Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Adakah Ashnâf Fakir, Miskin Dan Al-Ghârimîn Yang Mempunyai Simpanan Tabung Amanah Pekerja (TAP) Berhak Mendapat Agihan Wang Zakat?

Soalan: Sukacita dipohonkan fatwa mengenai kedudukan permohonan agihan zakat yang diterima daripada pemilik wang simpanan Tabung Amanah Pekerja (TAP). Adakah mereka ini boleh diiktiraf sebagai ashnâf zakat sama ada fakir, miskin atau al-ghârimîn, sedangkan mereka itu mempunyai simpanan TAP?

Jawapan: Ashnâf fakir, miskin dan al-ghârimîn merupakan antara lapan golongan ashnâf yang berhak menerima zakat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara‘. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan ‘âmil-‘âmil, dan orang-orang yang dijinakkan hatinya dengan Islam (mu’allaf), dan untuk memerdekakan hamba sahaya, dan orang-orang yang berhutang, dan (untuk pejuang-pejuang yang berjihâd) pada jalan Allah, dan orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya). Itulah ketetapan daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 60)

Merujuk soalan di atas, isu yang berbangkit ialah mengenai dengan tiga ashnâf zakat iaitu fakir, miskin dan al-ghârimîn, maka berikut dijelaskan kriteria ashnâf tersebut.

Pengertian Fakir

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj, fakir ialah:

Ertinya: (Fakir ialah) siapa yang tidak ada harta dan pekerjaan yang jumlah kedua-duanya (iaitu harta atau pendapatan secara berasingan) atau jumlah keseluruhan kedua-duanya dapat menampung hajatnya (keperluannya).

Imam al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în pula berkata bahawa fakir ialah:

Ertinya: Siapa yang tidak ada harta dan pekerjaan layak yang dapat menampung kecukupannya dan kecukupan orang yang di bawah tanggungannya.

Dalam kitab Bujairimi ‘alâ al-Khathib pula menyebut bahawa fakir ialah:

Ertinya: (Fakir ialah) siapa yang tidak ada harta baginya yakni (tidak mempunyai harta) di sisinya dan tidak ada pekerjaan iaitu tidak ada baginya harta dan pekerjaan sama sekali atau ada baginya pekerjaan yang tidak layak (untuknya) atau ada baginya harta atau pekerjaan yang layak, tetapi kedua-duanya tidak dapat menampung kecukupannya.

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh maksud hajat atau keperluan itu ialah apa yang mencukupi dari segi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain keperluan yang perlu ada sesuai dengan keadaan dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya tanpa melampaui batas dan tanpa kikir.

Al-‘Allâmah al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn menjelaskan bahawa harta dan pekerjaan yang diambil kira dalam perkara ini ialah harta dan pekerjaan yang halal sahaja. Harta dan pendapatan tersebut tidak mencukupi separuh daripada keperluannya.

Maksud harta yang tidak mencukupi separuh daripada keperluannya bagi orang yang mempunyai harta dan tidak mempunyai pekerjaan ialah harta yang dimilikinya itu tidak cukup untuk menampung keperluan hariannya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya untuk baki tempoh jangka hayatnya mengikut perkiraan umur yang ghâlib iaitu enam puluh dua tahun qamariyyah. Sebagai contoh, seseorang yang berumur lima puluh (50) tahun qamariyyah memiliki wang tunai sebanyak $20,000.00. Keperluan asasi hidupnya serta orang-orang yang di bawah tanggungannya memerlukan $10.00 sehari, maka wang $20,000.00 itu dibahagi kepada baki umur ghâlibnya iaitu 12 tahun (4,320 hari qamariyyah), dia hanya boleh membelanjakan sebanyak $4.63 sehari. Kadar tersebut tidak mencukupi separuh daripada keperluannya maka dia dinamakan fakir sekalipun jumlah hartanya itu melebihi nishâb zakat.

Manakala bagi orang yang telah mencapai umur ghâlib, cara pengiraan kecukupan keperluan hariannya ialah dengan membahagikan harta yang dimilikinya untuk tempoh setahun qamariyyah sahaja. Dalam contoh di atas, wang $20,000.00 dibahagi kepada 360 hari qamariyyah, maka dia boleh berbelanja sebanyak $55.56 sehari. Kadar ini adalah melebihi keperluan hariannya iaitu $10.00. Maka dia adalah dikira orang kaya dan tidak berhak menerima zakat.

Maksud pendapatan yang tidak mencukupi separuh daripada keperluannya bagi orang yang mempunyai pekerjaan dan tidak mempunyai harta ialah pekerjaan itu adalah pekerjaan yang layak baginya dari segi syara‘ dan ‘urf, namun pendapatan yang diperolehinya tidak cukup untuk menampung separuh daripada keperluan hariannya yang layak bagi dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai pekerjaan dengan bayaran gaji $500.00 sebulan dan keperluan asasi hidupnya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya memerlukan $50.00 sehari. Jika dibahagi $500.00 (gaji sebulan) kepada 30 hari qamariyyah, maka dia hanya boleh berbelanja sebanyak $16.67 sehari. Pendapatan tersebut adalah tidak sampai separuh daripada keperluan hariannya, maka dia termasuk dalam golongan yang dikategorikan sebagai fakir. Pekerjaan layak menurut syara‘ yang dimaksudkan di sini ialah pekerjaan yang halal. Manakala pekerjaan yang layak menurut ‘urf pula ialah pekerjaan yang tidak menjatuhkan maruah bagi dirinya.

Maksud harta dan pendapatan yang tidak mencukupi separuh daripada keperluannya bagi orang yang mempunyai harta dan mempunyai pekerjaan ialah jumlah keseluruhan harta dan pendapatannya tidak cukup untuk menampung keperluan hariannya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Sebagai contoh, seseorang yang berumur 42 tahun qamariyyah ada memiliki harta sebanyak $20,000.00 dan mempunyai pendapatan (gaji) sebanyak $500.00 sebulan. Keperluan asasi hidupnya serta orang-orang yang di bawah tanggungannya memerlukan $50.00 sehari. Maka cara pengiraannya ialah membahagikan harta yang ada kepada baki umur ghâlibnya kemudian dicampur dengan hasil gaji yang dibahagi kepada tempoh hari sebulan. Dalam kes ini wang $20,000.00 dibahagi kepada 20 tahun (7200 hari qamariyyah) jumlahnya $2.78 kemudian dicampur dengan $500.00 (gaji) dibahagi kepada 30 hari qamariyyah yang jumlahnya $16.67. Jumlah semuanya ialah $19.45 dan kadar ini tidak sampai separuh daripada keperluannya, maka dia termasuk dalam golongan yang dikategorikan sebagai fakir.

Ini bermakna seseorang yang ada harta atau mempunyai pekerjaan atau mempunyai kedua-duanya iaitu harta dan pekerjaan yang tidak memenuhi separuh daripada keperluannya, dia tetap dianggap sebagai fakir. Bagi orang yang mempunyai harta sekalipun dia wajib mengeluarkan zakat kerana hartanya mencapai nishâb namun dia tetap diharuskan menerima zakat daripada orang lain kerana dia masih termasuk dalam golongan yang dikategorikan sebagai fakir.

Perkara tersebut bertepatan dengan perkataan Imam al-Ghazali Rahimahullâh di dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn:

Ertinya: Maka adakalanya (seseorang itu) memiliki wang sebanyak seribu dirham dan dia adalah orang miskin dan kadang-kadang (seseorang itu) tidak memiliki (apa-apa) kecuali sebilah kapak dan seutas tali dan dia adalah orang kaya.

Berdasarkan keterangan di atas dapat difahami bahawa orang yang termasuk dalam kategori fakir itu ialah orang yang memiliki salah satu ciri-ciri berikut:

1. Orang yang tidak memiliki harta dan tidak mempunyai pendapatan sama sekali.

2. Orang yang tidak mempunyai harta dan ada pekerjaan tetapi pendapatannya itu tidak mencukupi separuh daripada keperluan harian yang layak bagi dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya tanpa melampaui batas dan tanpa kikir.

3. Orang yang tidak mempunyai pekerjaan dan ada harta tetapi hartanya itu tidak mencukupi separuh daripada keperluan harian yang layak bagi dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya tanpa melampaui batas dan tanpa kikir berdasarkan baki tempoh jangka hayatnya mengikut perkiraan umur yang ghâlib.

4. Orang yang memiliki harta dan mempunyai pekerjaan namun jumlah kedua-duanya tidak mencukupi separuh daripada keperluan harian yang layak bagi dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya tanpa melampaui batas dan tanpa kikir.

Pengertian Miskin

Menurut Imam an-Nawawî Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan miskin ialah siapa yang mampu (mendapatkan) harta atau pekerjaan yang dapat menampung kecukupannya dan (harta atau pendapatan itu) tidak mencukupi.

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan miskin ialah siapa yang mampu (mendapatkan) harta atau pekerjaan halal lagi layak yang dapat menampung kecukupannya dan kecukupan orang yang di bawah tanggungannya daripada makanan dan selainnya dari apa yang telah lalu (telah disebutkan) dan (harta atau pendapatan itu) tidak mencukupi.

Menurut pendapat para ulama mazhab asy-Syafi‘i maksud tidak mencukupi di sini ialah harta atau pendapatan daripada pekerjaannya atau jumlah keseluruhan harta dan pendapatannya tidak dapat memenuhi atau mencukupi keperluan dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Harta atau pendapatannya ataupun jumlah kedua-duanya itu hanya dapat menampung separuh daripada keperluannya seperti orang yang memerlukan sepuluh ringgit tetapi hanya mampu mendapat lima ringgit atau ke atas tetapi tidak mencapai sepuluh ringgit.

Berdasarkan perkataan ulama di atas dapat disimpulkan bahawa miskin ialah orang yang memiliki harta atau mempunyai pekerjaan yang halal dan layak baginya, akan tetapi belum mencukupi sepenuhnya untuk menampung keperluan yang layak untuk dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Harta atau pendapatannya itu hanya cukup untuk menampung separuh daripada keperluan hariannya. Sebagai contoh, orang yang memerlukan wang sebanyak sepuluh ringgit sehari, namun pendapatannya sehari tidak kurang daripada lima ringgit tetapi tidak sampai sepuluh ringgit. Kaedah pengiraan untuk menentukan seseorang itu termasuk dalam golongan yang dikategorikan sebagai miskin adalah sama seperti pengiraan golongan fakir yang dijelaskan di atas.

Ini bererti bahawa kedua-dua golongan fakir dan miskin itu adalah orang yang tidak mampu menampung kecukupan keperluan yang layak bagi dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Perbezaan di antara kedua-dua golongan tersebut hanyalah golongan miskin adalah lebih baik sedikit kedudukannya daripada golongan fakir kerana golongan miskin mampu memenuhi separuh daripada keperluannya berbanding golongan fakir.

Oleh yang demikian sebagaimana kedudukan orang fakir, maka orang miskin yang mempunyai harta yang mencapai nishâb juga diharuskan menerima zakat daripada orang lain sekalipun dia wajib mengeluarkan zakat kerana dia masih termasuk dalam golongan yang dikategorikan sebagai miskin.

Harta yang Tidak Menghalang Status Fakir atau Miskin

Seseorang itu tidak terkeluar daripada kategori fakir atau miskin sekalipun dia memiliki harta sebagaimana berikut:

1. Rumah atau tempat tinggal yang diperlukan serta layak bagi dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya.

2. Pakaian-pakaian yang layak sebagai keperluannya sekalipun untuknya berhias pada hari-hari yang disunatkan berhias seperti pada Hari Raya atau hari Jumaat.

3. Barang-barang perhiasan perempuan yang layak sebagai keperluannya menurut adat kebiasaannya untuk berhias.

4. Kitab-kitab atau buku-buku yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat sekalipun kitab-kitab atau buku-buku tersebut terdiri daripada pelbagai bidang ilmu. Akan tetapi jika dia memiliki koleksi yang banyak bagi satu jenis kitab atau buku, maka hendaklah dijual yang lebih itu melainkan jika ia diperlukan untuk tujuan mengajar umpamanya.

5. Harta yang tidak boleh dibelanjakan atau dimanfaatkan dan dia tidak memperolehi orang yang mahu menghutanginya dalam tempoh dia tidak boleh membelanjakan atau memanfaatkan harta tersebut. Contohnya:

i. Harta yang ghaib, iaitu harta yang berada jauh darinya pada kadar dua marhalah (kira-kira 89.04 kilometer atau lebih) kerana pada ketika ini dia dianggap sebagai orang yang susah (mu‘sir). Dia layak menerima zakat sehinggalah hartanya itu sampai kepadanya.

ii. Harta yang hâdhir (bukan ghaib), tetapi terdapat halangan daripada membelanjakan atau memanfaatkan harta tersebut seperti adanya binatang buas atau berlaku kezaliman yang menyebabkannya sukar untuk mendapatkan hartanya. Secara hukmi dia seperti memiliki harta yang ghaib.

iii. Harta yang dihutangkan kepada orang lain yang berupa ad-dain al-mu’ajjal iaitu hutang yang belum sampai tempoh bagi penghutang untuk melunaskannya. Manakala si pemiutang pula tidak memiliki harta lain selain harta yang dihutangkannya. Oleh kerana itu, dia berhak menerima bahagian zakat ashnâf fakir atau miskin sehinggalah penghutang melunaskan hutangnya.

Akan tetapi jika ada orang yang mahu menghutanginya sejumlah harta yang mencukupi keperluannya dalam ketiga-tiga keadaan di atas, maka dia tidak berhak untuk diberikan zakat.

6. Pendapatan yang haram atau syubhah yang nyata dalam keadaan dia tidak mampu untuk mendapatkan pendapatan yang halal, seperti tidak ada orang yang mengupahnya bekerja kecuali orang yang mempunyai harta yang haram. Dalam hal ini, dia dikira tidak mempunyai pendapatan dan layak diberi zakat sehinggalah dia berkemampuan mencari pendapatan yang halal serta layak baginya. Begitu juga pendapatan daripada pekerjaan yang tidak layak bagi dirinya menurut ‘urf seperti pekerjaan yang menjatuhkan maruahnya.

7. Harta tidak alih yang mempunyai nilai yang rendah. Jika dijual, hasil atau nilainya tidak mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang hidupnya mengikut kiraan umur ghâlib. Dalam hal ini dia tidak perlu menjualnya dan dia tetap berhak mendapat zakat sepenuhnya.

Pengertian al-Ghârimîn

Al-ghârimîn (kata nama jam‘ bagi al-ghârim) ialah orang-orang yang menanggung hutang.

Al-ghârimîn yang berhak menerima zakat daripada bahagian ashnâf al-ghârimîn itu boleh dibahagikan kepada empat golongan:

Golongan pertama: Orang yang berhutang untuk kemashlahatan diri dan orang-orang di bawah tanggungannya.

Syarat-syarat yang ditetapkan bagi melayakkan golongan ini menerima zakat ialah:

i. Hendaklah dia memerlukan zakat tersebut untuk membayar hutangnya kerana tidak mampu membayarnya.

Maksud ‘memerlukan’ di sini bukan bererti seseorang itu mesti berstatus fakir atau miskin untuk mendapatkan kelayakan menerima bahagian zakat ashnâf al-ghârimîn. Dia tetap layak mendapat zakat tersebut sekalipun dia mempunyai harta. Namun harta tersebut sekadar mencukupi bagi keperluan dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya sekira-kira jika hartanya itu digunakan untuk melunaskan hutangnya akan menjadikannya jatuh miskin. Jika dia mempunyai harta yang melebihi keperluannya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya, maka hendaklah ditolak terlebih dahulu daripada hartanya itu keperluan dirinya mengikut kiraan umur ghâlib dan keperluan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Selebihnya dibayarkan kepada hutangnya. Jika hutangnya masih berbaki barulah dibayarkan dengan harta zakat.

Jika dia mampu membayar hutangnya setelah bekerja dan dia mampu bekerja, maka menurut pendapat yang ashah dia tetap layak menerima zakat daripada bahagian ashnâf al-ghârimîn kerana bekerja untuk melangsaikan hutangnya itu memerlukan masa yang lama sedangkan ketika itu sudah sampai tempoh dia membayarnya.

ii. Hendaklah hutangnya itu dalam perkara yang diharuskan dan perkara yang berupa ketaatan seperti makanan, pakaian, nikah dan bukan dalam perkara maksiat dan tidak berlaku pembaziran. Jika dia berhutang pada perkara maksiat atau berlakunya pembaziran, maka dia tidak layak mendapat zakat melainkan setelah dia bertaubat.

iii. Hendaklah hutang itu telah sampai tempoh melunaskannya.

Golongan kedua: Orang yang berhutang untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelingkah dalam perkara harta atau nyawa seperti dia berhutang untuk membayar diyah kepada keluarga mangsa kerana tidak diketahui pembunuhnya bagi mengelak berlakunya perbalahan dan fitnah di antara dua pihak yang bertelingkah.

Golongan ketiga: Orang yang berhutang bagi tujuan mashlahat umum orang-orang Islam seperti pembinaan jambatan, pembebasan tawanan, membina masjid dan seumpamanya.

Golongan kedua dan ketiga ini layak diberikan zakat daripada bahagian ashnâf al-ghârimîn sekalipun dia kaya selama mana hutang itu masih dalam tanggungannya dan tempoh melunaskannya telah sampai.

Golongan keempat: Orang yang menjamin hutang orang lain dan penjamin dituntut membayarnya kerana tempoh pembayarannya telah sampai. Pemberian harta zakat daripada bahagian ashnâf al-ghârimîn adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:

i. Penjamin dan orang yang dijamin kedua-duanya adalah orang yang susah (mu‘sir), maka zakat layak diberikan kepada salah seorang daripada kedua-duanya dan yang lebih utama (aulâ) zakat itu diberikan kepada orang yang dijamin.

ii. Jika kedua-duanya adalah orang yang senang (mu’sir), maka kedua-duanya tidak layak mendapat zakat.

iii. Jika penjamin adalah orang susah sedangkan orang yang dijamin orang senang, maka zakat hanya diberikan kepada penjamin sekiranya dia menjamin tanpa izin. Manakala jika dia menjamin dengan izin orang yang dijamin, maka dia tidak layak mendapat zakat kerana dia boleh menuntut semula bayaran hutang yang dijaminnya kepada orang yang dijamin.

iv. Jika orang yang dijamin adalah orang susah dan penjamin adalah orang senang, maka zakat hanya layak diberi kepada orang yang dijamin untuk membayar hutangnya.

Fakir, Miskin dan al-Ghârimîn yang Mempunyai Simpanan Tabung Amanah Pekerja (TAP)

Wang simpanan Tabung Amanah Pekerja (TAP) ialah wang caruman melalui pemotongan gaji pekerja setiap bulan dan dicampur dengan caruman majikan sebagai pemberian atau sumbangan. Tujuan skim TAP ini adalah bagi memberikan perlindungan sosial yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak kerajaan sebagai simpanan tunai bagi menjamin hari-hari tua pekerja-pekerja di sektor swasta dan pekerja-pekerja tidak berpencen di sektor awam.

Sekalipun ia di bawah kawalan dan pengendalian pihak TAP, wang simpanan TAP tersebut adalah tetap menjadi hak milik pencarum sepenuhnya yang tidak akan hilang, lucut atau berpindah milik. Pencarum tetap mempunyai hak dan kuasa untuk menuntut terhadap wang simpanan TAP tersebut namun dia hanya dapat mentasharrufkannya apabila wang simpanan tersebut diserahkan oleh TAP kepadanya.

Wang simpanan TAP hanya boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh pencarum apabila ada kebenaran pihak pengurusan TAP melalui skim pengeluaran yang telah ditetapkan dengan berdasarkan keterangan dan syarat-syarat tertentu. Skim pengeluaran itu adalah seperti berikut:

1. Skim Persaraan 50 tahun. 2. Skim Pengeluaran selepas 55 tahun. 3. Skim Hak Waris. 4. Skim Hilang Keupayaan. 5. Skim Berhijrah ke Negara Lain. 6. Skim Pembinaan atau Pembelian Rumah.

Berdasarkan skim pengeluaran wang TAP di atas, dapat difahami bahawa sekalipun wang tersebut dimiliki sepenuhnya oleh pencarum, namun pencarum tidak mempunyai kuasa untuk menggunakan dan membelanjakannya pada waktu dia memerlukannya.

Ini bererti, pencarum di Tabung Amanah Pekerja yang sudah mempunyai kumpulan simpanan wang adalah tidak terhalang daripada layak mendapat zakat bahagian ashnâf fakir, miskin dan al-ghârimîn sekiranya menepati kriteria fakir, miskin dan al-ghârimîn sepertimana yang telah dijelaskan kerana dia terhalang daripada menggunakan dan membelanjakan wang simpanan tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12968