Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Membuat Perniagaan Sewa Di Atas Tanah Syarat Perumahan Am

Soalan: Abang saya ada sebidang tanah yang telah dibelinya di bawah syarat perumahan am. Saya bercadang menjadikannya padang bermain futsal dan menyewakannya.

Adakah duit hasil daripada sewa itu halal memandangkan tanah tersebut adalah di bawah syarat perumahan am bukan syarat perniagaan?

Jawapan: Umat Islam adalah dituntut untuk mentaati ulil-amri atau pemerintah atau kerajaan sesebuah negara. Kewajiban mentaati pemerintah adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah an-Nisâ’: 59)

Ayat ini menunjukkan bahawa adalah wajib mentaati perintah dan larangan pemerintah selagi tidak bercanggah dengan syara‘. Termasuk dalam perkara mentaati pemerintah itu ialah mengikut dan mematuhi peraturan atau undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Maka umat Islam yang bernaung di bawah pemerintahan sebuah kerajaan adalah terikat dengan peraturan atau undang-undang yang telah ditetapkan. Mereka wajib mematuhinya dan dilarang oleh syara‘ melanggarnya.

Di Negara Brunei Darussalam, terdapat peraturan yang mengawal pembangunan rumah-rumah dan premis-premis perniagaan bagi tujuan memastikan pembangunan yang teratur dan berperancangan mengikut peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh Autoriti Perancang. Ia juga menjaga kepentingan orang ramai dan menjamin alam sekitar yang bersih dan indah. Selain itu, ia juga bertujuan menghindari percampuran kegiatan-kegiatan yang tidak sesuai.

Adapun menjalankan kegiatan perniagaan dan perusahaan tanpa kebenaran yang bercanggah dengan Syarat Khas Tanah adalah antara kesalahan yang melanggar peraturan yang telah pun ditetapkan oleh kerajaan.

Selaku pihak berkuasa, sudah tentu kerajaan mempunyai tujuan dalam menetapkan peraturan atau persyaratan sedemikian iaitu untuk menjaga kemashlahatan dan kepentingan awam. Jika peraturan dan persyaratan sedemikian tidak diadakan, ia boleh menyebabkan impak negatif kepada persekitaran, boleh menjejaskan keharmonian, keselesaan dan keselamatan penduduk setempat dan seumpamanya. Semua itu dipertimbangkan menurut kebijaksanaan pihak berkuasa. Tindakan pihak berkuasa kerajaan seumpama ini selaras dengan kaedah fiqh yang menyebut:

Ertinya: Tindakan (yang diambil oleh) imam (pemerintah) ke atas rakyat (hendaklah) didasari dengan mashlahat.

Asy-Syaikh Ahmad az-Zarqa Rahimahullâh dalam kitabnya Syarh al-Qawâ‘id al-Fiqhiyyah menerangkan maksud kaedah tersebut bahawa kebolehlaksanaan tindakan pihak berkuasa ke atas rakyat dan penguatkuasaannya ke atas mereka, sama ada mereka mahu atau tidak, adalah tertakluk kepada adanya faedah dan manfaat, sama ada dari segi agama atau keduniaan dalam melaksanakan tindakan tersebut.

Oleh yang demikian, menurut hukum syara‘, peraturan yang telah ditetapkan oleh pemerintah adalah wajib dipatuhi dan ditegah melanggar peraturan tersebut berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana yang telah disebut di atas.

Adapun mengenai kedudukan hukum membuat padang futsal untuk perniagaan di atas tanah syarat perumahan am sebagaimana yang ditanyakan di atas, perbuatan membuat padang futsal tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa adalah suatu kesalahan tidak mentaati peraturan yang telah ditetapkan oleh pemerintah dan tindakan pemerintah yang mengenakan hukuman terhadap orang-orang yang melanggar peraturan dalam perkara ini adalah tidak bercanggah dengan hukum syara‘. Manakala sewa yang dikutip daripada penggunaan padang futsal tersebut pula, ia tetap halal dan menjadi milik orang yang menyewakan selama mana penyewaan tersebut memenuhi syarat-syarat sewaan yang telah ditetapkan oleh hukum syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13075