Minta Do‘akan Daripada Orang Yang Diberi Sedekah
Soalan: Bolehkah jika kita bersedekah kepada seseorang lalu kita meminta agar orang yang menerima sedekah itu berdo‘a untuk kita?
Jawapan: Bersedekah merupakan amalan mulia yang sangat dituntut dalam Islam dan hukumnya adalah sunnah mu‘akkadah. Anjuran bersedekah dan kelebihannya ini banyak disebut dalam al- Qur’an dan hadits. Antaranya ialah hadits daripada ‘Adiy bin Hatim Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk mendinding (dirinya) daripada api neraka sekalipun hanya dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka lakukanlah. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyeru umat Islam supaya melakukan amalan bersedekah sekalipun sedikit sebagai satu cara untuk menghindarkan diri daripada api neraka.
Sedekah yang sedikit itu meskipun kecil pada penilaian zahir mata manusia tetapi sangatlah besar nilai dan ganjarannya di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurniaNya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 261)
Dalam ayat di atas Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjanjikan bahawa pahala sedekah itu akan dilipatgandakan sehingga tujuh ratus kali ganda. Bahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ boleh menggandakan lebih daripada itu mengikut kehendakNya.
Do‘a Ketika Bersedekah
Sedekah merupakan ibadat dan orang yang bersedekah disunatkan untuk membaca basmalah dan do‘a sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al- Adzkâr:
Ertinya: Disunatkan bagi orang yang menyerahkan zakat atau sedekah atau nazar atau kaffârah dan seumpamanya untuk mengucapkan:ُ Ya Tuhan kami! Terimalah daripada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui).
Dari itu orang yang memberi atau menyerahkan sedekah disunatkan ke atasnya berdo‘a agar sedekah tersebut diterima oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Mendo‘akan Orang yang Memberi Sedekah
Orang yang menerima sedekah adalah dianjurkan untuk membalas kebaikan orang yang bersedekah jika dia mampu melakukannya atau sekurang-kurangnya mendo‘akan orang yang memberi sedekah tersebut. Ini adalah berdasarkan hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang memohon perlindungan (kepada kamu) dengan Allah, maka hendaklah kamu beri perlindungan kepadanya, sesiapa yang meminta sesuatu (kepada kamu) dengan Allah, maka hendaklah kamu berikan dia (permintaannya), sesiapa yang menjemput kamu maka hendaklah kamu penuhi jemputannya dan sesiapa yang melakukan kebaikan/kebajikan kepada kamu, maka hendaklah kamu membalasnya. Jika kamu tidak mempunyai (sesuatu) untuk kamu membalasnya, maka hendaklah kamu mendo‘akannya sehingga kamu merasakan bahawa kamu telah membalasnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berkaitan dengan perkara mendo‘akan pemberi sedekah ini, timbul persoalan adakah boleh seseorang yang bersedekah itu meminta supaya dia dido‘akan oleh orang yang menerima sedekahnya?
Pada dasarnya meminta supaya dido‘akan oleh saudara Muslim yang lain merupakan perkara yang diharuskan oleh syara‘. Bahkan meminta do‘a daripada orang-orang yang mempunyai kelebihan di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau orang-orang salih adalah sunat.
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Adzkâr menyebut bahawa mustahabb (sunat) meminta dido‘akan daripada orang-orang salih meskipun orang yang meminta dido‘akan itu lebih utama (afdhal) daripada orang yang diminta untuk mendo‘akannya. Antara hadits yang menyebut mengenainya ialah daripada ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah meminta izin daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk (pergi menunaikan) umrah, maka Baginda mengizinkanku dan bersabda: “Jangan engkau melupakan kami daripada do‘amu wahai saudaraku (yang dikasihi)!” (‘Umar berkata:)
“Maka (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) menyatakan satu ungkapan yang (sekiranya) dunia (serta isinya) diberikan kepadaku sebagai gantinya (nescaya ia) tidak akan menggembirakanku.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyebut bahawa do‘a seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuannya adalah do‘a yang mustajâb.
Dalam sebuah hadits daripada Shafwan Radhiallâhu ‘anhu, Ummu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhâ telah meminta kepadanya untuk mendo‘akan mereka dengan kebaikan apabila mengetahui bahawa Shafwan Radhiallâhu ‘anhu akan menunaikan haji pada tahun tersebut dan Ummu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhâ telah berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Do‘a seorang Muslim untuk saudaranya (yang Muslim) di belakang (ketika) ketiadaan (saudaranya itu di sisinya) adalah mustajâb. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan, setiap kali dia mendo‘akan saudaranya itu dengan kebaikan, maka malaikat yang diwakilkan itu berkata: “Âmîn dan untukmu juga sama seperti itu.” (Hadits riwayat Muslim)
Namun perbuatan bersedekah lalu meminta kepada orang yang diberi sedekah itu untuk mendo‘akannya sewajarnya dielakkan kerana menurut para ulama keinginan atau harapan seseorang yang bersedekah supaya dido‘akan oleh orang yang diberi sedekah akan mengurangkan pahala sedekahnya.
Al-Imam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam kitabnya Asnâ al-Mathâlib, ketika menjelaskan mengenai amalan bersedekah menyebut pandangan ulama bahawa orang yang bersedekah itu sewajarnya tidak mengharapkan do‘a daripada orang fakir yang diberi sedekah kerana ibadat sedekah sepatutnya dilakukan dengan ikhlas dan hanya semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya kami memberi makanan kepada kamu semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak juga ucapan terima kasih. (Surah al-Insân: 9)
Jika orang fakir yang diberi sedekah mendo‘akan orang yang bersedekah kepadanya, maka dituntut ke atas orang yang bersedekah untuk mendo‘akan orang fakir tersebut sama seperti yang dido‘akan untuknya agar ganjaran pahala sedekahnya tidak berkurang.
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj pula menyatakan:
Ertinya: Berkata para ulama: “Dan orang yang bersedekah itu tidak mengharap do‘a-do‘a daripada orang-orang yang diberi sedekah supaya tidak berkurang ganjaran sedekah itu maka jika orang yang diberi sedekah itu mendo‘akannya, disunatkan (orang yang bersedekah) membalas do‘anya (orang yang diberi sedekah) sepertinya (apa yang dido‘akan untuknya) supaya sempurna baginya (pahala) sedekahnya itu.”
Anjuran ini juga bertepatan dengan sebuah atsar daripada ‘Ubaid bin Abu al-Ja‘d Radhiallâhu ‘anhu bahawa ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah dihadiahkan seekor kambing maka Baginda telah bersabda: “Bahagikanlah kambing itu”. Berkata (‘Ubaid): “Maka apabila kembali khadam (yang disuruh untuk mengagihkan daging kambing itu) ‘Aisyah telah berkata: “Apa yang mereka (penerima daging kambing) katakan kepadamu”. Dia (khadam) berkata apa yang mereka katakan. Dia (‘Ubaid) berkata: “ حِبَرَك َ هللا ُ فّيحكُم (semoga Allah memberkati kamu)”. Maka ‘Aisyah berkata: “ حُ وَفّيِبَرَك َ هللا حهّم (dan semoga Allah memberkati mereka)”, engkau balas kembali kepada mereka seperti yang mereka katakan dan akan kekal ganjaran (sedekah) kami itu untuk kami. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Maka berdasarkan penerangan di atas, perbuatan minta do‘akan daripada orang yang diberi sedekah adalah sewajarnya tidak dilakukan kerana boleh mengurangkan ganjaran pahala sedekah bagi orang yang memberinya. Sekiranya penerima sedekah itu mendo‘akan orang yang bersedekah sama ada diminta oleh orang tersebut ataupun tidak, maka dianjurkan bagi orang yang bersedekah itu untuk mendo‘akan bagi penerima sedekah itu perkara yang sama sebagaimana yang dido‘akan bagi dirinya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13009
