Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Kotoran Pada Badan Atau Pakaian Ketika Sembahyang

Soalan: Apakah hukum sembahyang seseorang yang mengetahui adanya kotoran pada anggota tubuh badan atau pakaian setelah selesai menunaikan sembahyang, adakah wajib dia mengulang kembali sembahyangnya itu sekiranya masih ada waktu? Bagaimana pula jika waktunya sudah habis?

Jawapan: Islam sangat mementingkan kebersihan lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan ibadat seperti sembahyang. Kecuaian dalam menjaga kebersihan daripada najis dan kotoran ketika bersembahyang boleh mempengaruhi kedudukan hukum sembahyang.

Najis dan kotoran adalah dua perkara yang berbeza terutama sekali dari segi pengaruh hukum. Najis adalah segala sesuatu yang dianggap kotor dari segi syara‘ dan najis ini boleh mengakibatkan sembahyang tidak sah. Apabila tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang terkena najis, maka wajib dibersihkan kerana ia boleh menyebabkan sembahyang menjadi tidak sah.

Manakala kotoran pula ialah sesuatu yang tidak bersih seperti debu, kesan lumpur atau kuah kari yang melekat pada pakaian dan sebagainya. Namun kotoran seperti ini tidak membatalkan sembahyang.

Setiap kotoran tidak semestinya najis, tetapi setiap najis adalah kotor seperti bangkai, darah atau benda-benda yang keluar dari qubûl dan dubur.

Memandangkan adanya perbezaan ini, maka perlu difahami apa yang dikatakan benda-benda najis atau kotor menurut pandangan syara‘, kerana najis itu menyebabkan sembahyang tidak sah.

Najis Menurut Syara‘

Najis ialah segala kotoran yang menghalang kesahan sembahyang ketika tiada kelonggaran (rukhshah) yang mengharuskannya. Para ulama menyebut bahawa benda-benda yang dikategorikan sebagai najis antaranya ialah khamr (arak), anjing dan babi serta apa-apa jua yang lahir atau diperanakkan daripada kedua-duanya (anjing dan babi) atau salah satu daripada kedua-duanya, bangkai binatang, darah, nanah, muntah dan kahak yang keluar dari dalam perut, air liur yang mengalir semasa tidur yang keluar dari perut, tahi, air kencing, air mazi dan air wadi.

Najis yang Dimaafkan

Antara kategori najis yang dimaafkan ialah najis yang sedikit pada ‘urf yang terkena pada badan, pakaian atau tempat dengan tidak sengaja selain sesuatu yang bersumber daripada anjing dan babi. Demikian juga, darah atau nanah dari tubuhnya sendiri misalnya yang datang dari bisul atau jerawat yang ada di badan sendiri walaupun banyak darahnya jika tidak melebihi dari tempat yang biasa ia mengalir, selagi ia bukan berpunca daripada perbuatannya sendiri. Jika ia berpunca daripada perbuatannya sendiri seperti bisul itu dipicit sehingga mengeluarkan darah yang banyak, maka darah tersebut tidak dimaafkan. Namun jika darah yang keluar itu hanya sedikit, ia tetap dimaafkan sekalipun atas sebab perbuatannya sendiri. Walau bagaimanapun, jika darah atau nanah tersebut terpisah dari badannya kemudian terkena padanya lagi, maka ia tidak dimaafkan melainkan darah itu sedikit.

Adapun yang dimaksudkan dengan kadar najis yang banyak dan sedikit itu adalah mengikut ‘urf (adat kebiasaan). Kadar yang pada biasanya dikotori oleh najis dan kadar itu sukar untuk dihindari, maka itu adalah kadar yang sedikit. Manakala kadar yang melebihinya adalah dikira sebagai kadar yang banyak.

Sembahyang Menanggung Najis yang Tidak Dimaafkan

Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj, beliau menyatakan:

Ertinya: Dan yang kelimanya (syarat sah sembahyang ialah) suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badan iaitu pakaiannya dan badannya sekalipun yang terdapat di dalam hidungnya, mulutnya, matanya atau telinganya dan pada tempat iaitu tempatnya bersembahyang, maka tidak sah sembahyangnya dengan wujudnya sesuatu daripada yang demikian itu (najis yang tidak dimaafkan), walaupun dia tidak mengetahui kewujudannya (najis) atau (tidak mengetahui) ianya (najis itu) membatalkan (sembahyang).

Berdasarkan nash di atas, maka sembahyang dalam keadaan badan, pakaian atau tempat orang yang sedang sembahyang terkena najis yang tidak dimaafkan, seperti darah manusia atau air kencing yang banyak adalah tidak sah walaupun dia menyedarinya hanya setelah selesai sembahyang. Oleh itu, wajib dia mengulang kembali sembahyangnya sekiranya masih ada kesempatan iaitu waktu sembahyang belum luput.

Namun jika waktu sembahyang telah luput dan dia baru menyedari bahawa najis tersebut melekat pada badan, pakaian atau tempat sembahyang, maka dalam keadaan ini wajib ke atasnya mengqadha’ sembahyangnya sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Jika dia sembahyang dan pada pakaian, badan atau tempat sembahyangnya ada najis yang tidak dimaafkan, dan dia tidak menyedari (kewujudan najis), maka jika dia (tidak menyedari itu kerana) tidak mengetahuinya (kewujudan najis tersebut), wajib diulangi (sembahyang) menurut pendapat al-azhhar, dan jika dia mengetahuinya (kewujudan najis) kemudian dia lupa, wajib (diulangi sembahyangnya) secara qath‘i (putus).

Walau bagaimanapun, hukum batal sembahyang itu berlaku dalam keadaan dia yakin bahawa najis tersebut ada ketika dia sembahyang, sama ada dia menyedari kewujudan najis tersebut ataupun tidak, lupa ataupun jahil mengenainya.

Namun jika dia tidak yakin atau ragu sama ada najis tersebut ada ketika atau setelah selesai sembahyang, maka hukum sembahyangnya adalah berbeza sebagaimana yang disebut oleh Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Jika dia sembahyang dengan najis yang dia tidak mengetahuinya atau mengetahuinya dan dia lupa kemudian dia ingat kembali, setiap sembahyang yang yakin dilakukannya dengan (menanggung) najis tersebut wajib diulang. Berbeza (halnya dengan keadaan) yang boleh jadi berlakunya (terkena najis itu) selepasnya (mengerjakan sembahyang).

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, najis yang diragui kewujudannya sama ada najis tersebut terkena padanya ketika atau setelah selesai sembahyang, ia tidak membatalkan sembahyang dan sembahyangnya adalah sah. Namun begitu, menurut pendapat Imam asy- Syafi‘i Radhiallâhu ‘anhu dan al-ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah yang dahulu yang terkemuka) adalah sunat mengulangi sembahyang tersebut bagi mengambil langkah berjaga-jaga kerana ditakuti sembahyang yang telah dikerjakan itu mungkin sahaja terbatal sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al- Majmû‘:

Ertinya: Apabila dia memberi salam (selesai) daripada sembahyangnya, kemudian dia nampak najis padanya, yang boleh berlaku ketika dia sembahyang dan boleh juga berlaku setelah selesainya (sembahyang), maka sembahyangnya adalah sah tanpa ada khilâf. (Imam) Asy-Syafi‘i dan al-ashhâb berpendapat: Sunat mengulanginya (sembahyang) sebagai mengambil langkah berjaga-jaga.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13067