Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Pembatalan Dan Penarikan Balik Hibah

Soalan: Dipohonkan fatwa mengenai dengan hibah atau pemberian yang hendak ditarik balik dan dibatalkan berdasarkan perkara-perkara berikut: 1. Tanah masih atas nama asal pemilik dan belum lagi berpindah tangan (pemindahan belum berlaku). 2. Pemindahan hibah tersebut tidak dilaksanakan dengan segera. 3. Tidak ada kesempurnaan ‘aqad (îjâb dan qabûl). 4. Timbulnya bantahan dan tidak dipersetujui oleh anak-anak pemberi kerana pemberian tersebut tanpa pengetahuan mereka terlebih dahulu. 5. Pemberi tidak merelakan dan tidak mengizinkan hibah tersebut berdasarkan ianya telah menimbulkan pertelingkahan dan perpecahan keluarga.

Jawapan: Menurut pengarang kitab Fath al-Mu‘în, hibah ialah:

Ertinya: Pemberian milik terhadap sesuatu benda yang sah dijual beli pada kebiasaannya atau (pemberian milik) hutang oleh ahli tabarru‘ (orang yang diharuskan membelanjakan hartanya menurut syara‘) tanpa sebarang tukaran. Manakala dalam kitab Fath al-‘Allâm menyebut, hibah ialah:

Ertinya: ‘Aqad yang membawa kepada pemberian milik terhadap sesuatu benda tanpa tukaran semasa hayat secara sukarela.

Hibah merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Namun pengertian bagi hibah adalah umum manakala hadiah dan sedekah adalah lebih khusus. Manakala dari aspek tujuan dan maksud pemberian pula, ketiga-tiganya adalah berbeza antara satu sama lain.

Jika pemindahan milik dan pemberian itu bermaksud sebagai suatu penghormatan atau memuliakan orang yang diberi dan pemberian tersebut adalah sesuatu yang boleh dipindah dan dibawa ke tempat orang yang diberi, maka ia dinamakan hadiah. Manakala jika pemberian itu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan mengharap balasan pahala, maka ia dinamakan sebagai sedekah.

Adapun perbezaan antara hadiah dan hibah, hadiah adalah khusus bagi sesuatu pemberian yang boleh dipindah atau dibawa. Oleh itu, sesuatu pemberian yang tidak boleh dipindah atau dibawa seperti sebidang tanah atau rumah tidak dinamakan sebagai hadiah. Manakala hibah pula mempunyai makna yang mutlak sama ada sesuatu pemberian itu boleh dipindah atau sebaliknya. Secara kesimpulannya, setiap hadiah dan sedekah adalah hibah tetapi tidak semua hibah adalah hadiah dan sedekah.

Pelaksanaan Hibah

Shîghah iaitu îjâb dan qabûl merupakan salah satu rukun dalam pelaksanaan hibah yang mesti dipenuhi bagi memastikan pemberian yang berupa hibah itu sah menurut syara‘ di samping rukun-rukun hibah yang lain iaitu orang yang memberi hibah, orang yang menerima hibah dan harta yang dihibahkan.

Îjâb dan qabûl berkaitan hibah hendaklah dilaksanakan secara berlafaz bagi orang yang boleh bercakap atau dengan isyarat bagi orang yang bisu. Contoh îjâb yang dilakukan secara berlafaz oleh orang yang memberi hibah: “Saya hibahkan barang ini kepadamu” atau “saya milikkannya kepadamu”. Manakala contoh lafaz qabûl: “Saya menerima” atau “saya redha”.

Jika shîghah (îjâb dan qabûl) dilakukan secara bertulis ia hendaklah disertai dengan niat.

Hibah masih dianggap belum terlaksana secara sempurna hanya dengan memenuhi rukun shîghah, ‘aqad îjâb dan qabûl daripada kedua-dua belah pihak semata-mata, bahkan hendaklah juga berlaku kedua-dua perkara berikut:

1. Berlaku qabdh (penerimaan barang hibah) oleh penerima hibah. Apabila berlaku qabdh, maka penerima telah memilikinya dan dia boleh melakukan apa jua transaksi terhadap barang tersebut.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan tidak dimiliki barang yang dihibahkan (oleh penerima hibah) melainkan dengan qabdh (penerimaan) serta dengan izin pemberi hibah.

Perkara ini adalah berdasarkan hadits daripada Ummu Kultsum binti Abu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata bahawa ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berkahwin dengan Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, Baginda bersabda kepada beliau:

Maksudnya: Sesungguhnya aku telah menghadiahkan kepada an-Najasyi beberapa uqiyyah daripada misk (kesturi) dan pakaian. Dan sesungguhnya aku tidak melihat (merasakan) melainkan dia telah meninggal dunia, dan aku tidak melihat (merasakan) hadiah yang telah aku hadiahkan kepadanya itu melainkan ia akan dipulangkan. Maka apabila (hadiah tersebut) dipulangkan kepadaku, maka ia (hadiah tersebut) adalah untukmu atau untuk kamu (isteri-isteri Baginda). (Hadits riwayat al-Hakim)

2. Ada keizinan daripada orang yang memberi atau wakilnya kepada penerima untuk menerima harta hibah. Harta hibah belum sah menjadi hak milik penerima tanpa ada keizinan sekalipun qabdh telah berlaku.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Al-qabdh (penerimaan) yang menghasilkan pemilikan adalah yang berlaku dengan izin pemberi hibah. Maka jika dia (penerima) menerima (hibah) tanpa izinnya (pemberi hibah), dia (penerima) itu belum lagi memilikinya, dan (hibah) itu masuk dalam jaminannya, sama ada dia menerima dalam majlis ‘aqad atau selepasnya.

Begitu juga sebaliknya, hibah belum sah menjadi hak milik penerima jika belum berlaku qabdh walaupun telah mendapat keizinan daripada pemberi untuk menerimanya. Jika penerimaan hibah belum berlaku, maka pemberi hibah atau wakilnya masih lagi berhak ke atas harta hibah tersebut dan dia boleh menarik balik keizinan tersebut selagi mana penerima hibah belum menerimanya.

Ini bererti qabdh bagi apa jua hibah adalah menjadi syarat dalam menetapkan bahawa sesuatu yang dihibahkan itu telah menjadi hak milik penerima dan qabdh tersebut pula mestilah dengan keizinan pemberi hibah.

Cara Qabdh Dalam Hibah

Qabdh dalam hibah adalah sama seperti qabdh dalam perkara jual beli. Cara qabdh bagi setiap harta yang dihibahkan adalah berbeza mengikut bentuk atau sifatnya sama ada ia berupa harta tak alih ataupun harta alih.

1. Harta tak alih.

Harta tak alih ialah harta yang tidak dapat dipindah dalam bentuk sebagaimana asalnya ketika berlaku hibah seperti tanah, rumah dan seumpamanya.

Qabdh harta hibah tak alih boleh terjadi dengan cara at-takhliyah iaitu pemberi melepaskan pemilikan harta hibah kepada penerima yang dengannya membolehkan penerima melakukan tasharruf (tindakan pengurusan dan transaksi) terhadap harta hibah yang diterima.

Cara at-takhliyah tersebut adalah sama ada dengan lafaz, tulisan atau isyarat yang menunjukkan maksud melepaskan harta daripada pemberi jika dia mempunyai hak untuk menahan harta hibah tersebut. Contoh lafaz: “Aku lepaskan rumah ini kepada tuan”.

Manakala cara bagi membolehkan penerima untuk melakukan tasharruf terhadap harta hibah yang diberi adalah seperti dengan menyerahkan kunci kepadanya jika ada dan jika hibah tersebut berupa sesuatu yang berkunci seperti rumah. Begitu juga dengan memastikan tidak ada sesuatu yang boleh menghalang penerima hibah daripada melakukan tasharruf iaitu dengan mengasingkan harta hibah yang bercampur dengan harta lain, seperti harta pemberi yang tidak dihibahkan, harta yang dipinjam, harta yang disewa dan harta yang diwasiatkan.

2. Harta alih.

Penerimaan bagi harta alih seperti kenderaan, binatang, pakaian atau apa jua yang boleh dipindah boleh berlaku dengan cara berikut:

i. Harta hibah yang pada kebiasaannya diserah atau diambil dengan tangan seperti wang, pakaian, barang-barang kemas dan yang seumpamanya, maka qabdh memadai dilakukan dengan menyerahkan harta hibah ke tangan penerima atau meletakkannya di hadapan penerima atau pada tempat yang sekira-kira boleh dicapai olehnya, sama ada diletakkan di sebelah kirinya, kanannya atau belakangnya tanpa perlu penerima memindahnya dari tempat pemberi kemudian meletakkannya ke tempat lain.

ii. Harta hibah yang berat seperti kapal laut, maka cara qabdh adalah dengan memindahkannya dari tempat asalnya ke tempat lain dan meletakkannya ke tempat tersebut dengan mengasingkan harta hibah dengan harta-harta yang lain berdasarkan ‘urf (adat kebiasaan) jika barang hibah tersebut bercampur dengan barang-barang lain yang tidak dihibahkan. Pemindahan tersebut sama ada dilakukannya sendiri ataupun dengan bantuan orang lain atau dengan menggunakan peralatan.

Pelaksanaan qabdh itu bukan hanya terhad pada satu cara tertentu sahaja, namun ia juga boleh mengikut ‘urf sesebuah tempat. Ini bererti, jika ‘urf sesuatu tempat atau masyarakat itu menyatakan bahawa sesuatu perbuatan itu merupakan qabdh, maka itulah yang dinamakan qabdh dan perkara tersebut adalah bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir:

Ertinya: Sesuatu ‘adat (kebiasaan) dapat ditetapkan sebagai hukum.

Hibah Bapa Kepada Anak Seorang bapa, ibu, datuk hendaklah berlaku adil dalam memberi suatu pemberian kepada anak-anak dan cucu-cicit. Sunat memberi hibah kepada mereka sama rata tanpa membandingkan dan mengutamakan di antara satu dengan yang lainnya sama ada lelaki mahupun perempuan sebagaimana disebut dalam hadits daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:

Maksudnya: Ayahku telah bersedekah kepadaku dengan sebahagian hartanya, maka berkata ibuku ‘Amrah binti Rawahah: “Aku tidak redha sehingga engkau mengesahkannya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam”. Maka ayahku pergi kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam untuk mendapat pengesahannya terhadap sedekahku. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadanya (ayahku): “Adakah engkau lakukan begini (memberi sedekah) kepada kesemua anakmu?” Dia (ayahku) berkata: “Tidak”. Baginda bersabda: “Takutlah kamu kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anak kamu”. Lalu ayahku pulang dan menarik balik sedekah itu. (Hadits riwayat Muslim)

Mengutamakan salah seorang daripada anak-anak dalam pemberian sama ada hibah, hadiah, sedekah, waqaf atau derma yang lainnya adalah makruh kerana ia boleh mengakibatkan timbulnya perasaan hasad dengki dan sifat menderhaka dalam diri si penerima. Hukum makruh itu pula adalah apabila keadaan atau hajat anak-anak kepada pemberian tersebut adalah sama. Iaitu mereka sama-sama berhajat pada pemberian tersebut ataupun mereka sama-sama tidak memerlukannya.

Akan tetapi, jika salah seorang daripada mereka lebih berhajat kepada pemberian tersebut, maka tidak makruh memberi keutamaan kepada anak yang lebih berhajat kepada hibah tersebut. Demikian juga halnya tidak makruh memberi keutamaan kepada anak yang mempunyai kelebihan daripada yang lain seperti salah seorangnya lebih berilmu dan wara‘, atau tidak menderhaka, atau tidak fâsiq, sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat Radhiallâhu ‘anhum dalam mengutamakan sebahagian anak mereka. Manakala memberi hibah kepada anak yang fâsiq adalah haram jika diketahui bahawa hibah tersebut akan dibelanjakannya kepada perkara maksiat.

Menarik Balik Hibah

Menarik balik hibah tidak boleh dilakukan jika hibah tersebut telah diterima (qabdh) oleh penerima yang diizinkan oleh pemberi untuk menerimanya. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh adalah haram menarik balik hibah setelah diterima oleh penerima sekiranya penerima adalah orang ajnabiy (selain anak dan cucu-cicitnya). Begitu juga tidak boleh menarik balik hibah jika penerima hibah dari kalangan adik-beradik, bapa saudara dari kalangan dzawil-arhâm. Adapun hibah kepada anak-anak atau cucu-cicitnya, maka harus mengambil balik pemberian.

Larangan menarik balik hibah adalah berdasarkan zahir hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menyifatkan orang yang menarik balik hibahnya umpama seekor anjing yang memakan semula muntahnya. Daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Orang yang menarik balik hibahnya umpama (seekor anjing) yang kembali makan muntahnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Perumpamaan orang yang menarik balik sedekahnya adalah seperti seekor anjing yang muntah kemudian ia kembali semula kepada muntahnya lalu memakannya. (Hadits riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, menarik balik hibah adalah diharuskan dalam keadaan tertentu seperti berikut:

1. Hibah yang belum qabdh setelah diberi keizinan.

Pemberi hibah harus menarik balik hibahnya selama mana penerima hibah belum qabdh sekalipun pemberi hibah telah memberinya keizinan untuk qabdh kerana hibah tersebut masih dimiliki oleh pemberi dan orang yang diberi hibah belum memilikinya selagi qabdh belum berlaku.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan jika (pemberi hibah) telah mengizinkan pada qabdh (penerimaan hibah), kemudian dia menarik balik (keizinan) darinya sebelum (berlaku) qabdh, sah penarikannya itu, maka tidak sah qabdh selepasnya (selepas pemberi menarik balik keizinan).

2. Hibah yang diberikan kepada furû‘.

Seorang bapa, ibu atau datuk harus menarik balik suatu hibah yang diberikan kepada furû‘ (anak atau cucu-cicitnya) sekalipun sudah berlaku qabdh sama ada anak itu kaya atau miskin, masih kanak-kanak atau dewasa, berbeza agama atau tidak. Perkara ini disebut dalam hadits daripada Ibn ‘Umar dan Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhum, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak harus bagi seseorang yang memberi suatu pemberian kemudian menariknya balik melainkan seorang bapa (menarik balik) pada apa yang dia beri kepada anaknya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Keharusan bapa menarik balik pemberian tersebut adalah apabila terdapat keperluan atau mashlahat padanya. Umpamanya jika bapa mengetahui bahawa anaknya derhaka atau pemberiannya itu digunakan untuk melakukan perkara maksiat, maka dalam hal ini, bapa harus menarik balik pemberian tersebut jika si anak tetap berkeras untuk melakukannya walaupun telah diberi peringatan mengenai penarikan tersebut. Akan tetapi jika bapa menarik balik tanpa sebarang mashlahat, maka hukumnya adalah makruh.

Walau bagaimanapun, keharusan bapa menarik balik suatu hibah adalah tertakluk kepada tiga syarat berikut:

i. Hendaklah penerima hibah itu seorang yang merdeka (bukan hamba).

Bapa tidak boleh menarik balik suatu hibah yang diberikannya kepada anaknya jika anaknya itu seorang hamba kerana pemberian suatu hibah kepada seorang hamba itu adalah pemberian kepada tuannya (tuan anaknya).

ii. Hendaklah suatu hibah yang hendak ditarik balik itu masih kekal di bawah kuasa penerima.

Hibah tidak boleh ditarik balik oleh bapa jika anak itu tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya seperti anak itu gila atau jatuh muflis dan dia ditegah daripada mengurus hartanya.

Demikian juga, jika anak itu mewaqafkan, menjual atau memberi hibah tersebut kepada orang lain, maka bapa tidak boleh menarik balik pemberiannya itu kerana kuasa anak itu untuk bertindak ke atas barang hibah tersebut telah hilang. Adapun jika hibah yang dijual atau diberi kepada orang lain itu kembali semula kepada anak itu seperti melalui perwarisan atau pembelian, bapa tetap tidak berhak menariknya balik sekalipun hibah tersebut kembali semula di bawah kuasa anak tersebut.

iii. Hendaklah suatu hibah itu bukan berupa hutang.

Sekiranya anak berhutang sesuatu kepada bapanya, kemudian bapa melepaskan hutang anaknya itu sebagai hibah, maka bapa tidak boleh lagi menarik balik hibah yang diberikannya itu.

Merujuk kepada perkara menarik balik pemberian tanah sepertimana yang ditanyakan, ia adalah tertakluk kepada pelaksanaan hibah sama ada sah ataupun tidak sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Apabila diperhatikan kepada alasan yang dinyatakan penyoal mengenai sebab mengapa hibah berkenaan ditarik balik, dapat disimpulkan bahawa hibah berkenaan masih belum sempurna dilaksanakan. Hal ini kerana berdasarkan ‘urf, qabdh bagi harta tak alih yang berupa tanah adalah dengan cara takhliyah dan disertai dengan penyerahan dokumen rasmi dan geran tanah kepada penerima dengan meletakkan nama penerima sebagai pemilik baru tanah tersebut. Dalam hal ini pemilik bagi tanah tersebut masih lagi atas nama pemberi dan ini menunjukkan bahawa qabdh belum berlaku. Bahkan dengan tiadanya kerelaan dan keizinan daripada pemberi sebelum berlaku qabdh juga menafikan akan kesempurnaan pelaksanaan hibah tersebut.

Oleh yang demikian, penarikan balik hibah dalam perkara di atas adalah harus menurut syara‘. Apatah lagi jika penerima hibah tersebut dari kalangan furû‘ pemberi.

Adapun alasan adanya bantahan dan tiada persetujuan daripada pihak anak-anak si pemberi untuk memberi tanah tersebut bukanlah perkara yang mengharuskan pemberi untuk menarik balik hibah. Pemilik hibah berhak memberi apa jua harta yang dimilikinya yang menurut pandangan syara‘ ia harus diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya sekalipun terdapat bantahan dan tiada persetujuan daripada pihak keluarga.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13107