Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Hukum Membeli Insurans Konvensional

Soalan: Apakah hukum membeli insurans? Adakah kita sebagai umat Islam dibolehkan membeli insurans seperti daripada syarikat AIA?

Jawapan: Syarikat AIA merupakan sebuah syarikat insurans konvensional yang menanggung insurans nyawa terbesar di dunia dan operasinya tertumpu di rantau Asia Pasifik. Syarikat ini menawarkan pelbagai produk insurans konvensional seperti insurans perubatan, insurans kemalangan dan insurans nyawa.

Insurans menurut istilah bermaksud ‘aqad yang mewajibkan penjual insurans (syarikat insurans) membayar sejumlah wang atau bayaran secara beransur atau sebarang bayaran pampasan kepada pembeli insurans atau penerima faedah (beneficiary) apabila berlaku kemalangan atau musibah yang dilindungi oleh ‘aqad sebagai timbal balas kepada bayaran premium (bayaran belian insurans) yang dibayar oleh pembeli insurans kepada syarikat insurans.

Berdasarkan pengertian di atas dapat difahami bahawa ‘aqad insurans yang dipraktikkan dalam sistem insurans konvensional ialah ‘aqad jual beli antara syarikat insurans dan pembeli insurans. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa ‘aqad insurans yang diaplikasikan oleh syarikat insurans konvensional adalah insurans perniagaan (التأمي التجاري).

Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam persidangannya yang kedua di Jeddah pada tahun 1406H/1985M mengenai perkara Insurans dan Insurans Semula (Reinsurance), telah mengeluarkan resolusi bahawa ‘aqad insurans perniagaan yang mempunyai premium (bayaran) tetap yang diamalkan oleh syarikat-syarikat insurans perniagaan (konvensional) merupakan ‘aqad yang mengandungi gharar (ketidakpastian) yang besar dan merosakkan ‘aqad. Oleh kerana itu, insurans perniagaan adalah haram menurut syara‘.

Begitu juga Akademi Fiqh Islam, Liga Dunia Islam (Rabithah al-‘Alam al-Islami) dalam persidangannya yang pertama pada 10 Sya‘ban 1398H di Makkah al-Mukarramah mengenai perkara Insurans dan Jenis-Jenisnya, telah mengeluarkan resolusi pengharaman insurans dan semua jenis-jenisnya sama ada insurans nyawa, insurans barang-barang perniagaan dan selainnya.

Adapun antara sebab yang menjadi alasan mereka mengharamkan perniagaan insurans tersebut:

1. ‘Aqad insurans perniagaan mengandungi gharar yang besar kerana pembeli insurans tidak mengetahui semasa ‘aqad tentang kadar bayaran sebenar yang membolehkan dia mendapat pampasan atau kepastian untuk menerima pampasan kerana adakalanya pembeli insurans mendapat pampasan dengan hanya sekali atau dua kali bayaran sahaja apabila berlaku musibah dan adakalanya pula, pembeli insurans tidak mendapat pampasan kerana tidak berlaku musibah sekalipun dia membayar bayaran ansuran sepenuhnya. Begitu juga, syarikat insurans tidak dapat menetapkan kadar bayaran sebenar yang membolehkan syarikat insurans memberi pampasan dan kadar sebenar yang diterimanya dari bayaran pembeli insurans sebagai timbal balas kepada pampasan.

Larangan berjual beli yang mengandungi gharar ini ada disebut dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang jual beli hashah (jual beli dengan cara melontar batu kerikil ke atas benda yang dijual) dan jual beli gharar. (Hadits riwayat Muslim)

2. ‘Aqad insurans perniagaan adalah ‘aqad yang mengandungi unsur maisir (perjudian) iaitu pertaruhan nasib. Pembeli insurans akan mengalami kerugian apabila tidak berlaku tuntutan bagi sebarang musibah dan dalam waktu yang sama syarikat insurans mendapat untung kerana mendapat harga belian insurans tanpa sebarang tukaran yang diberikan kepada pembeli insurans. Begitu juga sebaliknya, syarikat insurans akan menanggung kerugian kerana membayar pampasan apabila berlaku musibah dan dalam waktu yang sama pembeli insurans mendapat untung kerana mendapat pampasan dengan hanya membayar sebahagian bayaran ansuran sahaja.

Sebagai contoh, pembeli insurans baru sahaja membayar dua kali bayaran ansuran insurans dan tiba-tiba berlaku musibah, maka syarikat insurans perlu membayar pampasan yang dijanjikan kepada pembeli insurans. Dalam situasi ini, pembayaran pampasan tersebut adalah satu kerugian kepada syarikat.

Namun apabila tiada sebarang musibah berlaku, syarikat insurans akan memperolehi keuntungan daripada wang yang dibayar oleh pembeli insurans kerana tidak ada sebarang tukaran yang diberi oleh syarikat insurans kepada pembeli insurans. Muamalah yang menggantungkan untung atau rugi kepada nasib itu adalah dari unsur maisir. Maisir adalah dilarang dalam Islam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). (Surah al-Mâ‘idah: 90)

3. ‘Aqad insurans perniagaan mengandungi riba al-fadhl dan riba an-nasa’ kerana ia melibatkan pertukaran (jual beli) wang dengan wang iaitu wang bayaran premium dan wang bayaran pampasan. Apabila syarikat insurans membayar pampasan kepada pembeli insurans atau warisnya atau penerima faedah dalam jumlah yang lebih tinggi daripada kadar yang telah dibayar oleh pembeli insurans, maka menurut syara‘ transaksi tersebut adalah riba al-fadhl dan manakala pembayaran pampasan oleh syarikat setelah berlalu suatu tempoh masa (pertukaran tidak dilakukan secara serentak), maka menurut syara‘ transaksi tersebut adalah riba an-nasa’. Sekiranya syarikat insurans membayar pampasan kepada pembeli insurans sejumlah bayaran yang sama dengan bayaran premium yang sudah dibayar oleh pembeli insurans, maka dalam situasi ini tetap juga berlaku riba iaitu riba an-nasa’. Riba adalah haram sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Berdasarkan keterangan di atas, hukum bermuamalah dengan syarikat insurans konvensional seperti membeli produk-produk insurans daripada syarikat AIA adalah haram kerana muamalat tersebut mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum syara‘ seperti gharar, maisir dan riba.

Oleh itu, orang-orang Islam wajib menghindari daripada bermuamalah dengan syarikat insurans konvensional, lebih-lebih lagi pada waktu ini sudah ada syarikat insurans Islam atau syarikat takaful yang menawarkan produk-produknya yang patuh syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12977