan sebagai pendapat (kesimpulan, dugaan dan lain-lain) yang tidak berdasarkan kenyataan atau fakta-fakta.
Menurut Dr. Rafiq Yunus al-Mishri, antara perkara-perkara yang termasuk dalam kategori perjudian (qimâr) ialah aktiviti spekulasi atau bentuk-bentuk pelaburan yang tidak didasari oleh matlamat pelaburan sebenar, sebaliknya berupa permainan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan segera dengan cara mempertaruhkan nasib kepada turun naik harga.
Tidak dinafikan dalam perdagangan individual spot forex ada ciri-ciri mempertaruhkan nasib yang menjadikannya berbeza daripada ciri-ciri pelaburan sebenar bahkan menyamai permainan “game of chance” yang biasa dikaitkan dengan aktiviti perjudian.
Dari sudut yang lain, spekulasi juga berbeza daripada pelaburan sebenar dari segi kadar risiko yang terkandung dalam aktiviti yang disertai. Secara umumnya, spekulasi merupakan pelaburan berisiko tinggi menyamai risiko perjudian, manakala pelaburan sebenar adalah sebaliknya.
Pasaran forex adalah pasaran yang sangat sensitif kepada elemen-elemen luaran dan dalaman yang boleh memberikan kesan yang langsung secara positif atau negatif terhadap pergerakan pasaran. Sensitiviti inilah yang menyebabkan kemeruapan nilai mata wang (price fluctuation) dalam pasaran dan pergerakan turun naik harga menjadi sukar dijangkakan. Oleh itu, pedagang-pedagang yang melibatkan diri dalam forex trading terpaksa mengikuti pergerakan pasaran secara berterusan dan dikehendaki untuk sentiasa bersambung dengan talian agar mereka tidak ketinggalan mengikuti trend pasaran yang berubah-ubah pada setiap ketika apatah lagi dengan kedudukan pasaran yang beroperasi 24 jam setiap hari. Ini membuktikan bahawa forex trading adalah perdagangan yang jelas terdedah kepada risiko yang sangat besar disebabkan sifat tabi‘i (nature) pasaran forex itu sendiri.
Forex trading juga terdedah kepada risiko tinggi disebabkan penggunaan sistem perniagaan berdasarkan margin dan fasiliti leverage dalam aktiviti perdagangan berkenaan. Fasiliti leverage selain boleh memberikan peluang kepada pedagang untuk mendapat keuntungan yang besar, dalam masa yang sama ia turut mengundang risiko yang sangat tinggi kerana seseorang pedagang boleh kehilangan keseluruhan modalnya dengan pergerakan harga yang kecil sahaja.
Selain itu, pelabur terdedah kepada risiko-risiko dalam bentuk syarikat broker yang palsu (bogus) yang sukar untuk dibezakan dengan syarikat sebenar yang menjalankan operasi tersebut dengan lesen yang sah. Begitu juga, terdapat risiko-risiko lain seperti peralatan elektronik yang mungkin sahaja gagal berfungsi pada bila-bila masa di mana hal ini akan menyebabkan urusniaga yang sedang dijalankan terjejas sedangkan pergerakan turun naik pasaran terus sahaja berlaku.
Berdasarkan keterangan di atas, tidak syak lagi perdagangan individual spot forex adalah spekulasi kerana risiko tinggi yang sedia ada pada sifat thabî‘i (nature) perdagangan berkenaan sebagaimana yang juga diperakui oleh kebanyakan broker yang menawarkan individual spot forex dalam talian, antaranya seperti:
“Trading foreign exchange on margin carries a high level of risk, and may not be suitable for all investors. The high degree of leverage can work against you as well as for you.”
Ertinya: Perdagangan pertukaran mata wang asing menggunakan margin mengandungi risiko yang tinggi, dan ia mungkin tidak sesuai diceburi oleh sesetengah pelabur. Kadar leverage yang tinggi adakalanya membantu anda (sebagai pelabur) mendapat keuntungan, namun adakalanya ia menyebabkan anda menanggung kerugian.
“Forex trading involves substantial risk of loss and is not suitable for all investors.”
Ertinya: Perdagangan pertukaran mata wang asing melibatkan risiko kerugian yang besar dan ia tidak sesuai untuk semua pelabur.
Sekalipun dikatakan aktiviti perdagangan individual spot forex dalam talian itu mempunyai kaedah-kaedah analisa tertentu yang bersistematik iaitu teknik analisa fundamental dan teknikal yang disandarkan kepada rekod perdagangan terdahulu, berita-berita perkembangan politik dan ekonomi negara-negara tertentu serta sikap, jangkaan dan prospek pedagang besar dalam pasaran, namun kaedah-kaedah analisa tersebut masih tidak dapat menafikan perdagangan individual spot forex dalam talian sebagai aktiviti spekulasi kerana maklumat-maklumat yang diperolehi berdasarkan analisa-analisa fundamental dan teknikal berkenaan tidak terjamin ketepatannya.
Kesimpulan
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, adalah jelas bahawa aktiviti perdagangan individual spot forex dalam talian mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip-prinsip muamalat Islam. Secara umumnya, kegiatan berkenaan melibatkan urusniaga yang tidak sah menurut hukum syara‘, muamalat berunsurkan riba dan aktiviti spekulasi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12933
