Kedudukan Lebihan Wang Zakat Fitrah Yang Diberikan Kepada ‘Âmil
Soalan: Seorang pembayar zakat fitrah telah menyerahkan wang zakatnya berjumlah $10.00 (Sepuluh Ringgit) kepada seorang ‘âmil bagi menunaikan zakat fitrah untuk dirinya dan 2 (dua) orang tanggungannya. Kadar zakat fitrah tersebut ialah $8.52 (Lapan Ringgit Lima Puluh Dua Sen). Selepas pembayaran, dia sepatutnya menerima baki berjumlah $1.48 (Satu Ringgit Empat Puluh Lapan Sen) daripada ‘âmil, walau bagaimanapun wang lebihan ini tidak diambilnya bahkan disedekahkannya kepada ‘âmil.
Persoalannya: Adakah ‘âmil boleh mengambil wang lebihan itu dari segi hukum syara‘, iaitu setelah pembayar zakat itu melafazkan bahawa lebihan tersebut disedekahkan kepada ‘âmil yang menerima dan apakah pula kedudukan lebihan wang zakat yang tidak diambil semula oleh pembayar zakat itu dan dia tidak pula menyatakan menyedekahkannya kepada ‘âmil?
Jawapan: ‘Âmil ialah petugas yang dilantik untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu dalam mengurus dan menyelaras hal ehwal zakat. Tugas-tugas bagi ‘âmil itu antaranya ialah mengutip, menerima, mencatat, mengumpul, mengira, memelihara, mengagihkan zakat dan sebagainya. Imam Ibn Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj al-Qawîm ‘ala al-Muqaddimah al- Hadhramiyyah menyebut:
Ertinya: (Para ‘âmil zakat) dan di antara mereka ialah as-sâ‘i (iaitu) orang yang diutus oleh pemerintah untuk mengutip zakat dan pengutusannya itu adalah wajib dan syaratnya hendaklah dia (as-sâ‘i) itu faqîh (mengetahui hukum zakat) dengan apa (tugas) yang diberikan kepadanya, dan antaranya (syarat-syarat itu lagi ialah) hendaklah dia seorang Muslim, mukallaf, merdeka, ‘âdil, mendengar, melihat dan lelaki kerana ia merupakan jenis al-wilâyah (kekuasaan), dan (termasuk dalam kategori ‘âmil ialah) al-kâtib (pencatat harta zakat), al-qâsim (orang yang membahagikan harta zakat), al-hâsyir (iaitu) orang yang mengumpul (mengenal pasti) pemilik-pemilik harta zakat (pengeluar harta zakat), al-‘arîf iaitu orang yang mengenal pasti penerima-penerima harta zakat, al-hâsib (orang yang mengira harta zakat), al-hâfizh (penjaga harta zakat), al-jundiy (pengawal keselamatan harta zakat), al-jâbi (orang yang menjalankan pengutipan harta zakat) dan (boleh) ditambah (bilangan) mereka mengikut kadar hajat yang diperlukan.
‘Âmil adalah salah satu golongan yang berhak menerima zakat berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan ‘âmil-‘âmil, dan orang-orang yang dijinakkan hatinya dengan Islam (mu’allaf), dan untuk memerdekakan hamba sahaya, dan orang-orang yang berhutang, dan (untuk pejuang-pejuang yang berjihâd) pada jalan Allah dan orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya). Itulah ketetapan daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 60)
Menurut para ulama, bahagian yang berhak diterima oleh ‘âmil daripada bahagian zakat ialah kadar upah mengikut tugas yang dilakukannya sahaja dalam pengutipan zakat.
Dalam melaksanakan tugas mengutip zakat fitrah yang sudah ditetapkan kadarnya, kebanyakan pembayar zakat tidak menuntut lebihan atau baki wang zakat fitrah yang patut dibayarnya seperti pembayar zakat memberikan wang $10 untuk bayaran zakat fitrah sebanyak $8.52. Pembayar zakat tidak menuntut baki sebanyak $1.48 daripada ‘âmil. Maka timbul persoalan adakah ‘âmil boleh mengambil lebihan atau baki wang tersebut jika lebihan atau baki wang itu dinyatakan oleh pembayar zakat sebagai sedekah kepada ‘âmil atau tanpa menyatakannya sebagai sedekah kepada ‘âmil?
Dalam sebuah hadits daripada Abu Humaid as-Sa‘idi Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengutus seorang lelaki dari Bani Asad yang bernama Ibn al-Lutbiyyah. (‘Amr dan Ibn Abu ‘Umar berkata: Atas (tugas mengutip) zakat). Ketika dia datang (kembali), dia berkata: “Ini untuk kamu dan ini dihadiahkan kepadaku.” Dia (Abu Humaid as-Sa‘idi Radhiallâhu ‘anhu) berkata: “Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdiri di atas mimbar seraya memuji Allah dan menyanjungNya dan Baginda bersabda: “Apakah halnya seorang ‘âmil yang saya mengutusnya dan dia berkata: “Ini untuk kamu dan ini dihadiahkan untukku.” Tidakkah (kalau) dia duduk (saja) di rumah bapanya atau di rumah ibunya lantas dia menunggu, adakah dihadiahkan kepadanya atau tidak? Demi Zat (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tanganNya (kekuasaanNya), tidak ada seorang daripada kamu yang mengambil sesuatu daripadanya melainkan dia datang pada Hari Kiamat dengannya membawanya di atas lehernya unta yang merengus atau sapi yang menguak atau kambing yang mengembek.” (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Syarh Shahîh Muslim, hadits ini menjelaskan tentang haramnya hadiah yang diterima oleh petugas dan ia suatu pengkhianatan kerana dia telah mengkhianati bidang kuasa tugasnya dan juga amanahnya. Sebab diharamkan hadiah kepada petugas itu ialah kerana ada lantikan untuk melaksanakan tugasnya. Menurut para ulama, hadiah atau pemberian yang diterima itu tidak menjadi milik petugas dan hendaklah diserahkan kepada Baitul-Mal.
Dari penjelasan di atas, dapat difahami bahawa ‘âmil adalah antara golongan yang berhak menerima bahagian daripada pengagihan zakat. Bahagian yang berhak diterima ‘âmil daripada bahagian zakat itu ialah kadar upah tugas yang dilakukannya dalam pengutipan zakat. Haram bagi ‘âmil menerima sebarang pemberian sama ada pemberian itu berbentuk sedekah, hadiah atau lainnya kerana menerima pemberian ketika dia ditugaskan sebagai ‘âmil itu termasuk dalam perbuatan khianat kepada bidang kuasa tugasnya.
Ini bermakna, adalah haram ‘âmil mengambil lebihan atau baki wang zakat fitrah sebagaimana permasalahan di atas sama ada lebihan itu dinyatakan oleh pembayar zakat sebagai sedekah kepada ‘âmil atau tanpa menyatakannya sebagai sedekah kepada ‘âmil.
Sekiranya ‘âmil ada menerima lebihan atau baki wang zakat fitrah itu wang tersebut tidak menjadi miliknya bahkan hendaklah dia menyerahkannya kepada Baitul-Mal.
Sebagai irsyâd, adalah disarankan kepada pihak Majlis Ugama Islam Brunei supaya para ‘âmil diberi maklumat dan penjelasan mengenai perkara ini supaya tidak berlaku pengambilan wang yang mereka tidak berhak.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12981
