Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Wang Lebihan Bayaran Zakat Yang Tidak Diketahui Pemiliknya

Soalan: Dimaklumkan bahawa terdapat lebihan duit zakat harta daripada muzakki yang diyakini tepat perkiraannya semasa penerimaan zakat harta dan disaksikan sendiri oleh muzakki berkenaan. Walau bagaimanapun, ianya disedari mempunyai lebihan semasa perkiraan semula sebelum memasukkan ke dalam bank. Memandangkan pada ketika itu, muzakki berkenaan hanya menggunakan nama “Hamba Allah” dan tidak memberikan alamat untuk diisi dalam resit zakat harta serta tidak juga membuat tuntutan, duit berkenaan sehingga kini masih lagi disimpan di bilik kebal Seksyen Kutipan, Bahagian Kutipan Dan Agihan Zakat (BAKAZ).

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa atau irsyâd mengenai perkara ini.

Jawapan: Harta yang tidak diketahui pemiliknya boleh dibahagi kepada dua: Al-mâl adh-dhâ’i‘ (harta yang hilang) dan luqathah (harta yang dijumpai).

Para ulama membezakan di antara al-mâl adh-dhâ’i‘ dengan luqathah. Al-mâl adh-dhâ’i‘ pada kebiasaanya ialah harta yang di bawah jagaan seperti harta yang dititipkan di bawah jagaan hakim atau harta yang disimpan di tempat yang tertutup, tidak diketahui pemiliknya. Manakala luqathah pula pada kebiasaannya ialah harta yang dijumpai di tempat yang bukan dalam jagaan seperti di tempat umum.

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj menyebut antara contoh al-mâl adh-dhâ’i‘ itu ialah:

Ertinya: Dan apa jua (harta) umpamanya yang diterbangkan oleh angin atau (ditinggalkan) oleh seorang yang melarikan diri yang dia tidak mengenalinya seumpama di pangkuannya atau di rumahnya dan titipan-titipan (wâdi‘ah) yang pewarisnya telah meninggal dunia dan tidak diketahui pemilik-pemiliknya (wâdi‘ah tersebut) adalah al-mâl adh-dhâ’i‘ bukan luqathah.

Dalam perkara pengurusan al-mâl adh-dhâ’i‘ ini, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh ada menjelaskannya dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Maka bilamana (orang yang menyimpannya) belum berputus asa dari (mencari) pemiliknya, dia hendaklah menyimpannya untuknya (pemilik) selama-lamanya serta sunat mewar-warkan (tentang harta yang disimpannya itu) atau dia menyerahkannya kepada qadhi yang amanah, maka dia (qadhi) menjaganya untuknya (pemilik), dan bilamana (dia) berputus asa daripadanya iaitu jauh sekali pada adatnya dia wujud, menurut (pendapat) yang zahir, ia menjadi sebahagian daripada kumpulan harta-harta Baitul-Mal sebagaimana disebut dalam bab ihyâ’ al-mawât.

Dalam hal al-mâl adh-dhâ’i‘ ini, as-Sayyid Ba ‘Alawi dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn juga menyebut tentang orang yang ada di tangannya harta haram dan dia ingin bertaubat daripadanya tetapi tidak menjumpai qadhi yang amanah untuk menyerahkan harta tersebut, katanya:

Ertinya: Dan jika dia berputus asa daripada mengetahui (mencari) pemiliknya iaitu jauh sekali pada adatnya dia wujud, (maka harta itu) menjadi sebahagian daripada kumpulan harta-harta Baitul-Mal seperti wadî‘ah dan harta rampasan yang telah berputus asa untuk mengetahui pemilik kedua-duanya dan (seperti) harta pusaka yang tidak diketahui waris baginya. Ketika itu, dia sendiri menyalurkan kesemuanya untuk mashlahat orang-orang Islam (menurut mana) yang lebih penting dan yang lebih penting berikutnya, seperti pembinaan masjid tatkala tidak ada yang lebih umum (mashlahatnya) daripadanya. Jika ada sesiapa yang di bawah tanggungannya seorang fakir maka dia (harus) mengambil sekadar hajatnya bagi dirinya dan tanggungannya yang fakir sebagaimana (disebut) dalam kitab at- Tuhfah dan lainnya.

Merujuk kepada soalan di atas, wang yang tersimpan di bilik kebal Seksyen Kutipan, Bahagian Kutipan Dan Agihan Zakat (BAKAZ) adalah termasuk dalam kategori al-mâl adh-dhâ’i‘.

Sehubungan dengan itu, kedudukan wang tersebut jika tidak dapat dikesan pemiliknya kerana tidak diketahui nama dan alamatnya serta tidak mungkin ada jalan atau cara lain lagi untuk mengetahui pemiliknya, maka wang tersebut adalah menjadi sebahagian daripada harta Baitul-Mal.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12958