Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Melaksanakan Badal Haji Bagi Orang Meninggal Dunia

Soalan: Kami bercadang melakukan badal haji untuk arwah ayah kami. Adakah wajib kami menggunakan harta peninggalannya? Persoalan yang timbul ialah akaun dan aset ayah kami telah dibekukan disebabkan urusan dengan mahkamah syari‘ah belum selesai.

Jadi, bolehkah kami sebagai anaknya membayar badal haji ayah kami?

Jawapan: Istilah badal haji atau haji badal adalah merujuk kepada satu masalah dalam ilmu fiqh yang dikenali sebagai pelaksanaan ibadat haji oleh orang lain bagi pihak dirinya.

Menurut hukum syara‘, ibadat haji boleh dikerjakan sendiri atau oleh orang lain bagi pihak orang yang tidak mampu mengerjakan sendiri. Orang yang tidak mampu mengerjakan sendiri ibadat haji disebabkan faktor kesihatannya tetapi berkemampuan untuk membiayai perbelanjaan bagi menunaikan ibadat berkenaan adalah wajib baginya mewakilkan orang lain bagi pihaknya untuk mengerjakan haji yang fardhu ke atasnya dan harus baginya mewakilkan orang lain bagi pihaknya jika haji tersebut merupakan haji sunat. Dalam hal ini, dia masih dikatakan berkemampuan (istithâ‘ah) untuk menunaikan haji walaupun kemampuannya itu dari segi harta sahaja kerana istithâ‘ah itu merangkumi kemampuan dari segi kedua-duanya sekali iaitu kekuatan tubuh badan dan harta, dan kemampuan dari segi harta semata-mata.

Selain daripada itu, antara sebab yang mengharuskan ibadat haji itu dikerjakan oleh orang lain juga ialah mengerjakan badal haji untuk orang yang telah meninggal dunia.

Hukum Melaksanakan Badal Haji

Berhubung dengan perkara yang ditanyakan di atas iaitu adakah harta peninggalan atau harta pusaka wajib digunakan untuk menunaikan ibadat haji bagi pihak arwah ayah penanya, terlebih dahulu perlu difahami bahawa ibadat haji yang tidak dilaksanakan atau belum sempat ditunaikan oleh orang yang telah meninggal dunia ada kalanya tidak harus dikerjakan oleh orang lain melainkan jika ada wasiat daripadanya. Ada kalanya juga hukum mengerjakannya adalah wajib kerana ibadat berkenaan masih tertanggung ke atas diri seseorang sekalipun setelah dia meninggal dunia. Dalam keadaan yang lain pula, hukum mengerjakan haji bagi pihak orang Islam yang telah meninggal dunia adalah sunat dan ada kalanya hukumnya harus.

Untuk lebih jelas lagi, penerangan mengenainya adalah seperti berikut:

i. Jika ibadat haji yang hendak dikerjakan adalah semata-mata dimaksudkan sebagai ibadat haji sunat bagi pihak si mati, maka hukum asal perkara berkenaan adalah tidak harus dikerjakan melainkan apabila ada wasiat daripada si mati. Al-‘Allâmah Ba‘isyin Rahimahullâh menyatakan dalam kitab Busyrâ al-Karîm:

Ertinya: Tidak harus menunaikan (ibadat haji) sunat bagi pihaknya (orang yang telah meninggal dunia) melainkan jika dia mewasiatkannya.

ii. Adapun jika ibadat haji yang hendak ditunaikan berkait dengan tuntutan ibadat haji yang fardhu, maka kedudukan hukum menunaikan ibadat berkenaan bagi orang yang telah meninggal dunia tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:

a. Ibadat haji fardhu yang dalam tanggungan si mati.

Ibadat haji fardhu yang dalam tanggungan bermaksud ibadat berkenaan tidak ditunaikan si mati semasa hayatnya tanpa sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘ padahal dia berkemampuan untuk melaksanakan ibadat berkenaan. Termasuk dalam pengertian haji fardhu itu, haji yang wajib diqadha’, dinazarkan atau haji yang telah diupahkan oleh orang lain untuk ditunaikan. Dalam hal ini, tuntutan menunaikan haji bagi pihak si mati dilihat terlebih dahulu kepada keadaan si mati sama ada dia ada meninggalkan harta pusaka yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan menunaikan ibadat haji atau sebaliknya:

▪ Jika si mati ada meninggalkan harta pusaka, maka ibadat haji yang tertanggung ke atasnya wajib ditunaikan oleh orang-orang yang berkenaan dan perbelanjaan melaksanakan ibadat berkenaan diambil daripada harta pusakanya. Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn ada menyatakan:

Ertinya: Maka sesiapa meninggal dunia dan (terdapat) dalam tanggungannya ibadat haji (fardhu), wajib ditunaikan ibadat haji tersebut bagi pihak dirinya daripada harta pusakanya.

Orang yang diwajibkan untuk menunaikan ibadat haji yang tertanggung ke atas si mati itu adalah mengikut urutan. Pertama sekali ialah orang yang diwasiatkannya. Kemudian jika tidak ada orang yang diwasiatkannya, maka kewajiban tersebut berpindah kepada ahli waris. Jika tidak terdapat ahli waris, maka kewajiban tersebut berpindah pula kepada hakim (pemerintah).

▪ Jika si mati tidak ada meninggalkan harta pusaka, maka ibadat haji yang dalam tanggungan dirinya tidak diwajibkan ke atas sesiapa menunaikan ibadat haji tersebut. Walau bagaimanapun, adalah sunat ke atas ahli waris untuk mengerjakan ibadat haji berkenaan bagi pihak si mati. Begitu juga sunat ke atas orang yang bukan ahli waris (ajnabiy) untuk mengerjakannya walaupun tanpa keizinan ahli waris. Imam Ibn Hajar Rahimahullâh menyatakan dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Apabila (orang yang meninggal dunia) tidak meninggalkan harta pusaka maka tidak wajib ke atas mana-mana orang untuk mengerjakan haji dan tidak (juga) mengerjakan haji bagi pihaknya (orang yang telah meninggal dunia itu). Namun, disunatkan kepada ahli waris dan orang ajnabiy (untuk mengerjakan haji bagi pihaknya) sekalipun ahli waris tidak ada memberi keizinan.

b. Ibadat haji fardhu yang bukan dalam tanggungan si mati.

Ibadat haji yang bukan dalam tanggungan bermaksud ibadat haji berkenaan tidak dituntut ke atas si mati disebabkan semasa hayatnya dia tidak berkemampuan untuk mengerjakannya. Termasuk juga dalam pengertian ibadat haji yang bukan dalam tanggungan itu ialah orang yang tidak sempat mengerjakan haji setelah tsabit wajib haji ke atas dirinya seperti disebabkan meninggal dunia, menjadi gila atau hilang hartanya sebelum para jemaah berangkat menunaikan ibadat haji.

Dalam hal ini, tidak wajib ibadat haji itu ditunaikan menggunakan harta pusaka si mati. Walau bagaimanapun, adalah harus bagi ahli waris dan orang ajnabiy untuk menunaikannya bagi pihak si mati. As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn berkata:

Ertinya: Apabila seseorang meninggal dunia sebelum (kewajiban menunaikan ibadat haji) tsabit dalam tanggungannya maka tidak ditunaikan ibadat haji tersebut menggunakan harta pusakanya. Akan tetapi, (adalah harus) bagi ahli waris dan orang ajnabiy untuk mengerjakan haji dan mengerjakan haji bagi pihaknya (orang yang meninggal dunia itu) menurut pendapat al-mu‘tamad.

Biaya Badal Haji

Sebagaimana penerangan di atas, biaya perbelanjaan menunaikan ibadat haji bagi pihak si mati adakalanya menggunakan harta pusaka si mati dan adakalanya bukan daripada harta pusaka si mati. Berikut penerangan lanjut mengenainya:

i. Biaya daripada harta pusaka si mati.

Perbelanjaan mengerjakan badal haji yang diambil terus daripada harta pusaka si mati ialah perbelanjaan yang diperlukan untuk menunaikan haji fardhu yang dalam tanggungan si mati.

Menurut hukum syara‘, ibadat haji yang dalam tanggungan si mati adalah dikira sebagai hutang kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Hutang kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ diutamakan daripada hutang kepada manusia sebagaimana hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa telah datang seorang perempuan bertanya kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji lalu dia meninggal dunia sebelum dia (sempat) mengerjakan haji, adakah aku boleh mengerjakan haji bagi pihaknya?” Baginda bersabda: “Ya, kerjakanlah haji untuknya. Bukankah sekiranya ibumu mempunyai hutang, engkau akan melunaskannya?” Dia menjawab: “Ya.” Lalu Baginda bersabda: “Lunaskanlah (hutang kepada) Allah, sesungguhnya hutang (kepada Allah) lebih berhak dilunaskan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj berkata:

Ertinya: Dan didahulukan hutang kepada Allah Ta‘ala seperti zakat, kaffârah dan haji daripada hutang kepada manusia (untuk dibayar) menurut (pendapat) al-ashah.

Walau bagaimanapun, hutang berkenaan dibayar setelah diselesaikan perbelanjaan pengurusan jenazah si mati terlebih dahulu.

Menurut hukum syara‘, hutang si mati berkaitan ibadat haji yang tertanggung ke atas dirinya hendaklah segera ditunaikan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan harta pusakanya dibekukan atau tidak dapat diambil oleh ahli waris, si mati dalam tempoh tersebut dikira tidak meninggalkan harta untuk ibadat haji dilaksanakan bagi pihak dirinya dan orang yang diwasiatkan atau ahli waris tidaklah dituntut untuk menunaikan ibadat haji bagi pihak si mati dengan segera.

Dalam hal si mati tidak memiliki harta pusaka atau dikira tidak berharta, maka ibadat haji yang dalam tanggungannya adalah tidak wajib ditunaikan. Persoalan yang timbul, adakah dibolehkan kepada ahli waris atau bukan ahli waris menggunakan harta mereka sendiri untuk menunaikan haji bagi pihak si mati? Dalam hal ini, tiada larangan mengenainya bahkan sebagaimana diterangkan adalah disunatkan ke atas ahli waris atau orang ajnabiy (bukan ahli waris) untuk mengerjakan ibadat haji tersebut untuk si mati.

Selain daripada haji fardhu yang dalam tanggungan si mati, biaya perbelanjaan haji sunat juga akan diambil daripada harta pusaka si mati jika ia diwasiatkan oleh si mati. Namun, jika harta pusaka si mati tidak berbaki, maka wasiat tidak wajib ditunaikan termasuk wasiat berkaitan haji sunat.

Secara urutan, pelaksanaan wasiat didahulukan sebelum pembahagian harta pusaka kepada ahli waris. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa walaupun bahagian yang diperuntukkan sebagai wasiat dikeluarkan lebih awal daripada pembahagian harta pusaka kepada ahli waris, bahagian yang boleh diperuntukkan sebagai wasiat hanyalah setakat satu pertiga sahaja daripada baki harta pusaka setelah dikeluarkan perbelanjaan pengurusan jenazahnya dan pembayaran hutang-hutangnya.

Tidak sah meninggalkan wasiat melebihi kadar satu pertiga daripada harta pusaka kecuali jika perkara tersebut dipersetujui oleh ahli waris. Jika ahli-ahli waris tidak bersetuju mengenai kadar tersebut maka wasiat yang sah dilaksanakan hanyalah setakat pada kadar satu pertiga daripada harta pusakanya sahaja, manakala selebihnya menjadi harta pusaka yang dibahagi-bahagikan di kalangan ahli waris.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn menyebut:

Ertinya: Adalah dituntut untuk tidak berwasiat melebihi daripada satu pertiga daripada harta pusaka. Maka jika seseorang berwasiat melebihi daripada kadar tersebut dan ahli waris menolak wasiat berkenaan batal wasiat pada kadar yang melebihi satu pertiga daripada harta pusaka itu. Dan jika ahli waris mempersetujui kadar tersebut, maka persetujuannya itu dilaksanakan.

ii. Biaya bukan daripada harta pusaka si mati.

Berhubung ibadat haji yang tidak dituntut ke atas si mati, sebagaimana dijelaskan ia tidak wajib ditunaikan. Walau bagaimanapun, adalah disunatkan juga ke atas ahli waris dan bukan ahli waris untuk menunaikannya bagi pihak si mati.

Dalam hal ini, perbelanjaan menunaikan ibadat haji tidak boleh diambil daripada harta pusaka si mati kerana ibadat berkenaan tidak termasuk dalam tanggungan atau hutang si mati. Selain itu, harta pusaka itu tidak lagi dikira sebagai harta si mati setelah dia meninggal dunia sebaliknya telah bertukar menjadi hak bagi ahli-ahli warisnya pada saat kematiannya. Sebab itu, harta pusaka tersebut tidak harus digunakan selain daripada perkara-perkara yang disebutkan sebelum ini iaitu perbelanjaan pengurusan jenazahnya, pembayaran hutang piutangnya dan pelaksanaan wasiatnya.

Setelah harta pusaka dibahagi-bahagikan kepada ahli-ahli waris, tidak ada larangan ke atas ahli-ahli waris menggunakan harta pusaka berkenaan untuk melaksanakan ibadat haji bagi si mati kerana harta pusaka berkenaan adalah milik mereka dan mereka bebas menggunakannya untuk apa sahaja tujuan yang dikehendaki.

Berdasarkan penjelasan di atas, maka mengenai dengan pembekuan harta pusaka si mati oleh pihak kerajaan sehingga urusan-urusan tertentu diselesaikan adalah termasuk dalam ruang lingkup tasharruf pemerintah yang didasari oleh mashlahat-mashlahat tertentu. Pada kebiasaannya, peraturan-peraturan atau undang-undang sedemikian menjadi cara untuk memastikan pembayaran hutang piutang, pembahagian harta pusaka dan wasiat si mati dilaksanakan secara lebih teratur dan tidak diselewengkan. Oleh kerana itu, peraturan-peraturan atau undang-undang sedemikian tidaklah bercanggah dengan kehendak-kehendak syara‘ bahkan ia termasuk dalam perintah-perintah ulil-amri yang wajib ditaati.

Maka dalam hal ini, tidak ada halangan bagi ahli waris membiayai perbelanjaan badal haji bagi pihak si mati daripada harta mereka sendiri. Walau bagaimanapun, tuntutan untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati tidak wajib dilaksanakan dengan segera.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13071