Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Kewajiban Menunaikan Amanah

Soalan: Terdapat sebidang tanah pajakan - 55 tahun. Tanah tersebut pada awalnya adalah tanah yang dideposit dan diganti daripada tanah yang lain.

Tanah awal ini adalah pemberian daripada ayahanda kami yang didepositkan atas nama saudara kandung saya yang tertua dengan harapan untuk dibahagi-bahagikan kepada adik-beradik yang lain.

Sebelum ayahanda kami meninggal dunia, beliau telah menerangkan kepada saya dan adik-beradik yang berkenaan termasuk yang tertua berkaitan siapa yang berhak terhadap tanah tersebut. Ia adalah dikira tanah keluarga, walaupun deposit awal atas nama anak yang tertua namun adik-beradik yang lain juga berhak terhadap tanah tersebut selaras amanah ayahanda kami semasa beliau masih hidup.

Walaupun kami ada sembilan bersaudara termasuk seorang adik angkat, ayahanda kami hanya menyebutkan enam orang antara kami yang berhak untuk dibahagikan tanah tersebut.

Masalah pembahagian tanah ini telah menimbulkan perselisihan keluarga kerana anak yang tertua berkeras tidak mahu memberikan bahagian tanah kepada adik-beradik yang telah disebutkan oleh ayahanda kami. Oleh itu, sukacita dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti agar perselisihan keluarga ini dapat dirungkaikan.

Jawapan: Perkataan amanah adalah lawan bagi perkataan khianat. Amanah berlaku pada setiap perkara yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang daripada at-takâlîf asy-syar‘iyyah (kewajiban-kewajiban syara‘) dan selainnya seperti ibadat, wadî‘ah (harta yang diletakkan kepada seseorang untuk dijaga) dan kepercayaan. Menurut Imam al-Maraghi Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Maraghi, pengertian amanah ialah:

Ertinya: Sesuatu yang dijaga untuk disampaikan kepada tuannya. Sesiapa yang menjaganya dan menyampaikannya dinamakan (sebagai) penjaga, orang yang amanah dan orang yang jujur. Sesiapa yang tidak menjaganya dan tidak menyampaikannya (dinamakan sebagai) pengkhianat.

Daripada pengertian di atas dapat difahami bahawa amanah itu ialah satu tanggungjawab yang diterima oleh seseorang untuk ditunaikan menurut apa yang dikehendaki oleh pemberi amanah. Menyalahi kehendak tersebut adalah dinamakan khianat.

Melaksanakan amanah amat dititikberatkan dalam Islam. Umpamanya dalam perkara wadî‘ah, pemegang amanah adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dan menyerahkan amanah tersebut kepada orang yang berhak menerimanya sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). (Surah an-Nisâ’: 58)

Menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Kabîr wa Mafâtîh al-Ghaib, dalam ayat di atas Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan orang-orang beriman untuk melaksanakan amanah dalam semua urusan sama ada urusan agama ataupun kehidupan dunia. Manakala Imam al-Maraghi Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Maraghi menyatakan bahawa tuntutan melaksanakan amanah dalam ayat di atas adalah termasuk juga amanah seorang insan terhadap insan lain seperti menyerahkan barang titipan kepada yang empunya, tidak menipu, menjaga kerahsiaan dan sebagainya daripada perkara-perkara yang wajib terhadap ahli keluarga, saudara mara terdekat, orang ramai dan pemerintah.

Perintah untuk melaksanakan amanah juga ditekankan dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepadamu (apabila dia menuntutnya). (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan penjelasan di atas, difahami bahawa melaksanakan amanah sama ada amanah terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya mahupun amanah terhadap diri sendiri dan orang lain adalah suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang diamanahkan.

Manakala maksud mengkhianati amanah pula ialah tidak menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya. Perbuatan mengkhianati amanah adalah antara perbuatan yang dilarang dalam Islam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahui. (Surah al-Anfâl: 27)

Perbuatan mengkhianati amanah bukan sahaja melanggar perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, malahan juga menjadi sebab kepada berlakunya kezaliman, penganiayaan dan penindasan yang boleh mencetuskan pergaduhan dan permusuhan sesama manusia apabila pengkhianatan amanah itu berkaitan dengan hak sesama manusia. Di sini timbulnya isu memakan hak orang lain tanpa izin pemiliknya apabila pemegang amanah mengurangi hak orang lain atau mengambil sesuatu melebihi haknya atau ingkar menyerahkan amanah tersebut kepada pihak yang berhak menerimanya. Orang yang mengkhianati amanah akan menerima balasan azab seksa di akhirat kelak sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan tidak mungkin seorang nabi berkhianat (dalam urusan harta rampasan perang). Dan sesiapa yang berkhianat nescaya dia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu pada Hari Kiamat. Kemudian setiap diri akan diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang diusahakannya sedangkan mereka tidak dizalimi. (Surah Âli ‘Imran: 161)

Orang yang mengkhianati amanah juga dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai keimanan yang sempurna. Ini menunjukkan bahawa perbuatan melaksanakan amanah itu sangat terkait dengan kedudukan iman seorang Islam. Perkara ini ada disebut dalam sebuah hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak (sempurna) iman bagi siapa yang tidak (ada) baginya (sifat) amanah dan tidak (sempurna) agama bagi siapa yang tidak (ada) baginya (sifat) menunaikan janji. (Hadits riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadits di atas dapat difahami bahawa pemegang amanah mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat dalam memikul perkara yang diamanahkan kepadanya dan ia bukannya suatu perkara yang boleh diambil ringan dan remeh kerana ia berkait rapat dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Dalam hal ini, pemegang amanah hendaklah bersifat adil, jujur dan bertanggungjawab supaya amanah yang ditanai itu dapat disampaikan dengan baik dan teratur mengikut kemahuan pemberi amanah. Apabila pemegang amanah berjaya menyempurnakan amanah tersebut, maka sudah pasti dia akan dapat meni‘mati ketenangan dan ketenteraman jiwa kerana mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping mengeratkan lagi hubungan baik dalam hidup berkeluarga mahupun bermasyarakat. Perbuatan yang baik dan ikhlas semata-mata untuk memohon keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan dikurniakan ganjaran pahala berlipat kali ganda pada Hari Kiamat kelak. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesiapa yang membawa kebajikan (pada Hari Kiamat), maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda (daripada amalnya) dan sesiapa yang membawa kejahatan maka dia tidak akan dibalas melainkan seimbang dengan (kejahatan)nya sedang mereka (sedikit pun) tidak dianiaya. (Surah al-An‘âm: 160)

Merujuk kepada permasalahan yang dihadapi di atas, difahami bahawa ayahanda penanya telah memberi amanah kepada anaknya yang tertua untuk menyerahkan hak milik tanah kepada adik-beradik yang telah ditetapkannya.

Menurut hukum syara‘, anak yang tertua itu adalah wajib untuk menunaikan amanah tersebut iaitu menyerahkan bahagian-bahagian tanah kepada orang-orang yang berhak menerimanya kerana tanah tersebut bukanlah menjadi hak miliknya seorang sahaja tetapi terdapat juga hak orang lain ke atas tanah tersebut, sekalipun tanah tersebut atas nama beliau sahaja.

Sekiranya beliau masih tidak mahu melaksanakan amanah sebagaimana yang wajib dilaksanakannya menurut hukum syara‘, maka bagi mengelak perselisihan yang berterusan di kalangan keluarga, eloklah dicari jalan secara perundingan atau dirujuk pihak perundangan syar‘iyyah bagi mendapatkan nasihat, di mana dengan nasihat itu kelak dapat menghuraikan masalah yang kusut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12985