Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Lucky Draw (Cabutan Bertuah) Bagi Program Ganjaran Aspirasi 4 Anjuran Bank Islam Brunei Darussalam

Soalan: Adakah lucky draw produk aspirasi 4 anjuran Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bercanggah dengan hukum-hakam Islam?

Jawapan: Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) merupakan sebuah institusi perbankan Islam di Negara Brunei Darussalam yang menjalankan operasi perbankan Islam sepenuhnya. Perkhidmatan dan produk perbankan Islam adalah berasaskan kepada ‘aqad-‘aqad dan konsep-konsep muamalat Islam seperti al-wakâlah (perwakilan), al-bai‘ (jual beli), al-ijârah (sewa), ar-rahn (gadaian), al-hibah (pemberian) dan lain-lain. Manakala perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘ seperti riba, perjudian, gharar (ketidakpastian) dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam operasi perbankan Islam.

Perkhidmatan-perkhidmatan dan produk-produk yang ditawarkan oleh BIBD adalah terlebih dahulu diluluskan patuh syara‘ oleh Badan Penasihat Syariah Bank tersebut. Seterusnya penglulusan tersebut disemak dan mendapat pengesahan daripada Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) sebelum perkhidmatan dan produk tersebut ditawarkan kepada para pelanggan dan termasuk juga Produk BIBD Aspirasi 4 dan Program Ganjaran Aspirasi 4.

Menurut Lembaran Maklumat Produk (Product Disclosure Sheet) yang dikeluarkan oleh BIBD, Aspirasi 4 adalah satu produk kewangan berupa skim sijil simpanan (certificate of deposit) yang berasaskan konsep al-wakâlah. Di bawah konsep ini, pelanggan (muwakkil) membuat ‘aqad al-wakâlah dengan BIBD (wakil) dan memasukkan sejumlah wang ke dalam BIBD untuk digunakan dan dilaburkan ke dalam transaksi pelaburan yang patuh syara‘. Pelanggan produk ini berpotensi untuk memperolehi pulangan yang lebih tinggi daripada akaun simpanan umum (general saving account) hasil daripada pelaburan yang dilaksanakan oleh BIBD.

Pelanggan produk Aspirasi 4 secara automatik akan didaftarkan ke Program Ganjaran Aspirasi 4 dengan mengikut terma dan syarat program yang telah ditetapkan. Melalui program ganjaran ini, setiap B$50.00 simpanan dalam BIBD Aspirasi 4 berhak memperolehi satu penyertaan bagi setiap cabutan bertuah. Tempoh pegangan minima yang layak untuk program ganjaran pula adalah sembilan puluh (90) hari sebelum tarikh cabutan bertuah dan pelanggan masih menyimpan simpanan tersebut dalam BIBD Aspirasi pada tarikh cabutan. Pilihan penyertaan secara rawak akan diambil melalui sistem berkomputer daripada kumpulan-kumpulan penyertaan yang layak. Kos hadiah cabutan bertuah adalah ditanggung sepenuhnya oleh BIBD sendiri dan bukan diambil daripada kumpulan wang para pendeposit.

Berdasarkan keterangan tersebut, dapat difahami bahawa cabutan bertuah yang disediakan dalam program ganjaran adalah satu program tambahan yang khusus diadakan untuk para pendeposit bagi produk BIBD Aspirasi 4 sebagai satu galakan kepada para pendeposit untuk terus menyimpan wang mereka dalam BIBD Aspirasi 4. Pendaftaran masuk mereka ke dalam program ganjaran ini sama sekali tidak dikenakan bayaran yuran. Jika pendeposit tidak memenangi cabutan bertuah dalam program ganjaran yang disertai, dia tidak akan mengalami apa-apa kerugian dan wang depositnya masih kekal jumlahnya.

Merujuk kepada persoalan yang ditanyakan dan setelah meneliti keterangan Program Ganjaran Aspirasi 4 sebagaimana yang dinyatakan dalam Lembaran Maklumat Produk, maka didapati tidak ada sebarang percanggahan dengan hukum syara‘ kerana tidak ada apa-apa unsur yang menyerupai judi dan seumpamanya. Berbeza halnya, jika kos hadiah program ganjaran itu diambil daripada kumpulan wang deposit peserta atau dikenakan yuran. Dalam keadaan kos hadiah yang diambil daripada wang deposit, ia bererti peserta yang mengikuti peraduan cabutan bertuah itu mempertaruhkan wang mereka untuk mendapatkan hadiah. Dari sudut pembayaran yuran pula, peserta dikira mempertaruhkan jumlah wang yuran untuk mendapatkan hadiah. Dalam kedua-dua keadaan di atas, peserta dikira menggantungkan untung atau rugi kepada nasib semata-mata dalam mendapatkan hadiah sebagai timbal balas kepada bayaran hadiah atau bayaran yuran. Perkara sedemikan adalah unsur judi.

Imam al-Mahalli Rahimahullâh dalam kitabnya Kanz ar-Râghibîn menyatakan bahawa antara bentuk judi yang diharamkan itu ialah:

Ertinya: Maka jika disyaratkan di dalamnya (suatu permainan) harta (yang dipertaruhkan) daripada kedua-dua belah pihak iaitu bahawasanya siapa yang menang daripada kedua-dua belah pihak yang bermain, adalah baginya begini... (harta pertaruhan yang dipersyaratkan) ke atas pihak lain (pihak yang kalah), maka (ia adalah) judi yang diharamkan.

Berdasarkan penjelasan ulama di atas, dapat difahami bahawa suatu permainan atau peraduan itu menjadi judi jika disyaratkan kepada pihak-pihak yang bermain untuk mempertaruhkan harta sama ada dalam bentuk wang ringgit atau selainnya. Harta taruhan itu akan dimiliki oleh pihak yang menang dalam peraduan tersebut. Manakala pihak yang kalah pula akan menanggung kerugian kerana kehilangan harta yang dipertaruhkan.

Suka juga dijelaskan di sini bahawa orang ramai sewajarnya tidak perlu ragu tentang kedudukan produk-produk yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan perbankan Islam di negara ini dari sudut adakah ia patuh syara‘ kerana produk-produk tersebut telahpun diteliti oleh Badan Penasihat Syariah masing-masing. Bahkan sebelum ia ditawarkan, produk-produk tersebut juga telah disemak dan mendapat pengesahan daripada Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) sebagaimana kehendak Bab 3 Perintah Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah 2006 yang menyebut:

3. Adalah dengan ini ditubuhkan Lembaga yang dikenali sebagai Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, yang akan menjadi autoriti untuk memastikan Undang-Undang Islam bagi maksud-maksud perniagaan bank Islam, perniagaan takaful, perniagaan kewangan Islam, perniagaan pembangunan kewangan Islam dan sebarang perniagaan lain yang berasaskan kepada prinsip-prinsip syariah dan yang diawasi dan dikawalselia oleh Pihak Berkuasa.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12989