Niat Umrah Bagi Orang Yang Berada Di Makkah
Soalan: Jika melakukan umrah berulang kali semasa ziarah ke Baitullah, adakah perlu lagi keluar ke Tan‘im umpamanya untuk berniat bagi melakukan umrah kali kedua dan seterusnya.
Jawapan: Hukum mengerjakan umrah adalah fardhu (wajib), sama seperti haji. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah semata-mata. (Surah al-Baqarah: 196) Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Ia (haji) adalah fardhu dan begitu juga umrah menurut pendapat al-azhhar (pendapat yang menjadi pilihan antara pendapat-pendapat Imam asy-Syafi‘i). Umrah juga wajib dikerjakan sekali seumur hidup sama seperti haji. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Îdhâh:
Ertinya: Dan tidak wajib (mengerjakan) umrah kecuali sekali (seumur hidup) seperti haji.
Walaupun umrah wajib dilaksanakan sekali sahaja, namun mengerjakan umrah berulang kali adalah sunat. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Majmû‘:
Ertinya: (Imam) asy-Syafi‘i dan al-ashhâb (ulama asy-Syafi‘iyyah yang dahulu yang terkemuka) berkata, sepanjang tahun adalah waktu umrah. Maka harus berihrâm dengannya (umrah) pada setiap waktu dalam setahun dan tidak dimakruhkan (mengerjakan umrah) pada bila-bila masa sama ada pada bulan-bulan haji atau selainnya dalam keharusannya (umrah) tanpa makruh. Tidak makruh mengerjakan dua kali umrah, tiga dan lebih dalam setahun, dan tidak juga (makruh mengerjakan umrah beberapa kali) dalam sehari, bahkan sunat memperbanyakkan darinya (umrah) tanpa ada perselisihan di kalangan kami.
Selain itu, ulama juga menyebut bahawa sunat memperbanyakkan umrah terutama pada bulan Ramadhan, antaranya Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan disunatkan membanyakkan daripadanya (umrah) terutama dalam bulan Ramadhan.
Dari penjelasan para ulama di atas menunjukkan bahawa mengerjakan umrah itu hanya diwajibkan sekali sahaja. Walau bagaimanapun mengerjakannya berulang kali hukumnya adalah sunat sekalipun mengerjakannya berulang kali itu dalam hari yang sama.
Mîqât Umrah
Mîqât merupakan perkara penting dalam mengerjakan umrah kerana niat hendaklah dilakukan di mîqât dan merupakan salah satu antara perkara wajib umrah. Jika ia ditinggalkan, umrah yang dikerjakan itu tetap sah tetapi wajib membayar dam dan jika ditinggalkan dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa. Mîqât itu terbahagi kepada dua; iaitu mîqât zamâni dan mîqât makâni.
Mîqât Zamâni
Mîqât zamâni ialah tempoh atau waktu yang ditetapkan untuk mengerjakan haji dan umrah. Mîqât zamâni bagi mengerjakan haji terbatas pada tiga bulan sahaja, iaitu bulan Syawwal, Zulkaedah dan Zulhijjah, bermula 1 Syawwal sehingga 10 Zulhijjah. Dinamakan juga bulan-bulan ini sebagai bulan-bulan haji (asyhur al-hajj).
Mîqât zamâni bagi mengerjakan umrah pula adalah sepanjang tahun tanpa ada batas masa yang tertentu. Sungguhpun mîqât zamâni bagi umrah adalah sepanjang tahun, ada kalanya seseorang ditegah daripada mengerjakan umrah kerana sebab-sebab tertentu, seperti sedang berihrâm mengerjakan haji dan sedang berihrâm mengerjakan umrah yang lain.
Mîqât Makâni
Mîqât makâni ialah tempat dan batas yang ditetapkan untuk mula berihrâm bagi tujuan mengerjakan haji atau umrah atau tempat yang sah berihrâm bagi tujuan mengerjakan haji atau umrah.
Mîqât makâni bagi orang yang hendak mengerjakan haji dan umrah adalah berdasarkan apa yang telah ditentukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menentukan mîqât bagi penduduk Madinah ialah Dzu al-Hulaifah, bagi penduduk Syam ialah al-Juhfah, bagi penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan bagi penduduk Yaman ialah Yalamlam. Ia (tempat-tempat mîqât ini) adalah bagi mereka (penduduk daripada negeri-negeri yang disebutkan) dan (mîqât) bagi sesiapa yang melaluinya (mîqât-mîqât tersebut) selain mereka (penduduk-penduduk negeri lain) yang hendak mengerjakan haji dan umrah. Sesiapa yang (tempat tinggalnya) dalam kawasan (antara mîqât dan Makkah), maka (mîqâtnya) adalah dari tempat dia mula hendak mengerjakan (haji dan umrah), bahkan penduduk Makkah (mîqât hajinya) adalah Makkah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits di atas inilah para fuqahâ’ menetapkan mîqât makâni bagi orang yang hendak mengerjakan haji dan umrah.
Mîqât Umrah Bagi Penduduk Makkah
Penduduk Makkah atau orang bukan penduduk Makkah yang tinggal di Makkah atau di tanah haram yang hendak mengerjakan umrah, maka mîqât umrah baginya ialah tanah halal. Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj menyebut:
Ertinya: Dan sesiapa yang berada di tanah haram (sama ada dia) penduduk Makkah atau bukan, dia mesti (wajib) keluar ke tanah halal yang paling hampir walaupun dengan (jarak) selangkah atau kurang dari mana saja arah dari arah tanah haram yang dikehendakinya, kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (pernah) menghantar Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ selepas menunaikan haji ke Tan‘im dan dia terus mengerjakan umrah. Jika keluar (dari tanah haram itu) tidak wajib (nescaya) Baginda tidak menyuruhnya (sedemikian) kerana kesuntukan waktu bagi perjalanan orang mengerjakan haji. Sebabnya adalah kerana hendak menggabungkan dalam ihrâm umrahnya antara tanah halal dan tanah haram.
Oleh yang demikian, bagi orang yang berada di Makkah atau tanah haram sama ada dia penduduk Makkah atau bukan, wajib keluar ke tanah halal. Jika dia tidak keluar ke tanah halal untuk berihrâm, sebaliknya dia berihrâm di tanah haram sahaja dan terus mengerjakan umrah sehingga selesai maka umrah yang dikerjakannya itu adalah sah tetapi dia berdosa dan wajib membayar dam. Perkara ini ada disebut oleh ulama mazhab asy-Syafi‘i, antaranya Imam Ibn Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, beliau menyebut:
Ertinya: Jika dia tidak keluar (dari tanah haram Makkah) dan dia melakukan perbuatan-perbuatan umrah, dia berdosa menurut kesepakatan ulama sebagaimana diketahui daripada yang telah lalu dan memadai baginya umrah (umrah yang fardhu) dalam Islam dan selainnya menurut pendapat al-azhhar kerana terlaksana (sah) ihrâmnya menurut kesepakatan ulama. Siapa yang mengatakan padanya pendapat yang bertentangan maka (pendapat itu) adalah ditolak sebagaimana kalau dia berihrâm haji dari tempat yang bukan mîqâtnya. (Wajib) ke atasnya membayar dam kerana dia meninggalkan ihrâm di mîqât.
Menurut asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj bahawa maksud berdosa di atas ialah apabila seorang yang mukallaf berniat ihrâm umrah tanpa ada niat untuk keluar ke tanah halal sedangkan dia mengetahui akan wajibnya dan perkara itu dilakukan dengan sengaja serta atas kemahuannya sendiri (tanpa dipaksa).
Walau bagaimanapun, jika dia keluar ke tanah halal selepas dia berniat ihrâm sebelum melakukan thawaf maka gugur dam ke atasnya. Imam Ibn Hajar Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Kalau dia keluar ke tanah halal selepas ihrâmnya dan sebelum memulakan thawafnya (iaitu sebelum melewati al-Hajar al-Aswad) maka gugur dam iaitu tidak wajib menurut (pendapat) al-madzhab sebagaimana yang telah lalu bagi sesiapa yang melewati mîqât dan dia kembali kepadanya.
Adapun tempat tanah halal yang afdhal bagi orang yang berihrâm umrah ialah Ji‘ranah berdasarkan dalil bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri telah berihrâm umrah di Ji‘ranah, kemudian Tan‘im kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ mengerjakan umrah dari Tan‘im dan kemudian Hudaibiyah kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertujuan ingin masuk umrah dari Hudaibiyah.
Dari penjelasan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa hukum mengerjakan umrah adalah wajib sekali dalam seumur hidup. Mengerjakan umrah berulang kali adalah harus walaupun ia dikerjakan dalam hari yang sama bahkan sunat memperbanyakkannya.
Setiap kali mengerjakan umrah hendaklah melaksanakan semua rukun dan wajib umrah termasuk berniat ihrâm di mîqât. Berniat ihrâm di mîqât adalah perkara wajib umrah yang wajib dilakukan dan jika ditinggalkan, umrahnya tetap sah tetapi diwajibkan ke atasnya membayar dam.
Oleh yang demikian, bagi orang yang sedang berada di Makkah atau di tanah haram, wajib keluar ke tanah halal seperti Tan‘im atau lainnya untuk mengerjakan umrahnya kali kedua atau umrah seterusnya. Jika dia mengerjakan perbuatan-perbuatan umrah dengan tidak keluar ke tanah halal dan berniat ihrâm di tanah haram, maka umrahnya sah dan wajib ke atasnya membayar dam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13103
