Hukum Dan Undang-Undang Islam Menangani Pengamal Sihir Dan Pengupah Pengamal Sihir
Soalan: Apakah hukum dan undang-undang Islam serta dalil untuk menentang bagi menangani masalah tukang sihir dan pengupah tukang sihir?
Jawapan: Kewujudan sihir merupakan suatu hakikat yang tidak dinafikan oleh Islam. Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitab al-Muhadzdzab, sihir ialah suatu hakikat yang boleh memberi kesan dalam menyakiti dan membinasakan jasad manusia. Ini adalah pendapat al-mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i berdasarkan suruhan atau perintah Allah Ta‘ala supaya memohon perlindungan daripada kejahatan pengamal-pengamal sihir. Sekiranya sihir tidak wujud atau tidak mempunyai hakikat nescaya tidaklah kita disuruh berlindung daripadanya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan daripada kejahatan tukang-tukang sihir yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan. (Surah al-Falaq: 4)
Dalam kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah menjelaskan, ulama mempunyai perbezaan pendapat yang luas dalam mendefinisikan sihir dari segi istilah. Perbezaan pendapat adalah disebabkan halus dan tersembunyinya tabiat dan kesan sihir itu. Maka dari itu definisi ulama tentang sihir berbeza mengikut perbezaan pandangan mereka terhadap hakikat sihir. Antara ulama yang mendefinisikannya dari segi istilah ialah Imam al-Baidhawi Rahimahullâh dalam kitab Tafsîr al-Baidhawi, beliau berkata:
Ertinya: Suatu perkara yang dipohonkan pertolongan dalam menghasilkannya dengan mendekatkan diri kepada syaitan daripada perkara yang tidak dapat dihasilkan sendiri oleh manusia dan yang demikian itu tidak akan terjadi secara tetap kecuali bagi orang yang serasi dengannya (syaitan) dalam kejahatan dan kekejian jiwa.
Dalam kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah pula, sihir ialah perbuatan meminta pertolongan kepada jin ke atas perkara yang tidak terdaya oleh manusia.
Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh ketika menjelaskan perkataan Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh mengenai sihir, beliau berkata:
Ertinya: Praktis jiwa-jiwa yang jahat (berbentuk) perbuatan-perbuatan dan kata-kata (seperti jampi) yang boleh mengakibatkan perkara-perkara (luar biasa) yang menyalahi adat.
Manakala pengertian sihir menurut Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam sebagaimana dalam Bab 151 (1) dan (2) adalah seperti berikut:
151. (1) Bagi maksud-maksud bab-bab 152, 153 dan 154, “sihir” bermakna ikatan, jampi, mantera, perkataan atau ungkapan yang tertentu atau nama-nama khas yang diucapkan atau ditulis atau melakukan sesuatu perbuatan, dengan tujuan jahat yang mendatangkan kesan dan akibat, yang pada kebiasaannya menyebabkan mudarat terhadap tubuh, hati atau akal orang yang disihir; pada kebiasaannya tukang sihir mendekatkan diri kepada, atau meminta atau memohon pertolongan daripada Iblis, syaitan, jin, semangat jahat, makhluk halus, hantu dan yang seumpamanya.
(2) Dalam bab ini, “ikatan” bermakna suatu seni atau cara untuk mengikat sesuatu benda yang digunakan untuk melakukan sihir seperti dengan menggunakan tali, benang, kain dan sebagainya.
Daripada pengertian-pengertian di atas, dapat difahami bahawa sihir adalah suatu amalan jahat yang melibatkan persekongkolan manusia dengan jin dan syaitan yang biasanya untuk memudharatkan orang-orang tertentu.
Hukum Sihir
Asy-Syaikh asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj menyatakan bahawa orang yang sengaja melakukan sihir, mengajar atau belajar sihir adalah berdosa dan semuanya itu adalah haram kerana ditakuti fitnah (terpengaruh dengan sihir) dan kemudharatannya kepada manusia.
Dalil pengharaman tersebut adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan mereka menurut apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan (ajaran sihir) dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman padahal Nabi Sulaiman tidak kafir (tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu) tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir kerana mereka telah mengajarkan ilmu sihir itu kepada manusia dan mengajarkan apa yang diturunkan kepada kedua-dua malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut sedang kedua-dua malaikat itu tidak mengajarkan sesuatu kepada seorang pun melainkan setelah menasihatinya dengan mengatakan: “Sesungguhnya, kami ini adalah sebagai cubaan maka janganlah menjadi kufur (dengan mempelajarinya).” Dalam pada itu ada juga orang-orang Yahudi belajar daripada kedua-duanya ilmu sihir yang boleh memisahkan seorang suami dengan isterinya padahal tidaklah mereka itu boleh memudharatkan orang lain dengan ilmu sihir itu melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka itu mempelajari perkara yang akan memudharatkan diri mereka sendiri dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sesungguhnya kaum Yahudi itu telah mengetahui bahawa sesiapa yang memilihnya (ilmu sihir itu) tidaklah akan mendapat bahagian yang baik di Akhirat. Dan sesungguhnya sangatlah buruk apa yang mereka pilih untuk diri mereka itu kalau mereka mengetahui. (Surah al-Baqarah: 102)
Dalil pengharaman sihir berdasarkan sunnah pula ialah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara (dosa besar) yang membinasakan. (Para sahabat Radhiallâhu ‘anhum) berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah ia?” Baginda bersabda: “Mempersekutukan Allah (dengan sesuatu), (mengamalkan) sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak (yang dibenarkan oleh syara‘), memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri semasa hari pertempuran (dengan musuh Islam) dan menuduh (zina) terhadap perempuan beriman yang menjaga kesucian lagi menjauhi perkara keji.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan dalil-dalil di atas, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir bahawa melakukan sihir yang tidak terdapat padanya perkara kufur, mengajarnya, mempelajarinya dan juga meminta melakukannya adalah dikategorikan sebagai dosa-dosa besar.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ dan al-Minhâj Syarh Shahîh Muslim, hukum melakukan, mempelajari dan mengajar sihir adalah haram. Jika orang itu beri‘tiqâd bahawa sihir diharuskan sedangkan dia tahu ia diharamkan, maka dia dihukumkan kafir kerana mendustakan apa yang diharamkan oleh Allah dan dihukum bunuh sebagaimana dihukum bunuh orang yang murtad.
Menurut beliau lagi dalam kitabnya al-Minhâj Syarh Shahîh Muslim, orang yang melakukan sihir, mempelajari dan mengajar sihir juga dihukumkan kafir apabila terdapat perkataan atau perbuatan yang membawa kepada kekufuran dalam melakukan sihir itu. Jika tidak terdapat perkataan atau perbuatan yang membawa kepada kekufuran, maka tidak dihukumkan kafir.
Imam as-Subki Rahimahullâh dalam kitabnya Fatâwa as-Subki ketika menjawab soalan tentang hukuman terhadap pengamal sihir, beliau mengatakan bahawa menurut mazhab asy- Syafi‘i, keadaan pengamal sihir itu boleh dibahagikan kepada tiga keadaan berikut:
1. Keadaan dia dihukum bunuh kerana kafir.
2. Keadaan dia dihukum bunuh sebagai qishâsh.
3. Keadaan dia tidak dihukum bunuh tetapi dikenakan hukuman ta‘zîr (hukuman yang ditetapkan oleh pemerintah).
Pengamal Sihir Dihukum Bunuh Kerana Kafir
Imam as-Subki Rahimahullâh menyatakan bahawa menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh, keadaan pengamal sihir yang dihukum bunuh kerana kafir itu adalah disebabkan dia telah melakukan sihir yang terdapat di dalamnya kekufuran. Dalam hal ini, ulama asy-Syafi‘iyyah Rahimahumullâh memberikan tiga contoh seperti berikut:
1. Mengucapkan perkataan yang mengandungi kekufuran, maka ucapan sedemikian itu yang mewajibkan dia dibunuh. Jika dia bertaubat, diterima taubatnya dan dilepaskan daripada hukuman bunuh. Hukuman bunuh dalam perkara ini adalah tsabit apabila ada iqrâr (pengakuan) dan bayyinah (keterangan dua orang saksi).
2. Mempercayai kuasa bintang-bintang yang tujuh dan kemampuannya melakukan sesuatu dengan kuasanya sendiri. Maka kepercayaan sedemikian itu yang mewajibkan dia dibunuh. Jika dia bertaubat, diterima taubatnya. Hukuman bunuh dalam perkara ini adalah tsabit dengan adanya iqrâr.
3. Mempercayai bahawa dialah yang sebenarnya berkuasa mengubah sesuatu dengan sihirnya. Maka kepercayaan sedemikian itu yang mewajibkan dia dibunuh. Jika dia bertaubat, diterima taubatnya dan dilepaskan daripada hukuman bunuh. Hukuman bunuh dalam perkara ini adalah tsabit dengan adanya iqrâr.
Pengamal Sihir Dihukum Bunuh Kerana Qishâsh
Pengamal sihir yang dihukum bunuh sebagai qishâsh ialah apabila dia membuat pengakuan bahawa dia yang membunuh seseorang itu dengan sihirnya seumpama dia berkata bahawa orang tersebut mati kerana sihirnya dan sihirnya itu pada kebiasaannya boleh membunuh, maka pada ketika itu pengamal sihir tersebut dihukum bunuh sebagai qishâsh. Hukuman bunuh bagi keadaan ini tidak tsabit melainkan dengan iqrâr. Hukuman qishâsh ini tidak terlepas dengan bertaubat.
Para ulama asy-Syafi‘iyyah Rahimahumullâh menerangkan berkenaan hukuman membunuh menggunakan sihir adalah tsabit dengan iqrâr; umpamanya pengamal sihir mengaku berkata: “Aku telah membunuhnya dengan sihirku.” Maka jika dia berkata: “Sihirku biasanya membunuh” atau kesaksian daripada dua orang ‘âdil bekas pengamal sihir yang telah bertaubat menyatakan bahawa sihir tersebut memang biasanya membunuh, maka pembunuhan tersebut adalah dikira sebagai qatl al-‘amd (pembunuhan sengaja) dan dikenakan hukuman qishâsh.
Manakala jika pengamal sihir mengakui bahawa dia telah membunuh dengan sihirnya dan menyatakan bahawa sihirnya itu jarang menyebabkan kematian atau dua orang ‘âdil bekas pengamal sihir bersaksi bahawa sihir tersebut jarang menyebabkan kematian tetapi orang yang disihir mati disebabkan sihir tersebut, maka pembunuhan tersebut adalah dikategorikan sebagai qatl syibh al-‘amd (pembunuhan seumpama sengaja).
Jika pengamal sihir mengaku bahawa dia tidak sengaja atau tersilap menyebut nama orang lain yang bukan dimaksudkan untuk disihir, maka pembunuhan tersebut adalah dikategorikan sebagai qatl al-khatha’ (pembunuhan tidak sengaja). Kedua-dua qatl syibh al-‘amd dan qatl al-khatha’, pengamal sihir dikenakan hukuman membayar diyah daripada hartanya.
Pendapat Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh di atas mengenai hukum bunuh kerana kafir dan hukum bunuh kerana qishâsh adalah berdasarkan hadits daripada Abu Umamah bin Sahl Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak halal darah seorang Islam kecuali dengan salah satu daripada tiga (perkara); (menjadi) kafir setelah Islam, (melakukan) zina setelah ihshân (berkahwin) atau membunuh seseorang (dengan sengaja) bukan kerana (dibenarkan membunuh) seseorang. (Hadits riwayat Abu Daud)
Pengamal Sihir Dihukum Ta‘zîr
Selain dari dua keadaan di atas iaitu pengamal sihir dibunuh kerana kafir dan pengamal sihir dibunuh kerana qishâsh, pengamal sihir juga boleh dikenakan hukuman ta‘zîr kerana semata-mata mengamalkan sihir. Sekiranya dia bertaubat, maka diterima taubatnya. Walau bagaimanapun, dia dikehendaki membayar ganti rugi apa-apa kerosakan yang dia mengaku disebabkan oleh sihirnya sepertimana dia dikehendaki membayar diyah apabila dia mengakui tersilap bunuh orang yang hendak dibunuhnya.
Jika pengamal sihir mengakui bahawa dia menganiaya seseorang dengan sihirnya tetapi bukan sihirnya yang menyebabkan dia sakit, maka pengamal sihir tersebut perlu dicegah, jika dia mengulanginya maka dikenakan hukuman ta‘zîr.
Jika pengamal sihir mengaku bahawa dia yang membuat seseorang itu sakit dengan sihirnya, maka dia dikenakan hukuman ta‘zîr. Jika orang tersebut sakit kerana sihirnya dan menderita sakit sehingga mati, ia adalah lauts iaitu sangkaan kuat yang menunjukkan kebenaran tuduhan bunuh jika ada keterangan yang mengesahkan orang tersebut menderita sakit kerana sihirnya sehingga mati. Kemudian hendaklah wali si mati itu bersumpah bahawa kematian tersebut adalah kerana sihir dan wali itu berhak menerima diyah. Jika pengamal sihir itu mendakwa bahawa orang yang disihir itu telah sembuh daripada penyakitnya sebelum dia mati, maka diakui kebenaran dakwaannya dengan sumpahnya.
Jika pengamal sihir mengakui telah membunuh seseorang dengan sihirnya tetapi tidak menentukan siapa yang disihirnya itu, maka dia dikenakan hukuman ta‘zîr kerana telah melakukan perbuatan haram. Dia tidak dikenakan hukuman qisâsh mahupun hukuman hadd kerana orang yang berhak (menuntut qisâsh) tidak tertentu.
Pada asalnya pembunuhan dengan sihir itu tidak boleh ditsabitkan dengan menggunakan bayyinah (keterangan saksi) kerana saksi tidak mengetahui niat pengamal sihir dan tidak dapat menyaksikan kesan sihirnya. Walau bagaimanapun disebutkan dalam kitab al-Kifâyah bahawa apa-apa yang terjadi daripada sihir tersebut boleh juga tsabit dengan menggunakan bayyinah (keterangan saksi). Umpamanya pengamal sihir berkata: “Aku telah menyihirnya dengan jenis sihir ini” lalu ada dua orang ‘âdil bekas pengamal sihir yang telah bertaubat memberi keterangan bahawa jenis sihir ini biasanya boleh membunuh atau jarang boleh membunuh, maka pembunuhan dengan sihir itu tsabit dengan kesaksian mereka berdua.
Mendatangi Pengamal Sihir
Mendatangi pengamal sihir, memberi upah kepada mereka atau mengambil upah untuk melakukan sihir juga adalah haram seumpama haram mendatangi tukang tilik, memberi upah kepada mereka atau mengambil upah untuk melakukan tilikan dan lain-lain seumpamanya sebagaimana diterangkan oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al- Muhtâj. Hukum ini adalah berdasarkan hadits daripada ‘Imran bin Hushain Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bukan daripada kalangan kami orang yang meramal atau dibuatkan ramalan untuknya, menilik atau dibuatkan tilikan untuknya, menyihir atau dibuatkan sihir untuknya dan sesiapa yang menyimpul simpulan (sihir) – atau Baginda bersabda: “Sesiapa yang menyimpul simpulan – dan sesiapa yang mendatangi tukang tilik lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah mengingkari apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. (Hadits riwayat al-Bazzar)
Ancaman lain mendatangi tukang tilik dan seumpamanya ialah sembahyangnya tidak diterima selama empat puluh malam sebagaimana hadits daripada sebahagian isteri Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi tukang tilik (yang mengkhabarkan perkara-perkara ghaib yang berlaku) lalu menanyakannya tentang sesuatu, tidak akan diterima baginya sembahyang empat puluh malam. (Hadits riwayat Muslim)
Larangan mengupah pengamal sihir sebagaimana yang diterangkan di atas juga tsabit berdasarkan hadits yang melarang memberi pemberian kepada tukang tilik sebagaimana disebut dalam hadits daripada Abu Mas‘ud al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang daripada (menerima) harga (jualan) anjing, mahar pelacur (upah berzina) dan upah tukang tilik. (Hadits riwayat Muslim)
Imam al-Mawardi Rahimahullâh menyebut dalam kitab al-Ahkâm as-Sulthâniyyah bahawa antara tugas pegawai hisbah (orang yang dilantik oleh pemerintah untuk melaksanakan perkara ma‘rûf dan mencegah perkara mungkar), mereka hendaklah mencegah perbuatan mencari pendapatan melalui kegiatan menilik dan mengambil tindakan dengan mengenakan hukuman ke atas pemberi dan penerima upah menilik sebagai pengajaran kepada mereka. Jika perbuatan menilik pun perlu dicegah dan dikenakan hukuman sedangkan ia hanya satu cabang daripada sihir, maka adalah lebih utama perbuatan mengamalkan sihir dan mendatangi pengamal sihir untuk dicegah dan dikenakan hukuman sebagai pengajaran.
Undang-undang Mengenai Sihir
Sewajarnya untuk lebih berkesan mencegah kegiatan sihir perlu ada undang-undang. Di Negara Brunei Darussalam, satu akta berkaitan sihir telah pun digubal. Antara objektifnya ialah bagi menangani isu sihir ini sebagaimana peruntukan yang terkandung dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah 2013 dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam berkenaan mengamalkan sihir dan meminta pertolongan daripada ahli sihir:
208. (1) Mana-mana orang yang mengamalkan atau mengiklankan sihir adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $20,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
(2) Mana-mana orang yang meminta pertolongan daripada ahli sihir untuk mencapai apa-apa hajatnya adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala berkenaan pembunuhan menggunakan sihir:
152 (1) Mana-mana orang yang melakukan qatl dengan sihir yang pada kebiasaannya boleh menyebabkan kematian dan dibuktikan dengan ikrar tertuduh adalah melakukan kesalahan qatlul-‘amd dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum mati sebagai qisas.
(3) Mana-mana orang yang melakukan qatl dengan sihir yang –
(a) kadang-kadang atau jarang-jarang boleh menyebabkan kematian;
(b) dimaksudkan untuk menyebabkan kematian seseorang yang tertentu tetapi telah menyebabkan kematian orang lain, kematian yang dia tidak bermaksud akan menyebabkan kematian kepada orang lain tersebut, dan dibuktikan dengan ikrar tertuduh adalah melakukan suatu kesalahan qatlu syibhil- ‘amd dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman dengan membayar diyat kepada wali-ad-dam mangsa dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun.
Sebagai kesimpulan, mengamalkan sihir dan meminta pertolongan atau mengupah pengamal sihir untuk menyihir orang adalah haram dan dosa besar berdasarkan al-Qur’an dan sunnah sebagaimana penerangan ulama di atas. Pengamal sihir dan orang yang meminta pertolongan atau mengupah pengamal sihir boleh dikenakan hukuman ta‘zîr. Malah jika sihir itu menyebabkan kematian, maka boleh dikenakan hukuman bunuh sebagai qishâsh jika tsabit kesalahan sebagai qatl al-‘amd (pembunuhan sengaja) atau dikenakan hukuman dengan membayar diyah jika tsabit kesalahan sebagai qatl syibh al-‘amd (pembunuhan seumpama sengaja) atau qatl al-khatha’ (pembunuhan tidak sengaja).
Sihir juga boleh merosakkan ‘aqidah kerana menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dihukumkan kafir jika sihir tersebut mengandungi perkara kufur serta boleh dihukum bunuh kerana kafir sebagai hukuman hadd seumpama orang murtad. Walau bagaimanapun semua hukuman tersebut adalah tertakluk kepada penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12972
