Mendapatkan Khidmat Brazilian Atau Bikini Wax Di Spa
Soalan: Apakah hukum brazilian atau bikini wax yang dilakukan di spa yang mana tukang wax adalah perempuan? Bagaimana pula jika orang yang menggunakannya itu tidak mampu melakukannya sendiri di rumah?
Jawapan: Brazilian atau bikini wax adalah antara kaedah ataupun cara pembuangan bulu di bahagian kemaluan dengan menggunakan lilin wax. Brazilian wax secara umumnya ialah membuang keseluruhan bulu ari-ari. Manakala bikini wax pula melibatkan pembuangan bulu yang terdapat di kawasan yang nampak dari bahagian luar pakaian renang atau seluar dalam dan meninggalkan bulu ari-ari yang tumbuh di bahagian dalam seluar dalam. Antara manfaat penggunaan kaedah waxing ini ialah ia menarik bulu keluar dari akarnya, dengan itu ia melambatkan proses pertumbuhan bulu iaitu selama 3 hingga 4 minggu berbanding dengan menggunakan pisau cukur.
Dalam Islam, membuang atau mencukur bulu ari-ari adalah sesuatu yang digalakkan dan merupakan salah satu fitrah yang disebut sebagai al-istihdâd sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Fitrah ada lima atau lima perkara daripada fitrah ialah berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut al-Khaththabi Rahimahullâh, kebanyakan ulama menjelaskan maksud fitrah di sini ialah sunnah. Sebahagian ulama pula mengatakan bahawa maksud fitrah ialah amalan para nabi ‘Alaihimussalâm dan ada juga yang mengatakan fitrah itu bermaksud agama.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan maksud al-istihdâd dalam kitabnya Syarh an- Nawawi ‘alâ Muslim dengan katanya:
Ertinya: Adapun al-istihdâd, ia adalah mencukur bulu ari-ari. Dinamakan istihdâd kerana penggunaan besi iaitu pisau cukur dan ia merupakan sunnah. Dan yang dikehendaki dengannya
(al-istihdâd) ialah kebersihan tempat itu (kawasan kemaluan). Dan yang afdhal padanya ialah mencukur dan harus juga dengan menggunting, mencabut dan an-nûrah (bahan campuran digunakan untuk menanggalkan bulu). Dan yang dimaksudkan dengan bulu ari-ari itu ialah bulu yang (tumbuh) di atas zakar lelaki dan sekitarnya dan begitu juga bulu yang (ada) di sekitar faraj perempuan.
Berdasarkan penjelasan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas, difahami bahawa membuang bulu ari-ari dengan apa jua cara sama ada dengan mencukur, menggunting, mencabut atau menggunakan bahan yang boleh menanggalkan bulu ari-ari adalah termasuk dalam perkara istihdâd. Mencabut bulu ari-ari di sini pula sama ada dilakukan dengan menggunakan alat atau lainnya seperti wax. Walau bagaimanapun menanggalkan bulu ari-ari dengan mencukurnya adalah afdhal.
Adapun bikini wax tidak menepati istihdâd yang dianjurkan syara‘, kerana ia hanya membuang sebahagian bulu kawasan ari-ari sahaja.
Mengenai perkhidmatan waxing yang ada disediakan oleh spa atau pusat rawatan kecantikan, ia melibatkan dua pihak iaitu pekerja spa dengan pelanggan. Apa yang jelas, dalam menjalankan khidmat brazilian atau bikini wax di spa ini berbangkit isu pendedahan aurat pelanggan di hadapan orang lain.
Menurut syara‘, hukum menutup aurat adalah wajib. Tuntutan menutup aurat ini tsabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits.
Imam asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Muhadzdzab ada menyebut bahawa menutup aurat dari pandangan mata adalah wajib berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati bapa-bapa (dan datuk nenek) kami melakukannya dan Allah memerintahkan kami melakukannya”. Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): “Sesungguhnya Allah tidak pernah memerintahkan (kamu supaya melakukan) perbuatan yang keji. Adakah patut kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui?” (Surah al-A‘râf: 28)
Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ ketika mentafsirkan ayat di atas sebagaimana yang dinukil oleh Imam asy-Syirazi Rahimahullâh berkata bahawa mereka (orang-orang jahiliyyah) mengerjakan thawaf di sekeliling Ka‘bah dalam keadaan bertelanjang, maka ia adalah perbuatan keji.
Dalam hadits daripada ‘Ali Karramallâhu wajhah pula, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jangan perlihatkan pahamu dan jangan pandang sungguh-sungguh paha orang yang hidup dan juga paha orang yang sudah meninggal dunia. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan ayat dan hadits di atas, membuka aurat dan memperlihatkannya kepada orang lain hukumnya adalah haram dan ia adalah perbuatan keji. Walau bagaimanapun, menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullâh, jika seseorang itu terpaksa membuka aurat kerana tujuan berubat atau berkhatan maka hukumnya adalah harus kerana ia dalam situasi dharûrah.
Mengenai dengan hukum melihat aurat, Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn berkata:
Ertinya: Dan haram (hukumnya) seorang lelaki yang bâligh memandang aurat perempuan merdeka yang sudah besar (boleh membangkitkan syahwat memandangnya), yang ajnabiyyah (bukan mahram), begitu juga (haram memandang) wajahnya dan kedua-dua telapak tangannya ketika takut timbul fitnah dan begitu juga ketika aman (daripada fitnah) menurut pendapat ash-shahîh.
Pengharaman melihat aurat berlainan jantina yang tiada hubungan mahram ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Yang demikian itu lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu perbuat. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang diharamkan) dan memelihara kemaluan mereka (daripada melakukan perkara yang haram). Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan kedua-dua telapak tangan). (Surah an-Nûr: 30-31)
Dalam hadits daripada ‘Abdurrahman bin Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak (harus) lelaki melihat aurat lelaki, dan tidak (harus) perempuan melihat aurat perempuan, dan tidak (harus) lelaki berbaring dengan lelaki (tanpa berpakaian) dalam satu kain (selimut) dan tidak (harus) perempuan berbaring dengan perempuan (tanpa berpakaian) dalam satu kain (selimut). (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi bahawa tidak ada khilâf di kalangan ulama tentang haram hukumnya melihat aurat sesama jantina. Manakala hukum haram melihat aurat berlainan jantina adalah dengan ijmâ‘ ulama. Dalam hadits di atas juga, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyebut larangan lelaki melihat aurat lelaki dan tidak menyebut larangan lelaki melihat aurat perempuan kerana melihat aurat berlainan jantina itu adalah lebih utama pengharamannya.
Maka berdasarkan penjelasan di atas, penggunaan brazilian atau bikini wax untuk membuang bulu ari-ari di spa atau pusat rawatan kecantikan yang dilakukan oleh pekerjanya hukumnya adalah haram kerana perbuatan mendedahkan aurat kepada orang lain sekalipun dilakukan sesama jantina. Perlu diingat bahawa aurat sesama jantina adalah antara pusat dan lutut. Istihdâd tidak termasuk dalam perkara dharûrah ataupun hâjah yang mengharuskan membuka aurat, berbeza halnya dengan berubat. Tuntutan sunat melakukan istihdâd boleh saja dibuat sendiri dengan apa cara sekalipun mengikut kadar yang termampu sahaja. Jika tidak dapat menanggalkan keseluruhannya dengan mencukur dan sebagainya, adalah memadai juga dengan memendekkannya dengan mengguntingnya sahaja atau seumpamanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13083
