Menggunakan Inhaler Ketika Berpuasa
Soalan: Apakah hukum menggunakan inhaler di siang hari bulan Ramadhan? Adakah membatalkan puasa?
Jawapan: Menurut kamus perubatan Oxford Concise Medical Dictionary dan A-Z Family Health Encyclopedia, inhaler ialah sejenis alat yang digunakan bagi mentadbir ubat dalam bentuk serbuk atau wap. Ia digunakan terutamanya dalam merawat pelbagai gangguan pernafasan termasuk penyakit asma dan chronic bronchitis (keradangan pada saluran pernafasan dalam paru-paru). Antara ubat yang diberikan menggunakan kaedah ini ialah bronchodilator drugs (atau dikenali juga dengan salbutamol yang berfungsi mengendurkan otot dalam saluran udara paru-paru. Ia memastikan saluran udara terbuka dan memudahkan serta melegakan pernafasan) dan corticosteroid drugs (digunakan untuk mengurangkan keradangan).
Inhaler atau ubat sedutan asma boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti pressurized metered dose inhaler (pMDI), dry powder inhaler (DPI) dan nebulizer. Setiap jenis inhaler mengandungi bahan aktif yang berbeza.
1. Pressurized Metered Dose Inhaler (pMDI)
Menurut The New Encyclopaedia Britannica, metered dose aerosols atau inhaler selalunya diletakkan pada mulut dan biasanya digunakan untuk menghantar dos ubat yang telah ditentukan ukurannya ke saluran pernafasan. Apabila injap pelepas diaktifkan, ubat yang telah ditentukan ukurannya akan dikeluarkan melalui semburan. Penghidap akan menyedut ubat tersebut yang kemudiannya akan menghantar ke dalam saluran pernafasan bronkial.
Apabila alat ini digunakan dengan betul, ia akan mengeluarkan lebih kurang sepuluh peratus ubat ke dalam saluran pernafasan di bawah larynx. Namun dengan sepuluh peratus daripada pemendapan tersebut adalah mencukupi untuk merawat asma.
pMDI mengandungi ubat dalam bentuk cecair ampaian (suspension) atau larutan dengan surfactant, lubricants dan propellant yang akan keluar dalam bentuk semburan gas (aerosol).
2. Dry Powder Inhaler (DPI)
Secara umumnya dry powder inhaler atau ubat sedut serbuk disimpan dalam salutan seperti kapsul dan sebagainya. Setelah salutan atau kapsul dipecahkan, pesakit hanya perlu menyedut ubat dengan kuat dan ubat akan terus masuk ke dalam saluran pernafasan. Alat ini tidak memerlukan gas propellant untuk mengeluarkan ubat sepertimana pMDI. 3. Nebulizer
Nebulizer adalah alat mesin yang menukarkan ubat dalam bentuk cecair kepada kabus halus yang disedut masuk ke dalam saluran paru-paru. Ia menolak udara yang padat melalui ubat cecair dan menukarnya kepada kabus yang kemudiannya disedut menggunakan topeng muka khas atau melalui corong mulut.
Pada asasnya ubat yang keluar dari inhaler adalah daripada jenis bahan kimia yang tidak boleh dilihat sifatnya dan tidak dapat bertindak sendiri melainkan dengan bantuan sesuatu bahan (substance) sebagai pembawa (carrier) untuk sampai ke dalam paru-paru. Bahan pembawa itu ada tiga jenis iaitu pepejal, cecair atau gas (aerosol). Adapun bahan pembawa ubat yang terdapat dalam pMDI adalah daripada jenis gas. Manakala pembawa ubat yang terdapat dalam dry powder inhaler pula adalah bahan pepejal iaitu serbuk kering. Wap pula adalah bahan cecair pembawa ubat yang terdapat dalam nebulizer.
Kaedah memasukkan ubat ke dalam saluran pernafasan pula adalah dengan cara sedutan melalui rongga mulut dan hidung. Permasalahan yang timbul mengenai penggunaan inhaler ini bagi orang yang berpuasa, adakah menggunakannya membatalkan puasa kerana menurut para ulama salah satu perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan apa jua ‘ain (benda) sama ada banyak atau sedikit dari rongga zahir ke dalam rongga batin melalui lubang yang terbuka. Benda tersebut dimasukkan dengan sengaja sama ada dilakukannya sendiri atau dilakukan oleh orang lain dengan keizinannya dalam keadaan dia ingat dan tahu bahawa dia sedang berpuasa.
Menurut para ulama, maksud sesuatu benda atau ‘ain yang boleh membatalkan puasa apabila ia dimasukkan ke dalam rongga batin ialah apa jua benda sama ada ia sesuatu yang boleh dimakan ataupun tidak seperti batu sekalipun sedikit seperti biji lenga.
Adapun sesuatu yang tidak dikategorikan sebagai ‘ain atau benda itu ialah seperti bau dan rasa sebagaimana yang disebut oleh al-Imam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam kitabnya al-Ghurar al-Bahiyyah fî Syarh al-Bahjah al-Wardiyah:
Ertinya: Dan terkeluar dengan (maksud) ‘ain (itu) ialah kesan seperti sampai bau dengan (cara) menghidu hingga (sampai) ke otaknya dan (sampai) rasa dengan (cara) merasa hingga (sampai) ke kerongkongnya.
Selain daripada itu, asap juga tidak dikategorikan sebagai ‘ain. Asap yang dimaksudkan ialah asap yang tidak mengandungi ‘ain iaitu tidak mempunyai kesan ‘ain yang boleh dipisahkan daripadanya seperti asap masakan atau asap kemenyan, setanggi dan lain-lain (al-bakhûr). Ia tidak membatalkan puasa jika masuk ke dalam rongga batin orang yang berpuasa. Berkata asy-Syaikh al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Bujairimi ‘ala al-Khathib:
Ertinya: Dan daripadanya (yang tidak membatalkan puasa) asap yang tiada ‘ain padanya seperti al-bakhûr (asap dari pembakaran). Berbeza dengan suatu yang (ada) padanya ‘ain seperti asap (rokok) yang masyhur pada masa ini menurut asy-Syaikh Syihabuddin Qalyubi. Dan ungkapan ‘Abdulbarr (pula menyatakan): “Dan daripadanya diambil (hukum) bahawa asap yang mempunyai bau al-bakhûr atau selainnya yang sampai hingga ke (dalam) rongganya, ia tidak membatalkan (puasa) sekalipun dia sengaja membuka mulutnya untuk demikian itu kerana sesungguhnya ia bukan ‘ain, iaitu mengikut ‘urf (kebiasaan).”
Manakala asap yang mempunyai ‘ain iaitu mempunyai kesan ‘ain yang boleh dipisahkan daripadanya, seperti asap tembakau (rokok), maka ia dikategorikan sebagai ‘ain. Jika ia dimasukkan ke dalam rongga batin, maka puasa adalah batal. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Qalyubi Rahimahullâh dalam kitab Hasyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah:
Ertinya: Dan daripadanya (yang dikategorikan ‘ain ialah) asap yang bersamanya (mempunyai) ‘ain yang terpisah sepertimana dalam syarah syaikh (guru) kami ar-Ramli dan terkeluar dengannya (perkataan ‘ain) bau dan (termasuk) daripadanya (bau) ialah asap seperti (asap) al-bakhûr yang tiada bersamanya (padanya) ‘ain yang terpisah dan (tidak dikategorikan ‘ain itu juga) ialah rasa.
As-Sayyid al-Jurdani Rahimahullâh pula menyebut dalam kitabnya Fath al-‘Allâm:
Ertinya: Dan (termasuk) daripada ‘ain ialah asap rokok (sebagaimana) yang diketahui maka ia membatalkan (puasa), kerana sesungguhnya ada padanya kesan yang didapati seperti apa yang dilihat pada batin (dalam) batang (rokok) atau mulut (penapis) rokok yang dihisap dengannya, dan seumpamanya (juga) ialah asap tembakau kerana sesungguhnya jelas (nampak) padanya kesan, (begitu) juga pada syîsyah dan mulutnya (syîsyah).
Berdasarkan penjelasan para ulama di atas, asap yang tidak membatalkan puasa ialah asap yang tidak mempunyai unsur ‘ain yang boleh dipisahkan daripada asap tersebut kerana ia tidak dikategorikan sebagai ‘ain menurut ‘urf. Secara kesimpulannya, rasa dan bau termasuk asap tidak termasuk dalam kategori benda atau ‘ain yang boleh membatalkan puasa jika ia dimasukkan ke dalam rongga batin, melainkan asap yang mempunyai unsur ‘ain yang boleh terpisah daripadanya seperti asap rokok yang disedut. Jika asap yang sedemikian masuk ke dalam rongga batin, maka puasa akan batal.
Berdasarkan keterangan di atas adalah jelas bahawa menggunakan inhaler jenis dry powder dan nebulizer adalah membatalkan puasa kerana bahan yang disedut itu ialah ‘ain iaitu serbuk kering (DPI) dan cecair dari wap (nebulizer). Adapun pressurized metered dose inhaler juga membatalkan puasa kerana bahan yang disedut adalah ‘ain yang boleh dipisahkan daripada semburan gas aerosol inhaler sebagaimana yang dapat dilihat dengan jelas apabila ia disemburkan pada permukaan sesuatu benda. Maka kedudukan ‘ain yang ada pada gas aerosol inhaler itu adalah seperti kedudukan ‘ain yang ada pada asap rokok sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13001
