Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menterjemah Nama-Nama Surah

Soalan: Dengan hormat dipohonkan fatwa mengenai penggunaan terjemahan nama-nama surah dalam al-Qur’an seperti surah al-Baqarah digunakan terjemahannya iaitu ‘COW’ di dalam bahan-bahan terbitan.

Jawapan: Al-Qur’an adalah Kalâmullâh ‘Azza wa Jalla yang diturunkan dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melalui perantaraan Jibril ‘Alaihissalâm. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Qur’an) sebagai kitab bacaan dalam bahasa Arab supaya kamu memahaminya. (Surah Yusuf: 2) Firman Allah Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: Dan sesungguhnya al-Qur’an ini adalah diturunkan oleh Tuhan Pencipta dan Pentadbir sekalian alam. Ia dibawa turun oleh ar-Rûh al-Amîn (malaikat Jibril). Ke dalam hatimu (wahai Nabi Muhammad) supaya engkau termasuk orang-orang yang memberi peringatan. (Ia diturunkan) dalam bahasa Arab yang fasih dan jelas. (Surah asy-Syu‘arâ’: 192-195)

Pembahagian Al-Qur’an Kepada Surah-surah

Dalam al-Qur’an terkandung sebanyak 114 surah yang mempunyai nama yang tersendiri. Antara surah itu ada yang khusus dinamakan dengan nama Allah Ta‘ala seperti surah ar- Rahmân. Ada juga surah yang dinamakan dengan nama-nama para nabi seperti surah Muhammad, Ibrahim, Yusuf dan Nuh. Selain itu juga, ada surah-surah yang dinamakan dengan nama binatang seperti surah al-Baqarah, an-Nahl, an-Naml, al-‘Ankabût, al-Fîl dan lain-lain lagi.

Imam as-Suyuthi Rahimahullâh menukil perkataan al-Ja‘bari Rahimahullâh dalam kitab al- Itqân fî ‘Ulûm al-Qur’ân yang menyebut bahawa surah dari segi istilah ialah al-Qur’an yang terdiri daripada beberapa ayat yang mempunyai permulaan dan penutup dan sekurang-kurangnya mengandungi tiga ayat. Ada juga sebahagian ulama yang mendefinisikan surah sebagai sekumpulan ayat yang dinamakan dengan nama khas secara tauqîfî (dengan ketetapan) daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Antara hikmah pembahagian al-Qur’an kepada surah-surah adalah sebagai bukti bahawa surah itu sendiri adalah mu‘jizat dan salah satu tanda kebesaran Allah Ta‘ala. Pembahagiannya juga menunjukkan bahawa setiap surah itu mempunyai tema yang tersendiri seperti surah Yusuf yang menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf ‘Alaihissalâm, surah Barâ’ah (at-Taubah) yang menjelaskan perihal dan rahsia orang-orang munâfiq dan lain-lain lagi. Sementara itu, pembahagian surah kepada surah yang panjang, sederhana dan pendek juga mempunyai hikmah. Antara hikmah yang jelas ialah dari segi pengajarannya kepada kanak-kanak secara berperingkat-peringkat bermula daripada surah-surah yang pendek sehingga peringkat seterusnya yang merupakan satu kemudahan daripada Allah Ta‘ala ke atas hambaNya untuk menghafaz al-Qur’an.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa surah itu ialah sekumpulan ayat-ayat al-Qur’an yang mempunyai permulaan dan penutup. Sekurang-kurang surah itu mengandungi tiga ayat. Penamaan surah-surah al-Qur’an pula adalah mengikut ketetapan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pembahagian al-Qur’an kepada surah-surah itu mempunyai hikmah.

Menterjemah Nama Surah

Setakat pembacaan kita, belum dijumpai pendapat ulama tentang larangan menterjemah nama-nama surah ke dalam bahasa lain. Apa yang diketahui ialah larangan membaca al- Qur’an dengan bahasa lain selain bahasa Arab sebagaimana disebut oleh al-Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh dalam kitab al-Burhân fî ‘Ulûm al-Qur’ân bahawa tidak harus membaca al- Qur’an dengan bahasa asing sama ada dia boleh berbahasa Arab dengan baik atau tidak, di dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang. Begitu juga yang disebut oleh al-Imam an- Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘ bahawa menurut mazhab kita (mazhab asy- Syafi‘i) tidak harus membaca al-Qur‘an dengan selain daripada bahasa Arab sama ada dia boleh berbahasa Arab atau dia lemah (tidak mampu) berbahasa Arab dan sama ada (membacanya) dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang. Al-Imam as-Suyuthi Rahimahullâh pula menyebut dalam kitab al-Itqân fî ‘Ulûm al-Qur’ân bahawa tidak harus membaca al-Qur’an dengan maknanya sahaja tanpa membaca lafaznya kerana Jibril ‘Alaihissalâm telah menyampaikan al-Qur’an kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan lafaznya dan tidak dibolehkan baginya (Jibril ‘Alaihissalâm) untuk mewahyukannya dengan makna.

Walau bagaimanapun, perbincangan hukum di atas adalah mengenai membaca al-Qur’an dengan bahasa lain daripada bahasa Arab. Berlainan dengan nama-nama surah di dalam al- Qur’an. Ia bukanlah daripada ayat-ayat al-Qur’an tetapi ia adalah nama-nama surah yang dikhususkan bagi ayat-ayat al-Qur’an mengikut kisah yang disebut di dalam surah tersebut atau yang diceritakan dalam surah tersebut. Misalnya surah al-Baqarah diceritakan di dalamnya mengenai sapi betina yang diperintahkan Allah Ta‘ala kepada Bani Isra’il untuk menyembelihnya. Oleh kerana itu ia dinamakan surah al-Baqarah.

Oleh yang demikian, menterjemah nama-nama surah ke dalam bahasa lain selain bahasa Arab adalah harus. Maka merujuk soalan di atas, tidaklah dilarang menterjemah nama-nama surah al-Qur’an seperti surah al-Baqarah ke dalam bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa. Apa yang penting dan perlu diambil perhatian, terjemahan nama-nama surah itu hendaklah mengikut tafsiran ulama yang mu‘tabar dalam kitab-kitab tafsir atau kitab-kitab ‘ulûm al-Qur’an iaitu ilmu-ilmu yang berkaitan dengan al-Qur’an.

Walau bagaimanapun, adalah lebih elok nama-nama asal surah dalam bahasa Arab dikekalkan dalam buku terjemahan al-Qur’an dan bahan-bahan terbitan yang lain dengan maksud nama surah tidak diterjemahkan supaya memelihara nama-nama surah al-Qur’an itu yang diberikan dengan cara tauqîfî daripada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Dengan cara itu, nama-nama surah itu lebih diketahui dan dikenali oleh semua orang. Sekiranya pun ada keperluan untuk menterjemahkan nama-nama surah ke dalam bahasa lain, nama surah itu tidak ditulis dengan terjemahan saja, sebaiknya digandingkan dengan nama asal surah dalam bahasa Arab. Sebagai contoh terjemahan surah al-Baqarah digandingkan dengan sapi betina menjadi surah Al-Baqarah (Sapi Betina).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13094