Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Kristian Di Kediaman Keluarga Islam

Soalan: Puak Iban masih ada yang Kristian walaupun majoriti dalam sebuah keluarga sudah memeluk Islam. Sekiranya individu Kristian ingin bersembahyang ‘Kristian’ di kediaman keluarganya yang semuanya sudah memeluk Islam, bagaimanakah menangani masalah ini? Dipohonkan fatwa dan nasihat mengenainya.

Jawapan: Dalam syariat Islam, perbezaan agama tidak menjadi penghalang bagi orang-orang Islam untuk mempunyai hubungan baik dengan orang-orang bukan Islam. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)

Menurut ulama tafsir ayat di atas menjelaskan bahawa Allah Ta‘ala tidak melarang orang-orang Islam mempunyai hubungan dan berbuat baik terhadap semua penganut agama yang tidak memusuhi orang-orang Islam. Ia adalah satu rukhshah atau keringanan daripada Allah Ta‘ala untuk membuat hubungan dengan orang-orang yang tidak memusuhi agama Islam. Ini termasuk juga menjaga hubungan dan berbuat baik kepada ahli keluarga yang bukan beragama Islam. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam hadits yang menjadi sebab turunnya ayat di atas iaitu hadits daripada Asma’ binti Abu Bakr Radhiallâhu ‘anhumâ, dia berkata:

Maksudnya: Telah datang kepadaku ibuku sedangkan (ketika itu) dia masih musyrik (belum Islam) pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Maka aku meminta fatwa kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, aku berkata: “Sesungguhnya ibuku datang dan dia menginginkan (sesuatu), adakah (boleh) aku menghubungkan (silaturrahim) dengan ibuku?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ya, hubungkanlah (silaturrahim dengan) ibumu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dari apa yang diterangkan di atas, jelas bahawa Islam tidak melarang ahli keluarga yang beragama Islam untuk menjalin hubungan dan berbuat baik kepada ahli keluarga mereka yang bukan beragama Islam. Berbuat baik itu termasuk juga membenarkan ahli keluarga bukan Islam tinggal bersama di kediaman mereka.

Orang Bukan Islam Tinggal di Kediaman Orang Islam

Menurut hukum syara‘, orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam diharuskan tinggal di negara Islam. Walau bagaimanapun, hukum syara‘ telah menetapkan beberapa syarat yang mesti dipatuhi oleh mereka.

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj dan Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj ada menyebut syarat-syarat orang-orang bukan Islam tinggal di negara Islam yang antaranya ialah mereka dilarang menzahirkan perkara-perkara mungkar seperti memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kesyirikan mereka mengatakan Allah itu salah satu daripada tiga unsur (fahaman dalam agama Nashrani tentang triniti yang mengatakan tuhan itu ada tiga unsur; tuhan bapa, tuhan anak dan ruh al-qudus), kepercayaan mereka mengenai ‘Uzair dan al-Masih adalah anak Allah Ta‘ala dan kepercayaan mereka bahawa al-Qur’an bukan daripada Allah Ta‘ala. Selain itu, mereka juga dilarang menzahirkan arak, khinzîr, nâqûs (loceng orang-orang Nashrani untuk memaklumkan waktu-waktu sembahyang mereka), perayaan keagamaan mereka, bacaan mereka seperti bacaan Injil dan Taurat sekalipun di gereja-gereja mereka dan lain-lain syi‘âr kekufuran mereka.

Walau bagaimanapun, sekiranya perkara di atas tidak dizahirkan, maka ia tidak ditegah. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj dan Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj menyebut:

Ertinya: Apabila tidak ada penzahiran maka tidak ada tegahan (padanya).

Asy-Syibramallisi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Nihâyah al-Muhtâj menjelaskan bahawa maksud menzahirkan itu ialah sekira-kira boleh diketahui mengenainya tanpa perlu diintip atau diintai.

Asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj pula menjelaskan bahawa tiada tegahan jika mereka menzahirkan perkara-perkara itu di kalangan mereka sahaja. Begitu juga tiada tegahan jika mereka menzahirkannya ketika mereka bersendirian dalam satu kampung.

Dari apa yang dijelaskan di atas, antara perkara yang dituntut ke atas orang-orang bukan Islam yang tinggal di negara orang Islam ialah mereka ditegah menzahirkan apa-apa jua yang berkaitan dengan kepercayaan agama mereka kepada orang-orang Islam. Tegahan itu termasuk juga menzahirkan atau menampakkan salib, pakaian khas mereka, memperdengarkan suara ketika mereka membaca kitab-kitab mereka dan seumpamanya yang berkaitan dengan agama atau syi‘âr kekufuran mereka. Begitu juga peribadatan sembahyang mengikut kepercayaan agama mereka seperti sembahyang ‘Kristian’ kerana ia termasuk antara syi‘âr-syi‘âr kekufuran mereka. Walau bagaimanapun orang-orang bukan Islam harus mengerjakan peribadatan sembahyang mengikut agama mereka atau kepercayaan yang berkaitan dengan agama mereka itu jika dilakukan ketika mereka bersendirian tidak terdapat orang-orang Islam pada tempat itu atau tanpa menzahirkan perbuatan atau memperdengarkan suara mereka kepada orang-orang Islam.

Pada dasarnya orang Kristian tidaklah ditegah untuk melakukan sembahyang mereka tetapi dengan syarat ia dilakukan di kediaman mereka sendiri tanpa menzahirkan kepada orang-orang Islam. Perkara-perkara yang ditegah untuk dizahirkan itu meliputi perbuatan sembahyang, menampakkan salib, mendengarkan suara ketika membaca kitab, membunyikan nâqîs (loceng untuk memaklumkan waktu sembahyang) dan lain-lain lagi lambang syirik. Jadi dengan persyaratan ini, bagaimanakah mungkin untuk mereka (orang-orang Kristian) itu dibenarkan melakukan sembahyang di kediaman keluarga mereka orang Islam? Tentu sahaja cara atau upacara sembahyang mereka itu dengan sendirinya akan turut diketahui, ditonton dan didengar oleh keluarga Islam dalam rumah berkenaan.

Selaku orang Islam juga sentiasa mengingini supaya rumahnya dipenuhi dengan berkat dan rahmat dan salah satu cara untuk mendapatkan semua itu ialah dengan banyak-banyak melakukan amal salih dan ibadat kepada Allah, termasuk berzikir dan membaca kitab suci al- Qur’an, bukannya digunakan untuk perkara-perkara syirik dan mungkar yang pastinya akan menjauhkan rumah daripada berkat dan rahmat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12942