Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Riba, Zakat Dan Cukai

Soalan: Apakah perbezaan di antara riba, zakat dan cukai? Adakah cukai ada disebut di dalam al- Qur’an? Apakah hukum membayar cukai yang mengakibatkan kesusahan kepada keluarga?

Jawapan: Riba, zakat dan cukai adalah tiga perkara yang berbeza yang mempunyai pengertian dan hukum yang tersendiri menurut syara‘.

Riba dan Hukumnya

Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, riba dari segi syara‘ ialah:

Ertinya: Suatu ‘aqad mengenai tukaran (barang-barang) tertentu yang tidak dimaklumi (diperakukan) persamaan (kadarnya) menurut ukuran (piawaian) syara‘ ketika ber‘aqad atau (suatu ‘aqad mengenai tukaran barang-barang tertentu) dengan menangguhkan (penyerahan) kedua-dua barang pertukaran atau salah satu daripada kedua-duanya.

Riba terjadi pada barang ribawi jika pertukaran atau jual beli barang ribawi itu tidak dilakukan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘. Jenis-jenis barang ribawi dan cara bermuamalat untuk menghindari daripada berlakunya riba ada disebut dalam sebuah hadits daripada ‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: (Jual beli atau pertukaran) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam (hendaklah dengan) kadar yang sama (timbangan atau sukatan) dan penyerahan secara serentak (dari kedua-dua belah pihak). Sekiranya benda-benda (ribawi tersebut) berlainan jenis (tetapi dalam ‘illah yang sama seumpama emas dengan perak atau gandum dengan barli), maka berjualbelilah kamu sebagaimana yang kamu mahu jika ia (penyerahannya) berlaku secara serentak (daripada kedua-dua belah pihak). (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, ada tiga perkara dapat difahami berkenaan dengan riba:

1. Barang-barang ribawi itu ada enam iaitu emas, perak, gandum, barli, tamar (kurma) dan garam.

2. ‘Illah (sebab) yang menjadikan riba pada barang-barang ribawi ada dua, iaitu harga dan makanan:

(i) Harga atau nilai iaitu ada pada emas dan perak. (ii) Makanan iaitu ada pada tamar, gandum, barli dan garam.

Adapun harga atau nilai yang ada pada wang kertas, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam persidangannya yang ketiga di Amman, Jordan pada 8-13 Safar, 1407 bersamaan 11-16 Oktober, 1986 telah mengeluarkan resolusi khusus mengenai hukum wang kertas, telah menetapkan bahawa wang kertas adalah dii‘tibârkan sebagai mata wang yang mempunyai sifat berharga atau bernilai (ats-tsamaniyyah) yang sempurna dan ke atasnya berlaku hukum-hakam syara‘ yang telah ditetapkan pada emas dan perak dari sudut hukum riba, zakat, jual beli secara tempahan (salam) dan segala hukum yang berkaitan dengan kedua-duanya.

3. Syarat-syarat pertukaran atau jual beli barang ribawi menurut syara‘, iaitu seperti berikut:

(i) Jika barang yang dijual beli itu daripada jenis dan ‘illah yang sama seperti jual beli emas dengan emas atau jual beli gandum dengan gandum, maka disyaratkan tiga perkara:

a. Al-hulûl iaitu hendaklah jual beli secara tunai bukan secara hutang.

b. At-taqâbudh iaitu hendaklah serah terima di antara kedua-duanya selesai sebelum berpisah daripada majlis ‘aqad.

c. Al-mumâtsalah iaitu hendaklah jual beli barang itu pada kadar yang sama; sama ada kadar timbangan seperti satu kilogram emas dengan satu kilogram emas atau kadar sukatan seperti satu cupak gandum dengan satu cupak gandum.

(ii) Jika barang yang dijual beli itu daripada jenis yang berbeza namun mempunyai ‘illah yang sama seperti jual beli emas dengan perak ataupun jual beli barli dengan garam, maka disyaratkan dua perkara:

a. Al-hulûl iaitu hendaklah jual beli secara tunai bukan secara hutang.

b. At-taqâbudh iaitu hendaklah selesai serah terima di antara kedua-duanya sebelum berpisah daripada majlis ‘aqad.

Manakala pertukaran atau jual beli barang-barang ribawi yang berlainan jenis dan berlainan ‘illah seperti jual beli emas dengan gandum adalah jual beli yang boleh dilakukan mengikut kemahuan pihak-pihak yang ber‘aqad kerana pertukaran atau jual beli mengenainya tidak terikat dengan syarat-syarat di atas dan tidak ada riba padanya.

Menurut para ulama, riba itu ada beberapa jenis:

1. Riba al-fadhl bermaksud pertukaran atau jual beli barang ribawi daripada jenis yang sama dan salah satu pertukarannya berlebihan daripada yang lain. Contohnya, berjual beli 10 gantang gandum dengan 11 gantang gandum atau berjual beli emas 100 gram dengan emas 120 gram.

2. Riba al-yad bermaksud pertukaran atau jual beli barang ribawi sama ada daripada satu jenis yang sama seperti jual beli emas dengan emas ataupun daripada jenis yang berbeza seperti jual beli emas dengan perak tanpa ada serah terima ketika majlis ‘aqad dilaksanakan. Contohnya, berjual beli emas dengan emas dan serah terima kedua-duanya atau salah satu daripadanya tidak berlaku dalam majlis ‘aqad.

3. Riba an-nasa’ bermaksud pertukaran atau jual beli barang ribawi sama ada daripada satu jenis yang sama ataupun daripada jenis yang berbeza dengan menangguhkan penyerahan barang belian atau penangguhan bayaran belian. Contohnya, berjual beli emas dengan perak dan ditentukan penyerahan emas atau perak seminggu selepas ‘aqad.

4. Riba al-qardh bermaksud riba yang terhasil daripada hutang yang mensyaratkan tambahan untuk pemiutang. Contohnya, Ali memberi hutang $100 kepada Abu dengan syarat membayarnya setelah setahun sebanyak $150. Wang tambahan sebanyak $50 yang disyaratkan oleh Ali itu adalah riba al-qardh.

Kesemua jenis riba seperti yang dijelaskan di atas adalah haram hukumnya berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

Memakan (mengambil) riba juga merupakan salah satu daripada tujuh dosa-dosa besar dalam Islam sebagaimana disebut dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara (dosa besar) yang membinasakan. (Para sahabat Radhiallâhu ‘anhum) berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah ia?” Baginda bersabda: “Mempersekutukan Allah (dengan sesuatu), (mengamalkan) sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak (yang dibenarkan oleh syara‘), memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri semasa hari pertempuran (dengan musuh Islam) dan menuduh (zina) terhadap perempuan beriman yang menjaga kesucian lagi menjauhi perkara keji.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Orang yang memakan riba itu bukan sahaja berdosa besar, bahkan dia juga dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersama-sama dengan orang-orang yang terlibat dalam perkara riba sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadits daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat pemakan riba (pengambil), pemberi makan, penulis dan dua orang yang menjadi saksi riba. Baginda bersabda: “Mereka itu adalah sama (dilaknat).” (Hadits riwayat Muslim)

Maksud Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam “melaknat” dalam hadits di atas ialah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mendo‘akan orang-orang yang terlibat dengan perkara riba agar dijauhi daripada rahmat Allah Ta‘ala dan hadits di atas menunjukkan bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu adalah dosa besar.

Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan beringat agar tidak bermuamalat dengan riba termasuk menolong berlakunya riba supaya terhindar daripada azab dan seksa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di akhirat kelak sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Orang-orang yang memakan riba tidak akan dapat bangkit (daripada kubur pada Hari Kiamat) melainkan seperti berdirinya orang-orang yang dirasuk syaitan (dengan keadaan terhuyung-hayang) kerana rasukan (syaitan) itu. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka mengatakan: “Adapun berjual-beli itu sama sahaja seperti riba.” (Surah al-Baqarah: 275)

Zakat dan Hukumnya

Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, zakat dari segi syara‘ ialah:

Ertinya: Nama bagi kadar tertentu )yang diambil ( daripada harta tertentu yang pengagihannya wajib kepada golongan tertentu dengan syarat-syarat (yang tertentu).

Mengeluarkan zakat merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat serta ruku‘lah bersama orang-orang yang ruku‘. (Surah al-Baqarah: 43)

Mengeluarkan zakat juga merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima sebagaimana disebut dalam sebuah hadits daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Agama Islam itu dibina atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, (mengerjakan) haji dan berpuasa Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut para ulama, orang yang menafikan ketetapan hukum wajib mengeluarkan zakat adalah dihukumkan kafir. Sementara orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat pula tetapi tidak menafikan hukum wajibnya mengeluarkan zakat itu tidak dihukumkan kafir. Walau bagaimanapun dia dihukumkan sebagai orang yang melakukan maksiat, fâsiq, berbuat dosa dan mendapat azab yang pedih di akhirat kelak. Balasan azab yang pedih itu ada disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak (yang tidak dikeluarkan zakatnya) dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah maka gembirakanlah mereka dengan azab yang pedih. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak serta harta benda itu dalam neraka Jahannam lalu diseterika (dibakar) dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang kamu telah simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasailah (balasan azab daripada) apa yang kamu simpan (dengan tidak membayar zakatnya) itu. (Surah at-Taubah: 34-35)

Dari sudut perundangan di Negara Brunei Darussalam pula, keengganan mengeluarkan zakat itu merupakan suatu kesalahan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, sebagaimana Bab 236 (1):

Mana-mana orang Islam yang setelah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah- Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajiban orang Islam untuk mengeluarkan zakat sebagai bukti kepatuhan terhadap perintah Allah Ta‘ala dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat pahala berlipat ganda daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âla sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan pemberian zakat (atau sedekah wajib) yang kamu berikan kerana menghendaki keredhaan Allah maka mereka itulah orang yang mendapat pahala berlipat ganda. (Surah ar-Rum: 39)

Cukai dan Hukumnya

Cukai dalam bahasa Arab disebut ُ بَةحاَلضَّرّي. Dalam Mu‘jam Lughah al-Fuqahâ’, ia diertikan sebagai:

Ertinya: Sesuatu (kutipan) yang diwajibkan oleh negara ke atas harta-harta atau individu-individu, bukan (termasuk) daripada perkara-perkara fardhu yang ditentukan oleh syara‘ (seperti zakat harta, zakat fitrah, diyah dan sebagainya).

Perkara mengutip cukai tidaklah ada disebut secara jelas dalam al-Qur’an. Namun para ulama ada membahaskannya berdasarkan keumuman ayat-ayat yang menjurus kepada seruan berbuat kebajikan. Isu pengutipan cukai ini bukanlah isu yang baharu kerana para ulama terdahulu telah pun membincangkannya dalam kitab-kitab mereka. Namun istilah yang digunakan adalah berbagai tetapi mempunyai konsep yang sama dengan ُ بَةحاَلضَّرّي. Sebagai contoh, al-Imam al-Juwaini Rahimahullâh dalam kitab Ghiyâts al-Umam fi at-Tiyâts azh- Zhulm telah menjelaskan keharusan pemerintah mengutip wang daripada golongan kaya untuk diagihkan kepada golongan fakir apabila harta zakat tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka.

Dalam kitab al-Musthashfâ min ‘Ilm al-Ushûl, al-Imam al-Ghazali Rahimahullâh menyebut konsep tauzhîf iaitu wang yang dikutip daripada golongan kaya untuk menampung keperluan-keperluan orang Islam yang terdesak, beliau berkata:

Ertinya: Apabila harta perbendaharaan (negara) telah habis dan tidak ada daripada harta (yang dikhususkan untuk) kemashlahatan yang mencukupi bagi membiayai keperluan tentera, dan sekiranya tentera berpecah-pecah sibuk mencari pendapatan, nescaya akan ditakuti pihak musuh akan masuk ke negara orang-orang Islam atau ditakuti tercetusnya fitnah daripada golongan pelampau di negara Islam, (maka) harus bagi pemerintah mengeluarkan perintah (kutipan wang) ke atas orang kaya sekadar yang mencukupi keperluan tentera.

Manakala dalam kitabnya Syifâ’ al-Ghalîl fî Bayân asy-Syabâh wa al-Mukhîl wa Masâlik at- Ta‘lîl, Imam al-Ghazali Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan menurut pendapat kami, adalah harus yang demikian itu (tauzhîf) ketika ada mashlahat. Sesungguhnya apa yang perlu diteliti ialah pada menjelaskan bentuk mashlahat tersebut.

Imam asy-Syathibi Rahimahullâh dalam kitab al-I‘tishâm berkata:

Ertinya: Sesungguhnya apabila kita memutuskan sebagai seorang ketua (pemerintah) yang ditaati, (dan dia) berhajat untuk menambah bilangan tentera bagi mengawal sempadan (negara) dan melindungi negeri-negeri di bawah kuasaan yang luas, sedangkan Baitul-Mal kehabisan (harta) dan keperluan-keperluan tentera pula meningkat sehingga ke tahap (harta Baitul-Mal) tidak mencukupi (keperluan) mereka, maka boleh bagi seorang ketua (pemerintah) – jika dia seorang yang ‘âdil – mengeluarkan perintah (kutipan wang) ke atas orang-orang kaya (mengeluarkan harta mereka) apa yang difikirkannya mencukupi bagi mereka (tentera) dengan segera sehingga nyata (keupayaan) harta Baitul-Mal.

Beliau menambah lagi:

Ertinya: Sesungguhnya tidak ada dibawakan (riwayat) seumpama ini (pengutipan wang) daripada mereka yang terdahulu kerana harta Baitul-Mal cukup banyak pada zaman mereka berbeza pada zaman kita. Maka isu yang ada padanya lebih utama dan bentuk mashlahat di sini (pengutipan wang) adalah jelas. Jika pemerintah tidak melaksanakan peraturan sedemikian (pengutipan wang), maka kuasa pemerintah akan hilang dan negara kita akan terdedah kepada penguasaan orang-orang kafir. Peraturan tersebut semuanya (berjalan atas) kuasa pemerintah dengan ke‘âdilannya.

Syaikh Mahmud Syaltut Rahimahullâh, Syaikh al-Azhar yang meninggal pada 1383H/1963M, pernah memfatwakan bahawa apabila pemerintah tidak mempunyai (cukup) harta untuk melaksanakan keperluan-keperluan mashlahat umum seperti membina sekolah, hospital, jalan-jalan raya, kilang-kilang dan keperluan-keperluan pertahanan negara dan dia melihat bahawa orang-orang kaya di negeri itu berupaya membantu dalam membiayai keperluan mashlahat umum tersebut, sedangkan mereka itu belum memberi sumbangan bantuan mengenainya, maka harus bagi pemerintah bahkan ada kalanya wajib mengutip cukai daripada mereka pada kadar yang mencukupi untuk melaksanakan keperluan mashlahat umum tersebut tanpa membebani dan menzalimi mereka.

Keharusan mengutip cukai juga ada difatwakan oleh Dar al-Ifta’ al-Mishriyyah, antara lain menyebutkan:

Ertinya: Dan (boleh) bagi sesebuah negara (kerajaan) mewajibkan cukai yang adil pada kadarnya dan kutipannya. Demikian itu adalah untuk menampung perbelanjaan am dan keperluan-keperluan yang lazim bagi negara atas dasar tanggungjawabnya terhadap mashlahat orang ramai yang menghendaki perbelanjaan yang memerlukan kepada adanya sumber hasil yang tetap, terutama pada zaman ini, yang fungsi kerajaan semakin banyak dan keperluan kepada kemudahan-kemudahan awam semakin luas.

Berdasarkan keterangan ulama di atas, adalah jelas bahawa terdapat bentuk kutipan cukai yang diharuskan oleh syara‘ iaitu cukai yang dikutip mengikut garis panduan syara‘ yang didasari oleh keperluan mashlahat umum sebagaimana yang dijelaskan di atas. Namun, terdapat juga bentuk kutipan cukai yang dilarang oleh syara‘ yang disebut sebagai al-maks. Al-Maks bermaksud kutipan wang di zaman jahiliyyah daripada peniaga yang menjual barang di pasar-pasar yang didasari oleh kepentingan golongan tertentu. Ia juga diertikan sebagai suatu kezaliman dan pengurangan pada hasil jualan. Apabila cukai itu dikutip untuk kepentingan golongan tertentu dan bukannya untuk kepentingan awam, maka kutipan itu dinamakan al-maks kerana menzalimi dan mengambil harta orang lain tanpa hak di samping mengurangkan hasil pendapatan orang lain tanpa menerima apa-apa imbalan yang sewajarnya.

Maka, daripada pengertian zakat dan cukai di atas, dapatlah difahami bahawa cukai dan zakat adalah dua perkara yang berbeza. Zakat adalah diwajibkan oleh syara‘ ke atas orang Islam, manakala cukai pula diwajibkan oleh pemerintah sesebuah negara ke atas golongan-golongan tertentu.

Pembayaran cukai itu sekalipun kewajibannya ditetapkan oleh kerajaan namun ia masih termasuk dalam ruang lingkup siyâsah syar‘iyyah dalam membantu pihak pemerintah mendapatkan dana bagi membiayai perbelanjaan negara untuk memelihara mashlahat umum. Tindakan ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang menyatakan:

Ertinya: Tindakan (yang diambil oleh) imam atau pemerintah ke atas rakyat (hendaklah) didasari dengan mashlahat.

Walau bagaimanapun perlu juga diambil perhatian bahawa pengutipan cukai tidak boleh dilakukan dengan cara sewenang-wenangnya kerana menurut syara‘ tujuannya bukan semata-mata untuk mengambil hasil daripada harta pembayar cukai. Kutipan cukai itu perlu didasari oleh justifikasi untuk memastikan adanya mashlahat umum yang jelas menurut syara‘ dengan tidak melampaui batas sehingga menzalimi pembayar cukai. Maka dengan memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas kutipan cukai itu tidak disifatkan sebagai zalim atau apa yang disebut sebagai al-maks.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13025