Status Agama Anak Damit Bukan Islam Yang Diserahkan Kepada Pihak Kerajaan
Soalan: Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menerima satu kes berkenaan dengan seorang anak damit (kecil) perempuan yang diserahkan oleh ibunya warga asing yang bukan beragama Islam kepada pihak kerajaan.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa atau irsyâd berkenaan dengan status agama anak damit berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa akan datang.
Jawapan: Dalam persoalan yang dinyatakan, seorang anak damit (kecil) perempuan telah diserahkan kepada pihak kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) oleh ibu kandung anak tersebut yang merupakan seorang warga asing dan tidak beragama Islam. Penyerahan anak damit berkenaan telah dibuat atas kehendak ibu kandungnya sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak. Dengan penyerahan tersebut telah menjadikan pihak JAPEM sebagai pihak yang bertanggungjawab atas penjagaan dan kebajikannya berdasarkan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, 2010 (CYPA).
Di Negara Brunei Darussalam, penyerahan anak damit kepada pihak kerajaan seperti di atas mempunyai unsur dan kesan yang sama dengan amalan pengangkatan anak kepada orang persendirian.
Pada kebiasaannya, pengangkatan anak itu dilakukan dengan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya dari aspek asuhan, jagaan atau pembelaan anak damit berkenaan kepada ibu bapa angkat. Bahkan ada sebahagian ibu bapa kandung anak damit berkenaan tidak mahu ada sebarang kaitan lagi dengan anak yang telah diserahkannya itu. Proses ini berlaku hampir sama seperti menyerahkan hak milik sesuatu barang kepada orang lain yang tidak diharapkan akan dimiliki semula. Ini diperkukuhkan lagi dengan adanya peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan pengangkatan anak seperti Perintah Pengangkatan Kanak-Kanak Dalam Islam, 2001 di bawah kuasa Mahkamah-Mahkamah Syariah. Pengangkatan anak seperti yang diperuntukkan oleh perintah itu adalah berbeza dengan pengangkatan anak yang diamalkan di zaman jahiliyyah yang membinkan atau membintikan nama anak angkat kepada bapa angkat dan mentsabitkan perwarisan dengan keluarga angkat.
Amalan mengangkat anak dalam masyarakat kita bukan saja terhadap anak orang Islam tetapi termasuk juga menjadikan anak orang bukan Islam sebagai anak angkat kepada orang Islam. Dalam perkara anak angkat yang berasal daripada ibu bapa bukan Islam yang diasuh oleh orang-orang Islam, dia akan terus menetap bersama keluarga angkat dan hidup secara Islam sehingga dewasa. Mereka juga turut menerima pendidikan Islam serta taat menjalankan ajaran Islam sejak kecil lagi dan tidak timbul sebarang keinginan untuk kembali kepangkuan ibu bapa kandung dan agama asalnya. Persoalannya adakah status agama anak damit tersebut boleh bertukar kepada Islam memandangkan pihak yang bertanggungjawab dan diberi kuasa terhadapnya adalah orang yang beragama Islam?
Kanak-kanak Bukan Islam yang Diangkat oleh Orang Islam
Kedudukan agama kanak-kanak bukan Islam yang diangkat oleh orang Islam boleh dikaitkan dengan perbincangan para ulama mengenai kedudukan agama kanak-kanak bukan Islam yang ditawan oleh orang Islam dan fithrah kelahiran kanak-kanak.
Kanak-kanak Bukan Islam yang Ditawan
Antara perkara yang telah dibincang oleh para ulama berkenaan pengiktirafan keislaman kanak-kanak bukan Islam ialah jika kanak-kanak itu ditawan oleh orang Islam. Berkaitan perkara ini Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn ada menyatakan:
Ertinya: Apabila orang Islam menawan seorang kanak-kanak (maka kanak-kanak itu) mengikut orang yang menawannya dalam Islam jika tidak ada bersamanya salah seorang ibu bapanya.
Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj dan Hâsyiyah al-Baijuri ada dijelaskan bahawa apabila kanak-kanak bukan Islam yang ditawan oleh orang Islam, mereka dihukumkan Islam secara zahir dan batin mengikut orang Islam yang menawannya dengan syarat kanak-kanak tersebut ditawan seorang diri tanpa ada bersama-sama dengannya salah seorang daripada ibu bapanya kerana orang yang menawannya itu mempunyai wilâyah (kuasa) ke atasnya dan tidak ada orang yang lebih dekat kepadanya seperti bapanya melainkan orang yang menawannya.
Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh kanak-kanak yang ditawan adalah diumpamakan seperti anak yang baru lahir daripada ibu bapa yang beragama Islam ketika dia ditawan, sama ada orang yang menawannya itu seorang yang bâligh lagi berakal ataupun tidak.
Sekiranya pula kanak-kanak itu ditawan bersama-sama dengan ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka di dalam tentera musuh atau dalam harta ghanîmah (harta rampasan) yang ditawan bersama-samanya, maka kanak-kanak tersebut dihukumkan mengikut agama ibu bapanya kerana mengikut agama asal keturunan adalah lebih kuat daripada mengikut agama orang yang menawannya. Maka yang lebih kuat itu adalah lebih utama untuk diikuti. Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh kewujudan ibu bapa bersama anak mereka ketika ditawan berbanding ketiadaan mereka bersama kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak tersebut hanya boleh dihukumkan mengikut agama orang yang menawannya jika ibu bapanya tidak ada bersama-sama dengannya. Selama kanak-kanak itu bersama kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka, dia akan tetap berada di bawah kuasa ibu bapa kandungnya.
Pengarang kitab Bughyah al-Mustarsyidîn pula ada menyentuh mengenai penguasaan terhadap kanak-kanak bukan Islam yang disebut sebagai istîlâ’ (استيلء) ketika membicarakan tentang pembelian kanak-kanak kafir oleh orang Islam untuk menjadi hamba. Beliau menyatakan:
Ertinya: Adapun pembelian anak orang-orang kafir daripada asal keturunan mereka (bapa, datuk dan ke atas) umpamanya adalah tidak termeterai sebagai satu jual beli (bahkan) ia hanya satu istîlâ’ (penguasaan). Kemudian jika pembeli itu seorang Islam, (maka kanak-kanak tersebut) mengikutnya pada (menjadi) Islam dan dikehendaki ke atasnya (pembeli) membahaginya kepada lima (sebagaimana pembahagian harta ghanîmah), atau (jika pembeli itu) seorang kafir sekalipun dia kafir dzimmi, maka kanak-kanak itu kekal dalam kekafirannya mengikut pendapat al-ashah dan dia (pembeli) memilikinya (kanak-kanak) sepenuhnya, dan dalam keadaan ini tidak halal bagi pembelinya (jika kanak-kanak yang dibeli itu perempuan) daripadanya (orang kafir yang telah memilikinya) menyetubuhinya sebelum kanak-kanak itu bâligh dan Islam sebagaimana zahir pendapat mereka (jumhûr ulama), dan al-Bulqini berpendapat sah pembeliannya dan pendapat ini yang menjadi pegangan as-Suyuthi dan dicenderungi oleh as-Subki. (Walau bagaimanapun) tidak sah pembelian anak kafir mu‘âhad dalam apa jua keadaan, dan (berdasarkan) nukilan daripada al-Mawardi adalah sah (pembelian itu) dan ia adalah seperti (pembelian) anak kafir harbi.
Dari penjelasan di atas dapat difahami bahawa kanak-kanak kafir yang dikuasai (istîlâ’) oleh orang Islam adalah dihukumkan Islam iaitu mengikut agama orang yang menguasainya.
Apabila penerangan para ulama ini dikaitkan dengan proses pengangkatan kanak-kanak yang berlaku kini, kita temui perkara yang mempunyai persamaan iaitu soal penguasaan yang disebut sebagai wilâyah atau istîlâ’. Dalam soal tawanan, orang yang menawan memiliki atau menguasai kanak-kanak yang ditawannya. Di sini penguasaan terhadap kanak-kanak itu telah berpindah ke tangan orang Islam yang menawannya. Begitu juga dalam soal ‘pembelian’ atau istîlâ’ ke atas kanak-kanak bukan Islam yang telah dibeli oleh pembeli Islam. Dalam soal pengangkatan anak pula, bapa angkat telah mengambil alih penguasaan terhadap anak angkat daripada ibu bapa kandungnya kecuali dalam perkara-perkara tertentu yang telah ditetapkan syara‘ seperti wali dan waris.
Dalam konsep tawanan yang disebut para ulama tidak ada unsur kerelaan, yakni bapa kandung kanak-kanak tersebut tidak akan rela anaknya ditawan oleh orang Islam. Sungguhpun demikian hukum syara‘ telah menetapkan bahawa kanak-kanak itu tetap dihukumkan Islam jika dia ditawan bersendirian. Sebaliknya dalam konteks pengendalian anak angkat proses penyerahan berlaku di atas dasar sukarela, bahkan dapat dianggap bahawa ibu bapa kandung kanak-kanak itu memang telah bersedia dan redha menyerahkannya kepada orang Islam.
Dengan perbandingan di antara kanak-kanak yang ditawan dan kanak-kanak yang dijadikan anak angkat, maka apabila kanak-kanak yang ditawan, yang tentunya telah ditawan tanpa kerelaan ibu bapanya yang tidak turut ditawan telah dihukumkan sebagai Islam, betapa pula kanak-kanak yang diangkat dengan kerelaan, tambahan pula diserahkan sendiri oleh ibu bapanya yang bukan Islam itu? Maka, dalam keadaan ini adalah lebih ‘aulâ’ anak bukan Islam yang diangkat oleh orang Islam atau diserahkan kepada orang Islam itu dihukumkan Islam kerana mengikut agama orang yang menguasainya iaitu bapa angkatnya atau bapa yang menerima penyerahan.
Fithrah Anak yang Lahir
Setiap anak yang lahir itu adalah dalam keadaan fithrah sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada anak yang dilahirkan kecuali dilahirkan atas (mengikut) fithrah. Maka kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nashrani dan Majusi. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam kitab Fath al-Bâri, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh ada menyebut perkataan Ibnu al-Qayyim Rahimahullâh yang menjelaskan bahawa maksud “anak dilahirkan atas fithrah” ialah fithrah (tabiat semula jadi) anak yang dilahirkan itu menghendakinya untuk mengenali dan menyukai agama Islam. Berdasarkan maksud hadits di atas adalah juga difahami bahawa anak yang lahir itu akan jadi Yahudi atau Nashrani atau Majusi adalah disebabkan oleh kesan luaran iaitu ibu bapanya bukan disebabkan fithrah (tabiat semula jadi) yang dibawanya lahir.
Maka jika diperhatikan kepada perkara orang bukan Islam menyerahkan dengan rela hati anaknya yang baru lahir kepada orang Islam bermakna ibu bapa anak tersebut tidak menjadikan anaknya Yahudi atau Nashrani atau Majusi tetapi menjadikannya Islam. Ini bermakna ibu bapa anak tersebut telah mengembalikan anak tersebut ke fithrahnya yang asal iaitu Islam.
Perkara di atas turut dinyatakan oleh sebahagian para ulama. Antaranya Imam Abu Bakar Ahmad bin Muhammad al-Khallal Rahimahullâh salah seorang ulama mazhab Hanbali, menyebut dalam kitabnya al-Jâmi‘ bahawa jika orang kafir Majusi menjadikan anaknya seorang Islam, kemudian anak tersebut meninggal dunia maka harus bagi anak tersebut dikuburkan di perkuburan orang-orang Islam.
Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullâh dalam kitabnya Ahkâm Ahl adz-Dzimmah juga menukilkan pendapat ini lalu beliau menyatakan bahawa seorang kanak-kanak itu hanya dihukumkan kafir kerana kedua-dua ibu bapanya menjadikannya Yahudi atau Nashrani. Oleh itu apabila kedua-dua ibu bapa anak tersebut menjadikannya Islam, maka jadilah anak itu seorang Islam.
Dr. Ibrahim bin Hamad bin Sulthan ketika mentahqîq kitab al-Jâmi‘ karangan Imam al- Khallal Rahimahullâh telah mengulas mengenai perkataan لهلّلرَان وَيـُنَصلهلّلدَانيـُهَو (kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi dan Nashrani) berkata bahawa hadits ini merupakan dalil jika kedua-dua ibu bapa yang kafir itu menjadikan anak mereka seorang Islam maka jadilah dia seorang Islam. Pendapat para ulama ini selaras menurut perhitungan nash hadits di atas yang menyebut bahawa kedua-dua ibu bapalah yang menjadikan anak mereka sebagai Yahudi atau Nashrani atau Majusi. Demikian juga jika kedua-duanya menjadikannya seorang Islam maka jadilah dia seorang Islam.
Dari penerangan para ulama di atas, berkaitan dengan kedudukan agama kanak-kanak yang ditawan dan fithrah kanak-kanak yang lahir, maka adalah jelas bahawa perkara istîlâ’ (penguasaan) dan fithrah itu memberi kesan kepada penentuan kedudukan agama kanak-kanak. Dalam perkara istîlâ’ orang Islam terhadap kanak-kanak bukan Islam menjadikan kanak-kanak bukan Islam itu dihukumkan sebagai Islam. Manakala kanak-kanak bukan Islam yang terpisah atau putus daripada penguasaan ibu bapanya dalam membesarkan dan membentuk kehidupannya mengikut ajaran bukan Islam, kanak-kanak tersebut adalah dihukumkan kembali kepada fithrah. Maka dia adalah beragama Islam.
Maka dalam persoalan ini, anak damit yang telah diserahkan oleh ibu kandungnya yang bukan Islam kepada pihak kerajaan iaitu JAPEM yang dibuat atas kerelaannya untuk meletakkan anaknya itu di bawah jagaan pihak JAPEM, dengan sendirinya perbuatan ini menjadikan pihak JAPEM sebagai pihak yang menguasai anak damit tersebut. Maka berdasarkan hujah-hujah di atas anak damit yang telah diserahkan itu dihukumkan sebagai Islam menurut konsep istîlâ’. Anak damit tersebut juga dihukumkan Islam menurut fithrahnya kerana putus kesan ibunya yang bukan Islam dalam menjadikan anak damit itu bukan Islam. Lebih-lebih lagi dengan penyerahan yang telah dibuat oleh ibu kandung anak damit tersebut secara sukarela.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12946
