Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Qadha’ Dan Fidyah Bagi Perempuan Hamil Yang Tidak Berpuasa

Soalan: Pada bulan Ramadhan tahun 2021 saya telah hamil 6 bulan. Pada ketika itu saya mencuba untuk berpuasa namun saya mengalami pening yang kuat dan muntah. Saya juga khuatir akan kesihatan anak dan diri saya. Adakah saya wajib mengqadha’ puasa dan membayar fidyah?

Jawapan: Setiap orang Islam yang mukallaf wajib menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran seperti sakit, dia diharuskan berbuka atau tidak diwajibkan berpuasa. Namun, dia wajib mengqadha’ puasanya mengikut jumlah hari-hari puasa yang ditinggalkan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)

Selain orang sakit, perempuan hamil juga termasuk dalam golongan orang-orang yang mempunyai keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ untuk berbuka puasa. Walau bagaimanapun, jika perempuan hamil itu sihat dan berkemampuan untuk berpuasa tanpa mendatangkan mudharat atau bahaya ke atas dirinya atau anak dalam kandungannya, maka dia tetap wajib melaksanakan ibadat puasa tersebut.

Berbuka Puasa Bagi Perempuan Hamil Perempuan hamil adalah antara golongan yang diberikan rukhshah (keringanan) untuk berbuka puasa. Dia diharuskan untuk tidak berpuasa bahkan wajib dia berbuka jika dia takut dirinya binasa disebabkan oleh berpuasa, sekalipun dia sihat, sama ada binasa itu berlaku pada dirinya atau pada suatu anggotanya atau pada manfaat suatu anggotanya kerana menyebabkan kemudharatan kepada diri sendiri hukumnya adalah haram.

Selain takut binasa pada dirinya sendiri, takut terjadi kebinasaan pada orang lain juga boleh menyebabkan wajib berbuka puasa. Sebagai contoh orang yang berpuasa melihat orang yang lemas dan dia tidak mungkin dapat menyelamatkan orang tersebut melainkan dengan berbuka puasa, maka dalam keadaan ini, dia wajib menyelamatkan orang yang lemas itu dan wajib baginya berbuka puasa.

Begitu juga anak dalam kandungan, jika perempuan hamil itu berpuasa boleh menyebabkan kebinasaan pada anak dalam kandungannya, maka hukum berbuka puasa baginya adalah wajib. Sebagai contoh, perempuan hamil yang takut apabila dia berpuasa, janin dalam kandungannya akan gugur.

Menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah, jika perempuan hamil berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada dirinya sahaja, maka dia wajib mengqadha’ sejumlah puasa yang ditinggalkannya tanpa membayar fidyah.

Begitu juga jika perempuan hamil itu berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat ke atas dirinya dan anak dalam kandungannya, maka dia wajib mengqadha’ puasanya sahaja tanpa membayar fidyah.

Manakala jika perempuan hamil itu berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada anak dalam kandungannya sahaja, umpamanya jika dia berpuasa, anak dalam kandungannya akan gugur, maka dia wajib mengqadha’ puasa dan dikenakan fidyah.

Mengqadha’ Puasa Bagi Orang yang Berbuka Disebabkan Keuzuran

Orang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran seperti perempuan hamil atau disebabkan sakit tidak wajib mengqadha’ puasanya itu dengan segera. Walau bagaimanapun mengqadha’nya dengan segera adalah lebih baik dan hukumnya adalah sunat (mustahabb).

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ berkata:

Ertinya: Apabila wajib ke atasnya mengqadha’ (puasa) Ramadhan atau sebahagiannya, maka jika luputnya (puasa) itu dengan (sebab) keuzuran (syar‘i) seperti haidh, nifâs, sakit, pengsan, dalam pelayaran dan sesiapa yang lupa berniat (puasa) atau makan dalam keadaan dia meyakini bahawa waktu (pada ketika itu) adalah malam (belum terbit fajar) lalu ternyata waktu (itu) adalah siang atau perempuan yang menyusukan (anak kecil) dan perempuan hamil, maka qadha’nya itu (dilakukan) secara tarâkhî (bertangguh) tanpa ada khilâf selagi tidak sampai (masuk) bulan Ramadhan yang akan datang. Akan tetapi dia disunatkan menyegerakannya.

Selain itu, dia juga tidak diwajibkan mengqadha’ puasanya dengan berturut-turut, bahkan sunat sahaja. Oleh itu, adalah harus mengqadha’ puasa dengan berselang-seli harinya.

Namun perlu juga diingat, orang yang diharuskan mengqadha’ puasa secara tarâkhî itu hendaklah mengqadha’nya sebelum datang bulan Ramadhan yang baharu dalam makna masih berbaki hari-hari sebelum masuk bulan Ramadhan yang baharu yang melebihi bilangan hari puasa yang wajib diqadha’nya. Melengahkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga datang bulan Ramadhan yang baharu adalah berdosa melainkan jika ada keuzuran seperti sakit yang berterusan. Asy-Syaikh Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh dalam kitabnya Asnâ al- Mathâlib fi Syarh Raudh ath-Thâlib berkata:

Ertinya: Adapun apabila mengakhirkannya (qadha’ puasa) dengan (sebab) keuzuran seperti berterusan dalam pelayaran, sakit atau perempuan yang hamil atau menyusukan hingga sampai Ramadhan berikutnya, maka tidak mengapa ke atasnya dengan mengakhirkan (qadha’ Ramadhan) kerana menangguhkan (kewajiban) yang tunai dengan (sebab) keuzuran adalah harus (hukumnya), maka mengakhirkan qadha’ dengannya (keuzuran) adalah lebih utama (hukumnya harus).

Manakala dari segi waktu mengqadha’ puasa pula adalah harus dilakukan pada sepanjang tahun melainkan pada bulan Ramadhan yang berikutnya, Hari Raya Fithrah, Hari Raya Adhha dan hari-hari tasyrîq. Perkara ini ada disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘:

Ertinya: Harus mengqadha’ (puasa) Ramadhan menurut pendapat kita (mazhab asy-Syafi‘i) pada sepanjang tahun selain pada bulan Ramadhan yang berikutnya, hari-hari raya dan hari-hari tasyrîq dan tidak makruh pada sesuatu pun daripada (waktu-waktu) yang demikian itu.

Merujuk kepada pertanyaan Dayang, dapat difahami bahawa keadaan Dayang yang hamil pada tahun 2021 telah membatasi diri Dayang untuk melaksanakan ibadat puasa Ramadhan. Kekhuatiran Dayang akan kesihatan diri Dayang juga adalah jelas terjadi apabila Dayang mengalami pening yang kuat dan muntah ketika mencuba untuk berpuasa. Di samping itu Dayang juga khuatir akan kesihatan anak dalam kandungan. Oleh itu, Dayang hanya wajib mengqadha’ puasa sahaja tanpa membayar fidyah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13119