Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Pertukaran Buku Catatan Amalan Pada Malam Nishfu Sya‘ban

Soalan: Terdapat banyak post menyatakan bahawa malam nishfu Sya‘ban adalah malam bertukarnya buku catatan amalan, namun terdapat juga post yang menyatakan bahawa ia adalah hadits palsu. Dipohonkan pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan: Apabila masuk bulan Sya‘ban, biasanya akan tular pelbagai maklumat di media sosial tentang keistimewaan atau kelebihan bulan Sya‘ban, khususnya malam nishfu Sya‘ban. Pelbagai penerangan serta anjuran untuk melakukan ibadat dikongsi dengan tujuan agar sama-sama beroleh kelebihan dan ganjaran yang dikaitkan dengan waktu tersebut. Antara maklumat yang masyhur dikongsikan kepada orang ramai ialah tentang bertukarnya buku catatan amalan lama dan diganti dengan buku catatan amalan baru yang berlaku pada malam nishfu Sya‘ban dengan menyatakan perkara ini disandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Kelebihan tentang bulan Sya‘ban secara amnya dan malam nishfu Sya‘ban secara khasnya ada disebut dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Bulan Sya‘ban dan malam nishfu Sya‘ban mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam sehingga kedatangannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang ingin melakukan ibadat di dalamnya supaya tidak terlepas daripada mendapat kelebihan-kelebihan tersebut.

Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Diriwayatkan bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lebih banyak berpuasa pada bulan ini berbanding bulan-bulan lain. Antaranya hadits daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak berbuka, dan Baginda berbuka sehingga kami mengatakan Baginda tidak berpuasa. Saya tidak melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyempurnakan puasa satu bulan kecuali bulan Ramadhan dan saya tidak melihat Baginda lebih banyak berpuasa daripadanya (bulan-bulan selain bulan Ramadhan) pada bulan Sya‘ban. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Adapun rahsia Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memperbanyak berpuasa pada bulan Sya‘ban ini adalah disebabkan beberapa perkara, antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Wahai Rasulullah! Aku tidak melihat engkau (banyak) berpuasa (sunat) pada satu bulan daripada bulan-bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya‘ban. Baginda bersabda: “Ia (bulan Sya‘ban) merupakan bulan yang manusia lalai mengenainya di antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan dan ia adalah bulan di dalamnya diangkat amalan-amalan manusia kepada Allah, Tuhan sekalian alam, maka aku suka supaya diangkat amalanku sedang aku dalam keadaan berpuasa.” (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Malam nishfu Sya‘ban ialah malam yang kelima belas di bulan Sya‘ban. Ia adalah malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Kelebihannya ada disebut dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya daripada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Allah memerhati kepada makhlukNya pada malam nishfu Sya‘ban, maka (Allah) mengampunkan (dosa) sekalian makhlukNya kecuali orang musyrik (menyekutukan Allah) atau orang yang bermusuhan. (Hadits riwayat Ibn Hibban)

Menurut Syu‘aib al-Arna‘uth Rahimahullâh, salah seorang ulama hadits yang melakukan tahqîq, takhrîj dan ta‘lîq terhadap kitab Shahîh Ibn Hibban, pada sanad hadits ini terdapat inqithâ‘ (terputus pada jalur periwayatannya), namun hadits ini dihukumkan shahîh dengan adanya hadits-hadits syawâhid yang mempunyai maksud yang sama, turut diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat Radhiallâhu ‘anhum yang lain selain daripada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu dengan jalan sanad yang berbeza. Antaranya hadits daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerhati pada malam nishfu Sya‘ban, maka (Allah) mengampunkan bagi semua makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah dan orang yang bermusuhan. (Hadits riwayat Ibn Majah)

Selain itu terdapat juga hadits-hadits yang seumpamanya dengan jalur sanad berbeza yang dikeluarkan oleh Imam at-Tirmidzi, Ahmad, al-Bazzar, ath-Thabarani, al-Baihaqi Rahimahumullâh dan selainnya. Menurut Syu‘aib al-Arna‘uth Rahimahullâh lagi, sungguhpun hadits-hadits syawâhid ini tidak lepas daripada kritikan namun ia menguatkan hadits bab yang disebut di atas.

Manakala dalam penerangan hadits bab mengenai malam nishfu Sya‘ban dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi juga ada menerangkan mengenai kedudukan hadits-hadits di atas. Ada antaranya dikatakan munqathi‘, mursal, dha‘îf dan ada yang dikatakan matrûk, layyin dan dha‘îf pada sanadnya. Namun secara keseluruhannya kesemua hadits ini menunjukkan bahawa hadits mengenai fadhilat malam nishfu Sya‘ban itu mempunyai asal dan boleh menjadi hujjah.

Sungguhpun pada hadits-hadits ini, termasuk hadits riwayat Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu di atas, ada kritikan para ulama kerana sebab-sebab tertentu, tetapi periwayatannya yang banyak daripada para sahabat Radhiallâhu ‘anhum dengan thuruq (jalan) yang berbeza menunjukkan bahawa hadits-hadits tersebut mempunyai asal dan saling menguatkan antara satu sama lain.

Menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh dalam kitabnya al-Umm, malam nishfu Sya‘ban adalah antara malam-malam yang dimakbulkan do‘a. Beliau berkata:

Ertinya: Dan telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: “Sesungguhnya do‘a dimustajâbkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adhha, malam ‘Idulfithri malam pertama bulan Rejab dan malam nishfu Sya‘ban.

Pertukaran Buku Catatan Amalan pada Malam Nishfu Sya‘ban

Setakat pembacaan dan penelitian terhadap hadits-hadits yang menyebut tentang kelebihan bulan Sya‘ban dan malam nishfu Sya‘ban, tidak dijumpai hadits yang menyebut tentang buku catatan amalan manusia itu ditukar atau ditutup pada malam nishfu Sya‘ban. Apa yang didapati ialah hanya hadits-hadits tentang amalan manusia diangkat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pada bulan Sya‘ban tanpa menentukan hari atau waktu yang khusus. Maka disebabkan ini, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam banyak berpuasa pada bulan Sya‘ban kerana Baginda amat suka apabila amalan Baginda diangkat ketika Baginda sedang berpuasa. Manakala hadits-hadits yang menyebut tentang kelebihan atau keistimewaan malam nishfu Sya‘ban, hanya menyebut tentang pengampunan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap dosa-dosa hambaNya.

Adapun tentang buku catatan amalan ditukar atau ditutup dan diganti dengan yang baru sebagaimana yang tular di kalangan orang ramai itu tidak mempunyai sandaran, kerana tidak ada disebut dalam nash-nash syara‘ seperti hadits dan seumpamanya.

Kemungkinan fahaman sedemikian berlaku disebabkan kesilapan atau kekeliruan dalam memahami maksud hadits yang menyebut tentang amalan diangkat pada bulan Sya‘ban. Untuk memahami maksud suatu hadits itu hendaklah merujuk kepada penerangan para ulama mu‘tabar supaya tidak tersalah faham dan terhindar daripada menyebarkan maklumat yang tidak tepat. Lebih-lebih lagi jika ia disandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam walhal ia bukan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Kita hendaklah berhati-hati kerana dikhuatiri akan berlaku pendustaan terhadap Baginda dan ini merupakan kesalahan yang amat berat di sisi syara‘.

Dalam perkara ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan jelas telah melarang umatnya daripada melakukan pendustaan terhadap Baginda sebagaimana disebut dalam hadits daripada al-Mughirah Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya pendustaan ke atasku bukanlah seperti pendustaan ke atas orang lain, sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja, maka dia menempah tempatnya di neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13115