Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Saham Dan Dividen Yang Tidak Dituntut

Soalan: Dipohonkan fatwa mengenai dengan saham dan dividen yang tidak dituntut oleh ahli saham atau warisnya daripada sebuah syarikat disebabkan perkara-perkara berikut:

1. Ahli saham atau warisnya tidak dapat dikesan untuk dihubungi walaupun berbagai cara dan usaha telah dilakukan.

2. Ahli saham telah meninggal dunia dan ahli waris tidak mahu menuntut kerana bermasalah sesama keluarga.

Jawapan: Menurut Mu‘jam Mushthalahât al-‘Iqtishâd wa al-Mâl wa Idârah al-A‘mâl, saham ialah sijil atau dokumen yang mengesahkan hak milik pemegangnya pada suatu bahagian tertentu dalam syarikat saham bersama (joint stock company) atau dalam keuntungan perniagaan atau dalam aset dan modal perniagaan. Manakala dividen pula ialah keuntungan daripada saham yang diberikan oleh pihak syarikat dengan kadar mengikut bahagian saham yang dimiliki oleh pemegang saham.

Daripada pengertian di atas jelas menunjukkan bahawa saham dan dividen itu adalah harta yang dimiliki oleh pemegang saham. Saham dan dividen tersebut dimiliki oleh pemegang saham melalui ‘uqûd at-tamlîkât (kontrak-kontrak pemindahan hak milik) seperti kontrak jual beli dan hibah.

Pengurusan Harta al-Mafqûd

Menurut Mu‘jam Lughah al-Fuqahâ’, al-mafqûd ialah orang yang tidak diketahui keadaannya sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.

Asy-Syaikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh ada menerangkan dalam kitabnya Hâsyiyah al- Jamal mengenai maksud al-mafqûd ketika menerangkan cara pengurusan harta al-mafqûd. Beliau berkata:

Ertinya: Maka orang hilang yang terputus khabar beritanya dan tidak diketahui keadaannya (sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia) semasa dalam pelayaran atau berada dalam negeri, semasa dalam peperangan atau ketika kapal pecah atau selainnya dan dia mempunyai harta. Dan (termasuk) dalam maknanya (orang hilang) ialah tawanan yang terputus khabar beritanya, jika terdapat bukti tentang kematiannya, dibahagi-bahagikan harta pusakanya.

Dalam kitab al-Mu‘tamad fi al-Fiqh asy-Syafi‘i, Dr. Muhammad az-Zuhaili Hafizhahullâh menjelaskan bahawa al-mafqûd itu ialah seseorang yang hilang dan terputus perkhabarannya, tidak diketahui keadaannya sama ada hidup atau meninggal dunia, dalam pelayaran atau berada dalam negeri, dalam peperangan atau dalam situasi kapal laut yang tenggelam atau dalam situasi kapal terbang yang terhempas dan sebagainya. Jika diketahui bahawa dia masih hidup, maka berjalan ke atasnya hukum yang berkaitan dengan orang yang hidup. Jika diketahui bahawa dia telah meninggal dunia, maka berjalan ke atasnya hukum yang berkaitan dengan kematian.

Dalam perkara kedudukan harta yang dimiliki oleh orang yang hilang pula, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Dan sesiapa yang ditawan atau hilang dan terputus khabar beritanya, dibiarkan (ditahan) hartanya (tanpa dibahagi-bahagikan) sehingga terdapat bukti tentang kematiannya, atau berlalu satu tempoh masa yang membawa sangkaan yang kuat bahawa dia (orang yang ditawan atau hilang itu) tidak akan hidup lebih daripadanya (tempoh masa itu), maka (pada ketika itu) qadhi (hakim) berijtihâd dan menghukumkan kematiannya, kemudian memberi hartanya itu kepada sesiapa yang mewarisinya ketika penghakiman.

Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, berdasarkan hukum asal, orang yang hilang itu tetap dikira masih hidup. Maka harta orang yang hilang tidak boleh diwarisi melainkan diketahui dengan yakin bahawa orang yang hilang itu telah meninggal dunia sama ada wujud bukti yang menunjukkan kematiannya atau berlalu satu tempoh masa yang membawa sangkaan kuat bahawa dia tidak lagi hidup dengan ada ijtihâd qadhi yang menetapkan kematiannya. Adapun tempoh masa tersebut adalah tidak ditentukan kadarnya.

Berdasarkan pendapat para ulama di atas, difahami bahawa jika orang yang hilang yang tidak diketahui keadaannya itu mempunyai harta, maka dia masih memiliki hartanya dan harta tersebut tidak boleh dibahagi-bahagikan sehingga dia terbukti telah meninggal dunia sama ada secara bukti yang zahir atau melalui ijtihâd qadhi. Apabila terdapat bukti yang dia telah meninggal dunia sama ada dengan bukti zahir atau ijtihâd qadhi, maka harta pusakanya akan diuruskan sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn menyebut:

Ertinya: Dimulakan (pembahagian) daripada harta pusaka si mati dengan perbelanjaan penyempurnaan mayatnya, kemudian dilunaskan hutang-piutangnya, kemudian ditunaikan wasiatnya satu pertiga daripada baki (selepas pengurusan mayat dan pembayaran hutang), kemudian baki (dua pertiga harta) dibahagikan di kalangan ahli waris.

Oleh yang demikian, harta yang ditinggalkan oleh si mati akan berpindah pemilikannya kepada ahli-ahli warisnya mengikut hukum farâ’idh setelah ditolak daripada perbelanjaan penyempurnaan mayatnya kemudian pembayaran hutang-piutangnya dan selepas itu diikuti dengan pelaksanaan wasiatnya jika ada.

Harta Pusaka yang Tidak Dituntut oleh Waris

Pembahagian harta pusaka kepada setiap ahli waris yang berhak menurut hukum farâ’idh ada diterangkan dalam al-Qur’an al-Karim sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Allah memerintahkan kamu dalam hal (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu. Bahagian untuk seorang anak laki-laki menyamai bahagian dua anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan sahaja lebih daripada dua orang maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan. Dan jika seorang anak perempuan sahaja maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) daripada harta itu. Dan bagi ibu bapa si mati bahagian tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seperenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati jika si mati mempunyai anak (sama ada laki-laki atau perempuan). Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak (sama ada laki-laki atau perempuan), sedang yang mewarisinya hanya ibu dan bapanya sahaja maka bahagian untuk ibunya ialah sepertiga (dan bakinya adalah untuk bapanya). Maka jika si mati mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik laki-laki atau perempuan) maka bahagian ibunya ialah seperenam (dan bapa pula ialah ‘ashabah). (Pembahagian itu dibuat) setelah dilaksanakan terlebih dahulu wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati atau setelah dibayar segala hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu itu tidaklah kamu ketahui siapakah antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya kepada kamu. Itulah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah an-Nisâ’:11)

Pembahagian harta pusaka berpandukan kepada al-Qu’ran itu juga ada dijelaskan dalam hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di kalangan ahli farâ’idh (waris) berdasarkan Kitab Allah. (Hadits riwayat Muslim)

Jika orang yang meninggal dunia itu mempunyai ahli waris dan ahli warisnya itu boleh dikesan, maka pembahagian harta pusaka itu wajib diserahkan kepada ahli waris tersebut supaya hak mereka dapat ditunaikan dengan segera. Jika ada ahli waris yang menghalang pembahagian harta pusaka kerana tidak bersetuju dengan kadar agihan yang diperolehinya atau lain-lain sebab yang tidak syar‘î, maka perbuatannya itu telah melanggar perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan balasannya sangatlah hina di akhirat kelak sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya dan melanggar batas-batasNya (hukum pembahagian harta pusaka) nescaya (Allah) memasukkannya ke dalam neraka, dia kekal di dalamnya dan baginya azab yang menghinakan. (Surah an-Nisâ’: 14)

Imam Ibn Katsir Rahimahullâh dalam kitabnya Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm ketika menafsirkan ayat di atas, beliau menerangkan bahawa bahagian dan kadar tertentu yang telah ditetapkan Allah Ta‘ala bagi ahli waris adalah mengikut hubungan kekeluargaan yang dekat dengan si mati, keperluan mereka kepadanya dan kehilangan mereka terhadapnya ketika ketiadaannya. Bahagian dan kadar itu adalah ketetapan daripada Allah Ta‘ala, maka janganlah melanggarnya dan melampaui batas. Pembahagiannya hendaklah mengikut apa yang telah ditetapkan, tidak ditambah dan tidak dikurangi. Mengubah dan menentang ketetapan Allah Ta‘ala lahir daripada ketiadaan redha terhadap pembahagian yang telah ditetapkan Allah Ta‘ala. Oleh itu, dia akan dibalas dengan kehinaan dalam azab yang pedih.

Walau bagaimanapun, jika ahli waris itu hilang dan tidak diketahui perkhabarannya sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia, maka dalam perkara ini, Imam al-Khathib asy- Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyebut:

Ertinya: Dan jika orang yang diwarisi oleh orang yang hilang itu meninggal dunia sebelum ada bukti atau ketetapan (daripada qadhi) tentang kematiannya (orang hilang), (maka) hendaklah kita tahan semua harta pusaka jika (orang yang meninggal dunia itu) tidak ada baginya waris selain orang yang hilang itu, dan sebaliknya (jika ada waris yang lain) kita tahan bahagiannya (orang yang hilang) sahaja sehinggalah jelas bahawasanya dia (orang yang hilang itu) ketika kematian (orang yang diwarisinya) masih hidup atau telah meninggal dunia.

Daripada keterangan di atas dapat difahami bahawa pembahagian harta pusaka bagi waris yang hilang hendaklah ditahan sehingga ada kepastian tentang keadaan waris tersebut sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia. Apabila waris yang hilang itu masih hidup, maka bahagian yang tertahan itu akan menjadi miliknya. Namun jika waris tersebut diyakini telah meninggal dunia setelah berlaku kematian orang yang diwarisi hartanya, maka bahagian yang tertahan itu akan diberikan kepada waris orang yang hilang. Manakala jika orang yang hilang itu telah meninggal dunia sebelum berlaku kematian orang yang diwarisi hartanya, maka bahagian yang tertahan itu akan dikembalikan semula kepada waris asal si mati.

Mengenai dengan harta pusaka yang tidak diketahui orang yang mewarisinya dan tidak ada lagi jalan untuk mengetahuinya, maka harta pusaka tersebut diserahkan ke Baitul-Mal sebagaimana disebut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn:

Ertinya: Dan jika dia berputus asa dari mengetahui (mencari) pemiliknya iaitu jauh sekali pada adatnya dia wujud, (maka harta itu) menjadi sebahagian daripada kumpulan harta-harta Baitul-Mal seperti wadî‘ah dan harta rampasan yang telah berputus asa untuk mengetahui pemilik kedua-duanya dan (seperti) harta pusaka yang tidak diketahui waris baginya. Ketika itu, dia sendiri menyalurkan kesemuanya untuk mashlahat orang-orang Islam (menurut mana) yang lebih penting dan yang lebih penting berikutnya, seperti pembinaan masjid tatkala tidak ada yang lebih umum (mashlahatnya) daripadanya.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, disimpulkan perkara-perkara berikut:

1) Pemegang saham yang hilang dan yang terputus khabar beritanya serta tidak diketahui sama ada dia masih hidup atau telah meninggal dunia adalah termasuk dalam pengertian al-mafqûd menurut syara‘. Dalam perkara ini, harta pemegang saham seperti saham dan dividennya adalah masih tetap menjadi hak miliknya sehingga terbukti kematiannya.

Oleh yang demikian, pihak syarikat selaku pemegang amanah hendaklah menyimpan saham dan dividen tersebut sehingga diketahui dengan yakin kedudukan pemegang saham sama ada hidup atau meninggal dunia, atau berlalu satu tempoh masa yang membawa sangkaan kuat bahawa pemegang saham tidak lagi hidup dan ada penetapan mahkamah tentang kematiannya.

2) Pemegang saham yang diyakini telah meninggal dunia, maka saham dan dividennya adalah menjadi harta pusaka yang diwarisi. Maka dalam perkara ini, pihak syarikat boleh melakukan perkara-perkara berikut:

i. Jika pihak syarikat gagal untuk mengenal pasti sama ada pemegang saham mempunyai waris ataupun tidak, walaupun pelbagai cara telah diusahakan dan ketika itu pihak syarikat tidak lagi berhajat untuk mencari warisnya, maka saham dan dividen tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitul-Mal.

ii. Jika pihak syarikat telah mengenal pasti ahli waris kepada pemegang saham tetapi tidak diketahui kedudukan ahli waris tersebut sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia, maka pihak syarikat selaku pemegang amanah hendaklah menyimpan harta pusaka yang diwarisi oleh ahli waris tersebut sehingga diketahui dengan yakin kedudukan ahli waris sama ada hidup atau meninggal dunia, atau berlalu satu tempoh masa yang membawa sangkaan kuat bahawa ahli waris tidak lagi hidup dan ada penetapan mahkamah tentang kematiannya.

iii. Jika pihak syarikat telah mengenal pasti ahli waris tetapi ahli waris tidak mahu menuntut saham dan dividen tersebut kerana masalah sesama keluarga atau disebabkan oleh masalah yang lain, maka adalah lebih teratur, pihak syarikat mendapatkan nasihat daripada pihak-pihak berautoriti yang berkaitan dengan harta pusaka seperti Mahkamah Syari‘ah dan seumpamanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13123