Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Menyedekahkan Pahala Bacaan Surah Al-Fâtihah

Soalan: Adakah dibolehkan bersedekah bacaan surah al-Fâtihah kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, orang-orang yang sudah meninggal dunia, yang masih hidup atau kaum kerabat yang belum lahir selain untuk diri sendiri.

Difahamkan ahli ulama berbeza pendapat mengenai perkara ini. Antara pendapat tersebut ialah tidak perlu disedekahkan, iaitu merujuk kepada dalil yang dipegang oleh Imam asy- Syafi‘i dalam surah an-Najm, ayat 39 dan surah an-Nisâ’, ayat 59. Jika berbeza pendapat maka baliklah semula kepada al-Qur’an dan sunnah.

Jawapan: Dalam Islam, orang yang masih hidup boleh menyumbang pahala amalannya kepada orang lain sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia, antaranya dengan menyedekahkan atau menghadiahkan pahala bacaan ayat-ayat al-Qur’an seperti surah al-Fâtihah atau dengan zikir-zikir dan do‘a-do‘a kepada mereka.

Dalam perkara membaca al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya khusus kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam hukumnya adalah harus bahkan disunatkan. Imam ar-Ramli Rahimahullâh pernah ditanya tentang hukum seseorang yang membaca al-Qur’an lalu menghadiahkan pahalanya kepada Nabi Muhamamad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan memohon disampaikan pahalanya kepada Baginda atau supaya ditambah kemuliaan kepada Baginda ataupun yang seumpamanya. Maka Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Fatâwâ ar-Ramli menjawab:

Ertinya: Ya! Amalan demikian adalah harus bahkan sunat dengan berqiyâskan (amalan) selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan memohonkan kedudukan yang tinggi untuk Baginda dan tempat yang terpuji dan seumpamanya (kerana persamaan ‘illah kedua-duanya) merupakan do‘a supaya ditambah keagungan Baginda. (Amalan ini juga) adalah diharuskan oleh sekumpulan ulama muta’akhkhirîn dan menjadi amalan orang ramai dan apa jua perkara yang dipandang baik pada pandangan orang-orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah, maka (pendapat) yang melarang (amalan) demikian adalah tidak betul.

Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menjelaskan bahawa pendapat ini juga dipilih oleh Imam as-Subki Rahimahullâh dengan berdasarkan kepada perbuatan Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa beliau pernah melakukan umrah untuk Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selepas Baginda wafat sekalipun tanpa ada wasiat daripada Baginda. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh juga menyebut bahawa Imam al-Ghazali Rahimahullâh ada meriwayatkan dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulûm ad-Dîn bahawa ‘Ali bin al-Muwaffaq Rahimahullâh telah menunaikan haji beberapa kali untuk Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan al-Fuqa‘i Rahimahullâh telah menghitungnya sehingga 60 kali haji. Diriwayatkan juga bahawa Imam Muhammad bin Ishaq as-Sarraj an-Naisaburi Rahimahullâh telah mengkhatamkan al-Qur’an untuk Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lebih daripada sepuluh ribu kali khatam dan melakukan korban untuk Baginda juga lebih sepuluh ribu kali.

Berdasarkan penjelasan para ulama di atas, menyedekahkan dan menghadiahkan pahala amalan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya dengan membaca ayat-ayat al- Qur’an, mengerjakan ibadat haji, berkorban dan sebagainya tidak dilarang bahkan sunat untuk dikerjakan.

Menyedekahkan Pahala Untuk Orang-orang Islam

Membaca al-Qur’an dengan niat menghadiahkan pahalanya kepada orang lain sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia dan mendo‘akan kebaikan untuk mereka adalah harus bahkan hukumnya adalah sunat. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj berkata:

Ertinya: Dan sesungguhnya Imam asy-Syafi‘i dan al-ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah yang dahulu yang terkemuka) telah menyatakan (nash) tentang (hukum) sunat membaca apa yang mudah (daripada al-Qur’an) di sisi mayat dan berdo‘a sesudahnya. Iaitu kerana sesungguhnya pada ketika itu lebih diharap (do‘a) untuk diperkenankan (oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ) dan kerana si mati itu akan mendapat berkat (daripada) bacaan (al- Qur’an) seperti orang hidup yang hadir.

Walaupun terdapat sebahagian ulama yang menyebut bahawa pahala bacaan al-Qur’an bagi orang yang meninggal dunia itu tidak sampai kepada si mati, namun menurut as-Sayyid al- Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn beliau menyatakan bahawa pendapat tersebut adalah pendapat yang dha‘îf. Manakala pendapat sebahagian al-ashhâb yang mengatakan pahala bacaan sampai kepada si mati adalah pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘i. Imam as-Subki Rahimahullâh pula menyatakan kebanyakan ulama berpendapat bahawa pahala yang dihadiahkan kepada si mati bagi semua ibadat seperti sembahyang, puasa, termasuklah membaca al-Qur’an dan lain-lain adalah sampai kepada si mati.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj Syarh Shahîh Muslim berkata:

Ertinya: Sesiapa yang hendak berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, maka bersedekahlah bagi pihak kedua-duanya kerana sesungguhnya (pahala) sedekah itu sampai kepada si mati dan si mati mendapat manfaat daripadanya tanpa ada perselisihan pendapat di kalangan orang-orang Islam dan inilah pendapat yang benar. Adapun apa yang diceritakan oleh Aqdhâ al-Qudhâh Abu Hasan al-Mawardi al-Bashri al-Faqîh asy-Syafi‘i dalam kitabnya al- Hâwi tentang sebahagian ulama al-Kalâm berpendapat bahawa si mati tidak akan menerima pahala selepas kematiannya, maka ia adalah mazhab yang bâthil secara pasti dan (ia pendapat) yang salah lagi nyata bertentangan dengan nash-nash al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘ ummah, maka jangan ambil peduli akannya dan jangan cenderung kepadanya (pendapat itu).

Berdasarkan penjelasan di atas, orang yang sudah meninggal dunia boleh mendapat pahala daripada amalan orang lain yang masih hidup sama ada daripada pahala bacaan al-Qur’an, zikir, do‘a, sedekah dan sebagainya.

Perkara ini bertepatan dengan hadits-hadits yang menyebut mengenai orang yang sudah meninggal dunia boleh mendapat pahala daripada amalan orang lain yang masih hidup, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah lalu di sebuah kebun di Madinah atau di Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang diseksa dalam kubur mereka. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Kedua-duanya sedang diseksa dan tidaklah diseksa kedua-duanya itu kerana dosa besar”. Kemudian Baginda bersabda: “Ya, sungguh! Salah seorang daripada kedua-duanya tidak bersuci daripada kencingnya dan yang seorang lagi kerana berjalan (ke sana ke mari) mengadu domba”. Kemudian Baginda meminta sebatang pelepah tamar maka dipatahkannya menjadi dua, kemudian Baginda meletakkan patahan pelepah tamar itu di atas kubur kedua-duanya. Lalu orang pun bertanya: “Wahai Rasullullah! Mengapakah Tuan berbuat demikian?” Baginda pun bersabda: “Semoga diringankan azab kedua-dua (penghuni kubur yang sedang diseksa ini) selama (pelepah) ini belum kering.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Bâri menyatakan maksud hadits di atas bahawa dikatakan pelepah itu akan sentiasa bertasbîh selama ia masih basah. Maka dengan berkat tasbîh itu, terhasillah keringanan azab bagi si mati. Jika tasbîh daripada tumbuh-tumbuhan itu memberi manfaat kepada kedua-dua ahli kubur yang diseksa, maka adalah lebih utama lagi bacaan zikir dan bacaan al-Qur’an yang kita bacakan sampai kepada si mati.

Dalam hadits lain yang diriwayatkan daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Kamu bacakan surah Yâ Sîn ke atas orang yang akan meninggal dunia. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam Ibn Rif‘ah Rahimahullâh maksud ح َتَكُمحمَو ialah orang yang telah meninggal dunia. Pendapat ini disokong oleh Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj. Ini bererti surah Yâ Sîn boleh juga dibacakan ke atas orang yang sudah meninggal dunia kerana orang yang sudah meninggal dunia masih boleh mendapat berkat daripada bacaan al-Qur’an seperti juga orang yang hidup. Jika mengucapkan salam ke atas ahli kubur diterima maka bacaan ayat-ayat al-Qur’an kepada si mati adalah lebih utama.

Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulûm ad-Dîn juga menyebut dalam satu riwayat Muhammad bin Ahmad al-Marwazi Rahimahullâh daripada Imam Ahmad Rahimahullâh yang berkata:

Ertinya: Apabila kamu memasuki tanah perkuburan, maka kamu baca surah al-Fâtihah, al- Mu‘awwidzatain (surah al-Falaq dan surah an-Nâs) dan ٌ ِلَُّ أَحَد هُو َ احقُل (surah al-Ikhlâsh) dan kamu jadikan bacaan itu (sedekah) untuk ahli kubur kerana sesungguhnya (pahala bacaan itu) sampai kepada mereka.

Selain membaca ayat al-Qur’an, berdo‘a juga boleh memberi manfaat kepada orang yang telah meninggal dunia sebagaimana disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila telah selesai daripada mengebumikan mayat, Baginda berdiri di atas kuburnya lalu bersabda: “Mohonlah keampunan bagi saudara kamu dan mohon supaya diberi baginya ketetapan (dalam menjawab soalan-soalan kubur) kerana sesungguhnya dia ketika ini sedang disoal.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Adzkâr pula berkata:

Ertinya: Para ulama telah sepakat bahawa do‘a untuk orang-orang yang telah meninggal dunia adalah memberi manfaat kepada mereka dan pahalanya juga sampai kepada mereka.

Dalam perkara menghadiahkan atau menyedekahkan pahala bacaan al-Qur’an supaya sampai kepada si mati, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah dengan berdo‘a setelah membaca al-Qur’an sebagaimana katanya dalam kitabnya al-Adzkâr:

Ertinya: Maka pendapat yang terpilih (ialah) orang yang membaca (al-Qur’an) selepas selesai dia membacanya dengan berdo‘a: “Ya Allah! Mohon sampaikan pahala apa yang aku baca ini kepada si polan.”

Imam Ibn al-Hajar Rahimahullâh juga menyebut dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al- Fiqhiyyah do‘a seperti berikut:

Ertinya: Ya Allah! Mohon sampaikan pahala apa yang aku baca ini dan ganjaran apa yang aku baca kepada roh si polan, kemudian kepada roh si polan (yang lain).

Dalam himpunan fatwa al-Azhar yang difatwakan oleh Syaikh ‘Athiyyah Shaqar Rahimahullâh, terdapat penjelasan secara terperinci cara menghadiahkan dan menyedekahkan pahala kepada si mati. Beliau menjelaskan adalah seperti berikut:

1. Orang yang berdo‘a bertawassul dengan amal salihnya iaitu membaca al-Qur’an kemudian berdo‘a supaya si mati dilimpahi rahmat.

2. Membaca ayat al-Qur’an kemudian menghadiahkan pahalanya kepada si mati dengan berdo‘a: “Ya Allah! Mohon sampaikan pahala apa yang aku baca kepada roh si polan.” Dalam do‘a ini adalah lebih baik nama si mati disebut.

3. Diniatkan terlebih dahulu pada permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Qur’an bahawa pahala bacaan itu untuk si polan bin si polan.

Adapun persoalan mengenai pendapat yang mengatakan tidak harus menyedekahkan pahala bacaan al-Qur’an sebagaimana yang disebut oleh penanya bersandarkan kepada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah an-Najm, ayat 39 adalah tidak tepat. Imam Ibn ash-Shalah Radhiallâhu ‘anhu ada memberikan pencerahan mengenainya dalam kitabnya Fatâwâ Ibn ash-Shalah, beliau berkata:

Ertinya: Sesungguhnya telah tsabit bahawasanya amalan-amalan badan tidak boleh berpindah (pahalanya kepada orang lain) kerana telah diriwayatkan daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: Apabila seseorang meninggal dunia terputuslah daripadanya amalnya melainkan daripada tiga perkara (iaitu) sedekah jâriah, ilmu yang (boleh) dimanfaatkan dengannya atau anak salih yang mendo‘akan baginya. Dan sesungguhnya telah berlaku perbezaan (pendapat) mengenai al-Qur’an, adakah sampai (pahala yang dihadiahkan) kepada si mati atau tidak? Bagaimana pula do‘a boleh sampai kepada si mati (dan al-Qur’an pula tidak sampai pahalanya) sedangkan al-Qur’an lebih utama (daripada do‘a)? Beliau (Imam Ibn ash-Shalah) Radhiallâhu ‘anhu menjawab: “Sesungguhnya telah berlaku perbezaan pendapat mengenainya dan ahl al-khair mendapati bahawa terdapat keberkatan di dalam menghubungkan orang-orang yang telah meninggal dunia dengan (bacaan) al- Qur’an. (Perlu ditekankan bahawa) bukanlah perbezaan pendapat di dalam permasalahan ini seperti perbezaan dalam (perkara) ushûl (asas agama) bahkan ia adalah perbezaan dalam (perkara) furû‘ (perkara-perkara yang merupakan cabang dalam agama), dan bukanlah nash ayat tersebut menunjukkan akan salahnya pendapat mereka yang mengatakan pahala (yang dihadiahkan kepada orang meninggal dunia) sampai, bahkan yang dimaksudkan (dari ayat tersebut) ialah tidak ada hak dan balasan kecuali terhadap apa yang seseorang telah kerjakan. Maka ia (ayat itu) tidak merangkumi amalan-amalan yang disedekahkan oleh orang lain kepadanya (si mati) daripada bacaan-bacaan dan do‘a-do‘a. Maka sesungguhnya tidak ada hak dan balasan ke atasnya (di dalam perkara-perkara ini) tetapi ia merupakan sedekah yang diberikan orang lain kepadanya. Begitu juga hadits (yang disebutkan di atas) tidak menunjukkan akan salah kata-katanya (pendapat yang mengatakan pahala kepada orang meninggal dunia sampai) kerana yang dimaksudkan (amalan yang terputus) di dalam hadits adalah amalannya (si mati), walhal (yang dimaksudkan) di sini adalah mengenai amalan orang lain (untuk si mati).

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în menjelaskan bahawa ayat 39 daripada surah an-Najm tersebut adalah bersifat umum yang ditakhshîsh dengan hadits dan dikatakan juga bahawa ayat tersebut telah mansûkh (hukumnya).

Beliau menjelaskan lagi bahawa maksud sedekah yang memberi manfaat kepadanya ialah seolah-olah dia sendiri (si mati) yang bersedekah. Menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh, orang yang bersedekah itu juga mendapat pahala kerana luasnya rahmat Allah. Atas sebab itulah, para ulama asy-Syafi‘iyyah berkata: “Disunatkan untuknya (orang yang bersedekah) berniat sedekah bagi kedua-dua ibu bapanya, kerana sesungguhnya Allah Ta‘ala akan memberi mereka berdua pahala, bahkan tidak berkurang pahala orang yang bersedekah walau sedikit pun.”

Dalam perkara menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an, ia juga diharuskan dan sampai pahala bacaan itu kepada orang yang diniatkan sama ada orang itu masih hidup atau orang yang sudah meninggal dunia sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj yang telah dinyatakan sebelum ini.

Begitu juga do‘a dan sedekah berdasarkan dalil, antaranya hadits Nabi bahawa Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah melakukan ibadat korban dan berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor binatang korban sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruh bawakan seekor kibasy yang mempunyai dua tanduk yang kaki-kakinya berwarna hitam, perutnya berwarna hitam dan keliling kedua-dua matanya berwarna hitam. Lalu didatangkanlah kibasy yang dimaksudkan untuk (Baginda) sembelih sebagai korban. Baginda bersabda kepada ‘Aisyah: “Wahai ‘Aisyah! Bawa kemari pisau”, kemudian Baginda bersabda: “Asahlah ia (pisau itu) dengan batu,” maka dia (‘Aisyah) melaksanakan (suruhan Baginda). Kemudian Baginda mengambil pisau itu dan memegang kibasy lalu Baginda membaringkannya, kemudian Baginda menyembelih sambil Baginda mengucap: لمحبلسلهللا،َّاَللَّهُم لاُمَّة (Dengan nama Allah, ya Allah! Mohon terima (korban ini) daripada Muhammad, daripada keluarga Muhammad, dan juga daripada umat Muhammad). Kemudian (Baginda) menyembelih korbannya. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka pahala bacaan al-Qur’an orang yang hidup boleh disedekahkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Begitu juga kepada orang-orang Islam yang sudah meninggal dunia mahupun kepada orang yang masih hidup dengan syarat orang yang membacanya berniat sebelum atau semasa membacanya, ataupun berdo‘a selepas membacanya supaya pahalanya disampaikan oleh Allah Ta‘ala kepada orang yang berkenaan. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada nash-nash syara‘ daripada hadits-hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pendapat para ulama. Manakala mengenai menyedekahkan pahala bacaan al-Qur’an untuk yang belum lahir, setakat ini tiada dijumpai nash-nash syara‘ atau pendapat ulama mengenai suruhan melakukannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13098