Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Memohon Pengurangan Harga Tanah Milik Baitul-Mal

Soalan: Majlis Ugama Islam telah menerima permohonan rayuan mengenai “Pengurangan Harga Permohonan Untuk Membeli Bahagian Tanah Baitul-Mal” daripada orang awam yang ingin membelinya.

Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan pandangan dan ketetapan hukum mengenainya.

Jawapan: Baitul-Mal sebagaimana disebut dalam kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah ialah:

Ertinya: Pihak yang diserahkan kepadanya semua harta yang orang-orang Islam mempunyai hak terhadapnya dan (harta tersebut) tidak tertentu pemiliknya daripada kalangan mereka (orang-orang Islam) seperti al-fai’ (harta yang diperolehi daripada orang-orang kafir melalui perdamaian). Ulama asy-Syafi‘iyyah juga menyebutnya (sebagai) jihah al-Islam (pihak yang mewakili umat Islam).

Kumpulan harta yang dimiliki dan diamanahkan kepada Baitul-Mal untuk mentadbirnya adalah terdiri daripada pelbagai sumber seperti harta zakat, harta yang hilang (yang tidak diketahui pemiliknya), harta pusaka orang Islam yang tidak habis diwarisi atau tidak ada waris sama sekali atau tidak diketahui akan warisnya, al-fai’ dan sebagainya.

Adapun pihak yang berkuasa mengurus harta Baitul-Mal adalah pemerintah atau orang yang menjadi wakilnya. Pengurus atau pentadbir Baitul-Mal selaku orang yang diwakilkan oleh pemerintah adalah bertanggungjawab menerima, menyimpan, mentadbir dan mengagihkan harta Baitul-Mal dengan penuh amanah dan adil ke atas harta tersebut.

Mengenai amanah dan adil dalam mentadbir harta Baitul-Mal, pengurus atau pentadbir Baitul-Mal perlu mentadbir harta Baitul-Mal dengan cara cermat dan berhati-hati supaya tindakan yang dilakukan tidak akan mengurangkan sebarang mashlahat atau kepentingan umat Islam. Mana-mana perkara yang memberi mashlahat dan kepentingan kepada umat Islam hendaklah diutamakan. Tadbir urus sedemikian ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan:

Ertinya: Tindakan (yang diambil oleh) imam (pemerintah) ke atas rakyat (hendaklah) didasari dengan mashlahat.

Menurut Imam as-Suyuthi Rahimahullâh, Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh juga ada menyebut kaedah seperti ini dengan katanya:

Ertinya: Kedudukan imam (pemerintah) kepada rakyat (adalah seperti) kedudukan wali (penjaga) kepada anak yatim.

Dari kedua-dua kaedah di atas, dapat difahami bahawa peranan pengurus atau pentadbir Baitul-Mal selaku wakil pemerintah adalah sama kedudukannya dengan peranan wali anak yatim dalam memelihara kemashlahatan dan menjaga kepentingan harta yang di bawah tadbir urus mereka.

Dalam mentadbir urus harta anak yatim, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah âqil bâligh) harta mereka, janganlah kamu menukar (harta kamu) yang buruk dengan (harta mereka) yang baik dan janganlah kamu makan (dengan mengambil) harta mereka dan (mencampuradukkannya) dengan harta kamu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah dosa yang besar. (Surah an-Nisâ’: 2)

Dari ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan wali anak yatim supaya mentadbir harta anak yatim itu dengan amanah, adil, cermat dan berhati-hati serta tidak cuai sehingga menyebabkan kerugian dan pengambilan hak dengan cara yang bathil. Maka demikianlah juga yang wajib dilaksanakan oleh pengurus atau pentadbir Baitul- Mal dalam mengurus harta Baitul-Mal.

Maka berkaitan dengan perkara penjualan tanah Baitul-Mal sebagaimana yang ditanyakan di atas, pada kebiasaannya penetapan harga tanah yang hendak dijual itu adalah berdasarkan kepada taksiran nilai harga semasa yang ditetapkan oleh pihak yang berkuasa, maka harga yang ditetapkan itu adalah wajar untuk diguna pakai dalam urusan jual beli tanah, kerana harga tersebut dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa mengenainya. Penjualan tanah Baitul- Mal dengan harga tersebut juga diyakini lebih mendatangkan mashlahat dan menjaga kepentingan harta Baitul-Mal berbanding jika harga penjualan tanah tersebut dikurangkan daripada harga yang telah ditetapkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13079