Memindah Kubur Yang Terdapat Di Tanah Persendirian Bagi Tujuan Memajukannya
Soalan: Saya berhasrat untuk memajukan tanah milik sendiri di Lot 4281 Kampong Sungai Kelugos, Daerah Tutong dengan membuat binaan dan kemungkinan besar akan melibatkan keseluruhan kawasan tanah berkenaan.
Walau bagaimanapun, di atas tanah berkenaan terdapat enam kubur lama dan kali terakhir digunakan sebagai tanah perkuburan lebih kurang 40 tahun yang lalu.
Untuk makluman, semua ahli keluarga waris yang dikebumikan di tanah tersebut telah bersetuju bagi kubur-kubur berkenaan dipindahkan ke tempat-tempat yang dihasratkan. Oleh itu, dipohonkan fatwa mengenainya.
Jawapan: Menurut syara‘, kubur adalah tempat yang mempunyai kehormatan atau kemuliaan kerana menghormati mayat di dalam kubur tersebut.
Penggunaan tanah-tanah perkuburan orang Islam itu boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu:
1. Tanah perkuburan waqaf iaitu tanah perkuburan yang diwaqafkan (mauqûf) untuk pengebumian mayat orang Islam. Tanah perkuburan jenis ini tidak boleh digunakan bagi tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam sekalipun telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat.
2. Tanah perkuburan musabbalah iaitu tanah yang biasa digunakan oleh penduduk di suatu kawasan untuk mengebumikan mayat, sekalipun tidak diketahui asal punca tanah tersebut dijadikan tapak perkuburan dan tidak diketahui orang yang mensabilkannya. Tanah perkuburan jenis ini tidak boleh digunakan untuk tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam. Walau bagaimanapun, menurut pengarang Hâsyiyah at-Tuhfah, tanah perkuburan jenis ini boleh juga digunakan bagi tujuan selain mengebumikan mayat jika tulang dan anggota-anggota mayat telah hancur luluh (tidak ada lagi bahagian mayat yang tinggal) dan ketika itu penduduk di kawasan tersebut tidak lagi menggunakannya untuk mengebumikan mayat dan mereka tidak akan mengebumikan mayat lagi di tanah itu pada masa akan datang.
3. Tanah mawât yang ada dikebumikan mayat padanya tetapi tanah tersebut bukan tanah yang biasa digunakan oleh penduduk di kawasan tersebut untuk mengebumikan mayat, tanah yang dimiliki oleh seseorang atau tanah yang dipinjam untuk mengebumikan mayat. Tanah perkuburan jenis ini boleh digunakan bagi tujuan selain mengebumikan mayat jika tulang dan anggota-anggota mayat telah hancur luluh (tidak ada lagi bahagian mayat yang tinggal).
Tanah perkuburan adalah hak mayat-mayat yang ditanam di tanah perkuburan itu. Maka menurut hukum asalnya, haram menggali atau membongkar dan memindah mayat di dalam kubur tersebut ke tempat lain kecuali jika terdapat dharurat yang diharuskan oleh syara‘.
Antara perkara-perkara dharurat yang mengharuskan untuk menggali kubur itu ialah jika mayat yang dikebumikan tidak menghadap qiblat, mayat yang dikebumikan belum dimandikan, dikafankan dengan kain milik orang lain yang telah dirampas atau ada harta yang terjatuh di dalam kubur yang dituntut oleh pemiliknya. Maka dalam hal ini, harus menggali semula kubur tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan menggalinya (mayat) setelah pengebumiannya untuk tujuan pemindahan dan selainnya adalah haram melainkan kerana dharurat seumpama (mayat) dikebumikan tanpa dimandikan atau (dikebumikan) di tanah atau pakaian yang dirampas atau terjatuh di dalamnya (kubur itu) harta (yang dituntut oleh pemiliknya) atau dikebumikan tanpa menghadap qiblat. Tidak termasuk (dharurat jika digali) untuk tujuan mengkafan menurut pendapat al-ashah.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh ketika mensyarahkan perkataan Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bahawa menggali kubur setelah pengebumian untuk memindah mayat di dalam kubur tersebut ke tempat lain kecuali jika terdapat dharurat adalah haram. Beliau berkata:
Ertinya: Dan menggalinya (mayat) setelah pengebumiannya dan sebelum hancur semua bahagian zahir anggota mayat menurut (pandangan) ahli pakar tanah (perkuburan) itu, untuk tujuan pemindahan sekalipun (dipindah) seumpama ke Makkah dan (untuk tujuan) selainnya seperti hendak mengkafankan dan menyembahyangkan ke atasnya (kerana ditanam dengan tidak dikafan dan tidak disembahyangkan) hukumnya adalah haram kerana sesungguhnya perbuatan sedemikian mencabuli kehormatannya (mayat), melainkan kerana ada dharurat maka wajib (digali) seumpama (mayat) dikebumikan tanpa dimandikan atau tayammum dengan syaratnya dan (mayat itu) belum berubah dengan berbau busuk atau (bahagian anggota mayat) terputus.
Demikian juga, apabila didapati mayat itu terhina kehormatannya seperti basah ditakungi air, harus menggali semula kubur tersebut dan memindahkan mayat ke tempat lain (jika jasad mayat atau anggota-anggota mayat yang zahir masih ada). Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan bahawa pendapat Abu ‘Abdillah az-Zubairi Rahimahullâh yang mengatakan boleh memindah mayat jika mayat basah ditakungi air adalah pendapat al-ashah. Antara sandaran pendapat ini adalah sebagaimana yang berlaku ke atas sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kata beliau:
Ertinya: Ibn Qutaibah menyebut dalam kitab al-Ma‘ârif dan selainnya bahawa Thalhah bin ‘Ubaidillah salah seorang daripada sepuluh (sahabat yang dijamin masuk syurga) Radhiallâhu ‘anhum telah dikebumikan. (Kemudian) anak perempuannya ‘Aisyah bermimpi melihatnya setelah pengebumiannya selama tiga puluh tahun, dia mengadu kepadanya (bahawa kuburnya) ditakungi air. Maka ‘Aisyah meminta (supaya mayat bapanya itu dikeluarkan), lalu dikeluarkan mayat bapanya yang masih dalam keadaan baik maka dia dikebumikan di kampungnya di Bashrah.
Merujuk kepada pertanyaan mengenai pemindahan kubur-kubur yang terdapat di atas tanah persendirian yang terletak di Lot 4281 Kampong Sungai Kelugos yang sudah berumur 40 tahun untuk memajukannya dengan membina binaan dan dimaklumi statusnya adalah sebagai milik persendirian yang termasuk di dalam perkara 3 menurut pembahagian penggunaan tanah-tanah perkuburan orang Islam yang dinyatakan di atas, maka harus menggunakan tanah tersebut untuk membangun bangunan atau bercucuk tanam dan sebagainya jika menurut pandangan ahli pakar mayat-mayat dalam kubur tersebut dan semua tulang dan anggota mayat telah hancur luluh keseluruhannya. Selain menggunakannya, tanah tersebut juga harus dijual, disewakan, diwaqafkan dan seumpamanya sebagaimana kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘:
Ertinya: Sesungguhnya harus menggali kubur apabila mayat sudah hancur dan telah menjadi tanah, dan pada ketika itu harus menanam mayat lain di dalamnya (kubur tersebut), dan harus juga bercucuk tanam di atas tanah tersebut dan membuat binaan/bangunan (di atasnya) serta semua bentuk pemanfaatan dan tasharruf padanya (tanah tersebut seperti menjualnya dan menghibahkannya) dengan kesepakatan al-ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah yang dahulu yang terkemuka). Jika tanah itu adalah pinjaman (untuk menanam mayat), maka orang yang meminjamkan boleh mengambilnya semula (tanah yang dipinjamkannya itu). Semua ini adalah apabila tidak ada lagi kesan yang tinggal bagi mayat daripada tulang dan lainnya.
Jika didapati ada bahagian mayat yang belum hancur keseluruhannya ketika menggali kubur berkenaan, maka wajib dibiarkan dan dikekalkan sehinggalah segala bahagian-bahagian jasad mayat itu hancur menjadi tanah kesemuanya. Dalam erti kata lain, tidak dibenarkan memindah kubur-kubur tersebut untuk membuat sebarang bangunan jua di atasnya kerana tidak ada pada kubur berkenaan perkara yang dikategorikan sebagai adh-dharûrah yang mengharuskan ia dipindah.
Walau bagaimanapun jika pemilik tanah ingin meneruskan hasrat untuk memajukan tanah berkenaan kerana tanah tersebut mempunyai keluasan yang boleh memuatkan bangunan atau binaan tanpa melibatkan kawasan tapak perkuburan tersebut, maka adalah harus baginya berbuat demikian tanpa melibatkan kawasan yang ada kubur dengan menjaga kehormatan dan kemuliaan mayat-mayat yang ditanam di situ, baik semasa projek dilaksanakan mahupun setelah selesai projek itu nanti.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-12997
