Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Mengadakan Majlis Pengislaman Secara Maya (Online) Dan Melalui Rakaman Video

Soalan: Sebagai langkah berjaga-jaga dalam membantu Kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk memutuskan rangkaian wabak COVID-19, Pusat Da’wah Islamiah memohon kebenaran untuk mengadakan Majlis Pengislaman dengan dua cara iaitu secara maya (online) dengan menggunakan aplikasi zoom/video call dan melalui rakaman video.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa mengenainya.

Jawapan: Memeluk agama Islam bererti mengubah i‘tiqâd atau kepercayaan dan pegangan daripada agama lain kepada agama Islam dengan mengakui keesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan kerasulan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta membebaskan dirinya daripada setiap agama yang menyalahi agama Islam.

Pada dasarnya memeluk agama Islam atau menjadi seorang Islam adalah sangat mudah berbanding melaksanakan ‘aqad nikah yang memerlukan kepada proses ‘aqad îjâb dan qabûl serta saksi-saksi. Adalah sah Islam seseorang yang memeluk Islam, sekalipun tanpa perlu disaksikan oleh sesiapa. Tidak ada pensyaratan yang mewajibkan pelafazan ikrar Islamnya di hadapan qadhi atau pihak Mahkamah Syari‘ah dan diraikan dalam suatu majlis. Bahkan memadai dilakukan secara bersendirian tanpa melibatkan pihak kedua. Apabila dua kalimat syahadat dilafazkan dengan memahami serta beri‘tiqâd pada apa yang dilafazkannya, maka dia sudah sah menjadi seorang muslim tanpa perlu mengisytiharkan dan mengesahkan keislamannya kepada orang lain dan segala tuntutan syara‘ berjalan ke atas dirinya.

Para ulama menjelaskan adalah sah Islam orang kafir yang memeluk agama Islam dengan syarat-syarat berikut:

i. Melafazkan dua kalimat syahadat dengan lisan bagi yang mampu bercakap atau isyarat yang difahami bagi yang tidak mampu bercakap. Lafaz syahadat tersebut pula tidak disyaratkan dengan menggunakan bahasa Arab. Bahkan memadai dan sah dilakukan dengan bahasa yang difahaminya sebagaimana yang dijelaskan oleh asy-Syaikh Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam kitabnya Asnâ al-Mathâlib:

Ertinya: Sah Islam (seorang yang melafazkan dua kalimat syahadat) iaitu (dilakukan) secara langsung daripada kalangan orang yang mukallaf dengan ucapan (melafazkan dengan lidah) bagi orang yang mampu bercakap dan (dengan cara) isyarat bagi orang yang tidak mampu bercakap.

Manakala asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: Sah Islam dengan (melafazkan dua kalimat syahadat) dalam apa-apa jua bahasa sepertimana yang dikatakan Ibn Shabbagh dan selain daripada beliau dan (sah) dengan isyarat (bagi) orang yang bisu.

ii. Hendaklah memahami maksud dua kalimat syahadat yang dilafazkannya.

Jika seorang diajarkan kepadanya kalimat syahadat, umpamanya dengan bahasa Arab, lalu dia mengucapkannya tanpa memahami maksudnya, maka tidak sah Islamnya.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Maka jika diajar orang ‘ajam (bukan bangsa Arab) (kalimat) syahadat dengan (menggunakan) bahasa Arab, lalu dia melafazkannya sedangkan dia tidak mengetahui maknanya, dia tidak dihukumkan (tidak sah) Islamnya.

Ini bererti dua kalimat syahadat hendaklah diucapkan dengan lidah yang disertai dengan kefahaman tentang maksud ucapannya. Sekiranya dia melafazkan dua kalimat syahadat itu hanya setakat ucapan dengan lidah tanpa disertai dengan kefahaman tentang apa yang diucapkannya khususnya pengakuan akan keesaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan kerasulan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka tidak sah Islamnya.

Islam orang sedemikian dikira seperti orang munâfiq dan dia dihukumkan beriman dan berjalan baginya hukum-hukum yang berkaitan dengan urusan dunia sahaja tetapi (hakikatnya) dia tidak beriman di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sepertimana yang dinyatakan as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya Hâsyiyah I‘ânah ath- Thâlibîn:

Ertinya: Dan sesiapa yang mengikrarkan dengan lidahnya dan tidak membenarkan dengan hatinya adalah seperti orang munâfiq, maka dia seorang yang beriman dalam hukum-hakam dunia bukan beriman kepada Allah.

Perkara mengucap dua kalimat syahadat yang perlu disertai dengan kefahaman ini sangat penting untuk diambil perhatian berat oleh semua pihak terutama bagi mereka yang terlibat melaksanakan majlis-majlis pengislaman supaya orang-orang yang memeluk agama Islam itu sah Islamnya.

iii. Dilakukan dengan kerelaan hati tanpa paksaan bagi orang kafir dzimmi.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya al-Majmû‘:

Ertinya: Sesungguhnya orang murtad dan orang kafir harbi apabila kedua-duanya dipaksa memeluk Islam sah Islam kedua-duanya kerana ia (paksaan itu) adalah paksaan dengan hak. Begitu juga orang yang dipaksa dalam perkara jual beli dengan hak adalah sah jual belinya sepertimana (penjelasan) yang telah lalu. Adapun orang kafir dzimmi apabila dipaksa memeluk Islam maka ia merupakan paksaan tanpa hak kerana kita telah mensyaratkan dalam (perjanjian dengan) kafir dzimmi supaya kita memperakui dirinya mengikut (mengamalkan) agamanya. Maka apabila (dia) dipaksa adakah sah Islamnya? Padanya Tharîqân (dua aliran pendapat): … dan yang masyhur kedua-duanya (aliran pendapat) itu ialah wajhân (dua pendapat di kalangan al-ashhâb), yang ashah antara kedua-duanya dengan kesepakatan al-ashhâb ialah tidak sah (Islamnya).

Sekalipun kesahan Islam seseorang yang memeluk Islam pada dasarnya tidak memerlukan kepada saksi dari segi syara‘, namun keislamannya perlu diisytiharkan. Pengesahan keislamannya perlu dilakukan secara teratur mengikut perundangan iaitu dengan ada saksi bagi mengesahkan dia adalah seorang muslim dan juga bagi mentsabitkan hak-haknya sebagai seorang muslim seperti hak perwarisan, perwalian, kesaksian, zakat dan sebagainya.

Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menukil apa yang dinyatakan oleh Imam al-Mawardi Rahimahullâh bahawa tujuan pengisytiharan keislaman seseorang adalah bagi maksud pentsabitan hak:

Ertinya: Sesungguhnya diterima seorang saksi lelaki dan dua orang saksi perempuan dan seorang saksi lelaki dan sumpah daripada ahli waris, sesungguhnya orang yang diwarisinya itu mati di dalam Islam atau kufur, kerana maksud daripadanya (pengesahan Islam atau kufur) adalah (bagi tujuan) pentsabitan harta pusaka.

Menurut undang-undang Negara Brunei Darussalam, pengisytiharan keislaman adalah suatu kemestian sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam Dan Mahkamah- Mahkamah Kadi, Penggal 77, Bab 167 (1):

“Jika sesiapa saja ingin untuk memeluk ugama Islam, dia hendaklah mengucap Dua Kalimah Syahadah, di hadapan mana-mana orang Islam dan selepas itu hendaklah hadir di hadapan Kadi daerah di mana dia biasanya tinggal”.

Dalam Bab 168 juga menyatakan:

“Sesiapa saja yang melaksanakan suatu pengislaman hendaklah dengan serta-merta melaporkan pengislaman tersebut kepada Majlis bersama dengan semua butir-butir yang diperlukan”.

Dalam hal ini, pihak yang berautoriti dan bertanggungjawab dalam menangani urusan pengislaman adalah pihak Pusat Da‘wah Islamiah. Pada lazimnya kaedah pengislaman dilakukan secara rasmi yang dihadiri secara bersemuka oleh individu yang berhasrat untuk memeluk agama Islam berserta keluarga dan beberapa orang pegawai Pusat Da‘wah Islamiah.

Walau bagaimanapun, terkait dengan situasi yang dihadapi pada ketika wabak penyakit COVID-19 berleluasa yang menghadkan perjumpaan secara fizikal bagi mencegah penularannya, kaedah mengadakan majlis pengislaman secara bersemuka mungkin saja sukar untuk dilaksanakan.

Namun bagi memenuhi hasrat individu yang berkeinginan untuk memeluk Islam dan bagi memastikan pengislaman ini terus dilaksanakan tanpa adanya sebarang penangguhan, maka kaedah lain daripada yang lazimnya dilakukan terpaksa digunakan oleh pihak Pusat Da‘wah Islamiah. Kaedah pengislaman secara maya (online) melalui aplikasi zoom/video call dan juga melalui rakaman video merupakan kaedah alternatif yang difikirkan bersesuaian sepertimana yang dicadangkan oleh pihak Pusat Da‘wah Islamiah.

Mengadakan Majlis Pengislaman Secara Maya (Online) dan Melalui Rakaman Video

Teknologi komunikasi dalam bentuk virtual atau secara maya (online) merupakan kaedah komunikasi yang membolehkan mengadakan pertemuan tanpa bersemuka secara fizikal. Kaedah ini sudah lumrah digunakan ketika ini seperti mengadakan mesyuarat, pembelajaran dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, dalam beberapa perkara tertentu kaedah seperti ini tidak dapat digunapakai kerana terdapat unsur yang boleh menimbulkan keraguan dan sebagainya. Justeru itu, dalam hal kaedah pengislaman, adakah ia boleh dilakukan secara online?

Melihat kepada syarat sah Islam seseorang yang memeluk agama Islam yang tidak memerlukan adanya saksi dan bagi memastikan hasrat individu untuk memeluk agama Islam agar tidak tertangguh, maka mengadakan majlis pengislaman secara online melalui aplikasi zoom atau video call tidaklah kita nampak sesuatu yang bercanggah dengan kehendak hukum syara‘ mengenainya. Bahkan ia dilihat sebagai suatu kemudahan bagi pelaksanaan pengislamannya dan bagi mengelak daripada berlakunya penangguhan.

Seseorang yang berhasrat untuk memeluk Islam adalah wajib menyegerakan hasrat tersebut dan haram menangguhkannya semata-mata untuk melakukan hal-hal lain terlebih dahulu seperti mandi dan sebagainya. Begitu juga haram ke atas seorang Islam apabila dipinta pandangan daripadanya tentang hasrat seseorang untuk memeluk Islam, dia memberikan pandangan supaya mengakhirkan atau menangguhkan hasratnya itu. Berkata Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘:

Ertinya: Jika seorang kafir berhasrat untuk (memeluk) Islam maka hendaklah menyegerakannya (melafazkan dua kalimat syahadat) dan tidak melengahkannya untuk (dia melakukan) mandi bahkan wajib menyegerakan (memeluk) Islam dan diharamkan (iaitu) haram yang bersangatan melambatkannya untuk dia mandi (terlebih dahulu) dan selainnya. Begitu juga apabila (seseorang kafir) meminta nasihat kepada seorang muslim dalam perkara itu (memeluk Islam), diharamkan ke atas orang yang memberi nasihat (iaitu) haram yang sekeras-kerasnya untuk dia berkata kepadanya: “Tangguhkanlah ia sehingga mandi (terlebih dahulu)”, bahkan hendaklah dia menggalakkannya untuk bersegera memeluk Islam. Ini adalah suatu yang benar dan betul.

Manakala menurut Imam Taqiyuddin Rahimahullâh dalam kitabnya Kifâyah al-Akhyâr:

Ertinya: Dan jika berkata seseorang kepada khathîb atau penda‘wah: “Aku ingin (memeluk) Islam, maka bimbing aku (menyebut) kalimat syahadat,” lalu dia (khathîb atau penda‘wah) berkata: “Duduklah sehingga aku selesai (dari urusanku) dan aku akan membimbingmu.” (nescaya dia dihukumkan) kafir pada ketika itu juga.

Perbuatan menangguhkan pengislaman seseorang yang hendak memeluk agama Islam dianggap sebagai redha terhadap kekufurannya. Oleh sebab itu dia dihukumkan kafir. Redha terhadap kekufuran sekalipun ianya secara sembunyi adalah termasuk dalam bentuk perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu dihukumkan kafir.

Adapun dalam pengharusan kaedah pengislaman secara online tersebut, beberapa hal dari pelbagai aspek hendaklah perlu diperhatikan seperti talian yang digunakan hendaklah dipastikan tidak tersekat-sekat, percakapan dapat didengar dengan jelas oleh kedua-dua belah pihak dan sebagainya. Ini adalah bagi memastikan proses pengislaman tersebut berjalan dengan lancar supaya tidak mendatangkan sebarang keraguan akan kesahan Islamnya.

Manakala menggunakan kaedah rakaman video yang dilakukan sendiri terlebih dahulu oleh orang yang memeluk Islam dan disaksikan oleh ahli kaum keluarga yang kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Pengembangan Da‘wah (Pengislaman) sebagai bukti pengislamannya juga tidak kita nampak sebagai sesuatu yang bercanggah dengan kehendak hukum syara‘ mengenai kesahan Islamnya. Walau bagaimanapun, bagi tujuan membuat sebarang tuntutan ke atas hak-haknya sebagai seorang muslim, ia memerlukan kepada keterangan (bayyinah).

Menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah, al-bayyinah ialah syahadat iaitu kesaksian atau keterangan daripada saksi yang dapat menjelaskan atau menerangkan terhadap sesuatu perkara yang benar dan betul. Ini bererti apabila berlaku tuntutan atau dakwaan yang melibatkan haknya sebagai seorang muslim, maka keterangan saksi mengenai keislamannya adalah diperlukan. Adapun dengan hanya menyerahkan rakaman video pengislamannya kepada pihak Pusat Da‘wah Islamiah, ia tidak memadai untuk dijadikan sebagai bahan bukti atau bayyinah bagi mengesahkan kebenaran pengislamannya melainkan jika ia disertai lagi dengan keterangan daripada saksi-saksi.

Di samping itu, rakaman video ini boleh dipertikai keshahîhannya umpamanya dari segi keaslian video tersebut, pelafazan syahadat, pengetahuan serta pemahaman mengenai syarat-syarat sah memeluk agama Islam sebagaimana yang telah dijelaskan dan sebagainya.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan mengenai kaedah pengislaman online atau menggunakan rakaman video, maka pengislaman secara online adalah lebih menepati kehendak pentsabitan keislaman berbanding penggunaan rakaman video kerana kaedah pengislaman secara online adalah lebih selamat daripada sebarang bentuk keraguan. Selain itu, lafaz dua kalimat syahadat berserta maksudnya boleh dipimpin dan diajar oleh pihak pegawai Pusat Da‘wah Islamiah kepada orang yang memeluk agama Islam dan didengar oleh para saksi pengislaman tersebut secara interaktif.

Memandangkan isu menyegerakan pengislaman seseorang yang hendak memeluk agama Islam sebagaimana dijelaskan di atas adalah sesuatu yang sangat penting, maka pihak-pihak yang bertanggungjawab mengenainya khususnya Pusat Da‘wah Islamiah perlu mengambil perhatian berat mengenai kewajiban penyegeraan ini bagi mengelak berlakunya akibat buruk daripada perbuatan menangguhkannya. Akibat buruk yang paling berat bagi orang Islam yang menyebabkan tertangguhnya hasrat orang yang hendak memeluk Islam ialah dihukumkan kafir.

Ini bermakna melafazkan dua kalimat syahadat itu perlu ditunaikan dengan serta merta pada masa orang kafir itu menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam tanpa bertangguh. Maka tidak perlu waktu untuk melafazkan dua kalimat syahadat itu menunggu majlis rasmi yang akan diadakan mengenainya yang ada kalanya terpaksa menunggu waktu yang lama untuk diadakan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13087