Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Diam Seketika Untuk Mengingat Rukun Sembahyang

Soalan: 1. Adakah membatalkan sembahyang jika kita syak terus cuba mengingati selama 4 ke 5 saat, kemudian baru kembali ke rukun yang kita syak itu?

2. Jika waswas rakaat pada sujud terakhir, sama ada rakaat ke 3 atau 4, adakah membatalkan sembahyang jika bertahan dalam sujud itu selama 4 ke 5 saat untuk mengingatinya?

Jawapan: Syak atau ragu terhadap suatu perbuatan atau bacaan sembahyang sama ada telah dilakukan atau belum, boleh berlaku ketika seseorang mengerjakan sembahyang. Berkaitan perkara ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah pun memberi panduan kepada kita supaya berpegang kepada keyakinan ketika itu sebagaimana hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu syak dalam sembahyangnya, lalu dia tidak tahu berapa rakaat telah dilakukannya, adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak itu dan peganglah apa yang dia yakin (buatlah jumlah rakaat yang dia yakin). Kemudian sujudlah dua kali sujud (sujud sahwi) sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima rakaat, maka dua sujud sahwi itu menggenapkan sembahyangnya (menjadi enam rakaat). Jika dia telah melakukan sempurna empat rakaat, kedua-dua sujud sahwi itu sebagai penghinaan bagi syaitan. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits yang lain riwayat daripada ‘Abdurrahman bin ‘Auf Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jika salah seorang kamu lalai dalam sembahyangnya, lalu dia tidak tahu adakah dia telah sembahyang satu atau dua (rakaat)? Maka peganglah satu (rakaat). Jika dia tidak tahu adakah dia telah sembahyang dua atau tiga (rakaat)? Maka peganglah dua (rakaat). Jika dia tidak tahu adakah dia telah sembahyang tiga atau empat (rakaat)? Maka peganglah tiga (rakaat). Kemudian sujudlah dua kali sujud (sujud sahwi) sebelum memberi salam. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berkaitan perkara syak tidak menjejaskan keyakinan ini, para fuqahâ’ telah menetapkan satu kaedah fiqh yang juga disandarkan kepada hadits-hadits di atas iaitu:

Ertinya: Keyakinan itu tidak dihilangkan oleh syak.

Ini bermakna apabila seseorang syak pada bilangan rakaat, adakah dia sedang dalam rakaat ketiga atau keempat umpamanya, maka hendaklah dia menetapkan bahawa dia sudah melakukan rakaat ketiga kerana rakaat ketiga adalah rakaat yang diyakini telah dilakukan ketika itu. Manakala rakaat keempat pula, ia belum yakin dilakukan (masih syak mengenainya), maka hendaklah dia ketepikan perkara yang dia syak itu dengan menambah satu rakaat lagi untuk menyempurnakan sembahyangnya kemudian sunat melakukan sujud sahwi sebelum salam.

Apabila seseorang itu lupa pada tertib rukun sembahyang dengan tertinggal rukun seperti dia sujud sebelum ruku‘, atau ruku‘ sebelum membaca al-Fâtihah, ataupun seseorang itu syak sama ada dia telah melakukan sesuatu rukun atau belum seperti dia syak semasa ruku‘ adakah dia telah membaca al-Fâtihah, atau semasa sujud adakah dia telah ruku‘ atau i‘tidâl, maka wajib dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang dia syak itu sekiranya dia ingat sebelum sampai pada rukun sepertinya di rakaat berikutnya. Jika dia tidak segera melakukannya umpamanya dia diam seketika untuk mengingat, maka batal sembahyangnya.

Tetapi sekiranya dia ingat rukun sembahyang yang tertinggal atau syak itu terjadi setelah sampai pada rukun sepertinya pada rakaat berikutnya, maka memadailah rukun sepertinya itu menjadi ganti kepada rukun yang tertinggal atau yang dia syak itu. Kemudian hendaklah menyempurnakan baki sembahyang seterusnya kerana apa yang telah dilakukannya di awal tadi selepas rukun yang tertinggal atau yang dia syak adalah tidak diambil kira kerana dia melakukannya pada bukan tempatnya. Dia juga sunat melakukan sujud sahwi sebelum salam.

Berbeza halnya jika syak itu terjadi ketika sedang qiyâm (berdiri) sama ada dia telah membaca surah al-Fâtihah atau belum, maka dalam hal ini, dia boleh diam untuk mengingati perkara yang dia syak itu.

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyebut:

Ertinya: Maka jika syak ketika ruku‘nya bahawa dia telah membaca al-Fâtihah atau ketika sujudnya bahawa dia telah ruku‘ atau belum, maka wajib dia berdiri pada ketika itu dan jika dia diam seketika untuk mengingat maka batal sembahyang, berbeza jika dia syak ketika qiyâm (berdiri) bahawa dia telah membaca al-Fâtihah atau belum maka dia boleh diam untuk mengingat.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, jika seseorang mengingat sama ada sudah membaca al- Fâtihah atau belum ketika dia melakukan qiyâm (berdiri), maka dia tidak wajib segera membacanya kerana dia belum berpindah dari tempatnya.

Maka berdasarkan penjelasan di atas, apa yang perlu dilakukan dalam keadaan syak terhadap tertib rukun sembahyang ialah:

1. Sekiranya seseorang itu syak meninggalkan rukun sembahyang sebelum sampai pada rukun sepertinya di rakaat berikutnya, maka wajib dia melakukan rukun yang dia syak itu dengan segera. Sekiranya dia diam untuk mengingat dan tidak segera melakukannya, maka sembahyangnya adalah batal melainkan perbuatan diam untuk mengingat itu tidak menjejaskan pergerakan sembahyang seperti ketika melakukan qiyâm dia syak sudah membaca surah al-Fâtihah atau belum, maka perkara tersebut tidak membatalkan sembahyang sekalipun lama diamnya.

2. Sekiranya syak itu timbul setelah sampai pada rukun sepertinya di rakaat berikutnya, maka memadai rukun yang dilakukannya itu sebagai ganti dan hendaklah dia menyempurnakan sembahyangnya itu.

Manakala jika seseorang syak pada bilangan rakaat, hendaklah dia menambah satu rakaat kerana pada asalnya dia belum melakukannya dan seterusnya melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam pada rakaat terakhir sembahyangnya. Ini bererti jika timbul syak pada sujud terakhir sama ada rakaat ketiga atau keempat, maka hendaklah dia bangun untuk mengerjakan satu rakaat lagi kemudian sujud sahwi sebelum memberi salam. Maka tidak mengapa dia diam untuk mengingatinya sekalipun lama kerana sujud merupakan rukun panjang, diamnya itu pula tidak menjejaskan pergerakan sembahyang, dan perkara yang dia syak itu bukan pada tertib rukun sembahyang.

Perkara ini dapat difahami dari perkataan al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh yang menjelaskan bahawa jika seseorang diam panjang dengan sengaja pada rukun yang bukan pendek tanpa apa-apa tujuan, sembahyangnya tidak batal menurut pendapat al-ashah kerana perbuatan demikian tidak menjejaskan pergerakan sembahyang. Namun memanjangkan rukun pendek dengan diam yang panjang adalah membatalkan sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13050