Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Pemasaran Produk Dengan Anjuran Melaksanakan Ibadat

Soalan: Sudah menjadi trend kebelakang ini, biasanya pengusaha produk makanan atau minuman untuk menggunakan marketing seperti contoh-contoh berikut:

- “Maritah bersedekah di hari Jumaat, kami menyediakan khidmat bersedekah, biskita beli saja daripada kami, kami yang menghantar ke masjid, inda payah biskita susah-susah.”

- “Program sedekah masjid minimum 30 pax produk kami dan kami mengagihkan ke masjid di Hari Jumaat.”

Adakah trend sedemikian diperbolehkan dari segi hukum syara‘?

Jawapan: Marketing atau pemasaran merupakan faktor penting agar sesebuah produk dapat dikenali, diterima dan dibeli atau diguna oleh pelanggan. Funk and Wagnalls New Encyclopedia mengertikan marketing atau pemasaran ialah aktiviti-aktiviti yang merangkumi pengedaran produk daripada pengusaha kepada pelanggan. Tumpuan utama pemasaran adalah pada pelanggan, iaitu untuk memenuhi keperluan dan kemahuan mereka, memberitahu mereka tentang ketersediaan produk dan ciri-ciri penting produk, membina strategi untuk memujuk mereka membeli dan akhirnya berpuas hati dengan pembelian. Pengurusan pemasaran adalah termasuk merancang, menyusun atur, mengarah dan mengawal keputusan yang dibuat berkenaan barisan produk, harga, promosi dan perkhidmatan. Maka, pemasaran adalah bertanggungjawab dalam pengedaran produk dan menentukan saluran pengedaran yang akan digunakan serta memantau aliran keuntungan barangan daripada kilang (pengusaha).

Menurut buku Marketing Management in Asia, pemasaran adalah pertukaran di antara pengusaha dan pelanggan. Pelanggan mencari faedah daripada pengusaha dan menjangka untuk membayar, manakala pengusaha menawarkan faedah kepada pelanggan dan mencari keuntungan. Pengurus pemasaran akan mencuba untuk menyampaikan sesuatu nilai kepada pelanggan dan dalam masa yang sama dia juga mencuba untuk mengambil nilai daripada pelanggan.

Berdasarkan pengertian di atas, dapat difahami bahawa pemasaran adalah penjualan produk dengan menarik perhatian pelanggan melalui promosi atau iklan yang menepati kehendak pelanggan agar membeli atau menggunakan produk dengan harga tertentu dan seterusnya mengedar atau menyampaikannya kepada sasaran pelanggan.

Pelbagai promosi pemasaran digunakan bagi menarik pelanggan untuk membeli atau menggunakan sesuatu produk, antaranya sesetengah pengusaha menawarkan barangan mereka dan juga menawarkan pakej perkhidmatan penghantaran ke tempat yang dihasratkan pelanggan untuk bersedekah. Contohnya promosi pemasaran yang diutarakan dalam soalan di atas:

- “Maritah bersedekah di hari Jumaat, kami menyediakan khidmat bersedekah, biskita beli saja daripada kami, kami yang menghantar ke masjid, inda payah biskita susah-susah.”

- “Program sedekah masjid minimum 30 pax produk kami dan kami mengagihkan ke masjid di hari Jumaat.”

Selain menyediakan khidmat untuk memudahkan pelanggan melakukan ibadat bersedekah, terdapat juga pengusaha yang melakukan pemasaran dengan menawarkan khidmat untuk memudahkan pelanggan melakukan ibadat-ibadat lain seperti waqaf, korban, ‘aqiqah dan seumpamanya.

Pada dasarnya, hukum menjual barangan sambil menawarkan perkhidmatan seumpama di atas adalah harus selagi tidak terdapat unsur-unsur yang bercanggah dengan prinsip muamalat Islam seperti riba, gharar, penipuan, monopoli dan seumpamanya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Asy-Syaikh al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitab al-Bujairimi ‘ala al-Khathib menjelaskan bahawa ayat di atas adalah bersifat umum yang membawa maksud keharusan setiap cara berjual beli kecuali perkara yang terdapat dalil mengenai larangannya kerana asal hukum pada jual beli adalah halal.

Manakala menawarkan apa-apa perkhidmatan tanpa ‘aqad mengambil upah atau secara percuma adalah dikira melakukan tabarru‘. Oleh itu, jual beli barangan untuk dijadikan sedekah oleh pembelinya atau ibadat lain seperti menjual kitab untuk diwaqafkan oleh pembelinya adalah harus selagi ia tidak ada perkara yang dilarang syara‘ dalam jual beli tersebut. Menawarkan perkhidmatan penghantaran sedekah secara percuma tanpa meminta sebarang bayaran pula adalah melakukan tabarru‘. Hukumnya adalah harus menurut syara‘.

Oleh yang demikian, pemasaran produk dengan menjual barangan sambil menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan untuk melaksanakan ibadatnya seperti sedekah juga merupakan perkara kebajikan. Ia boleh membantu pelanggan mencapai tujuan atau niat mereka untuk melaksanakan ibadat sedekah dan dalam masa yang sama melariskan produk serta meningkatkan keuntungan bagi pengusaha. Pemasaran sebegini sama-sama melengkapkan keperluan pengusaha dan pelanggan di antara satu sama lain iaitu di samping pengusaha menghasilkan produk untuk dijadikan hasil pendapatan pada masa yang sama produk tersebut juga dapat disedekahkan sebagaimana hasrat pelanggan untuk melakukan amal kebajikan. Melalui kaedah pemasaran sebegini, pengusaha juga telah membuka jalan atau memudahkan cara bersedekah bagi pelanggan, iaitu pengusaha menyediakan perkhidmatan penghantaran sedekah kepada sasaran pelanggan sama ada secara percuma atau mengambil upah. Hal sedemikian ini adalah termasuk dalam perkara tolong-menolong dalam melakukan kebajikan dan ketaqwaan yang diperintahkan oleh syara‘. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Dalam sebuah hadits daripada Abu Mas‘ud al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka baginya seumpama ganjaran pelakunya.

(Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menerangkan dalam kitabnya al-Minhâj Syarh Shahîh Muslim bahawa hadits tersebut mengandungi kelebihan menunjukkan orang lain kepada kebaikan, memperingatkan untuk melakukannya dan membantu pelakunya melakukan kebaikan. Adapun maksud ‘seumpama ganjaran pelakunya’ ialah orang yang menunjukkan kepada kebaikan itu juga mendapat pahala sepertimana pelakunya mendapat pahala, walau bagaimanapun kadar pahala yang didapat oleh pelaku kebaikan dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan adalah tidak semestinya sama. Oleh itu, pengusaha atau penjual adalah harus melakukan pemasaran produk dengan menjual barangan dan menawarkan khidmat yang memudahkan pelanggan untuk melakukan ibadat seperti sedekah, waqaf, korban, ‘aqiqah dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun perlu diingat, pemasaran yang dilakukan hendaklah atas persetujuan pengusaha dan pelanggan supaya pelanggan tidak merasa terpaksa membeli atau bersedekah dan tidak juga mengandungi unsur penipuan. Para pengusaha juga hendaklah tidak mengambil kesempatan meraih keuntungan yang banyak dengan menaikkan secara berlebihan harga barangan yang dijual untuk disedekahkan. Dalam hal ini, para pengusaha sendiri adalah sangat digalakkan untuk bersedekah sebagaimana hadits daripada Qais bin Abu Gharazah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya perniagaan ini terdapat padanya sumpah dan dusta, maka campurkanlah perniagaan kamu dengan sedekah (kerana sedekah akan membersihkannya). (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Terdapat juga peringatan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada para peniaga supaya bertaqwa kepada Allah, melakukan kebajikan dan bercakap benar. Oleh itu, para pengusaha hendaklah menanamkan sikap tersebut pada diri mereka terutama dalam melakukan promosi. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada Rifa‘ah bin Rafi‘ Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada Hari Kiamat sebagai orang-orang yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, membuat kebajikan dan bercakap benar. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13017