Menuntut Semula Wang Agihan Zakat Daripada Waris Penerima
Soalan: Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat pada 6 Februari, 2020 telah meluluskan dan menyokong Agihan Kewangan Bulanan sebanyak $200.00 mulai Februari 2020 hingga Januari 2022, iaitu bagi tempoh 2 tahun kepada seorang perempuan yang dikategorikan berhak menerima zakat.
Jabatan Majlis Ugama Islam telah menerima maklumat daripada anaknya bahawa penama ini telah meninggal dunia pada 7 Mei, 2020. Ekoran itu Jabatan Majlis Ugama Islam telah membuat penahanan wang zakatnya (tidak dibayar) mulai Disember 2020. Ini bermaksud agihan zakatnya telah dibayar mulai Februari 2020 sehingga November 2020. Oleh yang demikian, bagaimanakah kedudukan agihan zakat penama yang terbayar selepas tarikh meninggal dunia iaitu Mei 2020 sehingga November 2020 itu?
Adakah boleh dituntut semula agihan zakat milik penama itu daripada warisnya? Bagaimanakah pula jika warisnya itu tidak mampu untuk membayar balik?
Jawapan: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menetapkan bahawa hanya lapan golongan atau ashnâf yang berhak menerima zakat sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, ‘âmil-‘âmil, orang-orang yang dijinakkan hatinya dengan Islam (mu’allaf), untuk memerdekakan hamba sahaya, orang-orang yang berhutang, (untuk pejuang-pejuang yang berjihâd) pada jalan Allah dan orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya). Itulah ketetapan daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(Surah at-Taubah:60)
Maka selain daripada lapan ashnâf yang disebut dalam ayat al-Qur’an di atas tidak berhak menerima dan tidak boleh diberi agihan harta zakat. Sebagai contoh, antara ashnâf yang berhak terhadap zakat itu ialah fakir dan miskin. Maka orang kaya tidak berhak menerima dan tidak boleh diberi harta zakat. Orang kaya yang menerima harta zakat adalah dikira memakan harta orang lain secara bâthil. Memakan harta orang lain dengan jalan yang bâthil adalah haram berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bâthil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya. (Surah al-Baqarah: 188)
Jika harta zakat diserahkan kepada mereka yang tidak berhak menerimanya sekalipun kerana tersilap, harta zakat itu hendaklah dituntut semula oleh pemberi untuk diserahkan kepada orang yang berhak menerimanya. Imam asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitabnya al- Muhadzdzab ada menerangkan tentang kedudukan harta zakat yang diserahkan oleh imam kepada orang kaya kerana menyangka bahawa dia adalah orang fakir, beliau berkata:
Ertinya: Jika imam menyerahkan zakat kepada siapa yang kelihatan pada zahirnya fakir kemudian ternyata bahawa dia itu seorang yang kaya, adalah tidak memadai yang demikian itu sebagai (zakat) yang fardhu. Maka jika (zakat yang diserahkan itu) masih ada, hendaklah (imam) menuntut semula daripadanya (penerima) dan menyerahkannya kepada fakir, dan sekiranya sudah tidak ada (zakat tersebut), (imam) hendaklah mengambil gantian (daripada penerima) dan menyerahkannya kepada fakir. Maka sekiranya penerima tidak mempunyai harta (untuk menggantinya), tidak wajib ke atas tuan harta (yang mengeluarkan zakat) itu menjaminnya (menggantinya), kerana telah gugur kewajiban (mengeluarkan zakat) daripadanya dengan penyerahan kepada imam dan tidak wajib (juga) ke atas imam (menggantinya) kerana dia (imam) adalah jujur tanpa cuai (dalam melaksanakan amanah).
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab ketika mensyarah nash Imam asy-Syirazi Rahimahullâh di atas, beliau berkata:
Ertinya: Sahabat-sahabat kami (para ulama asy-Syafi‘i) berkata: “Apabila pemilik harta zakat menyerahkan zakat kepada imam dan imam menyerahkannya kepada siapa yang pada zahirnya fakir, maka ternyata dia seorang kaya, tidak memadai (yang demikian itu) daripada zakat, maka (harta zakat yang diserahkan itu) dituntut semula agar dikembalikan daripadanya (penerima) sama ada imam telah menjelaskan penyerahannya itu atas nama zakat ataupun tidak. Dan yang nyata daripada (tanggungjawab) imam itu bahawasanya dia tidak menyerahkan sedekah tathawwu‘ (sedekah sunat) dan dia tidak menyerahkan melainkan sedekah yang wajib daripada zakat wajib, kaffârah, nazar atau selainnya. Maka jika (harta zakat) itu rosak (tidak ada lagi) maka (diminta) gantiannya dan menyerahkan kepada yang lainnya. Sekiranya tidak dapat menuntut semula daripada penerima (kerana tidak mempunyai harta), tidak wajib dhamân (gantian) ke atas imam dan tuan harta (zakat itu).”
Walaupun harta zakat itu adalah hak ashnâf sebagaimana disebut di dalam al-Qur’an, namun zakat itu hanya menjadi milik mereka apabila berlakunya qabdh (penerimaan) sama ada secara hakiki iaitu menyerahkannya langsung ke tangan penerima ataupun secara hukmi seperti memasukkannya ke dalam akaun bank penerima. Jika tiada qabdh, maka harta zakat itu belum menjadi milik mereka. Perkara penerimaan zakat adalah sama seperti penerimaan hibah yang hanya tsabit dengan berlakunya qabdh. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan tidak dimiliki barang yang dihibahkan (oleh penerima hibah) melainkan dengan penerimaan (qabdh) dengan izin pemberi hibah.
Oleh itu, jika seseorang fakir meninggal dunia sebelum menerima harta zakat yang hendak diserahkan kepadanya, maka harta zakat tersebut tidak menjadi harta pusaka yang diwarisi oleh ahli warisnya kerana belum menjadi miliknya semasa hidupnya.
Permasalahan yang ditanyakan di atas ialah perempuan tersebut telah meninggal dunia pada 7hb. Mei 2020 dan pembayaran zakat kepadanya adalah berterusan sehingga bulan November, 2020 kerana pihak Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (JMUIB) tidak mengetahui tentang kematiannya itu.
Berdasarkan penjelasan para ulama di atas, agihan wang zakat yang diberikan bagi bulan Jun hingga November, 2020 itu adalah tidak menepati kehendak syara‘ dalam pengagihan zakat kerana wang zakat tersebut tidak sampai kepada orang yang berhak menerimanya. Wang zakat tersebut juga tidak dikira sebagai milik kepada perempuan itu dan tidak menjadi harta pusaka kepada warisnya kerana wang tersebut tidak diterima oleh perempuan berkenaan ketika hidupnya.
Maka dalam hal ini, Jabatan MUIB bertanggungjawab menuntut semula wang agihan zakat tersebut. Sekiranya Jabatan MUIB tidak berhasil mendapatkan semula wang zakat berkenaan disebabkan wang tersebut telah digunakan oleh warisnya dan warisnya tidak mempunyai harta untuk menggantinya maka Jabatan MUIB tidak menjadi dhâmin yang bertanggungjawab untuk mengganti wang zakat tersebut.
Namun sebagai irsyâd, sebelum menuntut semula wang agihan zakat berkenaan adalah wajar bagi Jabatan MUIB meneliti terlebih dahulu status keluarga khususnya waris-waris perempuan berkenaan sama ada mereka tergolong dalam kriteria orang-orang berhak menerima zakat. Sekiranya mereka termasuk dalam kriteria tersebut adalah tidak munasabah Jabatan MUIB menuntut semula wang zakat tersebut kerana penyerahan zakat tersebut adalah menepati kehendak syara‘ dalam pengagihan zakat, bahkan Jabatan MUIB perlu meneruskan pengagihan wang zakat kepada waris-waris perempuan itu selama mana mereka layak.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13005
