Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Hadits Berkenaan Kelebihan Mengucapkan Selawat Selepas Sembahyang Fardhu ‘Ashar Pada Hari Jumaat

Soalan: Pada masa ini terdapat banyak hadits mengenai kelebihan berselawat disebarkan melalui media sosial. Antaranya ialah hadits mengenai kelebihan berselawat selepas sembahyang fardhu ‘Ashar pada hari Jumaat iaitu:

“Ya Allah, limpahkan selawat dan salam penghormatan ke atas junjungan kami Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam hamba dan RasulMu, Nabi yang ummi dan ke atas keluarga serta sahabatnya.”

Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membaca selawat seperti ini sebanyak lapan puluh (80) kali sejurus selepas sembahyang ‘Ashar pada hari Jumaat sebelum bangun dari tempat sembahyangnya akan diampunkan dosanya sebanyak 80 tahun dan diganjari pahala 80 tahun ibadat.”

Sehubungan dengan itu, dipohonkan penjelasan mengenai kedudukan martabat hadits berkenaan.

Jawapan: Mengucap selawat kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam merupakan antara bukti kecintaan dan pengagungan umat Islam terhadap Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Malah mengucap selawat merupakan perintah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan. (Surah al-Ahzâb: 56)

Selawat kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mempunyai banyak fadhilat yang antaranya ialah orang yang mengucap selawat akan dikurniai kedudukan yang utama untuk mendapat syafaat daripada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, digandakan pahala dan dihapuskan segala dosa sebagaimana disebut dalam beberapa hadits, antaranya:

1. Hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Manusia yang paling utama di sisiku pada Hari Kiamat ialah mereka yang paling banyak mengucap selawat kepadaku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Imam al-Mubarakfuri Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwadzi ketika menjelaskan hadits di atas bahawa maksud “manusia yang paling utama” ialah orang yang paling dekat dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam atau orang yang paling berhak mendapat syafaat daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kelebihan ini mereka terima kerana banyak mengucap selawat itu terbit daripada kecintaan yang sempurna kepada Allah.

2. Hadits daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa mengucap selawat ke atasku sekali selawat, Allah mengurniakan selawat ke atasnya sepuluh kali selawat, dihapuskan daripadanya sepuluh dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Hadits di atas menjelaskan bahawa sesiapa yang mengucap selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sekali selawat, maka Allah akan mengurniakan kepadanya rahmat dan melipatgandakan pahalanya serta dihapuskan sepuluh dosa dan diangkat kedudukannya sepuluh darjat.

3. Hadits daripada Aus bin Aus Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik hari-hari kamu ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah ucapan selawat ke atasku di dalamnya (pada hari Jumaat). Sesungguhnya selawat kamu itu akan dibentangkan ke atasku. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah, memperbanyak selawat sangat dianjurkan dan hukumnya adalah sunat terutama pada malam dan siang hari Jumaat berdasarkan hadits-hadits shahîh. Hadits-hadits shahîh ini menganjurkan umat Islam untuk mengucap selawat dan menyatakan tentang kelebihan serta ganjarannya yang besar pada hari Jumaat tersebut. Menurut Imam Abu Thalib al-Makki Rahimahullâh, memperbanyak selawat pada hari Jumaat itu ialah sekurang-kurangnya 300 kali.

Merujuk kepada persoalan di atas yang menyatakan tentang bacaan selawat tertentu dan kelebihannya pada waktu ‘Ashar hari Jumaat, Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh ada menyebutnya di dalam kitabnya Irsyâd al-‘Ibâd ilâ Sabîl ar-Rasyâd:

Ertinya: Dan dalam satu riwayat: Sesiapa menunaikan sembahyang fardhu ‘Ashar pada hari ّليّللّل اْلح ُمالنَّب sebanyak lapan puluh kali, (nescaya) diampunkan baginya dosa-dosa selama lapan puluh tahun dan ditulis baginya ibadat selama lapan puluh tahun.

Berhubung dengan martabat hadits yang ditanyakan, setakat rujukan yang dibuat dalam beberapa kitab-kitab hadits, hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu tersebut ada disebut dalam kitab at-Targhîb fî Fadhâ’il al-A‘mâl wa Tsawâb Dzâlik karangan al-Imam al- Hafizh Abu Hafsh ‘Umar bin Ahmad bin ‘Utsman bin Syahin Rahimahullâh, tetapi dengan lafaz:

Maksudnya: Mengucap selawat ke atasku adalah cahaya di atas ash-shirâth, maka siapa yang mengucap selawat ke atasku pada hari Jumaat lapan puluh kali, nescaya diampunkan dosa lapan puluh tahun baginya.

Adapun lafaz yang lebih kurang sama dengan hadits yang ditanyakan di atas ialah hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu dalam kitab al-Qaul al-Badî‘ fi ash-Shalâh ‘ala al-Habib asy-Syafi‘ susunan al-Imam al-Hafizh al-Mu’arrikh Muhammad bin ‘Abdurrahman as-Sakhawi Rahimahullâh dengan lafaz:

Maksudnya: Sesiapa berselawat ke atasku pada hari Jumaat lapan puluh kali nescaya Allah mengampunkan dosa-dosa lapan puluh tahun baginya. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana (lafaz) selawat ke atasmu? Baginda menjawab: Kamu bacalah: َ ٍ اُمَُمَّد ّل عَلَىَ للّٰهُم َّ صَل

Hadits yang dekat lafaznya dengan hadits daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu di atas ada disebut oleh para ulama asy-Syafi‘iyyah yang antaranya ialah asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj dan as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn.

Menurut Ibn al-Jauzi Rahimahullâh dalam kitabnya al-‘Ilal al-Mutanâhiyah fî al-Ahâdîts al- Wâhiyah bahawa hadits riwayat daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu tersebut tidak shahîh kerana di dalamnya terdapat perâwi-perâwi yang ditolak periwayatannya antaranya ialah Hajjaj bin Sinan. Walau bagaimanapun, menurut asy-Syaikh Abu ‘Abdullah an-Nu‘mani Rahimahullâh sebagaimana disebut dalam kitab al-Mughnî ‘an Haml al-Asfâr fî al-Asfâr fî Takhrîj mâ fî al-Ihyâ’ min al-Akhbâr susunan al-Hafizh Abu al-Fadhl Zainuddin ‘Abdurrahim bin al-Husain al-‘Iraqi, kitab Mughnî al-Muhtâj karangan asy-Syaikh al-Khathib asy- Syarbini, Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj susunan asy-Syaikh ‘Abdul Hamid asy-Syarwani, hadits tersebut adalah hadits hasan.

Dalam perkara mengucap selawat, Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menyatakan bahawa tuntutan mengucap selawat itu terhasil dengan apa jua lafaz selawat. Adapun lafaz selawat yang paling afdhal ialah selawat Ibrahimiyyah. Selawat Ibrahimiyyah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah sebagaimana yang disebut dalam hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Ya Allah! Limpahkanlah selawat ke atas Nabi Muhammad hambaMu dan rasulMu, sebagaimana Engkau telah limpahkan selawat ke atas Nabi Ibrahim. Dan berkatilah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah berkati ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkar menyebut bahawa mengucap selawat kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu hendaklah disertai dengan salam sebagaimana katanya:

Ertinya: Jika (seseorang) mengucap selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka hendaklah dia menghimpun antara selawat dan salam, dan tidak terbatas kepada salah satu sahaja. Maka janganlah dia berkata: ُ

لهحعَلَي sahaja atauُ

Berkenaan waktu ‘Ashar hari Jumaat pula, as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menerangkan dalam Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa akhir waktu ‘Ashar hari Jumaat itu adalah antara waktu yang diharapkan diterima do‘a sebagaimana hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Hari Jumaat mempunyai dua belas waktu. Tidak ada seorang muslim meminta kepada Allah ‘Azza wa Jalla sesuatu melainkan Allah ‘Azza wa Jalla memberinya, maka mintalah kamu pada hari tersebut pada akhir waktu setelah (sembahyang fardhu) ‘Ashar. (Hadits riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)

Oleh itu berdasarkan penjelasan di atas, membaca selawat dengan lafaz:

adalah harus bahkan dianjurkan untuk diamalkan. Lebih-lebih lagi riwayat mengenainya telah disebut oleh ulama-ulama mu‘tabar dalam mazhab asy-Syafi‘i. Walau bagaimanapun, apa jua lafaz selawat adalah harus dibaca berdasarkan firman Allah dalam surah al-Ahzâb, ayat 56.

Memperbanyak selawat lebih-lebih lagi pada hari Jumaat juga adalah dianjurkan berdasarkan hadits-hadits shahîh yang menganjurkan umat Islam untuk mengucap selawat dan menyatakan tentang kelebihan serta ganjarannya yang besar pada hari Jumaat tersebut. Manakala akhir waktu ‘Ashar pada hari Jumaat itu adalah antara waktu yang diharapkan untuk diterima do‘a.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13054