Produk Pembiayaan Kereta Bank Islam Brunei Darussalam
Soalan: Saya ingin membeli kereta secara pembayaran bulanan tetapi saya takut jikalau ia termasuk dengan hukum riba.
Apakah pembiayaan pembelian kereta yang ditawarkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang terdapat ‘interest rate’ yang akan dikenakan pada pembelian tersebut dikira sebagai riba?
Jawapan: Pada dasarnya, institusi perbankan dan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam mempunyai Badan Penasihat Syariah masing-masing untuk mengesahkan bahawa perkhidmatan dan operasi institusi-institusi berkenaan adalah mematuhi kehendak hukum syara‘. Institusi perbankan dan kewangan Islam tersebut dan Badan Penasihat Syariahnya pula di bawah kawalan dan seliaan Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) bagi sebarang pelulusan produk kewangan Islam yang ditawarkan kepada para pelanggan sebagaimana Bab 3 Perintah Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah 2006 yang memperuntukkan:
3. Adalah dengan ini ditubuhkan lembaga yang dikenali sebagai Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, yang akan menjadi autoriti untuk memastikan Undang-Undang Islam bagi maksud-maksud perniagaan bank Islam, perniagaan takaful, perniagaan kewangan Islam, perniagaan pembangunan kewangan Islam dan sebarang perniagaan lain yang berasaskan kepada prinsip-prinsip syariah dan yang diawasi dan dikawalselia oleh Pihak Berkuasa.
Berdasarkan kepada keterangan di atas, adalah jelas bahawa segala perkhidmatan dan operasi yang dilaksanakan oleh institusi perbankan dan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam telah melalui beberapa tapisan bagi memastikan perkhidmatan dan operasinya tidak melibatkan apa-apa unsur yang bertentangan dengan hukum syara‘.
Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) merupakan sebuah institusi perbankan Islam di Negara Brunei Darussalam yang menjalankan operasi perbankan Islam sepenuhnya. Perkhidmatan dan produk perbankan Islam adalah berasaskan kepada ‘aqad-‘aqad dan konsep-konsep muamalat Islam seperti at-tawarruq (jual beli komoditi/aset berasaskan pembayaran tangguh), al-wakâlah (perwakilan), al-bai‘ (jual beli), al-ijârah (sewa), ar-rahn (gadaian), al-hibah (pemberian) dan lain-lain. Manakala perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘ seperti produk yang berunsur riba, perjudian, gharar (ketidakpastian) dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam operasi perbankan Islam. Kesemua perkhidmatan dan produk yang disediakan oleh BIBD adalah terlebih dahulu diluluskan patuh syara‘ oleh Badan Penasihat Syariah Bank tersebut seterusnya disemak dan disahkan oleh Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, BDCB sebelum perkhidmatan dan produk kewangan tersebut ditawarkan kepada para pelanggan.
Produk Pembiayaan Kereta BIBD
Produk pembiayaan kereta yang ditawarkan oleh BIBD adalah di bawah operasi BIBD at- Tamwil Berhad. Pada lazimnya, selain diluluskan oleh pihak Badan Penasihat Syariah at- Tamwil Berhad, kelulusan produk pembiayaan ini juga telah disemak dan disahkan oleh Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, BDCB sebagai produk kewangan yang patuh syara‘.
Berdasarkan keterangan daripada Lembaran Maklumat Produk daripada laman sesawang BIBD at-Tamwil Berhad, produk pembiayaan kereta yang ditawarkan sekarang sama ada untuk kereta baru atau terpakai adalah berdasarkan konsep al-ijârah tsumma al-bai‘ (‘aqad sewa kemudian diikuti dengan ‘aqad jual beli). Di bawah konsep ini, BIBD at-Tamwil Berhad akan membeli kereta baru atau kereta terpakai yang dikehendaki oleh pelanggan. Kemudian akan diadakan ‘aqad sewaan kereta tersebut kepada pelanggan mengikut tempoh dan sewa bulanan yang dipersetujui. Pada akhir tempoh sewaan, BIBD at-Tamwil Berhad akan membuat ‘aqad penjualan kereta yang disewakan kepada pelanggan dengan harga yang dipersetujui. Setelah ‘aqad jual beli itu, pelanggan adalah menjadi pemilik sepenuhnya terhadap kereta tersebut.
Adapun keuntungan yang diperolehi oleh pihak BIBD at-Tamwil Berhad adalah terhasil daripada perbezaan harga pembelian kereta dengan harga bayaran sewa melalui pembiayaan yang berkonsepkan al-ijârah tsumma al-bai‘ tersebut.
Begitulah tatacara pembiayaan kereta yang menggunakan konsep al-ijârah tsumma al-bai‘ yang diamalkan oleh BIBD at-Tamwil Berhad. Konsep pembiayaan seumpama ini juga biasa digunakan oleh institusi kewangan Islam lain di dalam dan luar negara.
Pembiayaan pembelian kereta berkonsepkan al-ijârah tsumma al-bai‘ yang diamalkan oleh BIBD at-Tamwil Berhad adalah jelas berbeza dengan konsep pembiayaan pembelian kereta yang dilaksanakan oleh bank konvensional yang berdasarkan konsep hutang dengan bayaran ansuran (bulanan) di samping mengenakan faedah (interest) daripada penghutangnya sebagai keuntungan.
Dalam istilah fiqh, pengenaan faedah dalam pinjaman yang diberikan itu dinamakan riba al-qardh. Riba al-qardh bermaksud riba yang terhasil daripada hutang yang mensyaratkan tambahan untuk pemiutang.
Contoh riba al-qardh:
Ali memberi hutang $10,000 kepada Abu dengan pembayaran secara bulanan sebanyak $875 sebulan bagi tempoh setahun. Maka jumlah keseluruhan bayaran ialah $10,500. Wang tambahan sebanyak $500 yang disyaratkan oleh Ali itu adalah riba al-qardh.
Bermuamalat dengan riba al-qardh dan juga jenis-jenis riba yang lain adalah haram dalam Islam berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
Apabila penghutang membuat pinjaman dengan bank konvensional, maka dengan sendirinya dia bersetuju untuk bermuamalat dengan riba dan dia tergolong dalam kalangan pengamal riba yang dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana disebut dalam sebuah hadits daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat pemakan riba (pengambil), pemberi makan, penulis dan dua orang yang menjadi saksi riba. Baginda bersabda: “Mereka itu adalah sama (dilaknat).” (Hadits riwayat Muslim)
Merujuk pertanyaan di atas, produk pembiayaan kewangan bagi pembelian kereta yang ditawarkan oleh BIBD at-Tamwil Berhad dan dibayar secara bulanan yang berdasarkan konsep al-ijârah tsumma al-bai‘ adalah pembiayaan yang patuh syara‘ dan tidak mengandungi unsur riba.
Oleh yang demikian, orang ramai tidak perlu ragu atau was-was terhadap perkhidmatan dan produk kewangan yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam kerana menurut Perintah Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah 2006, semua perkhidmatan dan produk kewangan tersebut hendaklah dipastikan patuh syara‘ sebelum ditawarkan oleh institusi perbankan dan kewangan Islam kepada pelanggan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13021
