Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Sunat Dhuha Semasa Waktu Bekerja

Soalan: Apakah hukum mendirikan sembahyang sunat Dhuha semasa waktu bekerja?

Jawapan: Sembahyang sunat Dhuha adalah antara sembahyang nawâfil yang disyariatkan ke atas umat Islam dan hukum mengerjakannya adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut).

Anjuran mengerjakan sembahyang sunat Dhuha serta kelebihannya ada disebut dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya ialah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah berpesan kepada beliau untuk mengerjakan tiga perkara. Beliau berkata:

Maksudnya: Kesayanganku (Rasulullah) Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah berwasiat kepadaku dengan tiga (perkara); berpuasa tiga hari pada setiap bulan, (mengerjakan sembahyang) Dhuha dua rakaat dan (mengerjakan sembahyang) Witir sebelum aku tidur. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits lain ada menyebut bahawa sembahyang sunat Dhuha adalah antara cara untuk meraih keberkatan rezeki sebagaimana hadits daripada Abu ad-Darda’ dan Abu Dzarr Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta‘âlâ berfirman:

Maksudnya: (Wahai) Anak Adam! Ruku‘lah (kerjakanlah sembahyang sunat Dhuha) untukKu empat rakaat pada awal siang, nescaya Aku cukupkan (keperluan-keperluan) engkau sehingga ke akhirnya (siang). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits qudsi di atas menyatakan bahawa sembahyang sunat Dhuha itu adalah salah satu wadah untuk mendapat keberkatan pada rezeki. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menerangkan bahawa sesiapa yang mengamalkan sembahyang sunat Dhuha empat rakaat pada waktu pagi, maka akan dicukupkan keperluannya sepanjang hari tersebut. Tidak kira sama ada rezeki yang diperolehi itu banyak atau sedikit, ni‘mat kepuasan dan kecukupan rezeki itu akan dirasai kerana adanya keberkatan. Ini bererti keberkatan pada rezeki adalah penting dan ia berkait rapat dengan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang memberi segala rezeki. Oleh itu seseorang yang mengharapkan redha Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ perlu mendekatkan diri kepadaNya dengan melakukan amal ibadat seperti sembahyang sunat Dhuha. Mengerjakan sembahyang sunat Dhuha sebanyak empat rakaat itu adalah jumlah rakaat paling minima yang sempurna bagi sembahyang sunat Dhuha.

Waktu mengerjakan sembahyang sunat Dhuha bermula ketika matahari naik pada kadar satu galah iaitu kira-kira tujuh hasta pada pandangan mata di waktu pagi dan berakhir dengan tergelincir matahari. Waktu yang afdhal untuk mengerjakannya pula ialah setelah berlalu satu perempat siang, iaitu ketika matahari meninggi dan hari menjadi panas. Sebagai contoh, mengikut kiraan waktu tempatan yang terdapat pada kalendar yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti agama, waktu sembahyang sunat Dhuha bermula pada jam 6.28 pagi. Manakala waktu yang afdhal yang dimaksudkan pula adalah kira-kira 9.30 pagi hingga 10.00 pagi.

Antara hikmah dikerjakan pada waktu tersebut ialah agar waktu siang hari itu tidak sunyi atau kosong daripada mengerjakan sembahyang dan mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ; iaitu satu perempat yang pertama diisi dengan sembahyang Shubuh, yang kedua diisi dengan sembahyang sunat Dhuha, yang ketiga diisi dengan sembahyang Zhuhur dan yang keempat diisi dengan sembahyang ‘Ashar.

Jelas di sini bahawa anjuran untuk sentiasa mengerjakan amal ibadat, mengingat atau mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan mengerjakan amalan-amalan sunat, antaranya sembahyang sunat Dhuha adalah sangat dituntut dan digalakkan agar dikurniakan keberkatan hidup di dunia mahupun di akhirat dan mendapat keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Tanggungjawab Melaksanakan Tugas Tugas atau kerja yang dilakukan sama ada di pejabat atau lainnya merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas pekerja oleh majikan. Majikan pula bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan pekerja dengan baik, adil dan ihsan serta membayar upah atau gaji mereka untuk melaksanakan setiap tugas yang diberikan. Dari itu adalah menjadi tanggungjawab pekerja untuk melaksanakan tugasnya dengan kesungguhan, amanah dan sebaik-baiknya.

Apabila tugas atau kerja, sama ada di pejabat mahupun di tempat selain pejabat itu adalah amanah dan pekerja itu pula dibayar upah atau gaji oleh majikannya untuk melakukan tugas atau kerja tersebut, maka adalah menjadi kewajiban ke atas pekerja untuk melaksanakannya. Kerja yang diberikan majikan hendaklah diurus dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Begitu juga waktu bekerja yang ada, hendaklah diurus dengan baik dan dikhususkan untuk menyelesaikan tugas atau kerja tersebut. Sekiranya kewajiban ini terjejas kerana waktu yang ada diisikan dengan kesibukan lain yang tidak ada kaitan dengan urusan kerja, maka pekerja tersebut telah mengabaikan atau mencuaikan amanah yang diberi kepadanya dan perkara ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Mengerjakan Sembahyang Sunat Dhuha Dalam Waktu Bekerja

Persoalan mengenai hukum pekerja melakukan sembahyang sunat Dhuha semasa waktu bekerja, sama ada ia diharuskan atau sebaliknya, maka ia tertakluk kepada keadaan sama ada ia boleh memberi kesan kepada tugas atau kerja yang dilakukannya atau sebaliknya.

Jika mengerjakan sembahyang sunat Dhuha itu akan menjejaskan tugas yang perlu dilaksanakannya ketika itu, maka tidak boleh dia meninggalkan tugasnya semata-mata untuk mengerjakan sembahyang sunat Dhuha. Sebagai contoh, pekerja yang ditugaskan di kaunter untuk memberi khidmat kepada pelanggan yang membuat urusan, tetapi dia sengaja meninggalkan kaunter tersebut untuk melakukan sembahyang sunat Dhuha dengan alasan khuatir tidak berkesempatan lagi mengerjakannya, sedangkan pelanggan yang perlu dilayaninya masih ramai. Maka dalam hal ini tidak boleh dia melakukan sembahyang sunat Dhuha kerana mengerjakan sembahyang Dhuha adalah memenuhi tuntutan sunat manakala melaksanakan tugas di kaunter adalah memenuhi tuntutan wajib. Menurut Islam perkara wajib hendaklah diutamakan daripada perkara sunat dan mengabaikan yang wajib adalah berdosa.

Walau bagaimanapun, sekiranya mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dalam waktu bekerja itu tidak menjejaskan tugasnya, maka harus baginya mengerjakan sembahyang sunat Dhuha itu sekalipun dalam waktu bekerja.

Sebagai irsyâd, bagi pekerja yang ingin mengerjakan sembahyang sunat Dhuha ketika bertugas, maka tidak ada halangan menurut syara‘ dia mengerjakannya dengan syarat hendaklah tidak mengambil masa yang panjang sehingga menjejaskan tugas yang perlu dilaksanakannya. Memadai baginya mengerjakan dua rakaat sahaja untuk mendapatkan fadhilat sembahyang sunat Dhuha.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13029