Permainan Claw Machine
Soalan: Apakah hukum bermain permainan claw machine atau yang seumpama dengannya seperti yang disediakan di pusat-pusat membeli-belah?
Jawapan: Claw machine ialah sejenis permainan arked berupa sebuah kabinet kaca menegak yang mempunyai cakar besi (alat pencengkam) terletak di bahagian atas sebelah dalam kabinet tersebut. Kegunaan alat pencengkam ialah untuk mengambil barangan atau hadiah yang disediakan dalam mesin tersebut.
Untuk menyertai permainan claw machine, pemain dikehendaki membeli token mengikut nilai yang ditetapkan, contohnya harga 1 token bernilai $1.00. Cara permainannya ialah dengan memasukkan token terlebih dahulu, kemudian ‘pencakar besi’ akan mula bergerak ke bawah dan ia dikawal oleh pemain sendiri dengan menggunakan joystick yang terdapat di luar kabinet untuk menangkap barang yang terdapat di dalam kabinet tersebut. Jika pemain berjaya menangkap barang tersebut dengan cakar besi itu, dia akan memilikinya sebagai hadiah kemenangannya dan jika pemain gagal, maka dia tidak mendapat apa-apa hadiah yang dipertaruhkan itu. Bahkan dia akan mendapat kerugian wang daripada pembelian token yang dimasukkan sebagai syarat untuk bermain.
Berdasarkan cara permainan mesin ini, ia adalah permainan yang mempunyai unsur-unsur seperti berikut:
1. Pemain disyaratkan untuk membayar sejumlah wang sebagai taruhan bagi mendapatkan hadiah.
2. Permainan ini lebih banyak bergantung kepada nasib sama ada akan dapat hadiah atau tidak.
3. Permainan ini mempunyai risiko untung atau rugi.
Perkara-perkara di atas merupakan unsur-unsur judi. Dalam bahasa Arab judi disebut al-qimâr atau al-maisir. Menurut al-Jurjani Rahimahullâh dalam kitabnya at-Ta‘rîfât, al-qimâr ialah seseorang mengambil sesuatu satu persatu daripada sahabatnya yang bermain dengannya dalam suatu permainan. Menurut beliau lagi, permainan yang juga dikatakan judi itu ialah setiap permainan yang pada kebiasaannya disyaratkan dalam permainan tersebut pihak yang menang akan mengambil sesuatu sebagai habuan daripada pihak yang kalah.
Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâh dalam kitab tafsirnya Mafâtih al-Ghaib, al-maisir ialah setiap sesuatu (permainan) yang padanya ada pertaruhan maka ia adalah daripada judi.
Imam al-Mahalli Rahimahullâh dalam kitabnya Kanz ar-Râghibîn pula menjelaskan bahawa antara bentuk atau ciri perjudian yang diharamkan ialah setiap pihak dalam suatu permainan ragu-ragu atau tidak pasti antara sama ada dia akan mendapat habuan atau dia akan menanggung kerugian. Menurut beliau lagi permainan yang mensyaratkan suatu harta sebagai taruhan untuk diambil oleh pihak yang menang adalah judi, katanya:
Ertinya: Jika disyaratkan dalamnya (suatu permainan) ada harta (yang dipertaruhkan) daripada kedua-dua belah pihak (yang bertanding) iaitu bahawa sesiapa yang menang daripada kedua-dua belah pihak, (harta pihak lain yang dipertaruhkan) akan menjadi miliknya (orang yang menang), maka itulah judi yang diharamkan.
Daripada keterangan para ulama di atas, difahami bahawa suatu permainan yang dikategorikan sebagai judi atau mempunyai unsur judi ialah apabila terdapat pertaruhan harta sama ada dalam bentuk wang ringgit atau selainnya daripada pihak yang ikut serta dan ia bersandarkan kepada nasib sama ada akan mendapat habuan daripada pertaruhan harta itu atau sebaliknya kerugian wang atau harta yang dipertaruhkan.
Islam mengharamkan judi dan segala bentuk perkara yang berunsurkan perjudian sama ada melalui permainan, hiburan dan sebagainya. Pengharaman judi jelas disebut dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). (Surah al-Mâ’idah: 90)
Dalam ayat di atas, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan supaya tidak mendekati arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah kerana semua perkara yang disebutkan itu adalah merupakan perbuatan syaitan yang wajib dijauhi oleh orang-orang yang beriman.
Berdasarkan penjelasan di atas, permainan claw machine adalah permainan yang berunsur judi. Judi boleh saja berlaku dalam permainan pada masa kini seperti permainan claw machine dan permainan-permainan lain seperti permainan balloon popper atau pop the balloon, basketball atau basketball machine, macaron claw, wiffle plastic egg toss, wiffle ball toss, can smash, knock em down, ring toss, ball pits corner, string obstacle, tic tac toe, shooting gallery, fishing time kerana semua permainan ini mempunyai unsur-unsur judi yang disebutkan di atas.
Oleh yang demikian, umat Islam adalah haram melibatkan diri dalam permainan-permainan tersebut sama ada sebagai pemain, penyedia permainan, pengiklan dan lain-lain mengenainya kerana ia merupakan suatu dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13111
