Hukum Melakukan In Vitro Fertilization (IVF)
Soalan: Apakah hukum melakukan In Vitro Fertilization (IVF)? Adakah perkara ini berlaku di Negara Brunei Darussalam?
Jawapan: Setiap pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga tentu berhasrat untuk mendapatkan anak. Namun, tidak semua pasangan suami isteri itu dikurniai anak. Ada di kalangan pasangan suami isteri yang tidak mendapat anak disebabkan mandul. Ada juga pasangan yang tidak mendapat anak disebabkan masalah kesihatan yang jika dirawat berkemungkinan mereka akan mendapat anak sendiri.
Dengan kemajuan teknologi perubatan moden masa kini, khususnya dalam bidang reproduktif, kaedah-kaedah rawatan yang terdapat dalam Assisted Reproductive Technology (ART) banyak membantu para pasangan suami isteri yang menghadapi masalah kesihatan atau ketidaksuburan (infertility) untuk mendapat anak. ART adalah hasil kajian perubatan dengan menyediakan kaedah-kaedah rawatan yang bersesuaian mengikut masalah infertility yang dihadapi oleh pasangan masing-masing sama ada masalah tersebut berpunca daripada suami atau pun isteri.
Infertility ialah penyakit sistem reproduktif lelaki atau perempuan yang didefinisikan sebagai kegagalan untuk hamil selepas 12 bulan atau lebih melakukan hubungan suami isteri secara teratur tanpa sebarang perlindungan. Infertility sepertimana juga penyakit-penyakit lain boleh diatasi dengan ubat-ubatan atau rawatan yang bersesuaian sebagaimana yang dicadangkan oleh para doktor yang diperakui.
IVF dan Hukumnya In vitro fertilization (IVF) atau pensenyawaan luar rahim merupakan salah satu kaedah rawatan kesuburan dalam ART. IVF ialah persenyawaan sperma (benih lelaki) dan ovum (sel telur perempuan) yang berlaku dalam vitro (kaca). Sperma dan ovum dicampur dalam piring makmal (laboratory dish) menurut persekitaran yang sesuai. Setelah sperma dan ovum itu berjaya disenyawakan, maka embrio yang terhasil daripada pensenyawaan tersebut akan dipindahkan ke dalam rahim pemilik ovum atau rahim perempuan lain. Dengan proses tersebut, bermulalah penempelan dan pertumbuhan janin secara semula jadi di dalam rahim perempuan.
Antara faktor yang mendorong pasangan melakukan kaedah IVF ialah masalah infertility yang tidak diketahui penyebabnya, saluran tiub falopio (fallopian tube) yang rosak, tersekat atau tidak ada dan keadaan sperma yang bermasalah.
Pada dasarnya, berubat untuk merawat penyakit adalah perkara yang disuruh oleh syara‘ sebagaimana disebut dalam hadits daripada Usamah bin Syarik Radhiallâhu ‘anhu, beliau menjelaskan bahawa segolongan orang Arab (Badawi) pernah bertanya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, mereka berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah adakah kami boleh berubat? Maka Baginda menjawab: “Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Allah Ta‘ala tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan baginya (penyakit itu) ubat, selain satu penyakit; (iaitu) sakit tua.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam hadits lain, daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bagi setiap penyakit ada ubat. Jika serasi ubat penyakit itu, maka ia sembuh dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat Muslim)
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah ada menyebut dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bahawa hukum berubat adalah sunat. Beliau juga ada menyebut satu pendapat dalam mazhab asy-Syafi‘i yang menghukumkan wajib berubat daripada penyakit yang boleh mengancam nyawa.
Berdasarkan penerangan di atas difahami bahawa pasangan suami isteri yang menghadapi masalah infertility adalah sunat untuk berubat atau merawat masalah yang dihadapi sebagai satu ikhtiar atau usaha untuk hamil. Rawatan kesuburan adalah usaha yang terbaik untuk merawat masalah infertility dan kejayaan rawatan tersebut juga setentunya adalah dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ jua. Dengan adanya rawatan kesuburan yang dilakukan itu tidak syak lagi boleh menjaga kemashlahatan manusia dalam usaha untuk mendapat anak supaya keturunan dapat dipelihara bagi memenuhi matlamat syara‘. Namun rawatan yang dipilih hendaklah memenuhi kehendak hukum syara‘.
Berkenaan dengan hukum menggunakan kaedah IVF ini, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam persidangannya kali ke-3 yang diadakan di Amman, Jordan pada 8-13 Safar, 1407 bersamaan 11-16 Oktober, 1986, telah mengeluarkan resolusi mengenai IVF dan mengenalpasti tujuh cara untuk melakukan kaedah IVF dengan ketetapan berikut:
• Lima cara berikut adalah diharamkan dan ditegah oleh syara‘ sama sekali, disebabkan melakukan IVF itu sendiri atau disebabkan kesan yang timbul daripada IVF seperti percampuran nasab, hilang naluri keibuan dan sebagainya daripada perkara-perkara yang dilarang oleh syara‘:
1. Melakukan pensenyawaan di luar rahim antara sperma yang diambil daripada suami dengan ovum yang diambil daripada perempuan yang bukan isterinya (penderma ovum), kemudian embrio yang telah disenyawakan itu dipindahkan ke dalam rahim isteri si suami.
2. Melakukan pensenyawaan di luar rahim antara sperma lelaki yang bukan suaminya (penderma sperma) dengan ovum yang diambil daripada isteri, kemudian embrio yang telah disenyawakan itu dipindahkan ke dalam rahim isteri.
3. Melakukan pensenyawaan di luar rahim antara sperma yang diambil daripada suami dengan ovum yang diambil daripada isterinya, kemudian embrio yang telah disenyawakan itu dipindahkan ke dalam rahim perempuan yang sukarela untuk mengandungkannya (ibu tumpang).
4. Melakukan pensenyawaan di luar rahim antara sperma yang diambil daripada lelaki lain dengan ovum yang diambil daripada perempuan lain, kemudian embrio yang telah disenyawakan itu dipindahkan ke dalam rahim isteri.
5. Melakukan pensenyawaan di luar rahim antara sperma yang diambil daripada suami dengan ovum yang diambil daripada isterinya, kemudian embrio yang telah disenyawakan itu dipindahkan ke dalam rahim isterinya yang lain.
• Adapun kaedah IVF bagi pensenyawaan cara ke 6 dan ke 7 di bawah ini, tidak ada tegahan bagi pasangan suami isteri melakukannya kerana ada keperluan (hâjah), dengan memastikan mengambil semua langkah yang lazim diikuti. Dua cara tersebut ialah:
6. Mengambil sperma daripada suami dan ovum daripada isterinya, lalu dilakukan persenyawaan di luar rahim, kemudian embrio yang telah disenyawakan itu dipindahkan ke dalam rahim isteri (pemilik ovum).
7. Mengambil sperma daripada suami, kemudian disuntikkan pada tempat yang sesuai ke dalam vagina atau rahim isterinya untuk proses persenyawaan secara dalaman.
Hukum menggunakan kaedah IVF ini juga ada dibincangkan dalam Persidangan Akademi Fiqh Islam Liga Dunia Islam kali ke-8 yang diadakan di Makkah al-Mukarramah pada 28 Rabi‘ul Akhir - 7 Jamadil Awwal, 1405 bersamaan dengan 19-28 Januari, 1985 dan persidangan tersebut telah mengeluarkan beberapa ketetapan mengenai hukum IVF, antaranya ialah:
• Sesungguhnya kemahuan isteri yang tidak dapat hamil dan kemahuan suaminya untuk memiliki anak adalah kemahuan yang dibenarkan syara‘. Ia (infertility) harus dirawat dengan cara yang diharuskan melalui kaedah pensenyawaan artifisial (buatan).
• Kaedah IVF dengan cara mengambil sperma daripada suami dan ovum daripada isteri dan setelah itu embrio yang terhasil daripada pensenyawaan di luar rahim dipindahkan ke dalam rahim isteri (pemilik ovum) adalah diterima secara dasarnya menurut hukum syara‘, namun kerana masih ada ruang keraguan dan kecelaruan daripadanya, maka ia tidak boleh dilakukan kecuali dalam keadaan dharûrah setelah memenuhi syarat-syarat umum seperti berikut:
1. Perempuan Islam tidak harus mendedahkan auratnya kepada orang selain suaminya dalam apa jua keadaan melainkan mendedahkannya itu untuk tujuan yang dibenarkan oleh syara‘.
2. Sesungguhnya keperluan perempuan kepada rawatan daripada penyakit yang dihadapinya atau daripada keadaan tubuh badannya yang tidak normal yang meresahkan dirinya adalah dikira sebagai tujuan yang dibenarkan syara‘. Harus baginya mendedahkan auratnya kepada orang lain selain suaminya bagi tujuan rawatan tersebut. Namun pendedahan aurat itu hendaklah dengan kadar yang diperlukan sahaja.
3. Apabila seorang perempuan diharuskan mendedahkan auratnya kepada orang selain suaminya bagi tujuan yang dibenarkan syara‘, maka wajib perawat itu seorang perempuan Islam. Jika tidak ada perempuan Islam, maka hendaklah perawat itu seorang perempuan yang bukan Islam. Jika tidak ada, maka hendaklah seorang perawat lelaki Islam yang boleh dipercayai. Jika tidak ada, maka perawat lelaki yang bukan Islam. Demikian susunan perawat dalam perkara ini.
Jika seorang perempuan dirawat oleh perawat lelaki, maka hendaklah dengan kehadiran suaminya atau perempuan lain bagi mengelak berlakunya khalwat antara pesakit perempuan dan perawat lelaki.
Resolusi Persidangan Akademi Fiqh Islam Liga Dunia Islam kali ke-8 juga menetapkan bahawa nasab anak damit (kecil) yang lahir melalui kaedah IVF yang diharuskan oleh syara‘ itu adalah tsabit kepada pasangan suami isteri tersebut. Dengan demikian, maka tsabit juga hukum perwarisan dan hukum-hakam yang lain.
Berdasarkan keterangan di atas, kaedah IVF yang dibenarkan oleh syara‘ itu hanya dengan cara mengambil sperma dan ovum daripada suami isteri dan setelah itu dipindahkan embrio yang terhasil daripada pensenyawaan itu ke dalam rahim isteri (pemilik ovum) itu sahaja. Rawatan IVF tersebut hendaklah juga dilakukan ketika suami isteri berkenaan masih lagi dalam ikatan ‘aqad nikah yang sah menurut syara‘ dan melakukan rawatan IVF itu semasa suami masih hidup serta ada keperluan (hâjah) yang dibenarkan oleh syara‘.
Manakala persoalan adakah rawatan IVF ini berlaku di Negara Brunei Darussalam, adalah elok penanya merujuk terus kepada pihak yang berkenaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13063
