Melakukan Ujian Antigent Rapid Test (ART) Atau Polymerase Chain Reaction (PCR) Swab COVID-19 Ketika Berpuasa
Soalan: Apakah hukum melakukan ujian Antigent Rapid Test (ART) atau Polymerase Chain Reaction (PCR) swab ketika berpuasa?
Jawapan: Ujian swab polymerase chain reaction (PCR) dan antigent rapid test (ART) atau ujian pantas antigen COVID-19 merupakan salah satu kaedah efektif yang dilakukan oleh pengamal perubatan seluruh dunia untuk mengesan jangkitan virus COVID-19 dalam sistem pernafasan.
Ujian swab PCR ialah kaedah ujian yang digunakan untuk mengesan nucleic acid (RNA) iaitu bahan genetik virus. Manakala ujian swab ART yang dilakukan secara kendiri adalah kaedah ujian yang digunakan bagi mengesan protein dari virus. Kedua-dua kaedah ini memerlukan pengambilan sampel yang dicalit daripada hidung atau mulut. Ia boleh dilakukan sama ada menggunakan kaedah calitan nasopharyngeal, oropharyngeal, nasal ataupun oral.
Calitan nasopharyngeal atau nasopharyngeal swab ialah kaedah pengambilan sampel calitan yang dilakukan dengan memasukkan alat swab ke dalam kawasan belakang hidung yang dipanggil sebagai nasopharynx. Kaedah oropharyngeal swab pula dilakukan dengan mencalitkan alat swab pada bahagian belakang anak tekak (uvula) yang dinamakan oropharynx. Manakala nasal swab dan oral swab pula adalah kaedah yang mencalitkan alat swab hanya pada rongga hidung dan di dalam rongga mulut sahaja. Sampel calitan yang diperolehi kemudiannya akan dianalisa bagi mengenalpasti sama ada individu tersebut dijangkiti virus COVID-19 ataupun tidak.
Walau bagaimanapun, kaedah pengambilan sampel calitan yang biasa dilakukan di Negara Brunei Darussalam bagi ujian PCR ialah dengan mencalit kawasan belakang hidung iaitu nasopharynx. Manakala bagi ujian ART pula, pengambilan sampel dilakukan dengan mencalit alat swab di dalam rongga hidung dan tidak sampai ke nasopharynx atau mencalit alat swab di dalam rongga mulut dan tidak sampai ke oropharynx.
Walaupun tujuan kedua-dua kaedah ujian swab PCR dan ART ini adalah sama iaitu untuk mengesan jangkitan virus COVID-19 dalam sistem pernafasan, namun perbezaannya adalah dari segi kecepatan dalam menghasilkan keputusan. Kaedah ujian menggunakan ART adalah jauh lebih pantas dalam menghasilkan keputusan. Walau bagaimanapun, kelemahan utama ujian ART ialah kemungkinan berlakunya keputusan yang kurang tepat (false negative).
Memandangkan kedua-dua kaedah ujian swab di atas melibatkan rongga hidung dan rongga mulut, maka sudah tentu ia akan terkait dengan hukum puasa individu yang menjalani ujian swab tersebut sama ada ia akan membatalkan puasa atau tidak kerana salah satu perkara yang membatalkan puasa ialah “memasukkan sesuatu benda dengan sengaja dari had zahir hingga sampai ke dalam bahagian batin rongga melalui lubang yang terbuka”.
Oleh yang demikian, adalah penting untuk mengetahui di manakah batas atau had zahir rongga hidung atau mulut yang tidak membatalkan puasa apabila sesuatu dimasukkan ke dalamnya dan adakah calitan yang dilakukan di dalam hidung atau mulut tidak sampai memasuki ke dalam rongga batin kedua-duanya.
Memasukkan Sesuatu ke Dalam Batin Rongga
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika menukil kata-kata Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘:
Ertinya: Dan al-Ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah dahulu yang terkemuka) telah menetapkan (sesuatu) yang masuk yang membatalkan puasa adalah dengan ‘ain (benda) yang sampai (masuk) dari zahir hingga ke batin (rongga) melalui lubang yang terbuka dengan sengaja serta (seseorang itu) ingat bahawa (dia) sedang berpuasa.
Maksud sesuatu benda itu ialah apa jua benda sama ada ia sesuatu yang boleh dimakan ataupun tidak seperti batu sekalipun sedikit seperti biji lenga. Manakala rasa, bau, wap dan asap seperti asap bukhar tidak termasuk dalam kategori benda yang dimaksudkan.
Manakala maksud batin rongga pula apa jua yang dinamakan sebagai rongga ( (جوف, tidak kira sama ada ia mempunyai fungsi untuk memproses makanan atau ubat ataupun tidak seperti batin rongga otak, perut, usus, telinga, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu.
Lubang terbuka pula bermaksud tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu wujud sejak lahir seperti mulut, hidung, telinga dan dubur ataupun lubang yang baru wujud seperti luka. Walau bagaimanapun sesuatu yang masuk melalui lubang terbuka disebabkan luka, maka hukum batal atau tidaknya puasa adalah tertakluk kepada sampai mana sesuatu itu masuk dan di mana tempat lubang luka itu berada, sama ada luka pada anggota yang mempunyai rongga ataupun tidak. Ini kerana tempat kedudukan luka itu berada mempengaruhi hukum batal atau tidaknya puasa seseorang itu apabila dia menyapukan ubat padanya lalu sampai ke rongganya.
Had Zahir Rongga Hidung
Batas atau had bagi zahir rongga hidung ialah bermula dari lubang hidung hingga penghujung khaisyûm. Puasa akan batal jika sesuatu benda masuk melebihi penghujung khaisyûm kerana rongga selepas penghujung khaisyûm dianggap sebagai batin hidung.
Dalam menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan khaisyûm, para ulama memberikan pelbagai pengertian. Antaranya:
1. Disebut dalam kitab Syarh Shahîh Muslim, ad-Dîbâj ‘alâ Shahîh Muslim dan Subul as- Salâm, kedudukan khaisyûm menurut ulama:
Ertinya: Khaisyûm ialah bahagian paling atas hidung, dan (ada juga) dikatakan ia adalah hidung keseluruhannya, dan (ada juga) dikatakan ia adalah tulang nipis lagi lembut pada penghujung (rongga) hidung di antaranya dan otak, dan (ada juga) dikatakan (ia adalah) selain demikian itu dan ia adalah berbeza (namun) mempunyai makna yang berdekatan.
2. Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Hâsyiyah al-Jamal ‘alâ Syarh al-Manhaj bahawa khaisyûm ialah rongga hidung paling dalam:
Ertinya: Dan dalam kitab al-Mishbâh, khaisyûm itu penghujung (rongga) hidung dan ada antara mereka yang menamakannya (khaisyûm) ke atas hidung.
3. Imam al-Qasthalani Rahimahullâh ketika menukil kata-kata Imam at-Turbusyti dan al- Baidhawi Rahimahumallâh dalam kitabnya Irsyâd as-Sâri li Syarh Shahîh al-Bukhari:
Ertinya: Al-Khaisyûm ialah penghujung (rongga) hidung yang berhubung dengan bahagian bawah depan (ventral) dari otak yang merupakan tempat saraf deria dan kotak imaginasi.
4. Ibn al-Jazari Rahimahullâh menjelaskan bahawa khaisyûm adalah tempat keluarnya suara dengung sepertimana yang disebut dalam kitab at-Tamhîd fî ‘Ilm at-Tajwîd.
Ertinya: Sesungguhnya (bunyi) dengung keluar daripada khaisyûm, sepertimana yang (disebut) sebelumnya dan khaisyûm ialah laluan (hidung) yang condong ke (laluan) dalam mulut.
5. Disebut dalam kitab al-Hâdi Syarh Thayyibah an-Nasyr fi al-Qirâ’ât al-‘Asyr wa al- Kasyf ‘an ‘Ilal al-Qirâ’ât wa Taujîhuhâ:
Ertinya: Khaisyûm ia adalah: Laluan hidung yang condong ke dalam atas bumbung (lelangit) mulut, dan bukan (yang dimaksudkan) dengan lubang hidung (nostril) dan keluar daripadanya (hidung) bunyi dengung.
Berdasarkan beberapa pengertian para ulama di atas dapatlah disimpulkan bahawa khaisyûm adalah sebahagian dari had zahir rongga hidung. Ini bererti jika benda dimasukkan ke dalam rongga hidung dan tidak melimpasi (melampaui) hujung khaisyûm, maka tidak batal puasa. Tetapi jika benda itu masuk melimpasi hujung khaisyûm, maka baru batal puasa. Hal ini dijelaskan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh:
Ertinya: Dan tidak membatalkan (puasa) dengan sampainya sesuatu ke (dalam) batin batang hidung iaitu kerana ia (batin batang hidung) itu adalah daripada (had) yang zahir, dan yang demikian itu sesungguhnya batang (hidung) adalah sebahagian daripada khaisyûm, dan khaisyûm seluruhnya adalah daripada (had) yang zahir (bagi hidung), iaitu jika (sesuatu) melimpasinya (khaisyûm), batal puasa dan apabila tidak melimpasi tidak batal.
Had Zahir Rongga Mulut
Had zahir rongga mulut pula ialah bermula dari bibir mulut sehingga tempat di mana keluarnya makhraj huruf ha (ح) dan kha (خ), iaitu sehingga penghujung ghalshamah atau dipanggil sebagai epiglottis. Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah al-Jamal ‘alâ Syarh al-Manhaj menjelaskan mengenai ukuran had zahir rongga mulut iaitu:
Ertinya: Pada had zahir mulut iaitu pada hadnya yang terakhir, dan permulaan zahir (ialah) dari dua bibir dan akhirannya (ialah) tempat keluar makhraj huruf kha ( خ) atau ha (
Adapun maksud ghalshamah (epiglottis) yang menjadi batas pengukur had zahir dan batin mulut menurut kamus al-Mishbâh al-Munîr:
Ertinya: Al-Ghalshamah (ialah) kepala kerongkong dan ia adalah tempat yang menonjol di dalam kerongkong dan kata nama jam‘ ialah ghalâshim.
Manakala Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh menyebut dalam Hâsyiyah kitab Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan (al-Fairuz Abadi) berkata di dalam al-Qâmûs: al-ghalshamah (ialah) daging di antara kepala dan tengkok atau simpulan (bongkolan) di atas pertemuan uvula (anak tekak) dan marî’ (esophagus).
Menurut kamus perubatan Oxford Concise Medical Dictionary pula, epiglottis ialah kepak tulang rawan berbentuk daun nipis yang ditutupi dengan selaput mucous. Kedudukannya betul-betul berada di belakang akar lidah dan ketika menelan ia akan menutup laluan menuju masuk ke dalam larynx (organ saluran udara ke paru-paru dan mengandungi peti suara).
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa batas atau had zahir rongga mulut ialah bermula dari dua bibir sehingga penghujung ghalshamah atau epiglottis iaitu tempat keluar makhraj huruf ha (ح). Apabila sesuatu masuk melebihi had ghalshamah maka puasa adalah batal.
Menjalani Ujian Swab COVID-19 Ketika Puasa
Calitan yang dilakukan dalam ujian swab PCR melalui kaedah nasopharyngeal swab adalah pada nasopharynx, iaitu kawasan belakang hidung pada bahagian atas saluran kerongkong. Manakala melalui kaedah oropharyngeal swab pula, calitan yang dilakukan adalah pada oropharynx, iaitu di belakang anak tekak.
Merujuk kepada persoalan sama ada ia membatalkan puasa ataupun tidak, perlu terlebih dahulu diketahui mengenai kedudukan nasopharynx dan oropharynx. Adakah nasopharynx terletak di luar batas had zahir hidung dan oropharynx terletak di luar batas had zahir mulut, atau adakah nasopharynx sebahagian daripada khaisyûm dan adakah oropharynx termasuk dalam had zahir mulut?
Kedudukan Nasopharynx
Menurut kamus perubatan Oxford Concise Medical Dictionary dan A-Z Family Health Encyclopedia, nasopharynx ialah laluan yang menghubungkan nasal cavity (rongga hidung) di belakang hidung ke bahagian atas kerongkong di belakang lelangit lembut. Ia adalah sebahagian daripada saluran pernafasan dan ia membentuk bahagian atas kerongkong.
Definisi di atas memberi gambaran bahawa kedudukan nasopharyx adalah pada batin rongga hidung. Ini adalah selaras dengan apa yang dimaksudkan oleh para ulama dalam menjelaskan bahawa terdapat satu rongga lain di belakang khaisyûm yang merupakan rongga batin hidung sebelum memasuki rongga tekak. Imam Ibn Hajar Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya al-Minhâj al-Qawîm:
Ertinya: Apa yang (ada) di belakang khaisyûm iaitu penghujung (rongga) hidung adalah satu rongga dan sesungguhnya membatalkan puasa dengan sampainya sesuatu ke (dalam) kerongkong jika ia sampai ke dalam batin daripadanya (kerongkong).
Manakala asy-Syaikh Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Asnâ al-Mathâlib bahawa belakang khaisyûm dan juga kerongkong adalah dua rongga, jika sesuatu masuk ke dalamnya akan membatalkan puasa. Menurut beliau:
Ertinya: Kemudian kerongkong dan apa yang (ada) di belakamg khayâsyîm (iaitu) kata nama jam‘ bagi khaisyûm iaitu penghujung (rongga) hidung adalah dua rongga, maka (apa) yang sampai kepada kedua-duanya membatalkan puasa.
Berdasarkan penjelasan Imam Ibn Hajar dan asy-Syaikh Zakariyya al-Anshari Rahimahumallâh di atas, dapatlah difahami bahawa rongga yang berada di belakang khaisyûm adalah nasopharynx menurut istilah ahli perubatan.
Oleh yang demikian, setelah meneliti pengertian ulama mengenai had zahir hidung serta definisi dan kedudukan nasopharynx dapat difahami bahawa kedudukan nasopharynx tidak terletak dalam linkungan kawasan had zahir hidung. Ia berada pada batin hidung yang melebihi kawasan penghujung rongga hidung iaitu khaisyûm.
Kedudukan Oropharynx
Menurut kamus perubatan Oxford Concise Medical Dictionary, oropharynx ialah bahagian daripada pharynx (kerongkong) yang terletak di antara paras penghubung lelangit keras dan lelangit lembut di atas, tulang hyoid di bawah dan lengkungan lelangit lembut di depan. Ia mengandungi tonsil dan menghubungkan di antara rongga mulut (oral cavity) dan nasopharynx ke hypopharynx (kedudukan oropharynx adalah di bahagian tengah di antara nasopharynx dan hypopharynx).
Menurut The New Encyclopaedia Britannica pula, oropharynx atau oral pharynx bermula dari bahagian belakang rongga mulut dan terus ke bawah kerongkong hingga ke epiglottis.
Berdasarkan penjelasan mengenai had zahir mulut dan juga oropharynx, jelas menunjukkan bahawa kedudukan oropharynx adalah masih termasuk had zahir mulut yang berakhir pada tempat keluar makhraj huruf ha (ح) iaitu selepas anak tekak dan tidak melebihi had epiglottis.
Berbalik kepada persoalan hukum puasa semasa menjalani ujian swab COVID-19, maka ujian swab PCR yang dilakukan dengan menggunakan kaedah nasopharyngeal adalah jelas membatalkan puasa kerana alat swab tersebut dimasukkan ke nasopharynx iaitu had yang melebihi penghujung rongga hidung.
Manakala ujian swab PCR yang dilakukan menggunakan kaedah oropharyngeal adalah tidak membatalkan puasa kerana alat calitan yang dimasukkan ke dalam mulut adalah tidak melebihi had zahir mulut.
Begitu juga ujian swab yang dilakukan oleh orang yang berpuasa secara kendiri dengan menggunakan ujian swab ART sama ada melalui hidung atau mulut yang hanya memerlukan pengambilan sampel di kawasan had zahir hidung dan mulut, maka ia tidak membatalkan puasa. Akan tetapi jika alat swab ART itu dimasukkan melebihi penghujung had zahir hidung (sampai ke kawasan nasopharynx), maka ia membatalkan puasa.
Oleh yang demikian, bagi mengelak batalnya puasa kerana membuat ujian swab di siang hari ketika berpuasa, maka hendaklah dielakkan daripada melakukan ujian swab PCR melalui hidung dan ujian swab ART yang memerlukan calitan pada nasopharynx.
Diagram Anantomi Hidung, Kedudukan Penghujung Rongga Hidung Dan Nasopharynx
Diagram Anantomi Mulut, Kedudukan Penghujung Rongga Mulut Dan Oropharynx
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12993
