Ujian Penganalisaan Saintifik Ke Atas Daging Babi Import
Soalan: Jabatan Perkhidmatan Saintifik (JPS), Kementerian Kesihatan telah menerima permohonan daripada Autoriti Makanan Negara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Food Authority - BDFA) untuk mengadakan ujian makmal kimia dan mikrobiologi ke atas contoh daging babi yang diimport masuk ke negara ini bagi memastikan keselamatan pengguna di negara ini untuk dimakan yang mana difahami terkandung dalam Wholesome Meat Order di mana adalah menjadi tanggungjawab BDFA selaku Autoriti Makanan di negara ini dalam mengeluarkan ‘Health Certificate’ bagi daging yang diimport dan untuk mengimplementasikan Wholesome Meat Order dan bagi mengelakkan ‘double standard’ di mana perkara ini akan diaudit dari semasa ke semasa.
Dalam hubungan ini, JPS telahpun memberikan pandangan yang mana memastikan keselamatan pengguna di negara ini bagi pelaksanaan kaedah pengawalan alternatif dengan mengadakan syarat seperti menyediakan ‘Certificate of Analysis’ bagi setiap pengimpotan daging babi yang dikeluarkan dari makmal luar negeri yang diiktiraf dari mana daging tersebut telah diimport. Walau bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif telah menegaskan bahawa pihak BDFA masih memerlukan untuk penganalisaan bagi daging babi dijalankan oleh makmal tempatan yang telah diakreditasi dengan piawaian ISO.
Berikutan dengan itu, pihak JPS ini telah pun mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu dan hasil daripada mesyuarat ini, beberapa perkara telah ditimbulkan seperti berikut:
(i) Jika sekiranya ujian terhadap daging khinzîr tersebut dimestikan dilaksanakan di jabatan ini, maka makmal-makmal yang digunakan perlu disertu selepas setiap kali ujian daging khinzîr dijalankan, kerana jabatan ini tidak mempunyai kemudahan makmal yang berasingan.
(ii) Berkaitan dengan proses penganalisaan mikrobiologi, sebagaimana lazimnya pihak pengimport akan menghantar daging-daging yang diimport tersebut ke makmal yang berkenaan. Mengikut pengalaman jabatan ini, daging-daging sapi dan kambing beku yang dihantar adalah dalam potongan besar yang memerlukan kakitangan makmal berkenaan untuk memotong daging-daging tersebut dalam potongan yang kecil bagi tujuan sampling. Pada masa ini hanya terdapat satu ruang untuk membuat sampling untuk kesemua contoh makanan yang diterima dan ruang peti sejuk beku juga tidak mencukupi untuk menyimpan contoh-contoh daging yang besar. Mengambil kira perkara ini, jika keperluan penganalisaan daging khinzîr ini untuk dilaksanakan adalah memerlukan ruang tempat yang khusus dan tidak bercampur dengan daging lainnya yang mana adalah juga dikhuatiri pihak pengimport akan menghantar daging khinzîr dalam bentuk ‘whole carcasses’ di mana beberapa orang kakitangan diperlukan untuk proses memotong daging tersebut.
(iii) Keseluruhan kakitangan makmal-makmal berkenaan dan berkaitan (Makmal Kimia Makanan dan Makmal Mikrobiologi) adalah beragama Islam.
(iv) Kekhuatiran jika ujian terhadap daging khinzîr ini dilaksanakan akan menyebabkan lebih banyak pengimportan akan diterima di makmal jabatan ini.
(v) Tatacara untuk membuang daging khinzîr berkenaan setelah ujian analisa dilaksanakan.
Oleh yang demikian, sukacita dipohonkan fatwa dalam menangani isu melaksanakan ujian ke atas daging khinzîr sebagai panduan jabatan ini untuk menyediakan satu dasar dalam mengendalikan ujian-ujian seumpama ini.
Jawapan: Daging khinzîr atau babi selain merupakan benda najis yang bersifat mughallazhah pada pandangan syara‘, ia juga sesuatu yang pada kebiasaannya membuatkan orang-orang Islam merasa jijik apabila mereka melihatnya. Islam telah menetapkan hukum-hakam tertentu mengenainya termasuklah hukum-hakam yang diketahui umum seperti daging babi dan apa juga bahagian yang bersumber daripada babi adalah haram dimakan atau dimanfaatkan oleh orang Islam. Begitu juga dengan kenajisannya iaitu jika apa-apa juga bahagian daripada babi bersentuhan dengan anggota tubuh badan, pakaian atau benda-benda yang salah satunya basah maka untuk membersihkannya wajib dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali basuhan yang salah satunya air yang bercampur tanah.
Selain daripada hukum-hakam ini, ada lagi hukum-hakam lain mengenai pengurusan babi dan perkara-perkara yang berkait dengannya di sesebuah negara Islam.
Mengendalikan Penganalisaan ke atas Daging Babi Menurut keterangan yang diberikan, proses ujian makmal kimia dan mikrobiologi yang dipohonkan ke atas daging babi yang diimport masuk ke negara ini akan melibatkan petugas makmal memegang dan memotong daging babi berkenaan.
Tujuan ujian yang dipohonkan adalah bagi memastikan daging babi yang diimport selamat untuk dimakan oleh pengguna bukan Islam. Diterangkan juga bahawa keseluruhan kakitangan makmal-makmal yang berkaitan pada masa ini adalah terdiri daripada kakitangan yang beragama Islam. Maka proses ujian makmal ke atas daging babi akan mendedahkan kakitangan atau petugas yang beragama Islam kepada benda haram dan najis, sedangkan menurut ajaran Islam orang-orang Islam diperintahkan menjauhi babi dan apa-apa juga bahagian daripada babi.
Para ulama telah menjelaskan bahawa hukum menjauhi najis adalah wajib berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bersihkanlah pakaianmu. (Surah al-Muddatstsir: 4)
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sucikanlah (diri) kamu daripada air kencing, sesungguhnya kebanyakan azab kubur daripadanya (disebabkan dosa tidak membersihkan air kencing). (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Para fuqahâ’ telah menerangkan bahawa hukum menyentuh babi adalah berkait dengan hukum menjauhi najis kerana babi adalah salah satu daripada najis itu. Hukum menjauhi najis itu pula berbalik kepada dua keadaan iaitu ketika di dalam sembahyang dan ketika di luar sembahyang. Menjauhi najis dalam sembahyang adalah wajib kerana salah satu syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis. Manakala di luar sembahyang pula, menjauhi najis adalah juga wajib jika tidak ada sebarang keperluan padanya.
Dalam hal ini, as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menyatakan:
Ertinya: (Di luar sembahyang) jika tanpa ada sebarang keperluan, menjauhinya (najis) adalah wajib, kerana apa-apa yang haram (hukumnya) melakukannya, menjauhinya (juga) adalah wajib.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula menyatakan:
Ertinya: Haram berlumur dengan najis di luar sembahyang pada badan tanpa ada keperluan, begitu juga pada pakaian.
Maksud keperluan (حاجة) itu ialah keperluan yang diiktiraf oleh syara‘. Adapun dalam menjalankan ujian ke atas daging babi untuk makanan orang bukan Islam tidak nampak adanya aspek yang diiktiraf oleh syara‘.
Selain daripada itu, apabila orang Islam turut menjalankan ujian ke atas daging babi, kemudiannya daging babi itu menjadi bahan makanan untuk orang-orang bukan Islam, maka ini bererti orang Islam secara tidak langsung telah menolong dan membantu urusan dalam menjadikan babi sebagai bahan makanan. Pada dasarnya, orang Islam tidak dilarang menolong dan membantu orang bukan Islam asalkan ia tidak melibatkan perkara yang haram. Menganalisa daging babi dalam hal ini adalah jelas melibatkan diri dalam perkara haram iaitu membantu menjadikan babi sebagai makanan. Larangan menolong dan membantu dalam hal seumpama ini jelas dan tegas disebut dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hakam Allah). (Surah al-Mâ’idah: 2)
Dari aspek yang lain, apabila orang Islam dilibatkan dalam kerja-kerja penganalisaan daging babi ia menjadikan orang-orang Islam terhina. Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz Rahimahullâh mantan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam fatwanya bilangan 35/1983 menyebut:
“Tiadalah syak bahawa memerintahkan orang Islam memegang babi dan berlumur dengan najis babi, dan dengan bangkai ayam dan bangkai daging yang tiada diketahui atau tiada dizhannkan disembelih menurut cara Islam, adalah menghinakan orang Islam, dan menghinakan orang Islam adalah haram, dan boleh dita‘zîr (dihukum ta‘zîr – Mufti kini) ke atas orang yang membuat hina itu.”
Pihak berkenaan wajar mengambil kira kegelisahan dan perasaan jijik petugas yang akan mengendalikan kerja-kerja penganalisaan yang diarahkan kerana kerja-kerja berkenaan melibatkan daging babi yang menjijikkan dan menyakiti perasaan orang Islam. Sebagaimana yang dinyatakan, berdasarkan pengalaman Jabatan Perkhidmatan Saintifik sendiri, kerja-kerja penganalisaan pada kebiasaannya akan melibatkan daging-daging dihantar dalam potongan yang besar dan memerlukannya untuk dipotong oleh kakitangan makmal. Seseorang yang beragama Islam pasti akan merasa loya dan jijik apabila berhadapan dengannya, apa lagi menyentuh dan memotongnya lebih-lebih lagi jika daging babi dihantar dalam bentuk ‘whole carcasses’.
Dalam kata lain, sebagai negara yang pentadbirannya berprinsipkan Melayu Islam Beraja (MIB) tidak sepatutnya merelakan orang Islam terlibat dalam pekerjaan yang dilarang dalam Islam.
Daripada keterangan-keterangan di atas, ujian penganalisaan ke atas daging babi adalah tidak wajar dilaksanakan oleh makmal Jabatan Perkhidmatan Saintifik Kementerian Kesihatan yang petugas-petugas makmal tersebut adalah beragama Islam, lebih-lebih lagi makmal tersebut adalah satu-satunya digunakan untuk menganalisa makanan bagi orang-orang Islam.
Jika makmal itu turut dilibatkan untuk menganalisa daging babi atau apa juga bahan-bahan daripada babi tentunya akan menambah tanggungjawab petugas untuk menyertu tempat-tempat, peralatan yang digunakan dan membersihkan diri daripada najis mughallazhah.
Oleh yang demikian, adalah memadai penganalisaan daging babi untuk makanan orang bukan Islam itu diperolehi daripada makmal-makmal luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan sahaja.
Dalam perkara ini tidaklah timbul isu double standard dalam menangani perkara yang berkaitan dengan babi kerana dasar pentadbiran negara mengenainya adalah jelas sebagaimana yang ada dalam peraturan-peraturan atau prosedur-prosedur yang berkuatkuasa. Antaranya pengasingan tempat penjualan produk-produk yang berasaskan babi, kedai-kedai makan atau restoran-restoran yang menyajikan makanan berasaskan babi diletakkan label tertentu yang menunjukkan ia bukan tempat makan orang-orang Islam, larangan menternak babi secara komersil dan lain-lain seumpamanya.
Maka, membenarkan ujian penganalisaan daging babi diadakan di tempat yang sama dengan tempat ujian penganalisaan makanan-makanan halal dijalankan adalah jelas tidak sejajar dengan dasar yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sekarang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13034
