Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Sembahyang Ghaib Ke Atas Jenazah Pesakit COVID-19

Soalan: Bolehkah melakukan sembahyang ghaib ke atas jenazah pesakit COVID-19 disebabkan peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan?

Jawapan: Hukum mendirikan sembahyang jenazah ke atas mayat orang Islam yang bukan mati syahîd adalah fardhu Kifayah. Kewajiban mendirikan sembahyang jenazah itu akan terlaksana apabila dilakukan oleh seorang lelaki dewasa atau kanak-kanak lelaki yang mumayyiz. Jika tidak ada lelaki dewasa atau kanak-kanak lelaki yang mumayyiz di tempat jenazah itu untuk disembahyangkan, maka kewajiban tersebut tertanggunglah ke atas perempuan. Dalam hal ini, jika sembahyang jenazah tersebut dilaksanakan oleh perempuan, maka tuntutan fardhu Kifayah pada mendirikan sembahyang jenazah itu gugur.

Mendirikan sembahyang jenazah tidak disyaratkan secara berjemaah seperti sembahyang fardhu lima waktu. Namun jika ia dilakukan secara berjemaah, maka hukumnya adalah sunat. Manakala fadhilat dan syafaatnya kepada si mati juga lebih banyak apabila jumlah jemaah yang mendirikan sembahyang jenazah itu dalam bilangan yang ramai.

Daripada Ibnu ‘Abbâs Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tiada seorang lelaki Muslim yang meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki mendirikan sembahyang (jenazah) ke atas mayatnya, yang mereka itu tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, melainkan Allah menerima syafaat mereka terhadapnya (jenazah lelaki itu). (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas jika jenazah itu disembahyangkan oleh empat puluh orang jemaah, Allah Ta‘ala akan menerima syafaat mereka terhadap si mati. Namun menurut Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi, si mati tetap mendapat syafaat sekalipun bilangan orang yang mendirikan sembahyang jenazah tersebut kurang bilangannya daripada empat puluh orang.

Sembahyang Ghaib

Sembahyang ghaib ialah sembahyang jenazah ke atas mayat yang tidak berada di tempat sembahyang. Keharusan sembahyang ghaib adalah berdasarkan kepada hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengumumkan berita kematian an-Najasyi (Raja Habsyah) pada hari kematiannya (kepada para sahabat), (dan) Baginda (pergi) keluar ke tempat sembahyang, lalu Baginda membuat shaf dengan mereka dan bertakbîr sebanyak empat kali. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam kitab Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj ada disebut bahawa para sahabat Radhiallâhu ‘anhum bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di Madinah telah mendirikan sembahyang jenazah ke atas mayat an-Najasyi yang ketika itu berada di Habsyah.

Tatacara Sembahyang Ghaib

Tatacara sembahyang jenazah bagi mayat yang ghaib adalah sama seperti tatacara sembahyang jenazah bagi mayat yang hadir dari segi rukun-rukunnya kecuali pada niatnya.

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, dalam niat sembahyang ghaib hendaklah ada penentuan (ta‘yîn) jenazah yang disembahyangkan seperti menyatakan nama, gelaran atau nasabnya.

Contoh lafaz niatnya:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib fulan bin fulan empat takbîr fardhu Kifayah kerana Allah Ta‘ala.

Namun jika sembahyang jenazah tersebut dilakukan secara berjemaah, adalah memadai jika ma’mum berniat dengan niat sembahyang ke atas jenazah yang disembahyangkan oleh imam.

Contoh lafaz niatnya:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas siapa yang disembahyangkan oleh imam empat takbîr fardhu Kifayah mengikut imam kerana Allah Ta‘ala.

Sembahyang ghaib itu tidak harus dilaksanakan melainkan telah diketahui secara yakin atau zhann (sangkaan) bahawa jenazah telahpun dimandikan. Walau bagaimanapun, jika dia menggantungkan niat sembahyang ghaib dengan kesucian jenazah (telah dimandikan atau ditayammumkan) adalah harus.

Contoh lafaz niatnya:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang ghaib fulan bin fulan jika dia telah disucikan empat takbîr fardhu Kifayah kerana Allah Ta‘ala.

Bila Sembahyang Ghaib Diharuskan?

Pada dasarnya, sembahyang ghaib hanya diharuskan jika jenazah yang hendak disembahyangkan itu berada di luar negeri sebagaimana yang disebut oleh para ulama mu‘tabar dalam kitab-kitab masyhur mereka seperti Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj dan Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam Nihâyah al-Muhtâj.

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în menyebut:

Ertinya: Sah sembahyang ke atas jenazah yang ghaib dari negeri (tidak berada di dalam negeri), iaitu (seumpama) jenazah yang berada di tempat yang jauh dari negeri sekira-kira secara ‘urf ia tidak dinisbahkan kepadanya (negeri tersebut). (Pendapat ini) mengambil kira daripada kata az-Zarkasyi: “Sesungguhnya (kawasan) di luar sempadan (negeri) yang berdekatan dengannya (sempadan) adalah seperti (kawasan) di dalamnya (sempadan).”

Daripada perkataan para ulama di atas, dapat difahami bahawa sembahyang ghaib hanya harus dilaksanakan jika jenazah tidak berada di dalam negeri dengan maksud jenazah terletak jauh dari negeri yang secara ‘urfnya tidak dinisbahkan tempat itu kepada negeri tersebut. Walau bagaimanapun, jika jenazah yang berada di luar negeri itu apabila tempatnya dan tempat orang yang mendirikan sembahyang jenazah letaknya berdekatan seumpama jenazah yang berada di luar negeri yang berdekatan dengan sempadan negeri, maka tidak harus mendirikan sembahyang ghaib ke atas jenazah tersebut kerana kedudukannya yang berdekatan itu adalah seumpama terletak dalam satu negeri secara ‘urf.

Menurut Imam ar-Ramli dan as-Sayyid Muhammad al-Bakri Rahimahumallâh ukuran berdekatan itu ialah yang pada lazimnya penduduk luar sempadan dan penduduk dalam sempadan negeri itu saling pinjam-meminjam barang antara satu sama lain. Menurut al-Asnawi Rahimahullâh pula ukuran kawasan yang berdekatan itu ialah kawasan yang terletak dalam lingkungan had al-ghauts iaitu had yang diwajibkan ke atas seseorang untuk mencari air sebelum diharuskan bertayammum. Menurut sebahagian ulama kadar tersebut adalah sekira-kira jarak lontaran anak panah.

Sembahyang Ghaib Bagi Jenazah Dalam Negeri

Mendirikan sembahyang ghaib ke atas jenazah yang berada di dalam negeri, hukumnya adalah tidak harus. Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, katanya:

Ertinya: Adapun (jenazah) yang hadir di dalam negeri sekalipun besar (negeri itu), maka tidak (harus) disembahyangkan ke atasnya (sembahyang ghaib) kerana mudah untuk menghadirinya.

As-Sayyid Muhammad al-Bakri Rahimahullâh ada menyebut dalam kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Tidak sah sembahyang ke atas jenazah yang ghaib dari tempat kedudukan orang yang hendak bersembahyang di tempat itu, sedangkan dia (jenazah) hadir (berada) di dalam negeri sekalipun negeri itu besar kerana mudah menghadirinya, dan mereka menyamakannya dengan (perkara) menjatuhkan hukuman ke atas orang yang berada di dalam negeri yang dia mampu menghadirinya (perbicaraan).

Berdasarkan penjelasan para ulama mengenai sembahyang ghaib bagi jenazah yang berada di dalam negeri, difahami bahawa sembahyang ghaib tidak boleh dilakukan jika jenazah berada di dalam negeri yang sama dengan negeri orang yang menyembahyangkannya, sekalipun jarak di antara kedua-duanya adalah jauh kerana tidak menjadi kesukaran untuk seseorang itu menghadirinya berbanding jika jenazah berada di luar negeri.

Bahkan, menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj, sembahyang ghaib di dalam negeri sama sekali tidak harus sekalipun ada keuzuran untuk menghadirinya disebabkan sakit atau ditahan. Beliau berkata:

Ertinya: Adapun sesiapa (jenazahnya) yang berada di dalam negeri maka tidak (harus) disembahyangkan (sembahyang ghaib) ke atasnya sekalipun besar (negeri itu) dan dia berkeuzuran (untuk menghadirinya) seperti sakit atau ditahan (ditegah).

Walau bagaimanapun, menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh jika terdapat keuzuran yang disebabkan sakit atau ditahan, sembahyang ghaib harus dilakukan sebagaimana katanya dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan jika sesiapa yang berada di dalam negeri berkeuzuran untuk hadir (ke tempat jenazah berada), kerana ditahan (ditegah) atau sakit, tidak jauh (menurut tarjîhnya iaitu pendapat pilihannya) adalah harus yang demikian itu (sembahyang ghaib).

Berdasarkan perkataan Imam Ibnu Hajar dan Imam ar-Ramli Rahimahumallâh di atas adalah difahami bahawa kedua-duanya sepakat mengatakan tidak harus sembahyang ghaib ke atas jenazah yang berada di dalam negeri. Namun dalam perkara ada keuzuran untuk menghadirinya kerana sakit atau ditegah terdapat perbezaan pendapat antara mereka. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh sembahyang ghaib tidak harus dilakukan, manakala menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh ia harus dilakukan.

Pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas dicenderungi oleh beberapa ulama asy- Syafi‘iyyah yang lain, antaranya Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam Mughnî al-Muhtâj, Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Mu‘în dan as- Syaikh Nawawi al-Jawi al-Bantani Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah az-Zain.

Sembahyang ghaib ke atas jenazah yang berada di dalam negeri juga diharuskan apabila tidak dapat menghadirinya kerana adanya masyaqqah (kesukaran) yang bersangatan dan tidak tertanggung pada kebiasaannya.

Perkara ini juga ada disebut oleh asy-Syaikh Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Manhaj, katanya:

Maksudnya: Al-muttajah (pendapat yang lebih dicenderungi) bahawasanya yang diambil kira ialah kesukaran dan ketiadaannya (kesukaran), sekira-kira (ada) kesukaran untuk hadir walaupun di dalam negeri kerana besarnya (negeri itu) dan seumpamanya seperti sakit dan ditahan sah sembahyang (ghaib), dan sekira-kira tidak (ada kesukaran menghadiri) walaupun di luar sempadan (negeri) tidak sah (sembahyang ghaib).

Selain itu, sembahyang ghaib juga harus dilakukan ke atas jenazah yang tidak diketahui kuburnya seperti seseorang yang dibunuh di dalam negeri dan dirahsiakan kuburnya.

Maka, dengan mengambil kira pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas, sembahyang ghaib di dalam negeri adalah harus dilakukan oleh orang yang menghadapi kesukaran untuk menghadiri jenazah tersebut kerana sakit dan ditahan. Namun, jika tidak ada sebarang kesukaran untuk hadir ke tempat jenazah tersebut disembahyangkan, sekalipun negeri itu besar atau jenazah itu berada pada jarak perjalanan yang jauh, maka tidak harus baginya mendirikan sembahyang ghaib ke atas jenazah tersebut.

Sembahyang Ghaib bagi Jenazah Pesakit COVID-19

Merujuk kepada persoalan di atas, difahami bahawa pihak Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan peraturan bahawa jika berlaku kematian ke atas pesakit COVID-19, pengurusan jenazahnya akan dikendalikan oleh petugas-petugas khas yang telah dipertanggungjawabkan. Ahli keluarga si mati pula adalah tidak dibenarkan untuk berada dan berkumpul di kawasan tersebut bagi mematuhi larangan perkumpulan ramai atau mass gathering bagi membendung jangkitan wabak COVID-19.

Melihat kepada perbincangan para ulama berkenaan hukum mendirikan sembahyang ghaib ke atas jenazah yang berada di dalam negeri dan setelah meneliti keadaan kesukaran mereka untuk sama-sama hadir mendirikan sembahyang jenazah bagi mayat pesakit COVID-19, maka mendirikan sembahyang ghaib ke atas jenazah pesakit COVID-19 adalah harus dengan berpegang kepada pendapat Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas.

Keharusan tersebut adalah kerana adanya larangan pihak kerajaan untuk menghadiri jenazah. Larangan tersebut dianggap sebagai satu keuzuran yang mengharuskan sembahyang ghaib kerana keadaan mereka yang ditegah untuk menghadirinya.

Oleh yang demikian, sesiapa yang dilarang untuk menghadiri jenazah pesakit COVID-19 harus baginya melakukan sembahyang ghaib di rumah masing-masing dengan memastikan bahawa jenazah tersebut telah dimandikan terlebih dahulu sebelum sembahyang ghaib didirikan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12938