Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب

Hak Dan Tanggungjawab Ibu Bapa Bukan Islam Terhadap Anak Yang Beragama Islam

Soalan: Adakah kedua ibu bapa yang bukan beragama Islam masih dianggap bertanggungjawab terhadap anak perempuan mereka berumur kira-kira 18 hingga 19 tahun yang sudah memeluk agama Islam dan masih tinggal bersama mereka? Bagaimana pula tentang hak penjagaan ke atas anak tersebut?

Jawapan: Dalam syariat Islam, pegangan agama yang berbeza tidak memutuskan hubungan di antara anak dan kedua ibu bapanya dan tidak menghalang mereka daripada mendapatkan hak dan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Ibu bapa yang bukan beragama Islam masih mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap anaknya yang telah memeluk agama Islam.

Walau bagaimanapun, hak dan tanggungjawab ibu bapa yang bukan beragama Islam itu adalah terhad dan terbatas kerana dalam sesetengah perkara ibu bapa tidak mempunyai hak mengenainya disebabkan perbezaan agama.

Antara perkara yang masih dianggap di bawah tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya sekalipun mereka berlainan agama ialah dalam perkara pemberian nafkah dan pembayaran zakat fitrah.

Tanggungjawab Memberi Nafkah

Nafkah seorang anak sama ada lelaki atau perempuan wajib ditanggung oleh bapanya berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan kewajiban bapa menanggung nafkah makan minum dan pakaian mereka dengan cara yang patut. (Surah al-Baqarah: 233)

Kewajiban dan tanggungjawab tersebut akan terus berjalan selagimana bapa berkemampuan memberi nafkah kepada anaknya dan anak tersebut tidak mempunyai harta serta tidak berkemampuan untuk mencari pendapatan bagi menyara hidupnya sama ada anak tersebut masih lagi kanak-kanak ataupun telah mencapai umur bâligh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan dari kerana itu (para ulama) telah ijmâ‘ atas perkara demikian itu (memberi nafkah) kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai harta dan digolongkan juga dengannya (kanak-kanak itu) anak yang bâligh yang tidak mampu (mencari pendapatan).

Kewajiban memberi nafkah itu juga akan tetap terus berjalan dan tidak akan terputus sekalipun salah seorang daripadanya bukan beragama Islam kerana beragama Islam bukan menjadi syarat dalam kewajiban memberi nafkah. Seorang bapa yang bukan beragama Islam tetap wajib memberi nafkah kepada anaknya yang beragama Islam kecuali jika bapanya itu kafir kerana murtad atau kafir harbi. Perkara ini dinyatakan oleh asy-Syaikh al-Khathib asy- Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj ketika menjelaskan tentang kewajiban bapa menafkahi anaknya:

Ertinya: Dan sekalipun agama kedua-duanya berbeza maka wajib ke atas seorang muslim daripada kedua-duanya (bapa atau anak) (memberi) nafkah seorang kafir yang ma‘shûm (bukan murtad atau kafir harbi) dan juga sebaliknya (wajib ke atas bapa atau anak yang kafir memberi nafkah kepada bapa atau anak yang muslim).

Tanggungjawab Membayar Zakat Fitrah

Kewajiban membayar zakat fitrah disyariatkan ke atas setiap individu yang beragama Islam, merdeka dan yang mempunyai lebihan harta daripada nafkah dirinya dan nafkah orang-orang yang di bawah tanggungannya pada malam dan siang Hari Raya (1 Syawwal). Pembayaran zakat fitrah itu pula wajib dilakukan sama ada untuk diri individu itu sendiri atau untuk orang yang di bawah tanggungannya yang beragama Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh asy- Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Dan sesiapa yang wajib ke atasnya zakat fitrahnya iaitu zakat fitrah dirinya, wajib ke atasnya juga zakat fitrah orang yang wajib dinafkahinya dengan sebab pemilikan, kerabat atau perkahwinan iaitu jika mereka itu orang-orang Islam dan dia mempunyai sesuatu (harta) untuk dia membayar zakat fitrah mereka.

Adapun individu yang bukan beragama Islam (kafir yang asal dan bukan murtad) tidak diwajibkan ke atasnya mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya begitu juga untuk orang yang di bawah tanggungannya jika orang yang di bawah tanggungannya itu bukan beragama Islam. Namun berlainan pula halnya jika orang yang di bawah tanggungannya itu beragama Islam seperti kanak-kanak yang telah memeluk agama Islam.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ berkata:

Ertinya: Maka tidak wajib zakat fitrah ke atas seorang kafir asli untuk dirinya dan juga tidak wajib untuk selainnya (orang yang di bawah tanggungannya) kecuali jika dia mempunyai seorang hamba muslim atau kerabat muslim (orang yang di bawah tanggungannya) atau hamba perempuan muslimah yang telah melahirkan anak tuannya, maka dalam kewajiban mengeluarkan zakat fitrah mereka terdapat dua wajah (pendapat), (pendapat) al-ashah adalah wajib.

Dalam hal ini, sekalipun seorang bapa itu bukan beragama Islam, dia tetap berkewajiban mengeluarkan zakat fitrah bagi anak-anaknya yang beragama Islam yang nafkah mereka di bawah tanggungannya menurut pendapat al-ashah kerana zakat fitrah itu diwajibkan ke atas setiap individu yang beragama Islam sama ada mukallaf ataupun tidak. Apabila individu itu tidak berupaya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya, maka kewajiban itu ditanggung oleh orang yang wajib menanggung nafkahnya seperti bapanya tanpa mengira sama ada bapa itu beragama Islam ataupun tidak.

Perkara ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah bulan Ramadhan ke atas manusia sebanyak satu gantang kurma atau satu gantang gandum ke atas (bagi) setiap seorang yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan daripada kalangan orang-orang Islam. (Hadits riwayat Muslim)

Menurut al-Bujairimi Rahimahullâh hadits tersebut menjelaskan bahawa perkataan ‘َّاسالن ’ (manusia) dalam hadits tersebut adalah dalam bentuk umum yang merangkumi orang Islam dan bukan Islam dalam mengeluarkan pembayaran zakat fitrah bagi orang-orang yang di bawah tanggungannya yang beragama Islam.

Berdasarkan keterangan di atas, seorang bapa yang bukan beragama Islam yang mempunyai lebihan harta bagi menampung nafkah dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya pada siang dan malam 1 Syawwal adalah dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi anaknya yang beragama Islam yang tidak mempunyai harta dan tidak mampu untuk mencari nafkahnya sendiri.

Hak Ibu Bapa Bukan Islam Terhadap Penjagaan Anak yang Beragama Islam

Dalam sesetengah perkara, pegangan agama mengambil peranan dalam penentuan sesuatu hak dan tanggungjawab. Dalam perkara ini, kedua ibu bapa yang bukan beragama Islam tidak mempunyai hak dan tanggungjawab dalam beberapa perkara tertentu terhadap anak mereka yang beragama Islam seperti perkara yang bersangkut-paut dengan hak perwalian nikah, pengurusan harta anak dan perwarisan.

Adapun mengenai perkara yang berkaitan dengan hak penjagaan anak dalam keluarga Islam, para ulama membincangkan dalam kitab-kitab mereka di bawah bab al-hadhânah.

Menurut istilah fiqh, hadhânah bermaksud memelihara dan menjaga anak yang belum mumayyiz dan sudah mumayyiz seperti kanak-kanak kecil, orang dewasa yang gila dan orang yang tidak mampu mengurus dirinya sendiri dan memberikan didikan yang wajar serta melindunginya daripada segala bahaya.

Hak penjagaan ibu bapa terhadap anak adalah tertakluk kepada keadaan berikut:

1. Bagi anak yang belum bâligh sama ada mumayyiz atau belum mumayyiz dan anak yang bâligh tetapi tidak rasyîd, ibu bapa adalah mempunyai hak penjagaan (hadhânah) terhadap mereka. Rasyîd bererti mampu mengurus harta dan agamanya dengan baik.

2. Bagi anak yang bâligh dan rasyîd, ibu bapa adalah tidak lagi mempunyai hak penjagaan (hadhânah) terhadapnya.

Perbincangan mengenai hadhânah seperti di atas adalah khusus bagi hak penjagaan anak yang beragama Islam oleh ibu bapa yang beragama Islam. Adapun ibu bapa yang bukan beragama Islam pada dasarnya mereka adalah tidak mempunyai hak penjagaan terhadap anaknya yang beragama Islam sekalipun anak tersebut adalah anaknya sendiri kerana beragama Islam merupakan salah satu kriteria yang disyaratkan untuk melayakkan seseorang mendapat hak penjagaan anak yang beragama Islam.

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj:

Ertinya: Dan tidak (berhak mendapat hak hadhânah) seorang kafir ke atas seorang muslim kerana tiada kuasa baginya (orang kafir) ke atasnya (muslim), dan juga kerana boleh sahaja dia mempengaruhinya pada agamanya.

Ketetapan sedemikian adalah kerana hadhânah merupakan salah satu bentuk perwalian dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang orang-orang Islam berada di bawah perwalian dan kekuasaan orang bukan Islam sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nashrani sebagai penolong kerana sebahagian daripada mereka itu menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. (Surah al-Mâ’idah: 51)

Dari itu, ibu bapa yang bukan beragama Islam adalah tidak mempunyai hak penjagaan (hadhânah) terhadap anak yang beragama Islam.

Merujuk kepada pertanyaan tentang seorang perempuan yang berumur 18 tahun hingga 19 tahun yang tinggal bersama kedua ibu bapanya yang bukan beragama Islam dan pertanyaan tentang kedudukan hak penjagaan ke atas anak perempuan yang memeluk agama Islam (mu’allaf), maka berdasarkan penjelasan di atas ibu bapa perempuan tersebut tidak mempunyai hak penjagaan terhadapnya kerana hak penjagaan (hadhânah) berakhir setelah seorang anak mencapai umur bâligh dan rasyîd.

Walau bagaimanapun, dari sudut pemberian nafkah tanggungjawab bapa yang bukan beragama Islam terhadap anaknya yang beragama Islam tetap berterusan dengan syarat-syarat yang telah dijelaskan di atas.

Adapun tinggal bersama ibu bapa bukan Islam, anak yang memeluk agama Islam setelah dia bâligh dan rasyîd adalah harus tinggal bersama mereka sekiranya ada persetujuan di antara mereka dengan syarat anak tersebut dapat mempertahankan agamanya dan mengamalkan kewajiban-kewajiban yang menjadi tuntutan dalam agama Islam yang dianutinya. Bahkan dengan tinggal bersama ibu bapanya dia dapat berbakti kepada kedua-duanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13059