Trading Forex Secara Follow Signal
Soalan: Apakah sudah ada fatwa di Negara Brunei Darussalam mengenai trading forex? Adakah boleh ikut trading secara follow signalnya saja?
Jawapan: Hukum mengenai forex trading telah difatwakan melalui siri fatwa (18/2021) bertajuk Perdagangan Pertukaran Mata Wang Asing Secara Lani (Individual Spot Forex). Dalam fatwa tersebut dinyatakan bahawa perdagangan mata wang asing dalam forex trading dalam talian adalah dihukumkan haram kerana ia mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan prinsip muamalat Islam. Antaranya ialah:
i) Ketiadaan qabdh (penerimaan) yang sah terhadap mata wang yang di‘aqadkan kerana apabila seorang pedagang membeli pasangan mata wang yang dipilih (open position), penyerahan terhadap mata wang yang dibeli oleh pedagang tidak berlaku sama ada secara hakiki atau hukmi iaitu mata wang yang dibeli tidak ada dimasukkan ke dalam akaun bank pedagang. Ini bermakna syarat taqâbudh (serah terima) tidak dipenuhi padahal ia merupakan syarat dalam jual beli mata wang.
Ketiadaan taqâbudh dalam jual beli mata wang juga menyebabkan berlaku riba dalam jual beli berkenaan kerana majoriti para ulama berpendapat bahawa mata wang yang ada pada masa kini sama kedudukannya dengan emas dan perak dari sudut hukum yang berkaitan dengan riba, zakat, jual beli salam dan lain-lain. Dalam perkara jual beli emas dan perak, selain disyaratkan jual beli berkenaan bebas daripada sebarang penangguhan (لح يلالتَّأحج), taqâbudh (serah terima) terhadap perkara yang di‘aqadkan ( َ الحمحُ عقحُ وَدَ علحيله ) hendaklah berlaku sebelum kedua-dua pihak yang ber‘aqad berpisah daripada majlis ‘aqad. ‘Ubadah bin ash- Shamit Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: (Jual beli atau pertukaran) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam (hendaklah dengan) kadar yang sama (timbangan atau sukatan) dan serah terima dalam majlis ‘aqad. Sekiranya benda-benda (ribawi tersebut) berlainan jenis (tetapi dalam kategori yang sama seumpama emas dengan perak atau gandum dengan barli), maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang kamu mahu asalkan serah terima dalam majlis ‘aqad. (Hadits riwayat Muslim)
ii) Ketiadaan qabdh yang sah itu pula menyebabkan berlaku isu penjualan sesuatu yang tidak ada dalam pegangan pedagang. Isu berkenaan berlaku dalam keadaan posisi ditutup (close position) iaitu ketika pedagang menjual semula mata wang yang dibeli semasa posisi dibuka. Sebagaimana diterangkan sebelum ini, penyerahan mata wang yang dibeli oleh pedagang ketika open position tidak berlaku sama ada secara hakiki atau hukmi, maka apabila pedagang menjual semula mata wang yang dibelinya itu dia dianggap menjual sesuatu yang tidak ada dalam pegangannya sekalipun ia sudah dikira sebagai miliknya. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyatakan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Tidak sah menjual barang jualan sebelum penerimaannya.
iii) Akitiviti perdagangan dalam forex trading juga bercanggah dengan prinsip muamalat Islam disebabkan penggunaan fasiliti leverage dan sistem perdagangan berdasarkan margin. Leverage ialah gandaan wang yang diberikan oleh broker supaya individu dapat berdagang dalam jumlah yang besar. Margin pula merupakan jumlah yang perlu dibayar oleh pedagang sebelum memulakan urusniaga perdagangan yang jumlahnya jauh lebih besar daripada jumlah margin yang telah dibayar. Kedua-dua fasiliti dan sistem perdagangan ini berkait rapat antara satu sama lain.
Dari sudut takyîf fiqhi berkenaan leverage dan margin, ia merupakan pinjaman wang (qardh) daripada broker kepada peserta. Dengan kedudukannya sebagai pinjaman wang daripada broker, maka berbangkit isu ‘aqad pinjaman disatukan dengan ‘aqad jual beli. Dalam praktik forex trading, ‘aqad pinjaman dan ‘aqad jual beli mata wang berlaku secara serentak dengan hanya menekan tombol atau kekunci (buy atau sell) sahaja. Ini bermakna kedua-dua ‘aqad iaitu ‘aqad pinjaman dan jual beli berlaku serentak dan tidak dilakukan secara berasingan kerana pemberian leverage hanya akan terpapar dalam platform apabila seseorang pedagang membuka satu-satu posisi.
Menyatukan ‘aqad pinjaman dengan ‘aqad jual beli adalah termasuk dalam jenis-jenis muamalat yang dilarang oleh syara‘. Perkara ini dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh sebagai permasalahan bai‘ wa salaf iaitu jual beli disertai dengan pinjaman. ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak halal salaf (pinjaman) dan jual beli (disatukan dalam satu ‘aqad), tidak (halal meletakkan) dua syarat dalam jualan, tidak (halal mengambil) keuntungan sesuatu yang tiada ditanggung risikonya (barang jualan) dan tidak halal menjual sesuatu yang tidak ada padamu. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)
Penggunaan leverage dan sistem perdagangan berasaskan margin juga menyebabkan berlaku isu pinjaman yang memberikan manfaat kepada pemberi pinjam. Apabila broker memberi pinjaman kepada pedagang dan pedagang yang memperolehi pinjaman tersebut mesti melakukan aktiviti perdagangannya melalui khidmat broker tersebut, hal ini bererti pinjaman yang diberikan itu membawa manfaat kepada broker sebagai pihak yang memberi pinjaman. Broker juga turut mendapat manfaat dalam bentuk keuntungan melalui spread iaitu perbezaan di antara harga bid dan harga ask menerusi urusniaga yang dijalankan oleh pelanggannya. Selain itu, sesetengah broker juga mendapat manfaat daripada wang yang dipinjamkan menerusi pengenaan komisyen ke atas pedagang terhadap urusniaga jualan dan belian.
Menurut hukum syara‘, setiap pinjaman yang membawa manfaat kepada pihak yang memberikan pinjaman adalah termasuk dalam riba. Dalam sebuah hadits mauqûf, Fadhalah bin ‘Ubaid Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa:
Maksudnya: Setiap pinjaman yang membawa manfaat (kepada orang yang memberi pinjaman) maka hal sedemikian itu adalah salah satu jenis daripada jenis-jenis riba. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
iv) Forex trading juga mendedahkan pedagang kepada riba menerusi caj rollover. Pedagang akan menerima atau membayar faedah rollover bergantung kepada arah posisi yang diambil (menjual atau membeli) dan tertakluk kepada perbezaan kadar faedah kedua-dua mata wang yang terlibat sekiranya pedagang membuka posisi melebihi tempoh semalaman. Sama ada sebagai penerima atau pun sebagai pembayar, adalah jelas bahawa caj rollover merupakan riba yang diharamkan oleh syara‘ kerana faedah tersebut terbit daripada wang yang dipinjamkan oleh broker kepada pedagang melalui konsep leverage.
v) Kegiatan perdagangan forex trading juga mengandungi unsur spekulasi yang bercanggah dengan prinsip muamalat Islam berpunca daripada faktor pertaruhan nasib yang menjadikannya serupa dengan permainan “game of chance” yang biasa dikaitkan dengan aktiviti perjudian.
Perkara-perkara yang diketengahkan di atas adalah isu-isu utama yang menyebabkan kegiatan forex trading bertentangan dengan prinsip-prinsip muamalat Islam. Maka berdasarkan perkara-perkara berkenaan difatwakan bahawa kegiatan forex trading adalah kegiatan yang haram kerana melibatkan urusniaga yang tidak patuh syara‘.
Isyarat Dagangan (Trading Signal)
Laman web www.investopedia.com menerangkan isyarat dagangan (trading signal) sebagaimana berikut:
“Pencetus (trigger) tindakan sama ada membeli atau menjual sekuriti atau aset lain berdasarkan hasil daripada analisa-analisa tertentu.”
Dari sumber-sumber lain yang diperolehi, difahami juga bahawa isyarat dagangan boleh dihasilkan sendiri oleh pedagang dengan melakukan analisanya sendiri. Ia juga boleh didapati dengan cara mengikut atau memanfaatkan maklumat yang disediakan oleh pihak penyedia (provider) atau orang lain. Isyarat dagangan yang dibekalkan oleh pihak penyedia pada kebiasaannya dijana oleh penganalisis yang terdiri daripada kalangan pakar atau penggiat dalam bidang-bidang yang berkaitan. Ia juga boleh dijana oleh robot yang berfungsi secara automatik.
Komponen utama yang memproses isyarat dagangan ialah kaedah analisa teknikal (technical analysis) iaitu satu kaedah penganalisaan yang tertumpu kepada trend statistik dan dikumpulkan daripada aktiviti dagangan seperti pergerakan harga dan volum dagangan.
Selain itu, analisa asas (fundamental analysis) turut memberikan input, begitu juga ukuran sentimen dan maklumat daripada sistem isyarat dagangan lain.
Isyarat dagangan biasanya dibekalkan kepada pelanggan perkhidmatan berkenaan melalui e-mel, laman web, SMS dan kaedah-kaedah yang lain. Selain daripada perkhidmatan yang berbayar, ada juga yang memberikannya secara percuma.
Isyarat dagangan bukan sahaja digunakan dalam pasaran forex, ia juga dimanfaatkan oleh pedagang-pedagang dalam pelbagai pasaran kewangan seperti saham, komoditi, indeks, Contract For Differences (CFD) dan mata wang Kripto.
Follow Signal Dalam Forex Trading
Berdasarkan maklumat-maklumat yang diutarakan di atas, kegiatan berdagang atau berjual beli dengan mengikut isyarat dagangan pada dasarnya tidak bercanggah dengan prinsip muamalat Islam. Secara asasnya, kegiatan berdagang atau berjual beli dengan cara sedemikian sama kedudukannya dengan berdagang atau berjual beli biasa dengan cara bertanyakan atau mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan daripada orang lain mengenai barang yang ingin dijual beli. Seorang pembeli sebagai contoh pada kebiasaannya akan bertanya kepada orang lain tentang harga yang ditawarkan sama ada ia munasabah baginya atau lebih murah berbanding tawaran-tawaran lain yang ada di pasaran. Pembeli juga biasanya akan mendapatkan maklumat adakah barangan yang hendak dibelinya itu berkualiti atau mempunyai nilai apabila dijual semula pada masa hadapan. Dengan adanya maklumat-maklumat seumpama ini, pembeli dapat mengurangkan risiko membayar harga yang lebih tinggi, membeli barangan yang tidak berkualiti dan tiada nilai untuk dijual semula pada masa hadapan. Melakukan langkah-langkah seumpama ini dalam kegiatan perdagangan dan jual beli pada dasarnya adalah harus dan tidak dilarang sama sekali dalam pandangan syara‘ dengan syarat perdagangan atau jual beli itu sesuatu yang diharuskan oleh syara‘.
Dalam masalah yang ditanyakan di atas, oleh kerana isyarat dagangan (trading signal) digunakan dalam forex trading yang telah difatwakan sebagai haram, maka mengikut trading signal di dalam forex trading adalah juga haram. Penggunaan trading signal dalam hal ini dikira sebagai wasîlah untuk mencapai suatu tujuan daripada kegiatan perdagangan yang diharamkan. Maka sekalipun penggunaan wasîlah itu asalnya diharuskan, namun ia adalah tertakluk kepada hukum tujuan-tujuannya sebagaimana disebutkan oleh al-‘Iz Ibn Abdussalam Rahimahullâh dalam kitab al-Fawâ’id fî Ikhtishâr al-Maqâshid:
Ertinya: Bagi wasîlah-wasîlah itu hukum-hakam tujuan-tujuannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-13131
