Suntikan Vaksin COVID-19 Ketika Berpuasa
Soalan: Bolehkah suntikan vaksin dilaksanakan ke atas orang yang sedang berpuasa dan adakah ia membatalkan puasa? Mohon penjelasan mengenainya.
Jawapan: Antara perkara yang membatalkan puasa ialah “memasukkan sesuatu benda dengan sengaja dari had zahir hingga sampai ke dalam bahagian batin rongga melalui lubang yang terbuka”.
Maksud “sesuatu benda” itu ialah apa jua benda sama ada ia sesuatu yang biasa dimakan ataupun tidak seperti batu sekalipun sedikit. Manakala rasa, bau, wap dan asap tidak termasuk dalam kategori benda yang dimaksudkan.
Manakala maksud “batin rongga” pula ialah apa jua yang dinamakan sebagai rongga, tidak kira sama ada ia mempunyai fungsi untuk memproses makanan atau ubat ataupun tidak, seperti batin rongga otak, perut, usus, batin telinga, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu.
“Lubang terbuka” pula bermaksud tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu wujud sejak lahir seperti mulut, hidung, telinga dan dubur ataupun lubang yang baru wujud seperti luka. Walau bagaimanapun sesuatu yang masuk melalui lubang terbuka disebabkan luka, maka hukum batal atau tidaknya puasa adalah tertakluk kepada setakat mana sesuatu itu masuk dan di mana tempat lubang luka itu berada, sama ada luka itu pada anggota yang mempunyai rongga ataupun tidak. Ini kerana tempat kedudukan luka itu berada mempengaruhi hukum batal atau tidaknya puasa seseorang itu khususnya apabila dia menyapukan ubat ke atasnya lalu ubat itu sampai ke rongga.
Suntikan Vaksin COVID-19
Secara umumnya menurut Ensiklopedia Britannica dan Vaccine Safety Basics, suntikan vaksin dilakukan dengan menggunakan beberapa kaedah. Antaranya:
i. Suntikan intradermal iaitu suntikan pada lapisan teratas kulit. ii. Suntikan subcutaneous iaitu suntikan pada lapisan bawah kulit dan di atas otot. iii. Suntikan intravenous iaitu suntikan ke dalam saluran darah. iv. Suntikan intramuscular iaitu suntikan ke dalam otot.
Suntikan vaksin COVID-19 adalah menggunakan kaedah suntikan intramuscular iaitu memasukkan vaksin jauh ke dalam otot lengan atas agar vaksin yang diberikan itu cepat diserap ke dalam peredaran darah kerana tisu otot mempunyai bekalan darah yang banyak.
Vaksin ini diberikan sebanyak dua dos, selang 2-12 minggu bergantung kepada jenis vaksin. Suntikan pertama adalah untuk membantu merangsang imuniti tubuh untuk mengenal virus tersebut. Manakala suntikan kedua pula adalah untuk menguatkan lagi sistem daya tahan badan. Kedua-dua suntikan ini adalah diperlukan bagi mendapatkan perlindungan yang terbaik.
Adakah Suntikan Vaksin COVID-19 Membatalkan Puasa?
Menurut para ulama memasukkan apa jua benda ke dalam apa jua yang disebut sebagai batin rongga melalui lubang yang terbuka, maka puasa seseorang itu adalah batal. Umpamanya jika seseorang yang berpuasa menyapu ubat ke tempat luka pada anggota yang mempunyai rongga seperti kepala atau perut dan ubat tersebut masuk ke dalam rongga-rongga tersebut, puasanya adalah batal kerana luka merupakan lubang yang terbuka dan ia berada di atas anggota yang mempunyai rongga.
Begitu juga batal puasa apabila sesuatu masuk terus ke dalam batin rongga tanpa melalui lubang yang terbuka seperti menikam perut dengan pisau. Apabila sebahagian pisau itu masuk ke dalam batin rongga perut, puasanya adalah batal kerana pisau tersebut terus masuk ke dalam batin rongga walaupun ia tidak masuk melalui mana-mana lubang yang terbuka. Hal ini ada disebut oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan jika dia menikam dirinya atau orang lain menikamnya dengan izinnya lalu sampai pisau (ke dalam) rongganya atau dia memasukkan ke dalam ihlilnya (lubang tempat keluar air kencing lelaki atau lubang tempat keluar air susu) atau telinganya ‘ûd (batang kayu kecil) atau seumpamanya lalu sampai ke dalam batin (rongga), maka (perkara tersebut menyebabkan) batal puasa.
Namun begitu, tidak semestinya sesuatu yang masuk ke dalam batin rongga, begitu juga yang masuk melalui lubang luka yang terbuka itu boleh membatalkan puasa kerana hukum batal atau tidaknya puasa seseorang itu adalah tertakluk dari mana sesuatu itu masuk atau di mana kedudukan lubang luka tersebut sebagaimana berikut:
i. Sesuatu yang masuk hingga sampai ke dalam batin rongga tetapi tidak melalui lubang yang terbuka seperti melalui penyerapan pori (liang-liang halus pada kulit). Jika minyak disapukan di kepala atau perut dan ia menyerap melalui pori sekalipun ia sampai ke dalam batin rongga, ia tidaklah membatalkan puasa sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Wahhâb bi Syarh Manhaj ath-Thullâb:
Ertinya: Tidak memudharatkan (membatalkan puasa) minyak atau celak mata yang sampai ke rongganya dengan penyerapan (melalui) pori sebagaimana tidak memudharatkan (membatalkan puasa) mandinya (seseorang) dengan air sekalipun dia mendapati kesan (air) pada batinnya (rongganya) dengan adanya persamaan bahawa yang sampai kepadanya itu bukan melalui lubang (yang terbuka) namun ia hanyalah daripada pori.
ii. Sesuatu yang masuk melalui lubang luka yang terbuka, tetapi ia sampai ke bahagian yang bukan dinamakan rongga kerana luka tersebut pada anggota yang tidak mempunyai rongga, seperti betis atau paha, maka jika luka pada anggota tersebut disapukan ubat, sekalipun ia masuk hingga sampai ke dalam daging betis, ia tidak membatalkan puasa kerana betis atau paha tidak dianggap sebagai anggota yang mempunyai rongga.
Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj dalam menjelaskan nash Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan (terkeluar daripada maksud) rongga (yang membatalkan puasa jika sesuatu masuk ke dalamnya) jika dia mengubati lukanya yang ada pada daging betis atau paha lalu ubat itu sampai ke dalam tulang betis (lemak dalam tulang betis) atau daging (betis) atau dia menusuk besi ke dalamnya maka sesungguhnya (perkara itu) tidak membatalkan puasa kerana ia bukan rongga.
Maka berdasarkan penjelasan ulama di atas, vaksin COVID-19 yang disuntikkan ke dalam otot lengan atas, tidaklah membatalkan puasa kerana vaksin tersebut tidak masuk ke dalam mana-mana batin rongga dan ia tidak dimasukkan melalui mana-mana lubang yang terbuka. Jarum suntikan yang ditusukkan pada otot juga tidak membatalkan puasa kerana ia ditusukkan pada bahagian anggota yang tidak mempunyai rongga. Demikianlah juga yang disebut dalam resolusi yang dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam sidangnya yang ke- 10 di Jeddah pada 23-28 Safar, 1418 bersamaan 28 Jun - 3 Julai, 1997, berkenaan tajuk Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa Dalam Bidang Rawatan Perubatan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12950
