Tumbuhan Hidroponik Menggunakan Baja Daripada Najis Dan Bahan Kimia
Soalan: Satu kajian penanaman sayuran dengan menggunakan teknik hidroponik dan dibaja dengan baja organik yang terdiri daripada bahan larutan air bersama sumber daging, lemak dan tulang khinzîr telah pun dilaksanakan. Hasil analisis kajian ini telah mendapati bahawa tanaman sayuran tersebut tidak dapat tumbuh dengan subur (terbantut perkembangannya tanpa adanya bantuan daripada unsur-unsur bahan kimia atau nutrisi yang lain) dan sayuran tersebut belum dapat dianggap sebagai matang untuk dijadikan sumber makanan. Menurut kajian analisis makmal, ini adalah disebabkan kurangnya penyerapan sebarang nutrisi yang terdapat pada baja organik yang dinyatakan tersebut.
Untuk mendapatkan kepastian tentang konsep tanaman bagi kajian yang telah dijalankan ini, dipohonkan pandangan atau sebarang hukum mahupun fatwa sama ada tanaman atau sayuran ini dikategorikan sebagai:
1. “Tumbuhan al-jallâlah” sebagaimana diqiyâskan kepada binatang al-jallâlah. Ini disebabkan pertumbuhannya hanya bergantung kepada pemberian air dan baja organik daripada sesuatu yang najis.
2. “Tumbuhan mutanajjis” kerana telah melekat pada akarnya atau berkemungkinan terpercik pada daunnya baja larutan air dan bahan daripada sumber yang najis itu.
3. “Tumbuhan mudharrah/musyabbahah”. Sayuran atau tumbuhan yang ditanam dengan teknik hidroponik bersama bahan kimia yang tidak jelas dan tepat komposisinya yang memberikan kesangsian tahap keselamatan dan implikasi jangka panjang.
Jawapan: Penanaman menggunakan larutan air yang bercampur baja organik dan bahan kimia yang dipanggil sebagai hidroponik merupakan salah satu kaedah yang digunapakai pada masa ini dalam penghasilan tanam-tanaman. Memandangkan komposisi baja tersebut terdiri daripada najis binatang, timbul kekeliruan isu berkaitan halal dan haram. Lebih-lebih lagi jika baja tersebut terdiri daripada najis mughallazhah. Begitu pula penggunaan bahan kimia, dikatakan dapat membantu kesuburan tanaman. Walau bagaimanapun, penggunaannya menimbulkan kekhawatiran terhadap kesan jangka panjang pada kesihatan.
Oleh yang demikian, isu-isu berkaitan dengannya telah ditimbulkan, antaranya mengenai hukum perkaitan baja organik daripada najis dengan al-jallâlah dan sesuatu yang mutanajjis serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Begitu juga perkaitan bahan kimia sebagai sesuatu yang memudharatkan atau kedudukannya musyabbahah sama ada ia boleh dikonsumsi atau tidak.
Al-Jallâlah
Menurut keterangan para ulama, al-jallâlah adalah binatang yang memakan atau diberi makan tahi atau benda najis sama ada banyak atau sedikit yang terdiri daripada binatang yang boleh dimakan seperti unta, sapi, kambing, ayam dan sebagainya.
Hukum memakan binatang al-jallâlah menurut pendapat al-ashah (paling shahîh) adalah tertakluk kepada perubahan yang berlaku pada binatang tersebut, iaitu:
1. Jika terdapat perubahan pada bau, rasa atau warna binatang tersebut sama ada pada daging, peluh atau selainnya sekalipun kesannya hanya sedikit, maka hukum memakannya adalah makruh.
2. Jika tidak ada perubahan berlaku padanya, maka ia adalah harus dan tidak makruh dimakan sekalipun ia hanya memakan makanan najis. Begitu juga tidak makruh memakan binatang al-jallâlah yang telah berubah, jika kesan najis yang dimakannya telah hilang setelah ia dikurung atau dikuarantin iaitu dengan diberi makanan yang suci terlebih dahulu sebelum disembelih.
Adakah Tumbuhan Boleh Dikategorikan Sebagai Al-Jallâlah?
Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa binatang yang memakan najis itu adalah dikategorikan sebagai al-jallâlah. Persoalan yang dibangkitkan adakah tumbuhan juga boleh dikategorikan sebagai al-jallâlah?
Al-Imam Qalyubi Rahimahullâh menjelaskan dalam kitab Hasyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah ketika mensyarahkan kata-kata al-Mahalli Rahimahullâh katanya:
Ertinya: Dan ia (al-jallâlah) ialah yang - hingga akhir perkataan (al-Mahalli) - adalah tafsiran bagi makna al-jallâlah dan yang dimaksudkan ialah apa jua yang diberi makan dengan najis secara muthlaq, walaupun selain daripada tahi kerana makruh memberinya makan najis, dan antaranya (memberi makan najis ialah) kambing yang menyusu umpamanya (kepada) susu anjing betina atau keldai betina. Adapun menyiram tanaman dengan najis adalah seperti memberi makan dengannya (najis) menurut pendapat mu‘tamad, dan terkeluar dengan (maksud memberi makan najis) yang sedemikian itu telur yang direbus dengan najis dan tanaman yang tumbuh dalam (sesuatu yang) najis, maka tidak makruh (memakannya), dan terkeluar (dari maksud) najis ialah sesuatu yang mutanajjis (yang terkena najis) maka ia juga tidak makruh (memakannya).
Berdasarkan penjelasan nash di atas, dapat disimpulkan bahawa tumbuhan boleh dikategorikan sebagai al-jallâlah dari sudut hukum memakannya. Apabila najis dijadikan sebagai sumber nutrisi yang memberi manfaat dan khasiat bagi pertumbuhan dan perkembangannya, maka ia diumpamakan seperti memakan najis dan ia dihukumkan sebagaimana hukum al-jallâlah.
Oleh yang demikian, hukum memakan jenis tumbuhan yang sumber nutrisinya daripada najis adalah sebagaimana hukum memakan binatang al-jallâlah. Menurut para ulama asy- Syafi‘iyyah, memakan hasil tanaman yang disiram dengan najis atau bijian yang ditanam di dalam najis pada asalnya adalah halal dan tidak makruh selama mana kesan najis seperti bau, rasa atau warna tidak nyata pada tumbuhan tersebut. Namun hukumnya boleh bertukar menjadi makruh jika kesan najis (bau, rasa atau warna) nyata pada tumbuhan tersebut.
Tumbuhan yang Terkena Percikan Najis
Pokok yang disiram pohonnya dengan air najis, maka ranting, daun dan buahnya yang tumbuh hukumnya adalah suci kerana semua itu adalah cabang daripada pokok dan pertumbuhannya. Jika buah atau tanaman yang telah tumbuh itu terkena najis atau percikan air najis maka ia menjadi mutanajjis.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan perkara sedemikian dalam kitabnya al- Majmû‘:
Ertinya: Tanaman yang tumbuh di atas tahi binatang, al-Ashhâb (para ulama asy-Syafi‘i) berkata ia bukan najis ‘ain (zatnya tidak najis), akan tetapi ia bernajis (menjadi mutanajjis) dengan (sebab) terkena najis yang berdekatan, dan apabila dibasuh ia menjadi suci, dan apabila ia bertangkai (tumbuh tangkai) maka biji-bijinya (buahnya) yang keluar itu adalah pasti suci dan tidak perlu untuk membasuhnya, dan demikian juga sayur, timun dan seumpama kedua-duanya adalah suci dan tidak perlu untuk membasuhnya. Al-Mutawalli berkata: “Dan demikian pula pokok apabila disiram (pohonnya) dengan air najis maka ranting-rantingnya, daun-daunnya dan buah-buahnya adalah suci semuanya kerana keseluruhan itu adalah cabang pokok dan pertumbuhannya.”
Sepertimana yang telah dijelaskan tumbuhan yang terkena dengan zat najis (mutanajjis) ia adalah halal namun perlu dibersihkan dengan air yang bersih terlebih dahulu sebelum memakannya. Manakala tumbuhan yang terkena zat najis mughallazhah hendaklah disertu, iaitu dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dengan air yang suci dan salah satu daripadanya bercampur dengan tanah.
Adakah Tumbuhan Hidroponik Memudharatkan?
Mudharat adalah lawan bagi perkataan manfaat. Ia membawa maksud keadaan yang buruk, kefakiran, derita atau kesakitan pada tubuh badan. Iaitu kesakitan yang tidak diiringi dengannya suatu manfaat.
Menghindari dan menjauhi apa jua yang mendatangkan mudharat kepada tubuh badan dan akal adalah wajib kerana menjaga nyawa merupakan salah satu daripada maqâshid syarî‘ah. Islam sendiri melarang umatnya daripada melakukan apa jua perkara yang boleh memberi kesan buruk sehingga memudharatkan dan membahayakan kesihatan tubuh badan. Tidak kira sama ada kesan tersebut berlaku dengan cepat atau perlahan, ia tidak mempunyai sebarang perbezaan. Kedua-duanya menuju kepada natîjah yang sama iaitu memudharatkan dan merosakkan. Kedua-dua cara ini adalah ditegah di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sepertimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri kepada kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga dengan jelas melarang umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh saling memudharatkan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Mengenai tumbuhan yang menggunakan unsur-unsur bahan kimia sebagai baja bagi pertumbuhan dan penyuburannya, untuk mengkategorikannya sebagai tumbuhan yang memudharatkan adalah tertakluk kepada kesan buruk kepada tubuh badan kerana memakannya. Namun untuk kepastian adanya mudharat tersebut adalah tertakluk kepada pendapat pakar yang dipercayai atau mudharat itu diketahui sendiri oleh orang yang memakannya. Jika memakannya boleh mendatangkan mudharat, kerosakan dan kebinasaan kepada tubuh badan atau akal sama ada secara cepat atau perlahan, maka ia wajib dijauhi dan dihindari. Memakan sesuatu yang memudharatkan tubuh-badan atau akal adalah dihukumkan haram.
Manakala tumbuhan yang disiram dengan bahan kimia pula, jika terdapat kesangsian terhadap keselamatannya sama ada ia boleh mendatangkan mudharat ataupun tidak, maka hukum memakannya adalah termasuk perkara-perkara syubhah sehinggalah ia dapat diperakukan oleh para saintis mengenai kedudukan sifat tumbuhan tersebut melalui kajian mereka sama ada memudharatkan atau sebaliknya.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Bashir Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Perkara yang halal itu adalah jelas dan (begitu juga) perkara yang haram adalah jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara yang musyabbahât (tidak jelas status halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menjaga perkara-perkara musyabbahât itu, maka dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman), dan sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara-perkara yang syubhah adalah seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja mempunyai kawasan larangannya. Ketahuilah maka sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah perkara-perkara yang diharamkanNya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh apa yang dimaksudkan dengan perkara syubhah itu ialah suatu perkara yang tidak jelas kedudukan hukumnya sama ada halal atau haram dan ia tidak diketahui orang ramai melainkan para ulama berdasarkan nash, qiyâs, al-istishhâb dan selainnya.
Setiap apa jua yang menimbulkan keraguan atau kesamaran seumpama ini, syariat telah menetapkan bahawa ia hendaklah ditinggalkan sebagaimana yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada Hasan bin ‘Ali Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa beliau telah menghafal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang bersabda:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadits yang lain pula menjelaskan bahawa meninggalkan perkara syubhah itu menunjukkan akan kesungguhan seseorang itu dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala melakukannya pula menjurus kepada kecenderungannya untuk mengerjakan suatu perkara yang haram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhah, (maka) dia telah melepaskan atau membersihkan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman), dan sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) dia telah jatuh ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat Muslim)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12954
