Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Pelaburan Yang Mendapat Pulangan Daripada Interest

Soalan: Beberapa pelaburan yang dikendalikan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, seperti dana persaraan orang ramai atau pelaburan kewangan negara adalah merangkumi beberapa instrumen kewangan seperti ‘bonds’ atau ‘fixed income securities’ yang mana pendapatan atau keuntungannya adalah daripada ‘interest’ yang boleh dikatakan riba.

Apakah hukum melibatkan diri atau orang ramai dalam pelaburan ke dalam instrumen-instrumen kewangan yang mana pendapatannya bersumber daripada ‘interest rate’ dan apakah senario yang membolehkan pelaburan ke dalamnya?

Jawapan: Pada dasarnya, instrumen-instrumen pelaburan yang diasaskan atas konsep pinjaman wang (debt securities) boleh menyebabkan berlakunya riba apabila ada pulangan yang ditetapkan sebagai tambahan ke atas wang yang dipinjamkan.

Menurut perspektif Islam, pelaburan yang menjamin modal pelabur tanpa mengambil kira untung rugi pelaburan menunjukkan bahawa hakikatnya wang yang dilaburkan itu adalah wang pinjaman (al-qardh). Adapun pulangan yang ditetapkan sebagai tambahan ke atas wang yang dipinjamkan menunjukkan bahawa ‘aqad pelaburan tersebut mengandungi syarat yang memberi manfaat kepada pemberi pinjaman. Tambahan pulangan seumpama ini dikenali dengan pelbagai istilah seperti wang bunga, faedah, interest dan seumpamanya. Menurut syara‘, ia termasuk dalam kategori riba.

Dalam perkara pulangan yang ditetapkan sebagai tambahan ke atas wang yang dipinjamkan, Ibn al-Mundzir Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Ijmâ‘:

Ertinya: (Para ulama) telah ijmâ‘ bahawa apabila pinjaman mensyaratkan satu persepuluh daripada pinjaman sebagai hadiah atau tambahan, kemudian (seseorang) memberikan pinjaman atas (syarat) demikian itu, sesungguhnya mengambil tambahan atas demikian itu adalah riba.

Ibn Qudamah al-Hanbali Rahimahullâh juga berkata dalam kitabnya al-Mughnî:

Ertinya: Dan setiap pinjaman yang mensyaratkan padanya supaya (peminjam) menambahnya (bayaran pinjaman), maka ia adalah haram, tanpa perselisihan (pendapat di kalangan para ulama).

Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam persidangannya kali ke-2 yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi pada 10-16 Rabi‘ul Akhir, 1406 bersamaan 22-28 Disember, 1985 menetapkan dalam resolusinya:

Ertinya: Setiap (bayaran) tambahan atau faedah (yang dikenakan) ke atas hutang yang telah tiba pembayarannya yang penghutang tidak mampu melunaskannya (sebagai) imbalan terhadap penangguhannya itu, begitu juga (bayaran) tambahan atau faedah (yang disyaratkan) ke atas pinjaman pada permulaan ‘aqad, kedua-dua bentuk (bayaran tambahan) ini adalah riba yang diharamkan oleh syara‘.

Hukum Riba

Pengharaman riba jelas disebut oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:

Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

(Surah al-Baqarah: 275)

Orang yang memakan riba sebagaimana diterangkan dalam al-Qur’an akan diperangi Allah Ta‘ala jika dia tidak bertaubat dan berhenti daripada melakukan amalan riba. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan tuntut lagi) sisa-sisa riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) jika benar kamu orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukan (perintah meninggalkan riba), maka yakinlah kamu akan diperangi Allah dan RasulNya. Dan sekiranya kamu bertaubat (daripada memakan riba), maka kamu berhak atas modal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak menzalimi (orang lain dengan mengambil harta itu dengan berlebihan) dan kamu pula tidak dizalimi (dengan berkurangnya harta kamu). (Surah al-Baqarah: 278-279)

Makan riba adalah dosa besar dan termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan sebagaimana hadits riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu yang menyatakan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan (dosa besar). (Para sahabat Radhiallâhu ‘anhum) berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah ia?” Baginda bersabda: “Mempersekutukan Allah (dengan sesuatu), (mengamalkan) sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak (yang dibenarkan oleh syara‘), memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri semasa hari pertempuran (dengan musuh Islam) dan menuduh (zina) terhadap perempuan beriman yang menjaga kesucian lagi menjauhi perkara keji.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pengharaman riba tidak hanya terbatas ke atas perbuatan mengambil riba semata-mata bahkan ia meliputi semua pihak yang terlibat dengan riba. Jabir Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat pemakan (pengambil), pemberi makan, penulis dan dua orang yang menjadi saksi riba. Baginda bersabda: “Mereka itu adalah sama (dilaknat).” (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah menjelaskan bahawa dalam hadits riwayat Jabir Radhiallâhu ‘anhu di atas mengandungi larangan bekerjasama dalam perkara yang bâthil.

Bond dan Fixed Income Securities

Bond dan fixed income securities adalah termasuk dalam instrumen pelaburan yang diasaskan atas konsep pinjaman. Instrumen-instrumen ini pada kebiasaannya memberikan pulangan yang ditetapkan kepada pihak yang memberikan pinjaman sebagai tambahan ke atas wang yang dipinjamkan di samping memberikan jaminan terhadap modal asal yang dilaburkan.

Dalam persidangan kali ke-6 yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi pada 17-23 Sya‘ban, 1410 bersamaan 14-20 Mac, 1990, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah menetapkan dalam resolusinya berkenaan Sijil-Sijil Pelaburan (Bonds):

Ertinya: Sesungguhnya sijil-sijil pelaburan (bonds) yang berbentuk adanya keterikatan untuk membayar harganya berserta faedah yang dinisbahkan kepadanya atau (berserta)

manfaat yang disyaratkan adalah diharamkan (menurut) syara‘ dari segi penerbitan, pembelian atau memperdagangkannya, kerana ia adalah pinjaman (berunsur) riba sama ada pihak yang menerbitkannya itu pihak khas (swasta) atau pihak awam (kerajaan) yang mempunyai kaitan dengan negara. Dan tidak ada apa-apa kesan (perubahan hukum) kerana penamaannya (sebagai) sijil-sijil, shukûk pelaburan atau simpanan, atau penamaan faedah ribawi yang terikat padanya itu sebagai keuntungan, hasil, komisen atau pulangan.

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, adalah jelas bahawa bond dan fixed income securities adalah haram kerana instrumen-instrumen pelaburan tersebut mengandungi riba.

Namun, pada masa ini sudah ada instrumen-instrumen pelaburan halal seperti pelaburan dalam dana shukûk, saham dan unit amanah (mutual fund) yang patuh syara‘. Instrumen-instrumen tersebut berbeza dengan instrumen-instrumen pelaburan seperti bond dan fixed income securities.

Perbezaan tersebut dapat dilihat dari sudut pelaksanaannya. Sebagai contoh, pelaburan dalam saham (sekuriti berasaskan ekuiti) adalah menggunakan prinsip perkongsian dalam syarikat perniagaan. Dalam pelaburan saham tidak ada jaminan bahawa pelabur akan mendapat semula keseluruhan modal (رأس املال) yang mereka laburkan kerana pelabur akan menanggung risiko pelaburannya manakala ejen hanyalah berperanan sebagai wakil (pengurus). Begitu juga dengan keuntungan atau kerugian pelaburan, ia tidak dijanjikan kerana untung dan rugi itu adalah tertakluk kepada prestasi syarikat perniagaan.

Contoh yang lain lagi ialah pelaburan yang berasaskan shukûk. Walaupun ia merupakan suatu sijil pelaburan yang menyerupai bond, secara praktikalnya penerbit shukûk menjual sijil-sijil berkenaan kepada pelabur dan kemudian menggunakan hasil wang jualan sijil-sijil berkenaan untuk membeli sesuatu aset. Aset berkenaan seterusnya digunakan untuk menjana pendapatan menerusi konsep-konsep seperti ijârah, murâbahah, mudhârabah dan sebagainya.

Sijil-sijil shukûk adalah mewakili pemilikan terhadap aset dan pelabur pada dasarnya merupakan pemilik ke atas aset berkenaan bersama dengan pelabur-pelabur yang lain. Para pelabur akan mendapat pulangan daripada keuntungan yang dijana oleh aset dan dibayar secara tetap dalam tempoh masa yang tertentu.

Kedua-dua instrumen pelaburan di atas adalah berbeza dengan instrumen bond yang menggunakan prinsip hutang yang menjamin modal pelabur dan keuntungan pelaburan itu adalah berdasarkan wang bunga, faedah atau interest. Masalah yang timbul dalam perkara ini ialah isu penerimaan keuntungan. Keuntungan yang diterima dalam pelaburan saham dan shukûk adalah hasil yang dijana oleh syarikat perniagaan dan juga aset yang dimiliki oleh pelabur. Manakala keuntungan daripada bond adalah semata-mata tambahan ke atas hutang yang disyaratkan. Keuntungan seumpama ini adalah diharamkan oleh syara‘ yang disebut sebagai riba.

Walaupun pada zahirnya hasil atau pulangan pelaburan yang halal itu mungkin pada pendapat sebahagian orang tidak setanding dengan hasil pelaburan-pelaburan yang tidak halal, namun apa yang mustahak ialah hasil tersebut adalah halal dan semua kerja pengurusan pelaburan tersebut mendapat keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Rezeki yang halal itu adalah berkat walaupun kelihatannya sedikit. Ia adalah lebih baik daripada hasil yang tidak halal walaupun kelihatannya banyak kerana tidak ada keberkatan dan orang-orang yang terlibat dengannya adalah berdosa.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Allah menghilangkan (keberkatan harta kerana) riba dan menambahkan (keberkatan harta daripada) sedekah-sedekah. Dan Allah tidak menyukai semua orang yang sangat kufur lagi bergelumang dosa. (Surah al-Baqarah: 276)

Imam Ibn al-Katsir Rahimahullâh ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menghilangkan hasil riba itu daripada tangan pemiliknya sama ada dengan cara menghapuskan secara keseluruhannya atau dengan cara mengharamkan keberkatan hartanya sehingga pemiliknya tidak dapat mengambil manfaat daripadanya. Bahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan mengazabnya dengan hasil riba yang diperolehinya itu ketika di dunia lagi dan menyeksanya kelak pada Hari Kiamat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan menjadikan (golongan) yang jahat itu sebahagiannya (bertindih) di atas sebahagian yang lain, lalu Dia menimbunkan kesemuanya dan memasukkan mereka ke dalam neraka Jahannam. (Surah al-Anfâl: 37) Ibn Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya riba meskipun banyak (pada awalnya), maka kesudahannya akan menjadi sedikit jua. (Hadits riwayat Ahmad)

Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Rahimahullâh mantan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam fatwanya bilangan 60/1986 telah menyebut:

“Maka setengah dari perkara yang Allah akan mengurangkan harta itu dengan Allah Ta‘ala mengeji riba dan murkakan orang makan riba, hilang sifat ‘adâlah, pergi sifat amanah daripada orang makan riba, dia kena sifat fâsiq dan keras hati, do‘a orang yang kena zalim yang diambil riba daripadanya, dengan melaknat orang makan riba itu. Dengan sebab itu pergi kebajikan dan berkat dan mewah dari hartanya dan dari dirinya, kerana do‘a orang kena zalim itu tiadalah di antara do‘anya dengan Allah Ta‘ala sesuatu sekatan yakni Allah akan menerima dan kabulkan do‘anya. Juga telah diketahui bahawa menghimpunkan harta dari jalan riba itu menghela akan berbagai bencana daripada orang-orang zalim ke atasnya dan daripada pencuri-pencuri dan lain-lain bencana kerana mereka berkata bahawa harta riba bukan harta sebenar-benar harta bagi orang yang memakan riba itu.

Adapun mengurangkan harta riba itu di akhirat, iaitu berkata sahabat Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Ertinya: Tiada diterima daripada orang makan riba itu akan sedekahnya, akan jihâdnya, akan hajinya dan akan silaturrahimnya.

Juga dia mati dan hartanya tinggal dan dia menanggung seksa, menanggung hak orang dan azab yang amat pedih dengan sebab makan riba itu. Juga dia mati dalam ُ سحُ وَءُتَّ ا ْلحّ اة kerana barang siapa biasa makan riba dan berkecimpung dengan perkara riba, maka itu suatu alamat mati dalam ُ سحُ وءَُتَّ ا ْلحّ اة dan kufur.”

Oleh yang demikian, dalam konteks amalan riba, tidak ada ruang atau senario yang membolehkan sesiapapun atau mana-mana pihak untuk melibatkan dirinya dalam mana-mana muamalat melibatkan riba sama ada sedikit atau banyak termasuk juga Baitul-Mal walaupun ia adalah tempat untuk turut menyalurkan wang-wang yang tidak patuh syara‘.

Dr. Wahbah az-Zuhaili Rahimahullâh dalam kitab al-Mu‘âmalah al-Mâliyyah al-Mu‘âsharah menyebut bahawa tiada beza dalam penerapan hukum-hakam syariat antara individu dengan negara, individu dengan institusi awam dan antara individu dengan bank riba atau syarikat yang berurusan dengan riba, terutama dalam ruang lingkup perkara-perkara yang dilarang oleh agama kerana syariat Allah adalah sama untuk semua secara ijmâ‘. Umat Islam keseluruhannya tanpa mengira kedudukan, kemampuan, status dan negara-negara mereka adalah sama-sama dituntut untuk melaksanakan hukum syara‘ yang satu, sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan hendaklah engkau menetapkan hukum antara mereka mengikut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka. (Surah al-Mâ’idah: 49)

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, maka adalah menjadi tanggungjawab ke atas pihak-pihak yang mengendalikan pengurusan harta orang awam untuk menjauhi segala perkara yang ada kaitan dengan riba dan memastikan pelaburan harta diurus menurut tuntutan syara‘.

Maka, untuk memastikan segala pelaburan harta diurus menurut tuntutan syara‘, sewajarnya pihak-pihak pengurus pelaburan harta akan merujuk kepada pihak penasihat syari‘ah yang berautoriti sebagaimana di negara ini telah pun sedia ada badan-badan penasihat syari‘ah bagi tujuan tersebut yang berdasarkan undang-undang seperti di dalam Perintah Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, 2006 (Syariah Financial Supervisory Board Order, 2006), Perintah Bank Islam, 2008 (Islamic Bank Order, 2008), Perintah Takaful, 2008 (Takaful Order, 2008) dan Perintah Pasaran Sekuriti, 2013 (Securities Markets Order, 2013). Badan penasihat syari‘ah tersebut akan membantu pengurus pelaburan harta memastikan operasi, tadbir urus dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya adalah patuh syara‘ termasuk mengenal pasti hasil-hasil yang tidak patuh syara‘ dan menentukan metodologi pembersihannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13013