Saksi Penglihatan Anak Bulan Ramadhan, Syawwal Dan Zulhijjah
Soalan: Berapakah jumlah saksi yang diperlukan bagi melihat anak bulan Ramadhan, anak bulan Syawwal dan anak bulan Zulhijjah?
Jawapan: Mengetahui kedatangan bulan-bulan Hijriyyah seperti bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah adalah perkara yang sangat penting bagi umat Islam kerana terdapat banyak urusan yang dikaitkan kepada tsabitnya permulaan hari kedatangan bulan-bulan tersebut sama ada urusan keagamaan mahupun keduniaan. Dalam hubungan ini, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjadikan peredaran bulan sebagai tanda waktu (مواقيت) bagi manusia mengetahui tempoh-tempoh urusan dan amalan mereka.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Bahawa peredaran) anak-anak bulan itu adalah untuk menandakan waktu-waktu bagi (urusan dan amalan) manusia dan ibadat haji. (Surah al-Baqarah: 189)
Menurut ahli tafsir, ayat di atas diturunkan bagi menjawab pertanyaan mengenai sebab kenapa bentuk bulan tidak tetap dalam satu keadaan seperti matahari. Sebaliknya ia terbit dalam bentuk yang halus, kemudian membesar dan menjadi bulat, kemudian kembali semula sebagaimana keadaan ia terbit. Dalam ayat ini Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya menjelaskan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjadikan bulan-bulan Hijriyyah berdasarkan peredaran bulan supaya orang Islam mengetahui perkiraan waktu berpuasa, berhari raya, tempoh ‘iddah, pembayaran hutang, menunaikan haji, haidh dan lain-lain kepentingan lagi.
Pentsabitan Awal Bulan Hijriyyah
Kaedah pentsabitan yang disyariatkan dalam Islam bagi kedatangan awal bulan-bulan Hijriyyah adalah berdasarkan ru’yah al-hilâl atau penggenapan bilangan hari dalam satu bulan kepada 30 hari. Ru’yah al-hilâl bermaksud anak bulan nampak dilihat dengan mata setelah matahari terbenam pada hari ke 29 oleh orang yang diperakukan perkhabarannya dan diterima kesaksiannya.
Kaedah ini adalah disandarkan kepada suruhan yang asalnya dikhususkan bagi penentuan kedatangan bulan Ramadhan dan Syawwal sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya ialah hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, dia berkata bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan), dan jangan kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya (anak bulan Syawwal). Maka jika terlindung (anak bulan kerana awan atau seumpamanya) ke atas kamu, hendaklah kamu takdirkan (lengkapkan) baginya (menjadi 30 hari). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas dengan jelas menyatakan bahawa penentuan awal Ramadhan dan awal Syawwal itu adalah bersandarkan kepada penglihatan anak bulan iaitu setelah terbenam matahari pada hari ke 29 daripada bulan Sya‘ban dan juga Ramadhan. Jika anak bulan dapat dilihat dan kesaksiannya ditsabitkan oleh qadhi, maka permulaan bulan Ramadhan dan Syawwal adalah pada hari berikutnya. Manakala dalam keadaan anak bulan Ramadhan atau Syawwal tidak dapat dilihat disebabkan ia terlindung oleh awan dan seumpamanya, maka penentuan awal bulan adalah dengan menggenapkan bilangan tiga puluh hari bagi bulan sebelum Ramadhan atau Syawwal.
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Bâri menyatakan bahawa jumhûr ulama telah menta’wîlkan maksud " حفَاقحدُرُواُلَه " dalam hadits di atas sebagai suruhan untuk menggenapkan bilangan hari dalam sebulan kepada 30 hari berdasarkan kepada hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang lain.
Antaranya ialah hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ dalam riwayat yang lain bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: (Kebiasaan) bulan itu dua puluh sembilan malam, maka jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihatnya (anak bulan Ramadhan). Jika terlindung (anak bulan dengan ada awan atau seumpamanya) ke atas kamu, maka lengkapkanlah bilangan tiga puluh (hari). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Manakala Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasalah kamu kerana melihatnya (anak bulan Ramadhan) dan berbukalah (berhari raya) kamu kerana melihatnya (anak bulan Syawwal). Jika dihalangi ke atas kamu (kenampakan anak bulan itu), maka lengkapkanlah bilangan Sya‘ban tiga puluh (hari). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits-hadits di atas, para fuqahâ’ menegaskan bahawa untuk menentukan kedatangan bulan Ramadhan dan Syawwal adalah berdasarkan penglihatan anak bulan (ru’yah al-hilâl). Jika anak bulan tidak tsabit dilihat, maka bulan-bulan tersebut hendaklah dilengkapkan menjadi tiga puluh hari.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn berkata:
Ertinya: Wajib berpuasa Ramadhan dengan melengkapkan bilangan Sya‘ban tiga puluh hari atau dengan melihat anak bulan (Ramadhan).
Ru’yah al-Hilâl Bulan-bulan Hijriyyah yang Lain
Tuntutan melihat anak bulan bagi menentukan kedatangan awal bulan Hijriyyah tidak hanya terbatas kepada bulan Ramadhan dan Syawwal sahaja, bahkan meliputi bulan-bulan yang lain juga.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah memerintahkan supaya nusuk haji dikerjakan apabila anak bulan Zulhijjah dapat dilihat sendiri atau ia disaksikan oleh dua orang saksi sebagaimana hadits daripada Husain bin al-Harits al-Jadali Radhiallâhu ‘anhu, beliau menceritakan bahawasanya amir Makkah (al-Harits bin Hathib Radhiallâhu ‘anhu) telah berkhutbah lalu berkata:
Maskudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah berpesan kepada kami agar kami (mula) mengerjakan nusuk (haji) berdasarkan ru’yah. Jika kami tidak melihatnya, namun dua orang saksi ‘âdil bersaksi (hilâl telah nampak), maka kami (mula) mengerjakan nusuk (haji) berdasarkan kesaksian mereka berdua. (Hadits riwayat Abu Daud)
Syaikh Muhammad asy-Syaubari Rahimahullâh menjelaskan bahawa perkara melihat anak bulan (ru’yah al-hilâl) bagi menentukan kedatangan bulan Ramadhan dan bulan-bulan Hijriyyah yang lainnya adalah satu tuntutan fardhu Kifayah ke atas umat Islam sebagaimana yang dinukil dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn:
Ertinya: Melihat anak bulan Ramadhan seperti bulan-bulan selainnya adalah fardhu Kifayah kerana terhasil atasnya banyak faedah.
Perkara pentsabitan awal Ramadhan dan bulan-bulan selainnya berdasarkan ru’yah al-hilâl juga telah difatwakan oleh al-Kurdi Rahimahullâh. Beliau turut menjelaskan bahawa adalah salah berpegang kepada pendapat yang mengatakan bahawa tuntutan melihat anak bulan itu hanya dikhususkan bagi bulan Ramadhan sahaja. Beliau menyatakan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn sebagaimana berikut:
Ertinya: Tidak tsabit bulan Ramadhan seperti bulan-bulan selainnya melainkan dengan melihat anak bulan atau melengkapkan bilangan tiga puluh hari tanpa adanya perbezaan (di antara Ramadhan dengan bulan-bulan lain) kecuali dalam perkara masuknya (bulan Ramadhan memadai) dengan seorang yang ‘âdil. Adapun apa yang mereka pegang di sebahagian negeri bahawa mereka menjadikan (pentsabitan) bulan-bulan selain bulan Ramadhan dengan (kaedah) hisab dan mereka menjadikannya (kaedah hisab tersebut) sebagai dasar dalam perkara-perkara penyelesaian hutang-hutang dan penggantungan pelaksanaan sesuatu perkara, dan mereka mengatakan bahawa berpegang kepada (kaedah) melihat anak bulan (ru’yah al-hilâl) hanya khusus bagi bulan Ramadhan maka ia adalah (pendapat) yang jelas salah, dan perkara itu (sebenarnya) bukanlah sebagaimana yang mereka sangkakan dan aku tidak tahu sandaran mereka dalam (perkara) demikian itu.
Berdasarkan hadits dan perkataan para ulama di atas, jelaslah bahawa penentuan kedatangan awal bulan-bulan Hijriyyah hendaklah juga berdasarkan ru’yah al-hilâl atau penggenapan hari dalam sebulan kepada 30 hari jika anak bulan tidak tsabit kelihatan sebagaimana penentuan kedatangan bulan Ramadhan dan Syawwal, bukan dengan kaedah-kaedah yang lain.
Bilangan Saksi
Adapun bilangan yang dikehendaki bagi mentsabitkan penglihatan anak bulan Hijriyyah ialah seramai dua orang kecuali bagi bulan Ramadhan memadai ditsabitkan penglihatannya oleh seorang saksi yang ‘âdil.
Dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn, ketika menyebut perkara mengenai jumlah bilangan saksi yang dikehendaki bagi apa jua perkara yang memerlukan kepada kesaksian (الشهادة), Imam an- Nawawi Rahimahullâh telah menggariskan suatu kaedah am bagi perkara berkenaan. Beliau berkata:
Ertinya: Tidak dihukumkan (terhadap sesuatu perkara) dengan (kesaksian) seorang saksi kecuali dalam (perkara melihat) anak bulan Ramadhan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya (seperti penglihatan anak bulan bagi bulan yang dinazarkan oleh seseorang untuk dia berpuasa di dalamnya) menurut qaul al-azhhar.
Dalam mentsabitkan kedatangan bulan Syawwal, Imam asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitab al-Muhadzdzab menyebut:
Ertinya: Dan tidak diterima (kesaksian terhadap penglihatan) anak bulan Syawwal kecuali oleh dua orang saksi kerana perkara tersebut (berkait dengan) pengguguran sesuatu yang fardhu (ke atas umat Islam). Oleh kerana itu, bilangan (seramai dua orang saksi) itu adalah diambil kira sebagai langkah berhati-hati dalam perkara fardhu.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula menjelaskan:
Ertinya: Tidak tsabit (penglihatan) anak bulan Syawwal dan tidak juga bagi semua bulan-bulan selain anak bulan Ramadhan kecuali dengan kesaksian dua orang lelaki merdeka yang ‘âdil.
Mengenai pentsabitan kedatangan bulan Zulhijjah, telah disebutkan sebelum ini mengenai sebuah hadits riwayat Imam Abu Daud Rahimahullâh yang mengandungi pesanan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam agar nusuk haji mula dikerjakan setelah anak bulan dapat dilihat sendiri atau adanya kesaksian oleh dua orang saksi yang ‘âdil.
Maka jelaslah daripada keterangan-keterangan di atas bahawa jumlah saksi yang diperlukan bagi mentsabitkan kedatangan bulan-bulan Hijriyyah ialah seramai dua orang saksi kecuali bulan Ramadhan.
Menurut Imam Jalaluddin al-Mahalli Rahimahullâh dalam kitabnya Kanz ar-Râghibîn yang mensyarah Minhâj ath-Thâlibîn:
Ertinya: Dan tsabit penglihatannya (anak bulan Ramadhan) terhasil (memadai dengan kesaksian) seorang saksi yang ‘âdil.
Imam al-Bujairimi Rahimahullâh pula berkata dalam kitabnya Tuhfah al-Habib ‘alâ Syarh al- Khathîb:
Ertinya: Dan tsabit penglihatan anak bulan (Ramadhan) bagi sesiapa yang tidak melihatnya sendiri dengan kesaksian seorang saksi yang ‘âdil.
Para fuqahâ’ dalam perkara ini berpegang kepada keterangan-keterangan yang terdapat dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya riwayat daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:
Maksudnya: Orang ramai sama-sama melihat anak bulan, lalu aku mengkhabarkan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawasanya aku telah melihatnya (anak bulan Ramadhan) maka Baginda berpuasa dan memerintahkan orang ramai untuk berpuasa. (Hadits riwayat Abu Daud)
Daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ pula, beliau berkata:
Maksudnya: Seorang Arab Badwi telah datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, lalu dia berkata: “Sesungguhnya aku telah melihat hilâl (Ramadhan)”. Baginda bersabda: “Adakah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah? Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad pesuruh Allah?” Dia berkata: “Ya.” Baginda bersabda: “Wahai Bilal! Serukanlah kepada orang ramai supaya mereka berpuasa esok hari.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya al-Majmû‘ bahawa memadai seorang saksi untuk mentsabitkan penglihatan anak bulan Ramadhan itu adalah sebagai langkah berhati-hati kerana perkara tersebut berkait dengan permulaan suatu ibadat yang diwajibkan. Maka adalah mencukupi pentsabitan masuk waktunya dengan seorang saksi yang ‘âdil sahaja. Adapun dua orang saksi diperlukan untuk mentsabitkan penglihatan anak bulan Syawwal juga adalah suatu langkah berhati-hati kerana ia berkait dengan pengguguran suatu tuntutan yang diwajibkan ke atas umat Islam.
Maksud saksi yang ‘âdil dalam perkara ini ialah seorang yang ‘âdil mengikut bab الشهادة (kesaksian). Oleh itu, tidak diterima kesaksian seorang hamba, perempuan dan orang fâsiq bagi mentsabitkan penglihatan anak bulan Ramadhan dan bulan-bulan Hijriyyah yang lain. Walau bagaimanapun, tidak disyaratkan saksi tersebut ‘âdil secara batin, sebaliknya adalah memadai dia seorang yang bertaqwa dari segi zahir sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13127
